Translate

Senarai Blog Saya

Jumaat, 31 Mei 2013

Sorry Khir... Kambing Hitam Sahaja Yang Ada, Kambing Putih Tak Ada.


Khir Toyo dakwa dirinya 'dikambinghitam'

Bekas menteri besar Selangor, Dr Khir Mohd Toyo mendakwa beliau dijadikan contoh untuk menunjukkan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telus dan mahu membanteras rasuah.

Dalam tulisan di blognya hari ini, Khir - yang dikekalkan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Rayuan semalam - berkata beliau sudah "putus harapan" dan pesimis sekalipun merancang untuk merayu kesnya di Mahkamah Persekutuan.

NONE"Saya sudah tidak peduli lagi jika keputusan telah dibuat untuk memenjarakan saya sebagai ikon untuk menunjukkan kerajaan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ini telus dan mahu membanteras rasuah. Biarlah luncai terjun dengan labu-labunya," tulis Khir dalam blognya.

Semalam Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan bersalah terhadap Dr Mohd Khir bagi tuduhan rasuah yang berkaitan dengan pembelian dua lot tanah berharga dan sebuah rumah di Shah Alam, semasa menjadi penjawat awam.

"Semalam, peguam saya, Datuk Seri Shafee Abdullah bangun mengemukakan pertanyaan kepada tiga orang panel hakim hari ini, 'Apakah benchmark atau tanda aras untuk menyatakan pembelian ini merupakan satu pembalasan yang tidak mencukupi.'

"Pertanyaaan ini bukan sahaja tidak dijawab oleh Hakim Mahkamah Tinggi tetapi juga oleh tiga panel hakim Mahkamah Rayuan. Ini bermakna saya tidak mungkin mendapat sebarang perbicaraan yang munasabah pada akal logik," katanya. MK

Khamis, 30 Mei 2013

Mahkamah Rayuan Menolak Rayuan Khir Toyo.



Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan bersalah terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo bagi tuduhan rasuah yang berkaitan dengan pembelian dua lot tanah berharga dan sebuah rumah di Shah Alam, semasa menjadi penjawat awam.

Keputusan oleh Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Abu Samah Nordin itu dibuat sebulat suara. Panel hakim lain ialah Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Aziah Ali.

Hakim Azahar, ketika membaca penghakiman itu, berkata mereka mendapati tidak ada keperluan untuk mengganggu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohtaruddin Baki (kini Hakim Mahkamah Rayuan) apabila beliau menolak semua alasan rayuan yang dikemukakan oleh peguam Khir.

"Berdasarkan rekod rayuan, kami berpuas hati untuk menolak rayuan itu kerana kami merasakan bahawa perayu harus didapati bersalah seperti yang didakwa.

"Hakim perbicaraan adalah betul untuk mensabitkan tertuduh terhadap pertuduhan melampaui keraguan yang munasabah," katanya.

Khir diwakili oleh Muhammad Shafee Abdullah.

Mahkamah Tinggi, pada 23 Disember 2011, menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas khir dan melucuthak harta tersebut.

Khir merupakan menteri besar Selangor yang kedua disabitkan kesalahan rasuah, selepas Datuk Harun Idris.

Walaupun pihak pembelaan mengemukakan 33 alasan rayuan, tetapi mahkamah menggabungkannya kepada enam perkara, iaitu:
  • Persoalan sama ada dia adalah seorang penjawat awam.
  • Sama ada pembayaran sebanyak RM3.5 juta untuk membeli harta itu mengikut harga pasaran;
  • Sama ada dia mempunyai hubungan dengan pengarah Ditamas Sdn Bhd Shamsuddin Hayroni;
  • Sama ada Shamsuddin telah menjadi rakan kongsi dalam jenayah;
  • Kredibiliti kontraktor Nasir Ismail; dan
  • Sama ada pembelaan Khir boleh diterima.
Kepada semua soalan tersebut, Hakim Azahar berkata hakim Mahkamah Tinggi betul berhubung fakta bahawa Khir adalah seorang penjawat awam - iaitu bekas MB dan bekas pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) - dan mahkamah berpuas hati dengan kredibiliti Shamsuddin, yang menjual rumah untuk Khir, bersama-sama dengan Nasir sebagai kontraktor yang mengubahsuai harta tersebut.

Katanya, Khir telah menunjukkan minat dalam harta yang dinyatakan di atas sebelum Shamsuddin menjual kepadanya, malah dia juga telah membayar terlebih dahulu kos pengubahsuaian.

Menurutnya, RM3.5 juta itu bukan jumlah yang adil dan munasabah untuk membelinya kerana Shamsuddin telah membeli hartanah itu pada harga RM5.5 juta beberapa tahun sebelumnya.

Oleh itu, Hakim Azahar berkata, adalah perlu bagi Mahkamah Rayuan untuk tidak mengganggu penghakiman Mahkamah Tinggi.

Mengenai hukuman ke atas Khir, Hakim Abu Samah berkata petang ini bahawa hukuman itu adalah budi bicara mahkamah dan "kita tidak cenderung untuk mengganggu hukuman (oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam), termasuk pelucutan hak, kerana subjek pertuduhan adalah harta yang berharga. "

"Kami mengekalkan hukuman dan pelucutan hak tersebut," Hakim Abu Samah memerintah.

Shafee berkata, beliau menerima arahan supaya merayu keputusan itu dan memohon penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

"Kami akan memfailkan rayuan esok," kata Shafee.

DPP Dusuki Ahmad membantah sebarang penangguhan hukuman, dengan alasan sesuatu rayuan tidak beroperasi sebagai penggantungan pelaksanaan hukuman.

Bagaimanapun, Hakim Abu Samah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan Khir. MK

Isnin, 27 Mei 2013

Kembali Ke Era Gelap Mahathir.

Ahmad Lutfi Othman

Tindakan Kementerian Dalam Negeri, melalui Unit Penguatkuasa Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran merampas ketiga-tiga lidah rasmi PAS, KeADILan dan DAP, pada 23 Mei lalu, di seluruh negara, segera mengingatkan saya terhadap langkah sama bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, sejurus selepas BN dikejutkan dengan keputusan Pilihan Raya Umum 1999.

(Harakah, Suara Keadilan dan Roket menjadi mangsa rampasan KDN baru-baru ini. Menurut pengedar Harakah di beberapa negeri, antaranya Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan, seawal jam 9 pagi, Khamis, ketika Harakah edisi Jumaat baru hendak diagihkan, penguatkuasa KDN bertindak pantas merampasnya. Difahamkan sebahagian besar Harakah itu masih belum dipamerkan untuk jualan. Lebih 4,000 naskhah Harakah dirampas walaupun angka rasmi dikeluarkan KDN hanya sekitar 1,000 sahaja).

Majoriti pengundi Melayu dalam PRU10 itu memberikan sokongan luar biasa kepada Barisan Alternatif. Ramai pemimpin Umno tewas, termasuk bekas menteri, khususnya kepada PAS. Dr Mahathir mengambil pendekatan "mendera" orang Melayu, antara lain dengan tidak memberikan sebarang tambahan kerusi Parlimen untuk tiga negeri Melayu, iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, dalam persempadanan semula kawasan Parlimen, dan dalam masa sama, membanyakkan kerusi-kerusi pengundi campuran, sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat Tionghua, yang menyelamatkan BN daripada kalah mengejut di peringkat persekutuan.

Tetapi, yang lebih menjolok mata ialah penderaan Dr Mahathir kepada beberapa penerbitan popular berbahasa Melayu -- Harakah, mingguan Eksklusif dan majalah dua kali sebulan Detik -- yang dikira telah menyumbang kepada kekalahan Umno, termasuk tumbangnya kerajaan Terengganu dan peningkatan mendadak pengaruh PAS di Kedah, terutama di kerusi-kerusi majoriti pengundi Melayu.

Tiga bulan selepas PRU1999 itu, akhbar Harakah yang diterbitkan dua kali seminggu sejak pertengahan 1990 (Harakah mula diberikan permit penerbitan dalam kekerapan sekali seminggu pada Mac 1987) menerima hukuman cukup keras.


Apabila permit Harakah tamat (di negara ini, hayat setiap penerbitan hanya setahun) pada 28 Februari 2000, kekerapannya dipancung daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan, yakni diterbitkan dalam tempoh 15 hari sekali! Dan permit baru itu hanya dikeluarkan KDN pada 6 Mac, sedangkan sepatutnya ia diperbaharui sebelum tempohnya berakhir. Di belakang permit, tertera dua syarat yang khusus buat Harakah dan tidak terdapat dalam permit penerbitan lain, iaitu syarat no 13 dan no 14.

Pihak pengurusan Harakah telah memohon permit baru pada 1 Ramadan 1420, bersamaan 9 Disember 1999, ketika pemimpin Umno berduka lara dengan keputusan PRU10. Sebenarnya KDN sudahpun memasanag perangkap untuk menjerat Harakah. Dalam suratnya pada 24 Disember, KDN memaklumkan bahawa telah melakukan dua kesalahan, mengenai penjualan akhbar Harakah kepada orang awam dan penjualan di tempat yang bukan pejabat atau markas PAS.

Ekoran "kesalahan-kesalahan" itu, KDN "bercadang untuk membatalkan permit penerbitan Harakah". Selain merupakan amaran paling keras pernah diterima Harakah, ia sebenarnya satu  mesej jelas bahawa akhbar alternatif yang dicetak hampir 400,000 naskhah ketika itu, bakal berdepan situasi lebih sukar.

Sehari sebelum KDN mengeluarkan surat amaran itu, Unit Kawalan Penerbitannya telah merampas lebih 2,600 naskhah Harakah di sekitar Lembah Klang. Menteri Dalam Negeri, Abdullah Ahmad Badawi, dalam kenyataannya menegaskan: "Jika gejala ini berterusan, kita akan memikirkan tindakan yang lebih keras lagi daripada apa yang kita lakukan sekarang."

Sebenarnya sebelum Harakah dihukum pancung kekerapan penerbitannya, daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan, KDN telah memaksa pelbagai syarat pelik, namun penguruisan Harakah tetap bersedia untuk melaksanakannya.

Misalnya, kira-kira pertengahan tahun 1998, KDN mengarahkan Harakah mengadakan rak khas supaya Harakah tidak bercampur dengan akhbar-akhbar lain di premis jualan. Hampir RM70,000 dibelanjakan untuk menempah rak tersebut bagi diagihkan kepada rangkaian penjual di seluruh negara.

Belum pun sempat rak itu selesai diedarkan, pada 26 Disember 1998, syarat baru dikeluarkan, iaitu Harakah hanya boleh dijual di markas atau pejabat PAS. Sebelumnya sudah KDN mengenakan syarat agar dicetak nota penting di muka depan Harakah, "Untuk Ahli PAS Sahaja".

Pada 3 Januari 2000, Harakah mengedarkan pekeliling kepada semua pengedar memaklumkan akhbar itu hanya boleh diedar dan dijual di markas dan pejabat PAS. Pengedar juga harus memastikan setiap peruncit di bawahnya menjual di tempat yang ditentukan itu atau menghantar ke rumah mereka yang melanggan.

Ketika itu, saya tidak bersama keluarga besar Harakah, tetapi mengendalikan penerbitan sendiri, yang mengusahakan majalah proreformasi, Detik; permitnya saya "sewa" dengan seorang sahabat baik, Allahyarham Samsuri Roslan.

Saya berkongsi dengan banyak pihak, yang merasakan tindakan KDN itu cukup keterlaluan dan tidak perlu diikuti Harakah. Apa pun, pihak pengurusan Harakah tetap cuba mematuhi apa jua syarat-syarat karut-marut KDN itu. "Sabar sungguh bos-bos Harakah melayani karenah KDN," kata seorang peguam.

Saya menimbulkan kembali cebisan cerita lama ini untuk menunjukkan "niat jahat" KDN kepada Harakah. Dalam setiap tindakannya, ternyata ia sarat dengan motif politik yang tebal. Malah, untuk menguatkuasakan syarat jualan hanya kepada ahli PAS, langkah merampas Harakah yang dijual di tempat awam boleh dipersoal. Keanggotaan PAS sudah melebihi satu juta orang, dan ahli-ahlinya berada di merata tempat.

Sebenarnya tindakan KDN merampas Harakah di tempat terbuka itu telah menafikan hak ahli-ahli PAS untuk membeli lidah rasmi parti mereka  di premis  yang mudah diperolehi. Bagi saya, ketika KDN sensitif sangat dengan jualan Harakah kepada orang awam, hak ahli PAS juga tidak boleh dihalang.

Apa pun, sebagai penggerak Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dan wartawan yang mula bertugas dengan Harakah sejak keluaran sulungnya pada Mac 1987, bai saya, syarat-syarat karut-marut KDN itu harus dicabar di mahkamah dan dimansuhkan.

Mungkin KAMI patut memulakan inisiatif menggerakkan kempen membebaskan semua akhbar oposisi yang dikepung syarat-syarat tidak munasabah itu. Lebih malang, Suara Keadilan, yang ditamatkan permit penerbitannya ekoran isu "Felda bankrap", langsung tidak diberikan keizinan terbit.

PAS adalah sebuah parti politik berdaftar, yang ditubuhkan menurut peruntukan undang-undang lebih 62 tahun lalu. PAS tentulah dibenarkan untuk mengembangkan pengaruh dan menarik sokongan rakyat dari seluruh pelosok negara.

Justeru, akhbarnya juga harus dapat disebarkan kepada semua rakyat -- tidak terbatas kepada ahli-ahlinya saja -- tanpa sebarang halangan dan syarat-syarat represif. Bayangkan, dalam sebuah negara demokrasi, rakyatnya dihalang daripada membeli akhbar milik tiga buah parti politik, yang memperolehi undi popular 53 peratus!

Di zaman ledakan maklumat tanpa sempadan, apatah lagi dengan kerancakan media baru, amalan merampas akhbar ini adalah kerja kerajaan diktator zaman dahulu. Orang luar akan ketawa dengan "kerja gila" kerajaan BN yang "out of date" ini.

Inilah bahananya apabila Najib Razak -- diperkukuh dengan keghairahan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara yang baru, Zahid Hamidi dan Khalid Abu Bakar -- menerima pakai teladan yang ditunjukkan mentornya Dr Mahathir. Mungkin Najib risau jika Mahathir mula bersuara, menggesanya menuruti langkah Abdullah Ahmad Badawi yang terpaksa meletakkan jawatan kerana prestasi buruk BN dalam PRU12. Rekod Najib yang mengetuai BN pada PRU13 adalah lebih buruk daripada Abdullah.

Program transformasi politik Najib adalah satu pembohongan besar. Pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan bukan saja tidak memberi sebarang makna kepada proses pendemokrasian, malah membuktikan ia langsung tidak menyentuh hal-hal fundamental dalam kebebasan akhbar, seperti keperluan permit, syarat-syarat mengarut KDN, kuasa tidak terbatas menteri dan peluang untuk merujuk kes ke mahkamah.

Pindaan itu sekadar tidak lagi mengehadkan tempoh permit kepada hanya setahujn seperti sebelumnya, tetapi masih mengekalkan kuasa menteri untuk menggantung dan menamatkan permit tanpa perlu sebarang alasan dan pihak yang terkilan tidak boleh membawanya ke pengadilan.


Ia menguatkan lagi keyakinan saya selama ini bahawa BN tidak pernah bersedia untuk memberikan ruang kebebasan bersuara buat warga Malaysia. Benar, dari segi akademik, tiada kebebasan akhbar di Malaysia. Peluang yang dibentangkan oleh medium internet bukan menunjukkan sikap terbuka kerajaan kepada amalan kebebasan bersuara tetapi "keterpaksaan" janji-janji Perdana Menteri pada 1997 semasa melancarkan Koridor Raya Multimedia (MSC).

Sesungguhnya rampasan Harakah, Suara Keadilan dan Roket, serta siri tangkapan terhadap pemimpin dan aktivis oposisi, seperti Tian Chua,  Tamrin Ghafar dan Harris Ibrahim hanya akan menaikkan semangat juang rakyat, apatah lagi dengan penahanan aktivis mahasiswa, Adam Adli Abd Halim, bakal menyemarakkan terus momentum PRU13.

Keputusan PRU13 rupanya tidak meredakan komitmen rakyat untuk menuntut perubahan, malah menggerakkan seluruh potensi yang ada bagi memastikan sistem dan proses pilihan raya negara kita dapat direformasikan seutuhnya. "Perlawanan" ini menuju pusingan lebih sengit. -- 17 Rejab 1434 H | 27 Mei 2013lutfi_detik@yahoo.comThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it 

Jumaat, 24 Mei 2013

Lari-Lari Polis Kejar (LLPK): Tindakan Najib Menangkap Pemimpin PR Mungkin Membakar Dirinya Sendiri.


TINDAKAN KERAS: Tindakan Najib Menangkap Pemimpin PR Mungkin Membakar Dirinya Sendiri




Dalam usaha menyekat pendapat awam yang semakin tidak menyebelahi pentadbirannya, Najib Razak telah memulakan tindakan keras terhadap lawan politiknya di pihak Pembangkang dan juga aktivis-aktivis masyarakat sivil pada hari Khamis di mana empat orang telahpun ditahan dan satu didakwa menghasut..
Samada tindakan melampau ini akan berjaya meredakan kemarahan rakyat terhadap tanggapan bahawa penyelewengan pilihanraya berlaku secara berleluasa yang juga telah mendapat perhatian kerajaan Amerika Syarikat masih menjadi tanda tanya.
Kenyataan media daripada Rumah Putih yang mengucapkan tahniah kepada Najib setelah memenangi Pilihanraya 5 Mei yang penuh kontroversi ini juga menyatakan bahawa mereka "prihatin tentang dakwaan penyelewengan yang telah dilaporkan dan kami percaya bahawa ia amat penting supaya pihak berkuasa Malaysia menangani kebimbangan yang diketengahkan. Kami menanti hasil penyiasatan ini."
Gerakan Black505 Melanda Nusa Teras Melayu Menjanakan Panik
Umno-BN (UBN) yang dipimpin oleh Najib berjaya memenangi 133 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen Persekutuan manakala Pakatan Rakyat (PR) yang diterajui Anwar Ibrahim berjaya memenangi 89 kerusi. Namun demikian, Pakatan telah mendakwa bahawa terdapat penyelewengan di sekurang-kurangnya 27 buah kerusi dan menuntut supaya pemilihan semula dijalankan di kawasan-kawasan yang terbabit.
Justeru itu, Anwar yang berumur 64 tahun telah memulakan kunjungan ke seluruh negara untuk meraih sokongan bagi rancangan beliau untuk mencabar keputusan Pilihanraya ke 13. Di setiap tempat yang beliau bersinggah, beliau disambut oleh berpuluh ribu warga setempat.
Hentian yang akhir disinggah sebelum ini adalah Kota Sarang Semut di Kedah, sebuah kawasan teras Melayu yang tipikal. Sambutan hangat yang telah diberi oleh warga setempat yang lazimnya kaum Melayu untuk gerakan Black505 dengan memakai baju hitam sebagai tanda tidak puas hati dengan dakwaan penyelewengan pilihanraya sambil memanggil Najib untuk letak jawatan dan pentadbiran BN diganti oleh PR pastinya telah menggerunkan hati segenap pemimpin Umno, parti dominan di dalam gabungan UBN.
Jadi tidak hairanlah tindak balas daripada pihak berkuasa UBN begitu pantas dan agresif berlaku pada hari Khamis, cuma beberapa jam sebelum sebuah lagi Himpunan Black505 dijadualkan untuk bermula di Kuala Terengganu, sebuah lagi kawasan teras Melayu.
Anwar melalui sistem pesanan ringkas Twitter telah menyatakan:
"The arrests of Tian, Tamrin and Haris shows how much under pressure this regime is" (Penahanan Tian (Chua), Tamrin (Ghafar) dan Haris (Ibrahim) menunjukkan betapa kuatnya tekanan yang dihadapi regim ini)
Beliau juga menyatakan melalui Twitter:
"Tonight #Black505 with DS. Anda semua dijemput hadir! #IniKalilah!" (Malam ini #Black505 bersama DS (Dato' Seri). Anda semua dijemput hadir! #IniKalilah!)
Najib "Membunuh Diri" Dengan Lebih Pantas
Ahli-ahli politik yang menjadi tahanan yang terkini ialah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, dan Thamrin Ghafar, anak mantan Timbalan Perdana Menteri, Ghafar Baba, yang baru-baru ini telah meninggalkan Umno untuk menyertai PAS. Terdengar juga desas-desus yang Ahli Parlimen Serdang yang baru dipilih, Ong Kian Ming, mungkin akan ditahan selanjutnya.
Pejabat Harakah, unit akhbar PAS, juga diserbu.
Nik Nazmi Nik Ahmad selaku Pengarah Komunikasi Parti KeADILan Rakyat menyatakan:
"Kami mengutuk penahanan yang bersikap angkuh ini yang hanya menunjukkan satu lagi bukti bahawa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak masih lagi terperangkap dengan dasar-dasar lapuk Umno-BN".
Beberapa pemerhati politik berpendapat bahawa gerak balas Najib yang berpaksikan panik ini mungkin akan ada akibat yang negatif. Jikalau orang ramai masih turun padang beramai-ramai di dalam perhimpunan di Kuala Terengganu pada hari Khamis dan di Melaka pada hari Jumaat, ini akan mengukuhkan tanggapan bahawa Najib berada di ambang keruntuhan dan tidak dihiraukan oleh rakyat.
Seorang pemerhati politik veteran memberi komen yang sinis dengan menyatakan:
"Najib mungkin, oleh kerana panik, membuat keputusan yang berketerlaluan dan mengarahkan keganasan digunakan diatas rakyat biasa. Jikalau beliau berbuat begitu maka beliau akan "membunuh diri" dengan lebih pantas. Beliau akan memerangkapkan dirinya sendiri. Tindakan untuk mencabar dan memerangi rakyat sendiri adalah tindakan yang kurang bijak."
Serbuan Tengah Hari
Tian Chua ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) di Sepang pada pukul 1 petang pada hari Khamis. Haris Ibrahim pula ditahan beberapa minit sebelum itu semasa beliau sedang makan tengah hari di Segambut. Tamrin Ghafar pula ditahan semasa beliau sedang makan tengah hari di Restoran Chawan di Bangsar pada lebih kurang pukul 2 petang.
Aktivis mahasiswa, Adam Adli, yang ditahan dan direman selama 5 hari minggu lepas pula didakwa menghasut pagi tadi. Dia tidak mengaku salah dan dilepaskan dengan ikat jamin. Tian dan Tamrin juga dijangka akan didakwa menghasut.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Ku Chin Wah, mengesahkan bahawa kedua-dua mereka ditahan dan beliau akan mengadakan sesi penerangan untuk pihak media kemudian.
Ku enggan memberi maklumat yang lebih tetapi kami mempercayai bahawa penahanan Tian dan Haris berkait dengan kandungan ucapan yang dibuat oleh mereka di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada 13 Mei lepas. Mereka dilaporkan menyeru orang rami turun ke jalanraya untuk protes keputusan pilihanraya.
Adam Adli pula didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 di mana beliau dituduh menyeru rakyat Malaysia menggulingkan kerajaan Umno-BN untuk mengelakkan matinya demokrasi dibawah tindasan pemerintahan mereka.
Pemilihan Pimpinan Umno: Muhyiddin Sedia Menyambar
Gerak balas agresif Najib dan Menteri Dalam Negeri baru, Zahid Hamidi, sudah tentu akan menyebabkan lebih menularnya perasaan tidak puas hati terhadap mereka dan juga mungkin akan menyebabkan segelintir rakyat mengambil tindakan yang terburu-buru.
Namun demikian, beberapa pemerhati berpendapat bahawa ini memanglah senario yang ingin dicetuskan Najib untuk mengukuhkan kedudukannya di dalam Umno yang kini diancam oleh timbalannya, Muhyiddin Yassin.
Ibarat sambil menyelam meminumair, Najib akan memperolehi kelegaan yang segera dengan menakutkan orang ramai daripada mengambil bahagian di dalam Himpunan Black505 anjuran Pembangkang, dan jikalau benar-benar berlakunya huru-hara seperti rusuhan, partinya berkemungkinan besar akan mengekalkannya sebagai pemimpin sehingga ketidakstablan ini diatasi.
Setakat ini, Anwar dan pemimpin-pemimpin PR yang lain telah memastikan bahawa orang ramai yang hadir di perhimpunan Black505 dipesan supaya tidak menimbulkan provokasi terhadap penyokong-penyokong BN apabila mereka bersurai. Pemimpin-pemimpin PR juga telah menjauhkan diri mereka daripada seruan beberapa kumpulan tertentu supaya demonstrasi jalanan dilangsungkan.
Gentar Terhadap Gen-Y
Apa yang jelas di dalam kesemua Himpunan Black505 setakat ini, golongan penyokong yang terbesar merupakan golongan yang dikenali sebagai Gen-Y, yakni rakyat muda yang berumur 20an dan 30an. Sebagai generasi yang mempunyai lebih peluang untuk pendidikan yang baik dan mendalami sikap kendiri yang kuat, mereka telah menyambut baik seruan Pembangkang untuk perubahan dengan penuh keghairahan.
Jadi tidak hairanlah bahawa orang yang ulung sekali ditahan oleh pentadbiran Najib adalah Adam, seorang anak muda dan ketua mahasiswa yang popular dan menonjolkan. Adam yang telah direman selama 5 hari hanya dibenarkan berjumpa dengan ayahnya selepas rundingan bertubi-tubi daripada pihak peguamnya dan tekanan daripada media.
Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan kes berkenaan akan disebut semula pada 2 Julai. Adam diwakili peguam Datuk S Ambiga dan N Surendran manakala pasukan pendakwaan diketuai timbalan pendakwaraya Abarzafee Mohd Abbas.
Dakwaan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan membawa hukuman penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan denda maksima sebanyak RM5,000 ataupun kedua-duanya sekali. Pihak pembelaan merancang untuk memfailkan permohonan untuk membatalkan kes berkenaan dengan menyebut pendakwaan terpilih dan mala fide (niat buruk) di dalam penyiasatan pihak polis.
Malaysia Chronicle

Selasa, 21 Mei 2013

Terima Kasih BN: GST, Hadiah Pertama Dari Najib Selepas Menang PRU13.

Nampaknya, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menamatkan tempoh berpantang mereka dengan cara menggasak rakyat dengan cukai GST yang bakal diperkenalkan,  kata Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad.

Bagi beliau, kerajaan BN yang baru dibentuk  Najib ini tidak sabar-sabar untuk membalas dendam mereka kepada rakyat yang banyak menolak mereka.

"Lepas dia tibai etnik Cina dengan serangan ‘Tsunami Cina’ dan pelbagai kata kesat hulubalangnya yang dihamburkan ke arah rakyat termasuk kenyataan kurang cerdik menteri dalam negeri itu, kini giliran menteri di jabatan perdana menteri pula untuk ‘mendera’ rakyat dengan pengumuman sistem cukai baru," tulis beliau.

Ikuti tulisan beliau sepenuhnya di bawah ini.

GST dulu ke atau Gaji Minima dulu Najib?!


Oleh Dr Dzulkefly Ahmad

Telah berakhir tempoh PM Datuk Seri Najib Razak dan pentadbiran Umno-Barisan Nasional (UBN) untuk ‘berpantang’ menahan nafsu amarah mereka untuk ‘menggasak’ rakyat negara ini.

2. Lepas dia tibai etnik Cina dengan serangan ‘Tsunami Cina’ dan pelbagai kata kesat hulubalangnya yang dihamburkan ke arah rakyat termasuk kenyataan kurang cerdik menteri dalam negeri itu, kini giliran menteri di jabatan perdana menteri pula untuk ‘mendera’ rakyat dengan pengumuman sistem cukai baru.

3. Setelah memenangi kembali Putrajaya, dengan pilihanraya yang sangat dipertikaikan pelbagai pihak kerana sarat dengan penipuan, Najib sudah tidak segan-silu lagi untuk melakukan apa yang dianggapnya ‘agenda tertangguhnya’.

4. Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bakal dilaksanakan oleh kerajaan Najib dalam tahun 2013 ini dan telah diwar-war oleh Datuk Seri Idris Jala kononnya akan menjana pendapatan RM27 bilion setahun. Apa tidaknya kalau mereka sanggup mencekik rakyat dengan kadar 7% cukai!

5. Najib dan Idris Jala juga perlu terangkan kepada rakyat kerana yang akan membayar cukai ini adalah rakyat bahkan semua lapisan rakyat termasuk yang kaya dan juga yang miskin atau berpendapatan rendah. Apabila mereka membeli barangan atau menggunakan perkhidmatan tersebut selagi barangan itu bukan dalam kategori ‘sifar cukai’ atau ‘zero-rated’, bermaksud GST tetap dikenakan.

6. Kadar GST sebanyak 7% adalah sangat tinggi dan ini jelasnya adalah ‘janji Najib yang tidak ditepati’ kerana kadar 4% adalah angka yang disebut-sebut sejak awal GST diperkenalkan. Mungkin Najib telah kemaruk kerana baru sedar hutang kerajaan pusat dah terlalu membengkak hampir 55% KDNK kerana dirinya sendiri.

7. Ataukah Najib mahu sahaja ‘mendera’ rakyat yang tidak mengizinkannya untuk mendapat 2/3 majoriti di parlimen dan menawan kembali Selangor, negeri terkaya di Persekutuan Malaysia?

8. Singapura, yang rakyatnya mempunyai pendapatan per kapita hampir dua kali ganda dari kita pun memulakan kadar GST mereka pada kadar 3%. Kerana kos perlaksanaan cukai baru ini adalah sangat tinggi, yang dianggarkan berbilion RM. Contohnya Australia A$ 4 bilion ketika memperkenalkan GST di negara itu, maka tekanan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yakni inflasi, adalah tidak dapat dielakkan ekoran sebab faktor kos permulaan sistem GST.

9. Singapura, contohnya mengalami inflasi sebanyak 3% untuk selama 3 tahun akibat dari perlaksanaan GST dan begitu juga di kesemua negara-negara yang melaksanakannya juga turut mengalami tekanan inflasi untuk beberapa tahun.
10. Pakatan Rakyat secara prinsip tidak menolak sistem cukai penggunaan ini atau ‘consumption tax’ tetapi mahukan beberapa syarat penting mesti dilaksanakan oleh kerajaan terlebih dahulu. Pakatan Rakyat mahukan rakyat teramai mempunyai pendapatan yang menasabah bagi mampu menjalani kehidupan yang lebih bermaruah  atau ‘a dignified life’.

11. Bank Dunia sendiri telah mengisytiharkan bahawa gaji sebenar (real wage) rakyat Malaysia dengan mengambil kira faktor inflasi, hanya naik 2.8% dalam satu dekad yang lalu.

12. Gaji minima adalah satu kaedah memecah hambatan atau ‘bottleneck’ peningkatan pendapatan rakyat. Sudah terlalu lama perlaksanaan ‘Gaji Minima’ ditangguhkan Najib. Ini satu pengkhianatan! Najib masih berdolak-dalik seperti dulu juga. Memang Najib tak ada tulang belakang atau ‘spineless’ dalam banyak hal.

13. Pakatan Rakyat menuntut supaya dengan pembenterasan amalan rasuah, kronisme dan sesetengah jenis monopoli, oligopoli dan kartel, negara akan dapat meningkatkan pendapatan dari sumber penjimatan.

14. Sekaligus kos saraan hidup rakyat akan dapat dikawal dan diperturunkan serentak mengizinkan rakyat meningkatan pendapatan dan ‘pendapatan boleh berbelanja’ (disposable income).

15. Pakatan Rakyat bercadang GST hanya dilaksanakan ketika pedapatan rakyat adalah pada paras yang lebih munasabah dan tidak seperti hari ini di mana 60% dari isirumah mempunyai pendapatan kurang dari RM3000 sebulan. Hari ini hanya 10% sahaja mereka yang dalam pasaran kerja yang dikenakan cukai pendapatan kerana pendapatan yang rendah-sederhana.

16.   Kerajaan Najib juga mestilah mendidik rakyat tentang konsep dan perlaksanaan GST ini kerana sememangnya sistem cukai ini rumit dan tidak mudah difahami. Ada yang menganggap bahawa rakyat atau pengguna akan dikenakan cukai sebanyak 28% kalau kita mula dengan pengenalan 7%, kerana cukai yang dibayar pengimpot, pengilang, pemborong dan peruncit akhirnya akan dibebankan kepada pengguna.

17. Fahaman ini adalah silap kerana GST adalah menggunakan sistem nilai-tambah atau ‘Value-Added Tax’ ( VAT) seperti digunakan di beberapa negara seperti United Kingdom. Rakyat keliru bahkan ada akauntan juga tidak faham. Rakyat perlu difahamkan dengan betul.

18. Meskipun GST, sebagai sistem cukai baru yang bakal menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 5% itu adalah satu sistem yang lebih efisien dari segi pungutannya serta dapat mengurangkan ‘pengelakan cukai’ (tax evasion),  namun ianya perlu mengambil kira syarat-syarat yang lain termasuk menurunkan cukai pendapatan dan cukai korporat supaya ianya tidak terlalu membebankan rakyat dan lebih menasabah.

19. Terpaling penting ialah GST ini tidak dilaksanakan selagi sumber-sumber kebocoran dan pembaziran yang menelan berbilion RM setahun tidak ditangani.

20. Tegasnya, Kerajaan Najib jangan paksa dan dera rakyat dengan GST setelah rakyat ditipu untuk memberikan mereka kelebihan kerusi diparlimen sekali lagi dalam pilihanraya umum ke-13 yang lalu.

21. PM Najib, kalau anda mahu madunya, jangan jolok sarangnya ya!


Sumber

PASPB: MEDIA PENGAMPU DOK SOROK!!! BN rupanya kalah teruk...

PASPB: MEDIA PENGAMPU DOK SOROK!!! BN rupanya kalah teruk...: Media perdana menyembunyikan berita bahawa BN hilang deposit di 2 kerusi di Pulau Pinang. Lihat bukti di bawah ini. N.27 Pengkalan Kota, P...

Ahad, 19 Mei 2013

Takziah: Ketua Pemuda Umno Bagan Serai Meninggal.


Sharudin
Keadaan Sharudin yang terlantar di Unit Rawatan Rapi(ICU) Hospital Taiping sambil ditemani isteri dan ahli keluarga.
BAGAN SERAI - Ketua Pemuda Umno bahagian Bagan Serai, Sharudin Ahmad yang tidak sedarkan diri sejak tiga hari lalu disahkan meninggal dunia malam ini.

Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi hati, jantung dan buah pinggang setelah dijangkiti bakteria di Hospital Taiping jam 8.30 malam.

Sebelum ini arwah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping kerana mengalami masalah berkenaan.

Calon Barisan Nasional(BN) Dun Selinsing pada PRU13 itu meninggalkan seorang balu dan tiga anak setelah bertarung nyawa pada awalnya di Hospital Columbia Asia sebelum dipindahkan ke Hospital Taiping.

Ketika menjalani rawatan beberapa pemimpin politik sempat melawat beliau termasuklah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Umno Bahagian Bagan Serai, Datuk Zaili Cha.

Pada petang sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, Umno Bahagian Bagan Serai sempat mengadakan majlis doa selamat bagi memohon agar kesihatan Sharudin pulih.

Kepimpinan Umno Bahagian Bagan Serai sebelum ini sentiasa memantau keadaan Sharudin dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Tarmizi ketika ditemui menegaskan pihaknya bersimpati dengan keadaan Sharudin yang disifatkannya sebagai pemimpin politik mesra rakyat.

Menurutnya, Sharudin juga dianggap komited dalam perjuangan parti dan sentiasa memberikan yang terbaik sewaktu dipilih sebagai calon BN pada PRU13 lalu.

Sabtu, 18 Mei 2013

Adam Adli Ditangkap Atas Dakwaan Menghasut.


Aktivis pelajar Adam Adli ditangkap di Bangsar Utama hari ini dan akan disiasat di bawah seksyen 124 Akta Hasutan.

Menulis dalam twitternya awal pagi ini, Adam berkata dia ditangkap di Bangsar Utama dan sedang dibawa ke Balai Polis Jinjang.

Adam yang digantung pengajiannya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dipercayai ditangkap berhubung kenyataan beliau yang dibuat semasa forum selepas pilihan raya anjuran Suara Anak Muda Malaysia (SAMM) pada 13 Mei.

Dalam forum itu, Adam menyertai beberapa NGO anti-kerajaan memanggil satu perhimpunan jalanan besar-besaran untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap proses pilihan raya umum pada 5 Mei lalu.

Dalam ucapan ringkasnya, Adam berkata sepintas lalu bahawa dia kisah didakwa atas kesalahan menghasut berkaitan komennya pada malam tersebut.

Pelajar UPSI berusia 23 tahun itu sebelum ini disiasat kerana menurunkan bendera yang memaparkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di luar ibupejabat Umno di Kuala Lumpur tahun lepas. Sumber

Isnin, 13 Mei 2013

Antara Ahmad Said Dan Abdullah Qulliam.


“Pembinaan rumah mampu milik tidak akan dibina di kawasan Dun yang kita (Barisan Nasional) kalah”.

Demikian tutur Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang telah heboh seantero negara, setelah beliau diberikan mandat oleh rakyat Terengganu untuk mengemudi bumi Darul Iman. Itu pun setelah direstui perlantikannya oleh Sultan Terengganu yang kita hormati. Apa reaksi Tuanku Sultan, saya tidak pasti.

Kami sayang Ahmad Said selaku seorang pemimpin Muslim. Namun sayang sekali jika sebagai seorang Muslim, kenyataan di atas benar-benar diutarakan beliau.

Ahmad Said mengingatkan saya kepada Abdullah Quilliam. Nama mereka mungkin bermula dengan aksara ‘A’ yang sama, namun pendekatan mereka jauh berbeza, bahkan lebih jauh antara aksara ‘A’ dan ‘Z’.

Siapakah gerangan Abdullah Quilliam ini?

Abdullah Quilliam merupakan seorang peguam tersohor di kepulauan British pada penghujung abad ke-19. Abdullah, setelah memeluk Islam pada tahun 1887, telah membuka masjid pertama di Britain, di kota raya metropolitan Liverpool yang merupakan bandaraya kedua dalam Empayar British selepas London.

Abdullah Quilliam merupakan seorang tokoh masyarakat dan ulama’ yang sangat dihormati oleh penduduk Liverpool, sehingga Khalifah Turki Uthmaniyah, Sultan Abdul Hamid II menggelar beliau sebagai ‘Sheikhul Islam of British Isle’.

Makanan percuma

Pada tahun 1888, beliau telah memulakan pendekatan menghidangkan sarapan pagi percuma kepada kanak-kanak miskin yang kelaparan, tanpa mengira batasan ras, agama dan keturunan. Walaupun Islam merupakan agama minoriti di Liverpool pada zamannya (dan masih sehingga kini), beliau tidak membutakan matanya kepada anak-anak kecil yang majoritinya berbangsa Inggeris dan beragama Kristian.

Demi kanak-kanak miskin Kristian dan Muslim. Sama-sama disuap, sama-sama diusap.

Namun sayang sekali di Terengganu, hanya 17 kerusi yang ingin ‘disuap’.
Semasa sambutan hari Natal pula, Abdullah Quilliam akan menggandakan sesi pemberian makanan. Akhbar tempatan melaporkan antara 200 ke 400 orang kanak-kanak Inggeris dijamu makanan pada waktu pagi dan antara 400 ke 600 orang kanak-kanak Inggeris disuapkan sandwic daging dan menghirup teh panas, untuk mengatasi kedinginan musim sejuk yang mencengkam anak-anak kecil.

Berlaku adil dan berkasih sayang kepada rakyat yang susah, lebih-lebih lagi semasa sambutan hari Krismas, menjadikan Abdullah Quilliam lebih dekat dengan ajaran Nabi Isa a.s dan Nabi Muhammad s.a.w.

Abdullah Quilliam berlaku adil tatkala Muslim merupakan etnik minoriti.
Apa susah sangatkah untuk Ahmad Said berlaku adil semasa memimpin kumpulan majoriti?

Guru hebat, murid sama hebat

Lord Stanley of Alderley Edge merupakan salah seorang tokoh bangsawan yang telah memeluk Islam di hadapan Abdullah Quilliam. Semasa beliau meninggal dunia pada Disember 1903, penyempurnaan jenazah beliau menjadi konflik antara Abdullah dan paderi-paderi gereja.

Paderi-paderi gereja menyangka Lord Stanley masih seorang Kristian. Hujah mereka ialah beliau berterusan menyumbang perbelanjaan menyenggara gereja-gereja sedia ada dan membina gereja gereja baru di tanah-tanah milih beliau. Justeru mereka berpendapat bahawa jenazah Lord Stanley mesti diuruskan mengikut tatacara agama Kristian.

Namun Abdullah Quilliam menunjukkan surat wasiat Lord Stanley yang meminta agar jenazah beliau disemadikan berdasarkan tatacara Islam. Ini membuktikan beliau memang meninggal dunia sebagai seorang Muslim. Sungguh menarik apabila Abdullah berhujah bahawa beliau terus membiayai penyenggaraan dan pemulihan gereja-gereja di atas tanah beliau yang luas itu kerana itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab Lord Stanley sebagai seorang Muslim.

Indah sekali apabila ‘orang kita’ dibiaya, ‘orang mereka’ turut sama merasa.

Islam mendidik keadilan

Biarpun fizikal Abdullah Quilliam dan Lord Stanley lahir sebagai seorang Kristian, Islam telah membangunkan ruh mereka menjadi pemimpin yang adil. Mereka bertindak sebagai ‘khadimul ummah’, iaitu pelayan kepada ummah, melangkaui sempadan bangsa dan agama agar rakyat harmoni dan bahagia.
Nama ‘Said’ itu sendiri secara literalnya sudah bermaksud ‘kebahagiaan’.

Justeru, kami mengharapkan keadilan Datuk Seri memancarkan sinar kebahagiaan dalam kehidupan kami selaku rakyat.

Adilkah jika pada tahun 2008 wakil rakyat Barisan Nasional daripada ‘team B’ berterusan memulaukan Ahmad Said walaupun setelah diperkenaan Tuanku Sultan?

Adilkah jika seorang Menteri Besar digaji oleh seluruh rakyat namun hanya berkhidmat dengan syarat?

Adilkah jika rakyat di 15 Dewan Undangan Negeri tersebut menolak untuk membayar cukai pintu dan cukai tanah?

Adilkah apabila royalti hasil minyak negeri Terengganu pernah dinafikan kepada rakyat Terengganu oleh orang Terengganu sendiri?

Bibir kita boleh mengetap, namun hati kita pasti boleh menjawab.

Rakyat, samada yang memangkah atau tidak memangkah BN pada 5 Mei lalu, mesti bersikap adil dengan menghormati Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Demikian juga Ahmad Said mesti berlaku adil kepada sekalian rakyat Terengganu. Simbiosis keadilan ini yang akan mewujudkan kebahagiaan dan kemajuan.

Legasi keadilan

Setelah seribu tahun, Khalifah Umar Abdul Aziz terus diingati walaupun hanya memerintah selama dua tahun.

Selepas seratus tahun, Abdullah Quilliam meninggalkan kesan di hati orang Melayu walaupun beliau seorang Inggeris.

Selepas lima tahun, kami yakin Ahmad Said boleh bersifat lebih adil daripada kata-katanya.

Legasi ketokohan seorang pemimpin bukan pada tempoh pemerintahan mahupun pada bangsanya. Wibawa seorang pemimpin itu terletak kepada keupayaan melimpahkan keadilan untuk dinikmati seluruh rakyat jelata.

Orang Melayu, Cina dan India akan terus makmur dan sejahtera andai legasi Abdullah Quilliam dirasai bersama!Sumber
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular