Translate

Senarai Blog Saya

Rabu, 30 November 2011

Krisis Felda: Singkir Saja Isa.

Khairil Abdul Rahim.

Apabila Tan Sri Isa Samad bertegas beliau tidak akan sekali-kali meminta maaf kepada Ketua Peneroka Felda Kebangsaan Shamsuddin Othman yang mendakwa Pengerusi Felda itu telah menghina beliau, maka bermulalah satu episod hitam dalam sejarah Felda.


Belum pernah berlaku cabar mencabar dan suasana ‘panas’ di antara komuniti peneroka dengan pengurusan tertinggi Felda, sehinggalah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang pernah digantung keahlian kerana kesalahan rasuah politik Umno itu dilantik menjadi Pengerusi  Felda pada 1 Januari 2011 menggantikan Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor. 



Shamsudin, 59, yang juga Naib Pengerusi Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) Wilayah Johor Bahru, merupakan satu-satunya wakil peneroka yang berada dalam Ahli Lembaga Pengarah Felda.


Sebelum ini beliau yang dikenali di kalangan peneroka dengan panggilan Pak Sam, dalam satu sidang akhbar bersama (JKPP) dan Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda, telah memberi tempoh 14 hari kepada Isa supaya memohon maaf secara terbuka ekoran dakwaan mengeluarkan kenyataan menghina peneroka atau menghadapi tindakan saman.

Isa didakwa mengeluarkan kenyataan seperti "jika budak kecil, saya dah lempang", "munafik", "pembohong", "penipu" dan "jika saya jumpa saya akan lutu (ketuk) dia".

Kata-kata yang dianggap menghina warga peneroka itu didakwa diucapkan Isa semasa sesi penerangan kepada perwakilan koperasi peneroka di Melang Inn, Kuala Pilah bagi peneroka-peneroka Felda Wilayah Raja Alias pada 12 November lalu. Sementara klip video ucapan Isa itu tersebar luas di internet.

‘Konfrontasi’ antara peneroka dengan Pengerusi Felda bermula apabila Isa dilantik secara kontroversi menjadi Pengerusi Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) dengan mengenepikan Pengarah Besar Felda, Datuk Zulkifli Wahab (Datuk Zul). Hasilnya, dikatakan kepimpinan Felda terpecah dua kepada dua kelompok.

Menurut edaran media Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Isa sebenarnya tidak layak menjadi ahli KPF dan keahliannya di dalam KPF adalah bertentangan dengan undang-undang disebabkan jawatan beliau sebagai Pengerusi KPF adalah hanya bertaraf kontrak sedangkan Undang-Undang Kecil KPF mensyaratkan bahawa mereka yang layak menjadi ahli KPF ialah peneroka Felda, isteri dan anak-anak dan juga kakitangan Felda yang berstatus tetap. 

Akan tetapi yang menjadi kehairanan semua ialah apabila pada 23 Jun 2011 (sehari sebelum Mesyuarat Agung KPF bagi tahun 2011) beliau tiba-tiba telah menjadi ahli KPF.

Sudahlah begitu, tidak sampai dua bulan selepas menjadi ahli KPF, Ketua Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri (PM) iaitu Datuk Aziz telah menulis surat bertarikh 15 Ogos 2011 kepada Isa memaklumkan bahawa PM telah bersetuju supaya Isa dilantik sebagai Pengerusi KPF yang baru dengan mengenepikan begitu sahaja Datuk Zul, yang belumpun sampai dua bulan disahkan pelantikannya sebagai Pengerusi KPF dalam mesyuarat agung.

KPF sememangnya dilihat sebagai ‘lombong emas’. Sebagai sebuah koperasi terkaya di Malaysia maka tidak hairanlah KPF menjadi sasaran rebutan. Setakat ini, keahliaan KPF telah mencecah 220,210 orang ahli dengan 193,506 orang ahlinya iaitu sekitar 87.9% adalah dari kalangan peneroka Felda, ahli keluarga dan generasi kedua.

Berbalik kepada konfrontasi antara peneroka dengan Isa, pertembungan memuncak apabila Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan bajet pada 7 Oktober lalu mengumumkan Felda akan disenaraikan dalam bursa saham melalui Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH).

Pada masa ini, kepentingan dan hak seramai 220,210 orang peneroka, anggota keluarga peneroka, generasi kedua dan kakitangan Felda mempunyai pegangan ekuiti sebanyak 51% di dalam Felda Holding Berhad (FHB) yang dipegang melalui KPF. Manakala baki pegangan sebanyak 49% di dalam FHB adalah dipegang oleh FGVH yang dimiliki 100% oleh Felda.

Selama ini FHB dianggap sebuah syarikat yang maju dan berdaya saing. Pada tahun 2009 sahaja, FHB yang menumpukan perniagaannya di dalam negara melalui 47 anak-anak syarikatnya yang aktif telah mencatat perolehan sebanyak RM11.8 bilion dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM804.3 juta.

Hasil daripada dividen dan bonus yang dibayar FHB itu telah membolehkan KPF, selaku pemegang saham majoriti di dalam FHB (51%), merekodkan perolehan sebanyak RM15.64 bilion pada tahun kewangan berakhir 2010 dan juga keuntungan sebelum cukai sebanyak RM766,660 juta. Kejayaan ini melayakkan KPF dianugerahkan sebagai Koperasi Terbaik Negara 2010 (kategori kluster besar).

Dalam struktur baru selepas penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia, KPF akan melepaskan kepentingan sebanyak 51% di dalam FHB di mana nanti FHB dan seluruh komponennya akan diletakkan di bawah FGVH dan KPF akan memegang kepentingan sebanyak 60% bagi mewakili para peneroka dan kakitangan FELDA.

Kes ini samalah dengan syarikat yang rugi dan lemah boleh ‘menelan’ sebuah syarikat yang maju dan terbukti profitability’nya. Jika FHB selama ini mempunyai track record yang baik, tetapi lain pula dengan FGVH yang menjalankan perniagaan dan pelaburan di luar negara yang mana pencapaiannya begitu mengecewa dan memalukan.

Inilah punca sebenarnya yang membuatkan peneroka mulai menentang keputusan Felda!

Shamsuddin sendiri, berkata penghinaan oleh Isa terhadapnya itu dipercayai ada kaitan dengan tindakannya yang mempersoal perolehan Felda yang hanya akan mendapat RM500 juta setahun selepas memajak 360,000 tanah kepada FGVH untuk disenaraikan ke bursa saham nanti.
Bagi Naib Presiden Anak, Aris Fezul Ismail, beliau melihat kes ‘Isa lawan Pak Sam’ ini ialah pertembungan antara dua kepentingan iaitu antara kepentingan ‘kroni’ dengan kepentingan peneroka kerana Pak Sam mewakili seluruh warga peneroka.

“Dalam hal ini, kerajaan sepatutnya mendengar suara peneroka dan kebimbangan dan protes oleh Pak Sam ada asasnya kerana rekod FGVH selama ini tidak baik menyebabkan seluruh perniagaannya rugi hampir RM500 juta.

“Kerajaan mesti lakukan sesuatu kerana jika dibiarkan persengketaan antara Isa dengan Pak Sam yang mendapat sokongan padu peneroka ini dibiarkan berlarutan, perjalanan Felda sendiri dikhuatiri boleh pincang,” katanya yang juga anak peneroka Felda Jengka 16.

Bagi Pengarah Task Force Felda PAS Pahang, Yohanis Ahmad pula, jalan terbaik untuk memelihara keharmonian warga Felda ialah kerajaan memecat sahaja Isa daripada semua jawatannya dalam Felda.

“Kita kena ingat Isa hanya seorang ahli poilitik yang dilantik secara kontrak sedangkan Pak Sam mendapat sokongan padu daripada peneroka dan keluarga mereka yang berjumlah kira-kira sejuta orang.

“Sepatutnya kena tengok mana yang lebih ramai. Lagipun kerajaan kena ingat, pelantikan Isa sebagai Pengerusi Felda dulupun dipertikaikan secara terbuka oleh dua orang tokoh terkemuka ekonomi iaitu Prof Dr Zainal Aznam (Penasihat Bank Negara dan Ahli MTEN) dan juga Datuk Tengku Zafrul Tengku Aziz (CEO Maybank Investment).HarakahDaily

PRU13: Apa Maksud Najib 'Luar Biasa'.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) merasa terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya jentera Umno bersiap sedia menghadapi Pilihan raya Umum ke-13 yang disifatkan sebagai ‘luar biasa’ dengan tindakan ‘luar biasa’.
Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, DPP Malaysia menganggap kenyataan Datuk Seri Najib sebagai bahaya kerana boleh disalah tafsir oleh pelbagai pihak, memandangkan beliau adalah Perdana Menteri dan mempunyai kuasa di negara ini.

“DPP Malaysia hairan, bagaimana ungkapan sedemikian boleh keluar dari mulut Perdana Menteri Malaysia,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Menurutnya, walaupun ia diucapkan terhadap jentera dalaman Umno, namun ia sudah menjadi berita yang semua rakyat membaca dengan pelbagai persepsi.
Bagi sesetengah pihak, ujarnya ucapan Najib boleh memberi makna akan berlaku sesuatu yang buruk terhadap rakyat dan negara.
Justeru, katanya DPP Malaysia mempersoalkan, apakah PM sudah meramalkan sesuatu yang luar dari kebiasaan akan berlaku dalam PRU ke 13 kali ini.
“Mungkinkah akan berlaku insiden-insiden buruk dalam PRU ke 13 nanti?” tanya beliau lagi.
Bagi DPP Malaysia, ujarnya ucapan itu tidak sepatutnya keluar dari mulut Perdana Menteri, seakan-akan mengejutkan serta memakutkan rakyat.
Sepatutnya, beliau berkata Najib menenangkan rakyat dengan jaminan PRU ke 13 adalah PRU yang terbaik, paling aman, serta berlangsung dalam suasana penuh demokrasi.
Untuk itu, tambahnya DPP Malaysia telah sedia mempersiapkan jentera pemuda PAS diseluruh peringkat juga dengan persiapan ‘luar biasa’.
“Kali ini seluruh jentera pemuda PAS diingatkan supaya bersedia menghadapi apa juga serangan yang bakal dilakukan oleh Umno BN dalam pelbagai bentuk,” ujarnya.
Menurutnya, sudah 12 kali PRU dihadapi, dan sudah acap kali juga serangan bertali arus dikenakan terhadap jentera PAS khususnya pemuda PAS di seluruh negara.
Malah, ujarnya pemuda PAS pernah dipukul seperti di Pilihan Raya Kecil Ijok, Bagan Pinang dan lain-lain lagi.
Tambahan pula, katanya PRU ke 13 nanti akan berlangsung dalam suasana sistem pilihan raya yang masih tempang dan pincang dan dalam keadaan demokrasi yang kontang dari kebenaran.
Justeru, katanya tidak hairanlah jika berlaku sekali lagi manipulasi undi, undi pos yang meningkat mendadak, pengundi hantu yang kembali turun mengundi, beli undi, rasuah pilihanraya, rakyat negara asing yang turun mengundi, fitnah melalui media, akses media yang berat sebelah dan lain-lain lagi.
“Semua insiden ini pernah berlaku sebelum ini dan tidak mustahil akan berlaku lagi nanti.
“Insya Allah, DPP Malaysia telah mempersiapkan mental kesemua petugas dengan kesemua kemungkinan sesuatu yang ‘luar biasa’ yang akan berlaku,” katanya lagi.
Beliau menambah, PRU 13 adalah masa terbaik untuk menukar kerajaan yang sudah tamat tempoh.
“Selamatkan Malaysia dari pemimpin yang korup, rasuah dan mementingkan diri sendiri,” katanya.HarakahDaily

Salahuddin: Muhyiddin Buktikan Umno Memang Tak Jujur Dan PAS Di Landasan Betul.

Serangan terbuka tidak berasas Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap PAS malam tadi membuktikan parti Islam itu berada di landasan betul apabila selama ini menolak idea kerajaan perpaduan dan kerjasama politik, kata Salahuddin Ayub.

Naib Presiden PAS ini menegaskan, kenyataan orang nombor dua Umno dan Barisan Nasional (BN) itu dengan sendirinya menggambarkan mereka tidak jujur dalam pelawaan dan ajakan berkali-kali selama ini, kecuali mahu menghancurkan Pakatan Rakyat.
“Ya, ya. Kita berada dalam landasan yang betul untuk tidak bersama dengan mereka (Umno), menolak ajakan mereka. Pendirian kami memang betul, apa yang kami sangkakan selama ini betul,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.
Salahuddin (gambar) yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata PAS memang dari “hari pertama penubuhan, lebih 50 tahun lalu tidak percaya pada Umno.”
“PAS tidak akan tertipu dan terpedaya dengan tindakan-tindakan Umno,” katanya dengan merujuk kepada keputusan PAS sejak tiga tahun secara konsisten menolak pelawaan membentuk kerajaan perpaduan bersama Umno.
Sebaliknya PAS mahu kekal bersama Pakatan Rakyat.
Idea kerajaan perpaduan muncul selepas Umno-BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan kerajaan lima negeri jatuh ke tangan parti komponen Pakatan Rakyat.
Dalam ucapan perasmian Persidangan Agung Tahunan Pemuda, Puteri dan Wanita malam tadi, Muhyiddin selaku Timbalan Presiden parti dan Timbalan Perdana Menteri berkata, PAS tidak boleh menggantikan Umno dalam memperjuangkan hak orang Melayu atas alasan “Umno tiada galang-ganti.”
Sebelum ini Umno berulang kali mengajak PAS agar membentuk kerjasama politik dan kerajaan perpaduan termasuk menyertai Barisan Nasional (BN).
“Nampaknya, apa yang berlaku hari ini bukan PAS ganti Umno seperti yang dicanang oleh mereka. PAS takkan boleh menggantikan Umno kerana Umno tiada galang-ganti.
“Yang sebenarnya berlaku ialah DAP ganti PAS. DAP bercakap mengenai Islam, PAS mengiyakan sahaja,” kata Muhyiddin.
Muhyiddin mendakwa “DAPlah yang menjadi penentu arah aliran Islam yang dibawa oleh Pakatan Pembangkang. Bukankah ini maknanya DAP menggantikan PAS?”
Sehubungan itu kata Muhyiddin, untuk menutup kegagalan mereka mempertahankan kesucian Islam, PAS mengemukakan agenda Negara Berkebajikan.
“Kini, mereka mengatakan konsep Negara Islam tidak disebut dalam al-Quran, yang ada hanyalah Negara Berkebajikan. Malang bagi PAS kerana setelah puluhan tahun memperjuangkan negara Islam, tetapi akhirnya mengatakan konsep negara Islam tiada dalam al-Quran. Maknanya, selama ini PAS membohongi umat Islam dengan perjuangan palsu mereka,” kata beliau.
Ekoran hujah dan ucapan menyerang tanpa asas itu, Salahuddin seterusnya menegaskan, beliau kini sudah hilang hormat ke atas Muhyiddin selaku orang nombor dua kerajaan pusat pimpinan Datuk Seri Najib Razak.
“Apabila saya mendengar ucapan berpeluh Muhyddin ini (malam tadi), saya sudah hilang hormat ke atas beliau sebagai seorang pemimpin, timbalan perdana menteri dan dikatakan bakal perdana menteri. Beliau tidak layak. Sepatutnya sebagai seorang pemimpin nombor dua parti, beliau seharusnya menyampaikan gagasan yang lebih besar, bukan menggunakan poin-poin yang digunakan semalam,” katanya lagi.Sumber

Selasa, 29 November 2011

Felda Bergelora: Najib Nak Terus Bela 'Biawaka Hidup'?.

Kepentingan dan hak seramai 220,210 orang peneroka, anggota keluarga peneroka, generasi kedua dan kakitangan FELDA adalah terletak di dalam pegangan ekuiti sebanyak 51% di dalam Felda Holding Berhad (FHB) yang dipegang melalui Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF). Manakala baki pegangan sebanyak 49% di dalam FHB adalah dipegang oleh FELDA Global Venture Holdings (FGVH),  yang dimiliki 100% oleh FELDA.

Perdana Menteri Datuk Seri Haji Najib Razak sewaktu membentang belanjawan negara bergegar-gegar memaklumkan bahawa peneroka bakal mendapat durian runtuh bilamana Felda akan disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur pertengahan bulan 2012 nanti.

Di bawah pentadbiran Najib, cadangan untuk menyenaraikan FGVH akan memperlihatan peneroka di bawah KPF terpaksa melepaskan 51% kepentingan mereka di FHB - yang mencatatkan keuntungan RM760 juta tahun lepas untuk duduk di bawah FGVH dan memegang 61 peratus dalam FGVH, yang anak-anak syarikat antarabangsanya telah dilaporkan kerugian RM500 juta sehingga 2010.

Bagaikan kedengaran guruh di langit dengan pengumuman Najib, maka Isa Samad yang menjadi 'key person' yang diharap menjayakan hasrat yang pernah dibantah rakyat era Tun Dr Mahathir ini terus mengisytiharkan beberapa langkah ke arah 'meruntuhkan durian' tersebut.

Antaranya memasukan dirinya menjadi pengerusi KPF, mengambilalih kesemua ladang Felda Plantation untuk dipajak selama 99 tahun, menggerakkan aset Felda di semua lot kosong dalam Felda dan pelbagai caturan lain untuk memastikan hasrat menjadikan saham Felda antara yang tertinggi apabila dilancarkan.

Namun, hasrat tersebut disedari oleh beberapa pimpinan peneroka yang terlihat ada agenda tersembunyi pihak berkepentingan dalam usaha ini. Mereka bangkit membantah bukan kerana menolak durian runtuh, tetapi demi masa depan generasi Felda, tanah milik Felda dan pendapatan peneroka yang menjadi ahli KPF.

Apa tidaknya, FGVH sebuah syarikat yang terus membuat kerugian beratus juta ringgit dan bergantung hidup pada Felda Holding Berhad (FHB) bakal ‘menelan’ telur emas peneroka, FHB di dalam struktur baru dari penstrukturan semula dan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia.

Pada minda mereka terfikir bagaimana syarikat yang rugi dan lemah boleh ‘menelan’ sebuah syarikat yang  maju dan terbukti ‘profitability’nya?

Belum reda desakan agar Isa Samad digugurkan daripada jawatan Pengerusi Felda, kini wujud pula tuntutan daripada warga Felda untuk mengetahui berapa gaji dan elaun yang dibayar kepada beliau dan ahli lembaga pengarah Felda yang ditugaskan bersungguh-sungguh ingin merampas tanah Felda Plantation untuk dipajakkan. 

Bantahan cara pentadbiran Isa Samad dalam mengurus Felda oleh beberapa pimpinan utama telah menimbulkan polemik cabar-mencabar. Terbaru, ialah tindakan menuntut permohanan maaf  dan terhadap Isa akibat penghinaan kepada pengerusi peneroka Felda Saudara Shamsuddin Othman.

Bukan itu sahaja, peneroka kini bangkit melalui Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) untuk memberikan amaran bahawa saman akan dikeluarkan jika mereka tidak diberi jaminan bertulis penyenaraian ke BSKL dapat menjamin pendapatan konsisten sepanjang tempoh pajakan tanah mereka seluas 360,000 hektar kepada FGVH dengan pelbagai syarat tidak munasabah dan jumlah nilai pajakan yang sangat kecil iaitu RM500 juta sahaja berbanding RM2 bilion yang diperolehi sekarang.

Mereka mempersoalkan mengapa mereka tidak dijemput untuk berbicara sebelum pengumuman dibuat, dan mengapa ada sesuatu yang cuba dirahsiakan daripada pengetahuan peneroka dalam usaha FGVH mengambilalih aset Felda khususnya KPF.

Senario ini membuktikan apa yang dibimbangi oleh Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) ternyata ada kebenarannya, kerana apalah makna bagi peneroka dan persatuan peneroka bilamana mereka dikesampingkan dalam sebarang agenda besar berkaitan Felda.

Hura-hara yang timbul kini nampaknya akan menyebabkan hasrat Najib untuk 'meruntuhkan durian' tidak akan menjadi kenyataan. Persoalan besar kini ialah apakah haji Najib terus bersedia memikul ' biawak hidup' yang menimbulkan kemarahan warga pengurusan dan Felda, atau adakah beliau berani untuk menyahkan Isa dari Felda. Mungkin persoalan ini bukan hanya perlu ditanya kepada Haji Najib, tetapi elok juga ditanya kepada Hajah Rosmah. HarakahDaily

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
29 November 2011

Majlis Peguam Beri Amaran Jika Kerajaan Luluskan RUU Perhimpunan Aman...!!!


Ahli-ahli Majlis Peguam berarak ke bangunan Parlimen berhubung isu Rang Undang-undang Perhimpunan Aman pagi tadi. — Foto Jack Ooi



Majlis Peguam memberi pentadbiran Najib amaran bahawa ia akan terus “mengetuk pintu Parlimen” jika Rang Undang-undang Perhimpunan Aman diluluskan tanpa perbincangan membabitkan rakyat.
Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee menggesa kerajaan mempertimbangkan rang undang-undang alternatif yang dikemukan oleh pihaknya atas alasan akta yang digubal kerajaan tidak adil dan mengenakan syarat keterlaluan.
“Majlis Peguam akan terus mengetuk pintu Parlimen jika rang undang-undang ini dijadikan akta dalam bentuk yang semasa,” kata beliau pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Lim bercakap kepada pemberita selepas mengetuai perarakan beratus peguam yang menyertai kempen Walk for Freedom anjuran Majlis Peguam sebagai petanda memproses Rang Undang-undang Perhimpunan Aman digubal pentadbiran Najib.
Beliau bersama sembilan wakil dari Majlis Peguam dibenarkan memasuki kawasan Parlimen dan kemudian ke bahagian lobi untuk menyerahkan rang undang-undang alternatif kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong dan satu surat rayuan menggesa kesemua wakil rakyat mengundi dengan bijak.
“Kami bukan antikerajaan atau propembangkang. Kami antiketidakadilan dan antiperkara yang tidak berperlembagaan.
“Kami hanya prokeadilan dan prokeluhuran undang-undang. Kami sentiasa memberi kerjasama kepada kerajaan,” kata Lim kepada Liew ketika menyerahkan memorandum kepada kerajaan.
Terdahulu, pagi tadi kwasan Taman Tasik Perdana menjadi tumpuan polis dengan beratus peguam bersiap sedia untuk berarak ke bangunan Parlimen untuk mengemukakan memorandum kepada Rang Undang-undang Perhimpunan Aman.
Polis mengisytiharkan perhimpunan itu sebagai haram.
Ketika itu Lim menggesa agar diadakan jawatankuasa pilihan khas bagi menggubal Rang Undang-undang Perhimpunan Aman.
“Kami telah dirunding oleh Peguam Negara beberapa minggu lalu mengenai Rang Undang-undang Perhimpunan Aman tetapi versi yang dibentangkan (di Parlimen) sangat berbeza,” kata Lim. Insider

Ahad, 27 November 2011

Kecaman Mahathir Dan Nurani Saifuddin.

Ahmad Lufti Othman.


Wawancara Mingguan Malaysia, Ahad lalu dengan Dr Mahathir Mohamad, mengenai persiapan Umno menjelang PRU13, sempena perhimpunan agung parti itu, bermula 29 Nov ini, dikatakan mencetuskan rasa tidak puas hati ramai pemimpin dan aktivisnya. Mingguan dan Utusan Malaysia nampaknya masih menjadikan bekas Perdana Menteri itu sebagai sumber berita utama berbanding akhbar arus perdana yang lain.

Bercakap kelemahan Umno, seperti lazimnya, Mahathir mengecam dan meletakkan sepenuh kesalahan kepada pengganti beliau, Abdullah Ahmad Badawi: "Umno sudah menjadi rosak teruk apabila Abdullah mengambil alih. Ini kerana beliau mengutamakan keluarganya dan macam-macam lagi pertuduhan rasuah. Lepas itu orang tahu tentang penglibatan menantunya."

Bagaimanapun, Mahathir yang dilihat lebih percaya kepada Muhyiddin Yassin, turut menyindir Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Najib Razak: "Umno memerlukan banyak masa supaya ia boleh diperkuatkan. Tapi beliau pun sibuk dan tidak mempunyai masa yang cukup. Pemimpin-pemimpin Umno yang lain pula belum ada kredibiliti dan masih baru."
(Khabarnya Mahathir tidak senang dengan kegemaran Najib yang kerap melancong keluar negara).

Mahathir terus memperlekeh kemampuan pemimpin Umno, termasuk para menteri dan ketua bahagian, yang disifatkannya gagal menjawab serangan pembangkang khususnya mengenai rasuah dan kronisme. "Di kalangan pemimpin Umno tidak banyak yang berkaliber, tambah lagi mereka dikaitkan dengan rasuah seperti (semasa) bertanding untuk Ahli Majlis Tertinggi," bidasnya.

Ditanya apakah orang Melayu sudah kritikal terhadap Umno, beliau menjawab: "Ini adalah soal impression bahawa Umno dipimpin orang yang korup dan orang yang ada kelayakan tidak dibenarkan masuk dan pegang jawatan. Ini adalah benar, malah kita hendak cari pemimpin dalam Umno sekarang pun susah. Di Selangor begitu ramai orang Melayu tapi hendak cari pemimpin cukup susah ..."

Segera saya teringat buku Reformasi Pembiayaan Politik di Malaysia, terbitan tahun 2010, yang dihasilkan sekumpulan pengkaji Transparency International. Mahathir merupakan salah seorang yang diwawancara. Beliau dipetik sebagai berkata: "Hakikatnya setiap orang yang dilantik ke jawatan Majlis Tertinggi Umno dalam tahun 2009 memang kerana mereka menggunakan wang. Jadi bolehlah anda mengatakan bahawa jawatankuasa pusat Umno sebenarnya terdiri daripada orang yang bersikap rasuah."

Seorang teman mengirim emel kepada saya, mengutip respons Ketua Pembangkang Dun Kelantan, Md Alwi Che Ahmad dalam Facebook. Saya tertarik dengan ungkapan Alwi, di antaranya: "Hari ini Tun M kata macam-macam, Melayu gaduh sama sendiri, pemimpin Umno tiada pelapis ... saya nak tanya Tun M, bukankah di zamannya Umno dan PAS mula gaduh? Dia benci PAS sebab Yusof Rawa pernah kalahkan beliau. Lepas itu dia pecat Musa Hitam, kemudian  guna Pak Ghafar, lepas itu suruh Anwar kalahkan Ghafar. Sebelumnya dia benci Tengku Razaleigh, kemudian  pecat Anwar ...

Dalam FB, Alwi kelihatan berdebat dengan seorang penyokong Mahathir. Beliau turut merakamkan: "Dulu saya selalu hantar Tun M keluar negara. Cium tangan hormat pemimpin dan orang tua. Tetapi suatu hari di bilik bunga raya, saya tengok Pek Khing letak tangan atas bahu Tun M, Vincent Tan pula salam biasa, saya jadi kaget. Lepas itu saya refused menghantarnya tetapi hati saya memberontak. Aku hormatkan dan muliakan pemimpinku, (tetapi) bangsa lain ....

"Saya cuma minta dia berlaku adil dalam kritikannya .... anak-anaknya tiada yang tidak kaya raya, kapalterbang sendiri pun ada, dia hentam Cina, tapi di sekelilingnya semua Cina berjaya, saya hanya mahu dia berlaku adil!"

Apa pun, saya lebih terkesan dengan gesaan Mahathir agar Umno memberikan tumpuan untuk menarik pengundi Melayu. Bekas Presiden Umno ini tidak pula menunjukkan kebimbangannya dengan trend pengundi bukan Melayu, khususnya komuniti Cina, yang dijangka terus menolak BN dalam PRU13 nanti.

Mahathir seperti mahu menyampaikan mesej bahawa jika berlaku swing undi di kalangan orang Melayu -- walaupun sedikit -- peluang BN untuk mengekalkan penguasaan di Putrajaya terjejas dengan teruk.

Dari sisi lain, bukankah selama ini banyak pihak risau tentang keupayaan PAS untuk mendekati dan meraih sokonganmasyarakat Melayu luar bandar, khususnya di kampung-kampung tradisi dan peneroka Felda? Maknanya, yang perlukhuatir dan berusaha berlipat ganda untuk memenangi minda dan hati orang Melayu adalah PAS, bukannya Umno, 'kan?

II.

Dua hari sebelum berlangsungnya majlis diskusi e-buku, Kalau Saya Mahasiswa, di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak, saya menerima SMS Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang mempelawa untuk turut memeriahkan program berkenaan.

Saya memanjangkan jemputan itu kepada rakan-rakan lain. Bukunya itu telah saya hadam, namun saya percaya sudut pandangannya tentang dunia kampus tetap segar dan mencabar, apatah lagi UIAM merupakan gelanggang paling sesuai membicarakan isu-isu yang membelenggu kebebasan akademik, menjerut suara mahasiswa dan memperbudak golongan cendekiawan.

Keuzuran menghalang saya, diganggu pula dengan deadline Harakah. Final bola sepak Sukan SEA di antara Harimau Muda dengan pasukan Indonesia di malam sama memang mengujakan tetapi saya hanya beminat untuk mengetahui keputusannya. Jantung saya masih tidak selesa untuk menanggung debaran yang memenatkan!

Tanpa mengetahui perkembangan diskusi itu, esoknya, pagi Selasa, saya bertanyakan Saifudin melalui SMS, dengan hasrat untuk turut mengulasnya dalam kolum ini. Tanpa menjelaskan, beliau hanya minta alamat emel saya.

Rupanya saya ketinggalan keretapi. Pada saat-saat akhir, UIAM membatalkan program itu. Saya turut merayau ke akaun Facebook Saifuddin. Beliau menyifatkannya, "ini tribulasi dan asam garam perjuangan". Kepada Malaysiakini, beliau berkata, "inilah kali pertama saya dijemput tapi program dibatalkan."

Waduh, alahai ... dan aneh sekali, di waktu Mahkamah Rayuan cuba memberikan ruang untuk warga kampus melaksanakan hak yang dijamin Perlembagaan, Rektor UIAM -- tentunya selepas mendapat arahan menteri, yakni boss Saifuddin sendiri -- yang mempunyai latar belakang undang-undang yang  hebat bertindak senekad itu atas alasan "isu Auku sedang hangat diperkatakan".

Belum pun berlalu episod hitam menimpa Prof Aziz Bari, UIAM seperti ghairah menagih kontroversi baru. Kali ini bukan membabitkan mana-mana tokoh pembangkang, kerana yang dihalangnya adalah seorang timbalan menteri dan Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Saya pernah mengusik Saifuddin; nampaknya beliau seperti keseorangan, atau mungkin hanya didokong Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Naib Presiden MCA, Senator Gan Ping Sieu, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Ketiga-tiga mereka popular dengan aktiviti bola keranjang, YB'sCanJump. Jawabnya, "ada ramai lagi tetapi tidak berani bersuara."

Mengapa Saifuddin digeruni? Meskipun tegas mempertahankan prinsip dan berani menongkah hujah lapuk yang dikemukakan rakan-rakannya dalam BN, termasuk menyanggah daleh kolot pegawai kanan universiti, tutur katanya tetap teratur dan sopan. Dalam satu program TV, Saifuddin membidas tajam pendirian bebal bekas Naib Canselor UiTM, Ibrahim Ali Shah.

Dalam e-bukunya, Saifuddin menegaskan,  Auku jelas mengongkong dan mengawal gerakan mahasiswa sehingga menjadikan mereka lesu.

Beliau juga menolak hujah yang mendakwa Auku tidak menyekat gerakan pelajar hanya kerana banyaknya jumlah program yang dijalankan di kampus. Beliau mengkategorikan tiga jenis program mahasiswa, iaitu aktiviti, bakti dan advokasi.

Baginya, program yang sekadar aktiviti kurang berkesan, manakala bakti dianjurkan dalam satu siri atau pakej yang punya matlamat tertentu. Sedangkan advokasi ialah prsoes pembuatan atau mempengaruhi pembuatan keputusan, yang dilakukan menerusi memorandum, perundingan, melobi dan sebagainya.

"Ada aktiviti yang sekadar aktiviti. Ada aktiviti yang bersifat bakti. Ada aktiviti yang bersifat bakti dan advokasi. Manakala ada aktiviti yang bersifat advokasi sahaja, dan ada yang bersifat advokasi dan bakti sekali gus, tetapi jarang terdapat advokasi dan aktiviti sekadar aktiviti.

"Gerakan mahasiswa ditandai oleh sifat atau ciri advokasi," jelas Saifuddin. Dan inilah jenis program yang terpaksa menempuh pelbagai halangan di universiti.

"Ada yang berpendapat Auku 1979 perlu untuk mengawal mahasiswa daripada berpolitik kerana bimbang mahasiswa menentang kerajaan. Soalnya, mengapa tidak ditanya mengapakah kerajaan ditentang oleh mahasiswa?" katanya, dipetik daripada e-buku "Kalau Saya Mahasiswa". 
HarakahDaily

Sabtu, 26 November 2011

Transformasi Umno Ke Arah Lebih Teruk.


Untuk menutup skandal besar yang tidak terjawabnya saban hari, Umno kini mengambil langkah murahan untuk menipu rakyat bahawa mereka sedang bertransformasi dan juga giat memberikan gula-gula politik menjelang pilihanraya.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) hari ini menyenaraikan tiga langkah Umno yang disifatkannya sebagai langkah murahan untuk menutup kemarahan rakyat jelata.

Selepas kegagalan meningkatkan pendapatan kebanyakan rakyat jelata, Tuan Ibrahim berkata kerajaan Umno-BN mengambil langkah mudah untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menubuhkan Kedai Rakyat 1Malaysia dan Kedai Ikan Satu Malaysia yang menjanjikan pelbagai jenis ikan dengan harga yang murah. 

“Umno turut mengambil langkah mudah dalam membendung kemarahan rakyat menuntut hak kebebasan berhimpun dengan percubaan membodohkan rakyat bahawa mereka sedang berubah dengan mengemukakan Rang Undang-Undang Perhimpunan Awam 2011, yang hanya harum namanya, tetapi lebih kejam daripada akta sebelumnya,” kata Tuan Ibrahim.

Langkah ketiga kata Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang ialah cara Umno cuba meredakan kemarahan mahasiswa yang kian meningkat terutamanya setelah nasib yang melanda professor Aziz Bari dan keputusan mahkamah rayuan terhadap 4 pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Kerajaan Umno dilihat sekali lagi mengambil langkah mudah untuk meredakan keadaan dengan mengumumkan pemindaan terhadap Seksyen 15 AUKU untuk membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik, tapi pada masa yang sama tetap merayu keputusan mahkamah rayuan yang mengistiharkan seksyen 15 AUKU tidak sah dari segi perlembagaan,” kata beliau.

Semua langkah mudah yang diambil kerajaan Umno, kata Tuan Ibrahim telah memberikan signal jelas kepada rakyat bahawa para pemimpin Umno sememangnya mereka tidak ikhlas, tidak ingin berubah, dan malah sedang bertransformasi ke arah lebih teruk kerana tidak berfikir panjang sebelum mengemukakan sesuatu.  

“Segala langkah mudah yang diambil Umno hanya bermotifkan keuntungan politik pendek semata-mata, dan hanyalah taktik murahan untuk mendapat undi rakyat dalam PRU13 yang semakin mendekat.

Kecelaruan dan kenaifan pemikiran pemimpin Umno dalam mengambil langkah mudah ini turut membuktikan kebimbangan mereka dengan perubahan kesedaran politik rakyat kini,” tegas beliau.

Menurut beliau, skandal National Feedlot Corporation dan RUU Perhimpunan Awam 2011 telah menyedarkan rakyat bahawa sudah tiba masanya untuk mengiatkan kempen ‘Asal Bukan Umno’ demi menyelamatkan negara. 

“Katakan ‘Cukup’ pada pembohongan Umno dan tunjukkan kepada para pemimpin Umno yang bermuka-muka ini bahawa rakyat Malaysia tidak sebodoh dan semurah yang mereka tanggapkan.

Kini rakyat hanya mempunyai satu jalan keluar untuk mendapatkan transformasi yang diharapkan untuk negara iaitu menunjukkan menunjukkan jalan keluar bagi Umno dalam PRU akan datang, insyaAllah,” saran beliau. HarakahDaily

Jumaat, 25 November 2011

Kelebihan Shalat Dua Rakaat Jibrail Dengan Shalat Dua Rakaat Umat Muhammad.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Tatkala Allah ta'ala selesai menciptakan Jibrail a.s. dengan bentuk yang paling bagus, dan menciptakan pula pula baginya enam ratus sayap yang panjangnya sayap itu antara timur dan barat, maka Jibrail memperhatikan dirinya sendiri kemudian berkata: 'Wahai Tuhanku, adakah Engkau menciptakan makluk yang lebih bagus daripada aku?".

"Allah ta'aala menjawab: "Tidak". Maka Jibrail berdiri serta shalat dua rakaaat kerana bersyukur kepada Allah ta'ala dan tiap-tiap rakaat lamanya dua puluh ribu tahun. Setelah selesai shalat, maka Allah ta'aala berfirman: "Hai Jibrail, kamu telah menyembah kepadaKu dengan ibadat yang sungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaKu seperti ibadatmu; akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia dan yang Aku cintai, namanya 'Muhammad'. Dia mempunyai umat yang lemah lagi selalu berdosa; sekiranya mereka itu mengerjakan shalat dua rakaat yang hanya sebentar saja, mereka dalam keadan lupa dan serba kurang, fikirannya pun melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaKu dan ketinggianKu, sungguh shalat mereka itu lebih Aku sukai daripada shalatmu, kerana mereka mengerjakan shalat dengan perintahKu sedang kamu mengerjakan shalat tanpa perintahKu."

Kata Jibrail: "Yaa Tuhanku, apakah yang Engkau anugerahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadah mereka?".

"Allah berfirman: Mereka Ku beri syurga Ma'waa/ sebagai tempat tinggal".

Maka Jibrail minta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma'waa itu dan Allah pun mengizinkannya. Kemudian berangkatlah Jibrail dengan menebar seluruh sayapnya dan terbang. Setiap dia menebarkan dua sayapnya, boleh menempuh jarak perjalanan tiga ribu tahun dan ketika menelangkupkan pun dapat menempuh jarak yang sejauh itu. Maka dia pun sudah terbang seperti itu selama tiga ratus tahun lamanya sehingga letih lemahlah dia yang akhirnya turun singgah berteduh dibawah bayangan sebuahpohon dan sujud kepada Allah ta'aala seraya berkata mengucapkan didalam sujudnya: "Yaa Tuhan, apakah saya sudah merempuh didalam jarak setengahnya, atau sepertiganya atau seperempatnya?".

Allah menjawab: "Hai Jibrail, kalaulah engkau terbang tiga ratus ribu tahun, dan meski punlah Aku berikan kepadamu kekuatan seperti kekuatanmu yang sudah ada dan Aku beri pula beberapa sayap sebanyak sayap yang telah engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telahKu berikan kepada umat Muhammad terhadap imbuhan shalat dua rakaaat yang mereka kerjakan". (Misykaatul Anwaari) /GAnti Najib/Rosmah

PAS Akan Sertai Bersih 3.0

PAS akan menyertai Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dalam perhimpunan Bersih 3.0 bagi meneruskan lapan tuntutan Bersih 2.0 yang belum dilaksanakan kerajaan.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, bagi menuju ke arah itu, PAS akan  dan memulakan siri penerangan dan menggerakkan ahli di seluruh negara.

"PAS menyokong keputusan Bersih untuk mengadakan perhimpunan Bersih 3.0 memandangkan lapan tuntutan Bersih 2.0 hampir langsung tidak diendahkan keraja
an," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Mohamad bagaimanapun berkata, selain PAS, dua lagi parti dalam Pakatan Rakyat iaitu PKR dan DAP membuat kenyataan umum menyokong Bersih 3.0.

"Daripada kenyataan umum, Pakatan bersetuju untuk bersama-sama Bersih 3.0," katanya yang juga Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi PAS Pusat.

Bagaimanapun, PAS katanya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Bersih yang disertai gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dari segi tarikh dan perjalanan perhimpunan.

"Tarikh yang sesuai, tempat perhimpunan semuanya kami serah kepada NGO Bersih sepenuhnya untuk menentukannya," katanya sambil menambah, pengerusi 3.0 adalah daripada NGO sendiri.

Sementara itu, mengulas mengenai Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat semalam, beliau berkata PAS menolak keras RUU tersebut.

Malaysia katanya seolah-olah sedang menggantikan tempat Myanmar dari segi halangan untuk rakyat bersuara.

"Perdana Menteri berbohong untuk bawa Malaysia ke arah demokrasi.

"Myanmar yang kebebasan bersuaranya teruk mengenakan lima hari sahaja untuk mengeluarkan notis berhimpun tapi Malaysia kena bagitahu 30 hari awal.

"Rang Undang-Undang ini menghina rakyat Malaysia," katanya. HarakahDaily

Khamis, 24 November 2011

Apa itu Akta Polis Seksyen 27.





















































Semakin ramai membantah Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman setelah ianya dibaca buat pertama kali yang sepatutnya dibawa oleh Najib tetapi pada saat akhir dibawa Menteri yang jaga parlimen, Nazri Aziz. Patut ler beliau tidak membenarkan ianya dihebahkan kepada umum sebelum ianya dibacakan oleh bos beliau. Gua ingin berkongsi dengan lu all, apa itu akta polis seksyen 27, 27A, 27B dan 27C yang menjadi kontroversel ketika ini.

Seksyen 27 Akta Polis 1967 secara jelas memperuntukan:
  1. Mana-mana pihak yang hendak mengadakan perhimpunan atau ceramah umum hendaklah mempunyai kelulusan daripada pegawai polis daerah yang berkenaan.
  2. Sebelum mengadakan perhimpunan sama ada di dalam premis atau di luar premis, kebenaran polis hendaklah diperolehi demi kepentingan ketenteraman awam dan keselamatan rakyat.
  3. OCPD boleh menimbang sesuatu permohonan (permit perhimpunan dan ceramah umum) itu tetapi ini bukan bermakna kumpulan atau mana-mana pihak boleh dengan sendiri mengadakan ceramah umum dan perkumpulan yang lebih dari bilangan lima orang.
  4. Kelulusan permohonan permit juga tertakluk kepada budibicara polis dan perhimpunan biasa didalam bangunan kebiasaannya dibenarkan.
Maka lu all boleh ler bezakan antara akta diatas dengan RUU Perhimpunan Aman yang baru dibacakan. Adakah Rang Undang-undang ini lebih bagus atau lebih zalim, maka lu all sendirilah yang nilaikan kerana ini melibatkan kepentingan awam.

Antara kandungan penting rang undang-undang yang dicadangkan itu:
  1. Notis awal 30 hari untuk berhimpun, kecuali mereka yang berada di kawasan yang ditetapkan oleh menteri dalam negeri.
  2. Selepas memaklumkan, perhimpunan boleh diteruskan kecuali terdapat bantahan dari polis.
  3. Tiada protes jalan dibenarkan.
  4. Tiada protes dalam 50 meter daripada kawasan yang dilarang, termasuk hospital, sekolah dan rumah ibadat.
  5. Seksyen 9(5) membenarkan polis mendenda penganjur sehingga RM10,000 sekiranya tiada notis awal mengadakan perhimpunan diserahkan kepada polis.
  6. Seksyen 21(3) membenarkan polis mendenda pihak yang ditangkap sehingga RM20,000.
  7. Individu bawah umur 21 tahun tidak dibenar menganjurkan perhimpunan; dan
  8. Kanak-kanak bawah 15 tahun tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam perhimpunan. Ini tidak termasuk perhimpunan berkaitan kebudayaan dan acara keagamaan seperti perarakan kematian yang diluluskan oleh menteri dalam negeri.
Dimanakah keadilan buat rakyat marhaen bila akta baru untuk mengantikan akta polis seksyen 27 lebih zalim dan menindas hak rakyat untuk bersuara. Kita telah ditipu hidup-hidup oleh kerajaan milik Umno kerana kita menyangkakan akta yang baru hendak digubal ini lebih baik daripada akta polis. Inilah kecelakaan yang dibawa oleh Umno terhadap rakyat dalam mempertahankan kesenambungan politik mereka.

Umno berhujah "Perkara 9 dan 10 Perlembagaan Malaysia jelas menyatakan bahawa apa-apa sekatan boleh dikenakan kepada hak untuk mewujudkan perkumpulan atau hak bersuara sekiranya ia penting daripada segi ketenteraman dan keselamatan dalam negeri". Nampaknya Umno semakin menyerlah dan cuba mewujudkan sikap pemerintahan diktator dalam mengengkang rakyat marhaen bersuara dan menentang segala penyalahgunaan kuasa yang mereka lakukan. Malah menteri dalam negeri, Hishamuddin dengan sikap sombong dan angkuhnya berkata tidak akan menarik balik akta tersebut atau menerima sebarang rayuan dari mana-mana pihak agar ianya dikaji semula.

Inilah sikap angkuh pemimpin Umno yang semakin hari semakin ego dan sombong dengan kuasa yang dipinjamkan oleh Allah s.w.t. kepada mereka. Mereka merasakan yang mereka akan berkuasa buat selama-lamanya tanpa menoleh kebelakang untuk melihat apa yang terjadi kepada para pemimpin yang sealiran dengan mereka yang akhirnya tumbang ditanya rakyat mereka sendiri. Inilah masanya rakyat patut bangun menentang akta yang bersikap drakula dan usah lagi percaya dengan kata-kata manis Najib yang kononnya ingin melakukan perubahan. kita pasti dua akta baru yang akan mengantikan akta ISA laknatullah pasti lebih zalim dari akta ISA itu sendiri kerana inilah buktinya.

Ben Ali dari Algeria, Mubarak dari Mesir, Gaddafi dari Libya, Suharto dari Indonesia, Arroyo dari Filipina telah tumbang ditangan rakyat mereka sendiri. Sikap para pemimpin ini sama sahaja dengan sikap pemimpin Umno yang angkuh kerana mereka merasakan bahawa tiada siapa yang berani menjatuhkan mereka. Siapalah kamu wahai Umno yang sombong,  
"Tidakkah kamu tahu bahawa Allah itu Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui apa yang kamu tidak tahu. Maha suci bagi Allah, Tuhan sekalian alam yang menjadikan manusia untuk menjadi khalifah di muka bumi ini dan sesungguhnya Allah itu Maha Kaya lagi Maha Bijaksana dan  tidak pula Allah itu adalah MahaThir kerana Mahathir adalah Bapa Mizan".
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular