Translate

Isnin, 31 Oktober 2011

Kaabah: Apa Ada Didalamnya. (Bhg 1)



APA ada di dalam Kaa'bah? Hanya orang-orang tertentu saja yang dibenarkan masuk ke dalam Kaa'bah. Pintu Kaa'bah sendiri hanya dibuka 2 kali setahun iaitu sebelum Ramadhan dan sebelum musim Haji. Jadi tidak ramai yang tahu tentang isi bangunan yang menjadi kiblat umat Islam di seluruh dunia ini.


Pemegang kunci Kaa'bah, Syeikh Abdul Qadir mengatakan lantai Kaabah dibuat dari granit berwarna putih dan sebahagian dindingnya juga dilapisi granit. Di dalamnya terdapat sebuah hijab berwarna Hijau, emas, perhiasan, dan pintu taubat. Pintu ini dibuat daripada emas.

Beliau mengungkapkan di dalam Kaabah terdapat sebuah jubin berwarna gelap yang merupakan tempat Nabi Muhammad meletakkan kepalanya ketika letih. Terdapat pula Sejumlah lampu dari zaman Empayar Ottoman dibuat dari tembaga, Perak, dan gelas berhiaskan ayat-ayat Al-Quran.

Berikut gambaran ringkas tentang apa yang ada di dalam Kaabah:

  • Hanya ada 3 tiang di dalam Kaa'bah
  • Terdapat sebuah meja kecil untuk meletakkan barang-barang seperti minyak wangi dan alat membakar kemenyan.
  • Terdapat dua jenis bekas lampu-lampu yang tergantung dari rasuk silang berhampiran siling
  • Tiada sebarang lampu elektrik di dalamnya
  • Dinding dalaman dilapisi dengan marmar separuh jalan ke bumbung.
  • Seluruh lantai dibuat daripada marmar kecuali sebahagian kecil yang dipanggil "Rukhamat Humra".
  • Tablet dengan inskripsi Al-Quran dalam marmar.
  • Bahagian atas dinding ditutup dengan kain hijau yang dihiasi dengan ayat-ayat Al-Quran bersulam emas.
  • Tiada tingkap di dalamnya
  • Hanya terdapat satu pintu
  • Ruang ini boleh menampung kira-kira 50 orang
(IH/source: http://www.chillnite.com, http://islamgreatreligion.wordpress.com, http://www.tohir.co.za/)
Untuk gambaran lebih jelas sila tonton klip video di bawah:

Isu Cabul: Cabaran Daripada Blogger BN Telah Disambut Dengan Laporan Polis.

Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini membuat laporan polis terhadap laman web Umno kerana didakwa memetik laporan palsu dan memfitnah majikannya.
Zairil Khir Johari berkata, sehingga hari ini, terdapat sembilan laporan dimuatkan dalam Umno-Online yang mendakwa anak Lim mencabul seorang pelajar perempuan dan beliau dikatakan membayar RM200,000 kepada keluarga pelajar itu.
NONE
"Yang paling teruk sekali, laporan-laporan tersebut terus disiarkan dan dimainkan dengan semberono walaupun bukti sudah pun dikemukakan oleh pelbagai pihak untuk membidas tuduhan-tuduhan yang liar itu," katanya.

Sebelum ini, beberapa penulis blog pro-Umno mendakwa anak remaja Lim mencabul kehormatan rakan sekelasnya dan dan akibat itu terpaksa dipindahkan sekolah.

Dalam kenyataan hari ini, gadis yang dituduh Anya Ann Corke, pemain catur terkemuka, Lim dan pengetua sekolah berkenaan menafikan kejadian itu.

Beliau juga mendakwa laman itu memetik "laporan palsu" yang didakwa disiarkan oleh akhbar Cina Guang Ming Daily berhubung perkara itu.

Sembilan laporan berkaitan dimuatkan antara 18 hingga 28 Oktober lalu.

Justeru, beliau berpendapat, Umno-Online melakukan kesalahan jenayah bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan, Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Malaysiakini

Sabtu, 29 Oktober 2011

Malaysia Menghina Perjuangan Rakyat Palestin.


Naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menuntut penjelasan kerajaan berhubung pendedahan peninju Israel, Ilya Grad yang mendakwa telah memasuki Malaysia dengan bantuan menteri belia dan sukan untuk menyertai kejohanan The Challenger Muay Thai untuk stesen TV AXN.


Mahfuz berkata, perkembangan itu mengejutkan, apatah lagi apabila peninju kelas middleweight itu mendakwa bahawa pasportnya tidak dicop.


"Sebarang kemasukan rakyat ke negara Israel diharamkan, malah rakyat Malaysia masuk ke (Israel) juga diharamkan.

"Bagaimana (Grad) boleh masuk dengan (dakwaan) restu menteri, malah tanpa melalui proses imigresen sebenar? Ini menunjukkan betapa longgarnya pintu sempadan, boleh bolos begitu saja.

"Jadi kementerian luar negeri, kementerian dalam negeri harus beri kenyataan kenapa perkara ini boleh berlaku. Apakah benar dakwaan dia masuk dengan keizinan daripada menteri belia dan sukan?," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini semalam.



"Sekiranya benar perkara itu berlaku, ia menunjukkan bahawa menteri berkenaan telah "merosakkan dasar negara," kata Mahfuz lagi yang turut menuntut penjelasan  Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berhubung dakwaan tersebut.

Bekas juara muay thai Israel itu mendakwa telah memasuki Malaysia pada satu tarikh sebelum ini untuk menyertai kejohanan The Challenger Muay Thai yang dirakamkan di dalam kampus Universiti Putra Malaysia, Serdang untuk stesen TV AXN.

Difahamkan, rakaman program pada Jun itu baru saja dikeudarakan oleh stesen TV berkenaan baru-baru ini.

Dalam satu tulisan di blog tinju Muay Thai Authority pada 15 Oktober, Grad menceritakan bahawa dia tidak sabar untuk mengibarkan bendera Israel ketika berada di Malaysia.

Beliau yang memasuki Malaysia melalui Thailand ditahan selama 25 jam di satu pintu masuk negara sebelum berjaya mendapatkan bantuan Persekutuan Muay Thai Malaysia, "dengan sokongan menteri sukan Malaysia."

Sesudah itu, barulah dia kemudiannya mendapatkan dokumen yang diperlukan untuk memasuki Malaysia, katanya di blog yang banyak memaparkan kegiatan dan pertandingan sukan itu.

"Dengan begitu sahaja saya melepasi sempadan itu dengan pas khas – pas yang sememangnya khas kerana pasport Israel saya tidak dicop," katanya lagi.

Khamis, 27 Oktober 2011

Najib Dengan Nasi Bungkusnya Yang Berharga RM 4.00.


Oleh Mohd Rashidi Hassan
Tok Guru dengan nasi bungkus RM2.50

"ANTA dah makan," tegur Tok Guru kepada tatkala melihat kelibat penulis memasuki bilik jamuan. "Alhamdulillah, sudah Tok Guru," jawab penulis sambil mengangguk.

Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat terus membuka bekas polystyrene yang berada di hadapannya. Bekas tersebut diikat dengan getah plastik. Di dalamnya ada nasi putih, seketul ayam, sebungkus kuah gulai dan sebungkus cili.

Tiada makanan ala buffet. Tiada air sirap, tiada teh dihidangkan. Yang ada hanya air mineral dan nasi bungkus. Itulah jamuan untuk VIP PAS selepas Menteri Besar Kelantan itu merasmikan Persidangan ICT PAS di Taman Melewar, 22 Oktober lepas.

Tok Guru Nik Aziz menjamu selera di bilik khas bersama Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dr Mohd Fadzli Hassan, Che Abdullah Nawi, Setiausaha Politik, Wan Nik Wan Yussof, Pengerusi Lujnah ICT PAS, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Pengarah Urusetia Penerangan Kedah, Zulkifli Yahya dan Pensyarah Unisel, Profesor Dr Azmudden Ibrahim.

Tok Guru dan para VIP kelihatan berselera sekali menjamah hidangan. Mereka menjamu selera dan berbual dengan nada yang amat santai. Begitu pun, akhlak Tok Guru tetap terpelihara. Beliau mencarik-carikan isi ayam sedikit demi sedikit, dengan tangan kirinya menahan tulang ayam. Selepas secubit ayam dijamah, beliau menuangkan kuah gulai sedikit-demi sedikit, untuk dimakan dengan nasi. Begitulah selang-seli hidangan dimakan hingga habis.

Berbeza dengan kita. Kalau kita yang makan, kita akan ambil seketul-seketul ayam dan koyakkan dengan gigi sahaja. Biasa kalau kuah gulai tu, kita akan tuang sampai banjir dalam pinggan. Sambil-sambil mereka makan, penulis memerhatikan tingkah laku mereka. Para VIP PAS, khususnya Tok Guru, tidak pernah merungut, walaupun pada pengamatan penulis, nilai sebungkus nasi dan air untuk hidangan VIP, tidak sampai RM2.50. Itulah juga hidangan yang disajikan kepada seluruh peserta hidangan. Sama sekali tiada beza.

Pada penulis soal harga tidak menjadi persoalan. Bukan soal mahal atau murahnya sesuatu hidangan. Tok Guru tidak pernah melarang sesiapa pun untuk menjamu selera dengan hidangan yang lazat-lazat. Asalkan mereka mampu dan tidak membazir. Tok Guru juga tidak pernah menolak jika dijemput menjamu selera hidangan yang mahal dan mewah. Tok Guru biasa menghadiri majlis bersama Raja-Raja dan VVIP terkemuka.

Moralnya, sama ada makan cara mewah atau makan cara marhain, adalah sesuatu yang lumrah, yang tidak perlu ditunjuk-tunjukkan. Tetapi Tok Guru tetap Tok Guru. Sifat tawaduknya bukan dibuat-buat. Dah memang semula jadi sifat Tok Guru begitu. Hidangan yang simple dan murah. Makan digerai bersama rakyat kebanyakan sudah biasa baginya. Tidak perlu dihighlight dalam media, tidak perlu diheboh kepada satu dunia.

Bukan macam Perdana Menteri 1Malaysia kita. Pada penulis, elok juga ditegur Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak. Kalau dah sifatnya bangsawan, hidup sentiasa dalam kantung emas, usah nak berlakon seolah-olah berasal dari gubuk yang buruk. Kalau asal kehidupannya sejak dilahirkan dah standard, kehidupan sedia mewah, tiada salahnya. Teruskan sajalah, tidak perlu hendak dibuat-buat.

Lebih baik Najib jadi dirinya sendiri. Usah jadi macam artis yang boleh melakonkan apa sahaja watak. Berlakon jadi tok guru membaca tazkirah pun boleh, berlakon jadi kasanova sambil meneguk 'air kencing syaitan' di kelab malam pun boleh. Pengampu-pengampu Najib pun satu hal. Tak usahlah nak malukan PM kita, kononnya PM berjiwa rakyat, sanggup makan nasi sepinggan RM4.00, kononnya Restoran 1Malaysia, begitu hebat menawarkan hidangan yang murah untuk rakyat.

Dalam sekelip mata rakyat dapat membuktikan, harga makanan yang dimakan Najib, seperti yang dihebohkan tok-tok dalang media pencacai bukannya RM4.00 tapi RM6.00 sepinggan. Minggu lepas, semasa lawatannya ke Restoran Ukhwah, di Kuala Lumpur yang dikatakan menawarkan Menu Rakyat, Najib menjamah sepinggan nasi, dua ketul ayam, sepotong daging goreng, tauge, dan poppadom. Diriuhkan 1Malaysia bahawa harga sepinggan hidangan Najib itu RM4.00, malah ada media pengampu cuba hendak murahkan lagi dengan harga RM3.50.

Tembelang dan pembohongan Umno-BN terbongkar, dibuktikan apabila staf Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dihantar ke Restoran Ukhwah, mengambil lauk yang sama dengan Najib, dicaj dengan harga RM6.00. Apabila didedahkan dalam media, Menteri Pengguna, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob terkial-kial mempertahankan Menu Rakyat 1Malaysia, selepas promosinya untuk menaik dan mengampu Najib, jadi backfire kepada Umno-BN.

"Ketika itu ada beberapa lauk seperti ayam masak merah, ayam masak kicap dan daging, jadi PM hendak rasa kualiti lauk tersebut.

"Secara asasnya menu nasi putih, sejenis lauk dan segelas air memang RM4.00, malah ada yang lebih murah. Apabila kita ambil lebih daripada apa yang ditawarkan dalam menu, maka kita perlulah bayar lebih," kata beliau memberi alasan.

Namun, Ismail tidak mampu menjawab mengapa Najib hanya membayar RM4.00 untuk hidangan berkenaan. Kalau dah tau harganya memang bukan RM4.00, buat apa Ismail Sabri nak biarkan media pengampu membohongi rakyat? Ataupun Ismail Sabri memang kaki kelentong, sehingga memalukan bosnya sendiri.

Itulah hebat Umno-BN ini, punya lah nak menunjukkan pemimpin yang berjiwa rakyat, sampai menggunakan cara yang paling bodoh dan memalukan. Nanti orang akan balas balik pada Najib, nanti rakyat akan kata, buat apa hendak menunjuk-nunjuk makan nasi RM4.00 sepinggan, sedangkan perbelanjaan mewah PM, isteri dan keluarga menelan belanja berjutajuta ringgit?

Macam mana Najib hendak jawab, pengubahsuaian rumah mewah Seri Perdana yang menelan kos berpuluh juta wang rakyat, dibandingkan ubahsuai rumah Tok Guru hanyalah beratap zink dan berdinding separuh kayu? Apa Najib hendak beri alasan, jika rakyat mempersoalkan harga beg-beg tangan Rosmah, pelbagai fesyen, pelbagai jenama mewah, sehingga menelan belanja jutaan ringgit?

Apakah tidak dinamakan mewah, berbelanja jutaan ringgit untuk majlis pertunangan anak di Kazakhztan? Duduk di hotel mewah di Dubai dengan harga mencecah RM100 ribu satu malam? Bercuti dengan menggunakan perbelanjaan kerajaan di Perth? Jika anda memang jenis hidup mewah dan membazir, usahlah berlakon kononnya susah macam rakyat kebanyakan, kononnya menjiwai perasaan dan kehidupan rakyat miskin.

Sedar dirilah, usahlah Najib berlakon hendak jadi tawaduk macam Tok Guru. Usah jadi bahan gelak ketawa rakyat. Rakyat pun dah muak dengan lakonan tidak menjadi ini.
To Najib, please be yourself. ini. (Diangkat dari Harakahdaily.net)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Tok Guru Nik Aziz pernah berkata, '..walau sedap dan mahal mana pun makanan yang kamu makan, kamu tidak boleh makan lebih dari hadnya. Yang akhirnya makanan itu jadi najis dibuang ditandas.'

Jadi dimanakah nilainya makanan, yang hasilnya boleh dibwa ke akhirat? Atau wang lebihan yang dibazirkan melalui makanan mewah itu dinafkahkan umtuk fakirmiskin yang melarat?

Kredit : Ibnu Hasyim

Murtad Di Malaysia: Apa Kata Presiden PAS ?

Oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang



Murtad: Kemana Arah Sasarannya.


SATU himpunan besar dikerah bagi menangani gejala murtad yang berlaku dalam masyarakat Islam di Malaysia. Kepada siapa ditujukan sekiranya ia adalah bantahan? Apakah pendekatan dan uslub yang akan diambil? Dua perkara ini perlu dilihat dan difahami sedalam-dalamnya, supaya kerja yang berjenama Islam mengikut landasannya yang sebenar dan menepati kebijaksanaan yang ditunjuk oleh Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.


Kecintaan kepada Islam adalah wajib, sebagaimana mempertahankannya juga adalah wajib. Perlu difahami bahawa setiap langkah hendaklah berlandaskan mesej yang istiqamah. Bukan sahaja berjaya mempertahankan Islam dan memelihara iman yang ada dalam diri dan penganutnya, dalam masa yang sama berjaya menyampaikan dakwah kepada bukan Islam yang menjadi sasaran dakwah Islamiyyah.

Perlu diambil iktibar, mengapa generasi awal Islam yang menghukum dengan keras terhadap orang Islam yang murtad, dalam masa yang sama menarik orang lain masuk Islam beribu kali ganda tanpa paksaan. Ini kerana Islam mengharamkan paksaan terhadap penganut agama lain. Mengapa pula dizaman kita ini diwarwarkan ramai yang murtad sehingga membimbangkan dan diberitakan terlalu berkurangan orang yang berminat kepada Islam. Kalau ada sekalipun kelihatan berkeliaran menunjukkan lesen mengemis daripada Jabatan Agama. Sedangkan dizaman keemasan pemerintahan Islam, orang yang baru menganut Islam boleh memegang jawatan tinggi dalam negara dan ada yang menjadi ketua negara. Malah ada yang menjadi ulama dan ilmuan terbilang yang membina Hadarah Islamiyyah (Tamadun Islam) bukan Islam Hadari yang sudah hampir lenyap suaranya.

Satu masa yang masih dekat berlalunya, ada seorang hamba Allah berjawatan Mufti, mewarwarkan ribuan orang melayu menjadi murtad dan masuk agama kristian dan hindu. Sehingga ada orang yang dipanggil polis dan mufti itu juga dipanggil polis untuk disoal siasat. Namun beritanya hilang entah ke mana, entah diletak dibawah karpet atau di mana failnya. Wallahu’alam, terserah kepada pihak yang berkenaan sama ada ia berita benar atau provokasi yang sengaja dicetuskan.

Media Islam antarabangsa melaporkan perkembangan pesat Islam di Eropah, Amerika, Asia Tengah dan Afrika. Di England sahaja mereka yang baru masuk Islam mencecah setengah juta orang dalam masa terdekat yang kebanyakannya kalangan terpelajar. Tiba-tiba masyarakat Islam di-Malaysia dilanda taufan murtad.

Kesalahan Murtad dimasukkan dalam perundangan Islam, dalam bahagian hukum jenayah berat. Adapun pendekatannya ditujukan kepada penganut Islam sahaja, tanpa disasarkan kepada penganut agama lain yang berada dalam masyarakat majmuk bersama masyarakat Islam. Orang Islam sendiri yang disalahkan sekiranya berlaku murtad, sama ada individu yang murtad atau kerajaan yang lemah dengan pegangan Islamnya dan tidak adil terhadap rakyatnya kerana tidak beramal dengan hukum-hukum Islam dan akhlaknya yang mulia. Ada pun kalangan bukan Islam diajak berdailog secara ilmiah dan dibuktikan beramal dengan akhlak Islam dan hukumnya yang adil. Inilah nas Al Quran dan Hadith.

Para ulama sqidah dan Syariat menyatakan kepada umat Islam secara fardu Ain, bahawa batas-batas Iman dan Kufur, serta menegaskan takrif murtad apabila seseorang itu melakukan apa sahaja yang ,membatalkan Iman dan Islamnya atau membatalkan dua kalimah Syahadah secara ilmu dan yakin tanpa paksaan. Murtad itu bukan sahaja menganut agama yang lain daripada Islam, tetapi murtad juga berlaku walaupun tidak menganut apa-apa agama, atau menganut sebahagian ajaran Islam sahaja, iaitu dengan tidak percaya kepada mana-mana ajaran Islam atau menghinanya, sama ada perkara rukun atau wajib dan sunat atau halal dan haram. atau harus. Murtad juga boleh berlaku dengan mempersenda-sendakannya secara ucapan, tulisan, kartun, lakunan drama dan sebagainya.

Adakah umat Islam hari ini diajar batas-batas Iman dan kufur dan perkara –perkara yang membatalkan dua kalimah syahadah? Atau sekadar mempelajari batal sembahayang puasa sahaja. Ini menunjukkan kejahilan boleh menempah murtad walau pun boleh dimaafkan kerana kejahilannya.

Rasulullah S.A.W. mengajar bangsa dan keluarganya batas sempadan diantara iman dan kufur, dan sempadan kasih kepada Islam, bangsa dan keluarga. Walaupun semuanya wajib dicintai. Tetapi aqidah Islam asas kepada selamatnya keluarga dan bangsa. Sehingga kaumnya menyedari bahawa selamatnya arab dengan Islam, bukan selamat Islam dengan arab, sehingga melahirkan bangsa arab yang berpegang dengan Islam tidak berlaku zalim terhadap kaum lain. Slogan ‘Selamat Melayu Maka Selamat Islam’ menandakan masih kabur kefahaman terhadap batas-batas iman dan kufur.

Seluruh kajian orentalis yang dicatatkan menegaskan terlalu sedikit mereka mencapai kejayaan memurtadkan orang Islam sepanjang zaman penjajah, hanya segelintir sahaja penganut Islam yang berjaya dimurtad meninggalkan agama Islam. Maka dirancang melalui serangan pemikiran untuk memurtadkan umat Islam daripada mana-mana ajaran Islam melalui pendidikan, media dan budaya nafsu yang melalaikan. Bukan melalui cara meninggalkan agama Islam dan masuk agama lain, tetapi melakukan kesalahan murtad dalam keadaan masih merasakan dirinya menganut Islam.

Apabila munculnya Kamal Atarturk yang dianggap bapa Turki Moden, dengan melaksanakan sekulerisme yang memisahkan politik daripada agama Islam saperti yang dimaktubkan dalam kitab Injil Mathew, tampil dengan gagah berani seorang tokoh besar Ulama Turki Shaikh Mustafa Sobri, yang pernah menjadi Shaikhul Islam kepada kerajaan Othmaniyyah. Beliau menegaskan dalam buku yang dikarangnya : “Bahawa teori sekulerisme yang memisahkan politik (urusan pemerintahan negara daripada agama Islam) adalah jalan pintas paling terdekat menuju kearah murtad. Fatwa ini dikuatkan oleh Al Marhum Mufti Arab Saudi Shaikh Abdul Aziz bin Baz dan Pengerusi Persatuan Ulama Antarabangsa Dr Yusuf Al Qardawi yang diberi tokoh Maal Hijrah oleh kerajaan Malaysia.

PAS ingin mengambil contoh para Sahabat R.A. dan generasi awal umat Islam yang meneruskan perjalanan dakwah Rasulullah S.A.W. dalam menghadapi peristiwa murtad yang paling mencabar dalam seluruh sejarah Islam, dengan kejayaan mengambalikan semula ratusan ribu mereka yang murtad kepada Islam dan ramai kalangan selepas murtad berjaya menegakkan Islam sehingga menumbangkan kuasa besar Parsi yang zalim.
PAS tidak bersedia bangkit laksana keluar beramai-ramai untuk menangkap hanya segelintir pencuri yang berjaya melepaskan diri, dengan cara pencuri berada sama dikalangan orang ramai yang memburunya, sama-sama meneriakkan : Pencuri! Pencuri! Akhirnya pencuri hilang bersama suara laungan yang berkumandang.

PAS tetap mengambil kira jasa Al Marhum Tunku Abdul Rahaman yang menubuhkan Perkim dan berjaya mengIslamkan tokoh-tokoh besar dizamannya tanpa huru-hara, dan memerhati kalangan mereka yang gagal meneruskan perjuangannya dan Perkim hilang entah dimana. PAS juga mengambil kira kejayaan Al Marhum Tun Datu Mustafa yang berjaya mengIslamkan ribuan rakyat Sabah dengan pertubuhan USIA nya, dan memerhati mereka yang lupakan tugas dakwah susulan kerana ditindih oleh kayu-kayu balak di Sabah dan Serawak .

PAS memilih uslub menyampaikan mesej Islam dengan konsep yang ditunjukkan oleh Al Quran dan Rasulullah S.A.W. dengan cara memantapkan aqidah umat Islam sendiri secara istiqamah yang menghalang murtad dengan ilmu dan syariat yang tegas dan adil, menghukum penganut Islam, dan menyampaikan dakwah kepada pihak lain tanpa paksaan dengan uslub hiwar antara agama dan tamadun, serta berhujah dengan ilmu dan amal Islam yang adil dan sempurna.

Kredit : Ibnu Hasyim

Ahad, 16 Oktober 2011

Mempersendakan Hal Agama Dan Hudud


Baik Betul Najib Bagi Krusus Kepada Warga Asing, Kenapa Tak Panggil Semua Negara...!!!


Apa dah jadi dengan negara ini? Bagaimana warga asing seramai 240 orang boleh diberikankursus keusahawanan?

Apa tujuan warga asing ini diberi kursus keusahawanan dalam keadaan rakyat sendiri masih ramai yang menganggur masih ramai siswazah yang belum mendapat pekerjaan.

Apa tujuan kursus keusahawanan ini diberikan kepada warga asing? Adakah kerajaan mahu warga asing menjadi usahawan di negara ini? Kenapa tak utamakan rakyat sendiri?

Jawapan Ketua Polis Daerah Sepang seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian ini membuktikan wujudnya kursus keusahawanan untuk warga asing.


Tak hairanlah begitu banyak warga asing boleh dilihat berniaga di negara ini dan mengaut kekayaan negara. Bukan niat ReJaM© menghalang mereka mencari rezeki yang halal, persoalannya mengapa tidak diutamakan rakyat sendiri? SUMBER

Rabu, 5 Oktober 2011

Isa Samad Mula Kelabu Mata Dengan RM Felda.

Harakahdaily   
TEMERLOH, 5 Okt: PAS mendesak Jabatan Pembangunan Koperasi menyiasat Tan Sri Isa Samad di atas tindakan melantik dirinya sendiri sebagai Pengerusi Permodalan Felda Berhad (KPF) tanpa melalui mesyuarat agung sebagaimana peruntukan undang-undang koperasi.

Perlantikan ini bertentangan dengan Akta, Peraturan dan Undang-undang Kecil Koperasi kerana perlantikan itu sepatutnya dibuat dalam mesyuarat agung dan bukannya dalam mesyuarat lembaga.

Demikian kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya hari ini.

Beliau dipercayai mengulas laporan langkah Isa melantik dirinya sebagai Pengerusi KPF, sebuah koperasi yang dimiliki oleh peneroka dan kakitangan Felda.

"KPF ini adalah milik peneroka dan pada pandangan mereka, kepimpinan Pengarah Besar Felda dan juga Pengerusi KPF, Datuk Dzulkifli Abd Wahad tidak perlu ditukar kerana sepanjang pimpinannya, KPF tidak pernah rugi bahkan berjaya memberikan dividen hingga 15 peratus tahun lalu," kata Tuan Ibrahim dalam kenyataannya.

Selain itu, tahun lalu, KPF telah dipilih antara 10 koperasi cemerlang di negara ini apabila menerima Anugerah Koperasi Cemerlang (Kluster Besar) 2011.

KPF adalah sumber kewangan utama bagi kakitangan dan peneroka Felda selain gaji dan pendapatan mereka sebagai peneroka.

Hanya peneroka dan kakitangan Felda sahaja boleh menjadi ahli KPF.

"Oleh itu, Isa yang hanya dilantik untuk jangka waktu tertentu sahaja dan bukan kakitangan semestinya tidak layak jadi ahli," kata beliau.

Menurut Tuan Ibrahim (gambar bawah) yang tinggal di kawasan Felda Jengka, Pahang, yang menyayatkan hati warga dan kakitangan Felda sekarang ialah bilamana beliau yang bukan ahli KPF, telah secara tidak segan-silu melakukan perlantikan diri-sendiri untuk menerajui KPF.

Ia pula dibuat berdasarkan satu surat sokongan dari Perdana Menteri dalam satu mesyuarat lembaga penghujung Ramadhan lalu.

Lebih menghinakan bagi warga dan kakitangan Felda, katanya, ialah perlantikan tersebut dikatakan berlaku ketika Datuk Dzulkifli tidak ada dalam negeri.

"Tindakan ini mencerminkan sikap sebenar pengerusi baru Felda ini  yang terang-terang tidak menghormati kepimpinan koperasi Felda yang sedia ada sehingga menimbulkan bantahan daripada ahli-ahli KPF," katanya.
Bagi beliau, walaupun kurang setahun Isa menjawat jawatan Pengerusi Felda, banyak keputusan yang membinggungkan warga dan kakitangan pengurusan Felda telah dibuat.

Antaranya:

1. Pinjaman RM6 billion daripada KWSP untuk tujuan yang tidak diketahui sehingga kini. Pada masa yang sama, Timbalan Menteri Ahmad Maslan bermati-matian mempertahankan dakwaan Felda stabil dan mempunyai aset RM19 bilion.

2. Pencagaran keseluruhan tanah Felda Plantation kepada kumpulan pelaburannya, Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) selama 60 tahun ketika Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab tiada kerana menunaikan umrah.

Dan kini, beliau telah mencetuskan satu lagi kontroversi dengan melantik dirinya sebagai Pengerusi KPF.

"Peneroka dan kakitangan Felda kini mula bimbang dengan masa depan KPF kerana ia bakal diuruskan oleh seorang pemimpin Umno, yang Umno sendiri pernah menghukumnya kerana terlibat dalam politik wang suatu masa dulu," katanya.

Sehubungan itu, katanya, demi masa depan KPF, ahli-ahli KPF perlu bersama PAS dan Pakatan Rakyat dalam mendesak Jabatan Pembangunan Koperasi untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Isa Samad kerana telah melanggar akta koperasi dalam perlantikan tersebut.

RM9 juta sewa pesawat khas bawa Najib bercuti

RM9 juta sewa pesawat khas bawa Najib bercuti

Isnin, 3 Oktober 2011

Istana Baru RM 800 Juta, Rakyat Juga Yang Terpaksa Menanggungnya.


Korang tahu kan di malaysia neh ada banyak bangunan2 lama dan bersejarah. Dan bangunan2 neh di pulihara supaya boleh terus digunakan. Tapi ini berbeza untuk istana negara. Lagi satu, aku tatau larh tapi setahu aku satu2 bangunan yang dibina memang boleh dipakai lama dan sampai bila2 asalkan ia diselenggara dengan baik dan tidak runtuh. 

Hiasan dalaman boleh ditukar bila2 ikut kemodenan dan keperluan. Keluasan pun boleh ditambah ikut kesesuaian. Tak semestinya ia kena lebar, tambahan ruang boleh dibuat melalui ketinggian juga.  

Ala kalau korang ada rumah dan ia dah uzur, sudah tentu korang akan cari jalan untuk repair rumah korang kan? Renovate sana sini untuk jadi cantik dan luas kan? Takan korang expect rumah korang ada tempoh usia tertentu betul tak? Mesti korang fikir ia akan diwarisi oleh anak2 korang sambil2 ia akan diperbaiki dari semasa ke semasa ikut keperluan.

Tapi benda tue berbeza sket untuk istana kita. Istana negara sekarang neh dikhabarkan, sudah uzur. Itu pasal istana baru dibina. Konon nya dah tak relevant pulihara istana negara sekarang. Hahaha.. aku tatau andai itu boleh di anggap sebagai alasan.

Kos asal pembinaan istana baru neh ialah 400juta. Selepas itu 600juta. Dan kini ia 800juta. Samada ia akan jadi 1billion atau tidak, sama2 kita nanti. Di sini sebahagian dari gambar2 istana baru yang dah siap dengan perabot. Sila lihat sambil menangis. 

Sila lihat sambil memikirkan ramai lagi rakyat malaysia yang tiada rumah, hutang berlambak, penuh masalah, barang naik, kerja kurang, kerja tak setimpal gaji, gaji tak cukup makan, loan susah nak approved bagi memperluaskan perniagaan, loan hanya pada kroni, bantuan berbias, faedah pinjaman untuk pelajar, nak belajar pun kena hutang, jurang kehidupan kaya dan miskin, yang kaya selalu hina orang miskin, karenah biokrasi, dan macam2 lagi larh masalah rakyat kebanyakkan macam kita hadapi. 

Sila fikir tentang itu apabila korang lihat gambar2 di bawah neh.
Gambar ada banyak. Aku upload sikit dulu. Aku akan tambah dari masa ke semasa. Tenkiu sebab email gambar neh kepada aku. Aku hayati gambar neh sambil menangis. Beginilah nasib rakyat biasa macam aku dapat. Hanya dapat melihat kekayaan negara diberikan kepada orang yang memang sedia kaya. Haizhh... 

Kredit: AmenoWorld.

Ahad, 2 Oktober 2011

Selepas Gunung, Tanah Rezab Melayu, Umno Jual Pulau Pula. Selepas Ini Apa pula Yang Akan Dijual Oleh Umno.



Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS), kelmarin telah menghantar memorandum kepada Datuk Seri Musa Aman yang juga Ketua Menteri Sabah berhubung bantahan terhadap isu penjualan Pulau Mentukod, Mengalum dan Pandanan sebagaimana yang didedahkan akhbar tempatan baru-baru ini.

Memorandum diserahkan sendiri oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Lahirul Latigu kepada wakil Setiausaha Politik Ketua Menteri, Noorlaimah Marjan yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Penyerahan dilakukan di Pejabat Setiausaha Politik Ketua Menteri, Wisma Innoprise.

Dalam memorandum yang diserahkan, DPPNS mengalu-alukan kenyataan balas yang dikemukakan oleh Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Datuk Osman Jamal berkaitan isu penjualan pulau tersebut.

"DPPNS berpendapat kenyataan tersebut masih kabur tentang perihal hak dan khazanah negeri Sabah agar terus terpelihara.

"Timbul persoalan, bagaimana dengan mudahnya berlaku pertukaran tanah atau land swap antara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dengan pemaju yang hanya dikenali sebagai Wisma Pertanian terhadap Pulau Mengalum sedangkan ianya terletak di Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) yang sedia maklum sangat bernilai dan menjadi tarikan pelancong,” kata Lahirul.

Tambah Lahirul, transaksi ini sebenarnya telah menyebabkan kerajaan kerugian jutaan ringgit di samping kehilangan khazanah bernilai buat Malaysia amnya dan negeri Sabah khususnya.

Beliau juga turut menggesa agar kerajaan negeri Sabah di bawah kepimpinan Barisan Nasional agar menyatakan dengan jelas mengenai siapakah Syarikat Pemaju Wisma Pertanian dan individu yang bertanggungjawab di sebalik syarikat tersebut.

"Nyatakan siapakah individu terbabit dan jika urusniaga tersebut dibuat tanpa autoriti pihak terbabit, maka ini boleh dianggap sebagai pencabulan terhadap hak pulau tersebut.

"Perjelaskan juga, bagaimanakah Pulau Montukod dan Pandanan yang berstatus Native Title (NT) boleh dijual di pasaran antarabangsa sedangkan kebenaran (pulau-pulau berkenaan) hanya untuk aktiviti pertanian,” tegas beliau.

DPPNS juga, katanya mempersoalkan mengenai status penganugerahan pulau tersebut yang telah dilakukan pada sebelum ini daripada kerajaan Barisan Nasional.

“Apa tindakan yang perlu dilakukan untuk memastikan kepentingan hak bersama terjaga?

"Sekiranya Jabatan Tanah dan Ukur boleh menguatkuasakan Seksyen 42, Ordinan Tanah Sabah, Bab 8 bagi merampas hak Tanah Adat terhadap penduduk-penduduk kampong dipedalaman, maka ia juga sepatutnya mampu untuk menguatkuasakan undang-undang yang berada di ruang lingkup yang sama bagi menjaga kepetingan rakyat Sabah secara keseluruhannya.

"Adalah memalukan jika pulau yang memiliki ratusan hektar, yang mempunyai kepentingan maritime dan kedaulatan Negara dibiarkan sahaja terlepas kepada pihak asing tanpa ada tindakan prerogative dan bersungguh-sungguh pihak kerajaan mempertahankannya.

"DPPNS mengulangi pendirian agar pihak kerajaan menghalang penjualan pulau-pulau tersebut memandangkan ia akan mendatangkan banyak kerugian terutama kepada khazanah berharga yang menjadi hak kepada seluruh rakyat Sabah," katanya.

Turut mengiringi adalah Ketua AMK Sabah Saudara Jefri Jomion bersama AMK Sabah, wakil Pemuda DAP (DAPSY) Sabah di samping Pemuda Pas dan penyokong. HarakahDaily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular