Translate

Senarai Blog Saya

Jumaat, 20 Jun 2014

Kelebihan Bulan Rejab, Syaaban Dan Ramadhan



Assalamualaikum,

Alhamdulillah, syukur kepada Allah dapat ana mendengar kuliah selepas Maghrib kali ini yang akan diberikan oleh Ustaz Hanafiah Kris yang merupakan pembantu daftar bagi mahkamah Syariah di Gerik, di mana sebelum ini ustaz merupakan pembantu daftar bagi mahkamah Syariah di Kuala Kangsar. Antara pengajian yang pernah dilalui ialah pengajian empat bahasa iaitu bahasa melayu, bahasa arab, bahasa inggeris dan bahasa mandarin. Tajuk pengajian yang dibawa ialah kelebihan Rejab, Syaaban dan Ramadhan.

Ustaz memulakan pengajian dengan menyebut semula doa yang dibaca oleh imam selepas solat bermula bulan Rejab seperti yang telah dibaca oleh Rasulullah s.a.w.

Ustaz menyatakan terdapat banyak hadith dan juga pertikaian ulama berkaitan kelebihan berpuasa pada bulan Rejab dan Syaaban. Ini kerana tidak disebut secara khusus kecuali puasa pada 14,15 dan 16 yang menjadi sunat muakad pada setiap bulan. Namun begitu, pada bulan Syaaban dilarang berpuasa separuh bulan ke atas sekiranya tidak pernah berpuasa pada separuh bulan sebelumnya.

Ustaz melarang berpuasa penuh sepanjang dua bulan ini kerana memang tiada dalam Islam sedemikian. Walhal di dalam buku Tasawuf Kontemporari, diberitahu bahawa puasa yang paling afdal adalah puasa selang iaitu puasa seperti puasa Nabi Daud. Hadithnya adalah seperti dibawah.

Diriwayat Abdullah ibn A’mar r.a menyatakan bahawa beliau bersumpah untuk berpuasa sepanjang hari dan bertahajud setiap malam selagi hayat dikandung badan. Peristiwa ini disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya engkau tidak mampu bagi perkara itu. Maka berpuasalah dan berbukalah. Bangunlah pada malam hari dan tidurlah. Berpuasalah tiga hari daripada setiap bulan kerana satu kebaikan sama dengan sepuluh ganjaran, dan itu seumpama puasa sepanjang tahun.”

Abdullah menyatakan bahawa beliau mampu melakukan lebih banyak lagi. Maka Rasulullah s.a.w bersabda sebagai alternatif amalan, “Maka berpuasalah satu hari dan berbukalah (jangan berpuasa) selama dua hari.”

Sekali lagi Abdullah menyatakan bahawa beliau mampu melakukan lebih baik daripada itu. Maka sekali lagi Rasulullah s.a.w bersabda, “Maka berpuasalah satu hari dan berbukalah satu hari, maka itu adalah puasa Nabi Daud a.s dan itulah puasa yang paling afdal.”

Abdullah tetap menyatakan bahawa beliau masih mampu melakukan lebih daripada itu. Maka akhirnya Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada yang lebih afdal daripada itu.” Hadith riwayat Bukhari.

Pada setiap bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan ada peristiwa-peristiwa besar dan hebat yang berlaku.

Pada bulan Rejab, berlakunya peristiwa Isra’ Mikhraj yang berlaku pada 27 Rejab. Tahun berlakunya Isra’ Mikhraj dipanggil Tahun Dukacita kerana pada tahun itu, Rasulullah s.a.w kehilangan dua insan yang disayangi iaitu isteri baginda, Siti Khadijah dan bapa saudara baginda, Abu Talib. Maka Allah menceriakan Rasulullah s.a.w melalui peristiwa Isra’ Mikhraj.

Selain dari itu, bulan Rejab ialah berlakunya solat umat Islam lima waktu yang pertama. Sebelum ini, umat Islam hanya bersolat dua waktu iaitu waktu pagi dan petang namun sebaik sahaja solat difadhukan lima waktu maka dua waktu sebelumnya diharamkan oleh umat Islam bersolat. Solat pertama ialah solat Subuh, iaitu sebaik sahaja Rasulullah s.a.w kembali dari Isra’ Mikhraj.

Pada bulan Syaaban pula, adanya malam Nisfu Syaaban. Terdapat nas yang berkaitan dengan Nisfu Syaaban yang datang dengan penambahan iaitu pada malam Nisfu Syaaban, malam ke 15 Syaaban, Allah berfirman bahawa sesiapa yang meminta ampun kepada Allah melalui doanya maka doanya akan diperkenankan oleh Allah kecuali tiga golongan iaitu:-
  1. Orang yang syirik kepada Allah.
  2. Orang yang berzina dan tidak bertaubat nasuha. Malahan orang berzina ini meskipun orang lain berdoa untuk dirinya maka tidak diterima oleh Allah.
  3. Orang yang bermusuhan sesama Islam.
Bulan Ramadhan adalah satu-satunya bulan Islam yang disebut di dalam Al-Quran. Bulan-bulan lain tidak pernah disebut dalam Islam. Bulan Ramadhan adalah bulan di mana Al-Quran diturunkan, malahan kitab Samawi yang lain seperti kitab Injil, Taurat dan Zabur juga turun pada bulan Ramadhan.
Berlaku perselisihan pendapat ulama tentang penurunan Al-Quran di bulan Ramadhan namun kata ustaz, biarlah ulama berdebat, kita terima sahaja kerana mereka lebih tahu. Terdapat dua pendapat berkaitan hal ini :-
  • Maksud Al-Quran turun pada bulan Ramadhan adalah Al-Quran dibawa oleh Jibrail di dalam bentuk wahyu untuk diturunkan kepada Rasulullah s.a.w.
  • Maksud Al-Quran turun pada bulan Ramadhan adalah Al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz kepada langit dunia pada bulan Ramadhan.
Di dalam ayat Al-Quran di mana Allah berfirman bahawa Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan, Allah menyambung bahawa Al-Quran adalah sebagai petunjuk. Ini bermakna jika ada permasalahan, maka rujuklah Al-Quran kerana disitu ada penyelesaian. Kes-kes gejala sosial (atau musibah sosial) berlaku kerana tindakan susulan tidak mengikut Al-Quran.
Menurut ustaz, Al-Quran itu datang dengan tiga jenis petunjuk.
  • Petunjuk Umum – Petunjuk ini difahami oleh semua makhluk termasuklah haiwan, tumbuhan, dan apa juga makhluk ciptaan Allah.
  • Petunjuk Kebaikan – Petunjuk ini ditunjukkan kepada golongan bukan Islam untuk menunjukkan kebaikan dan keindahan Islam agar mereka tertarik memasuki Islam.
  • Petunjuk Hidayah – Petunjuk ini hanya dapat dirasai dan dilihat oleh orang-orang yang beriman sewaktu mereka membaca Al-Quran dan memahami isi maksudnya secara rohaniah.
Sebelum ini, orang arab tidak mempunyai bulan-bulan. Mereka meletakkan sesuatu berdasarkan suatu peristiwa. Apabila Abrahah menyerang Mekah, mereka meletakkan waktu itu sebagai waktu asal bagi Tahun Gajah. Kemudian, ketika Rasulullah s.a.w lahir mereka mengubah sistem tahun kepada “Tahun Kenabian”. Bulan-bulan Islam telah wujud sebelum kelahiran Rasulullah s.a.w lagi cuma orang arab tidak mengetahui mengenainya.

Pada bulan Ramadhan, syaitan-syaitan diikat. Isu syaitan diikat ini pun ada beberapa perselisihan pendapat ulama. Seperti kata ustaz, biarkan saja ulama berdebat, kita terima sahaja. Terdapat dua pendapat tentang syaitan diikat.
  • Syaitan diikat secara fizikal. Ini bermakna syaitan dibelenggu dan memang tidak dapat berkeliaran.
  • Syaitan dilemahkan, dan perkataan ikat itu sebagai sindiran kepada syaitan di mana syaitan terhalang dari mengganggu orang yang beriman.
Berkaitan pendapat pertama, ada pertanyaan jika syaitan diikat secara fizikal, mengapa orang masih berbuat jahat? Menurut ustaz, perkara ini pernah ditanya (berulang kali) dan jawapan paling baik ialah roti canai (roti canai lagi…macam contoh ceramah sebelum ini). Kata ustaz, hati itu ibarat tempat pembakar roti canai dan syaitan itu api. Setelah lama memanaskan pembakar roti itu, meskipun api sudah dipadamkan namun tempat pembakar roti canai itu masih panas. Sama juga halnya dalam keadaan ini. Setelah 11 bulan syaitan membakar hati, 1 bulan masih terasa panasnya meskipun syaitan dibelenggu.

Bulan Ramadhan adalah bulan pengampunan besar-besaran. Allah mengampuni semua dosa umatnya yang memohon ampun secara ikhlas kepada Allah kecuali dosa yang berkaitan dengan manusia.

Bulan Ramadhan juga adanya solat Tarawikh. Solat Tarawikh adalah khusus kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. Ini kerana umat terdahulu tidak diberikan kelebihan solat Tarawikh. Solat Tarawikh tidak mempunyai had berapa rakaat yang boleh dilakukan maka tidak perlu diperdebatkan. Rasulullah s.a.w buat 8 rakaat namun disambung dengan solat sunat di rumah.

Di bulan Ramadhan, amalan dilipat gandakan. Pada bulan Ramadhan, pahala amalan bagi perkara sunat ialah pahala sunat+pahala wajib. Manakala pahala amalan bagi perkara wajib ialah 70 kali ganda dari bulan-bulan yang lain. Namun begitu, pahala amalan di Masjidil Haram dan sekitarnya ialah 100,000 kali ganda. Masjidil Haram dan sekitarnya adalah satu-satunya tempat di mana umat Islam dapat bersolat tanpa had. Selepas Asar pun boleh solat sunat, tidak seperti tempat lain di mana ia diharamkan.

Berpuasa 6 hari selepas bulan Ramadhan di bulan Syawal akan mendapat pahala seperti berpuasa selama setahun.

Sebelum menutup pengajian, ustaz menasihati diri sendiri dan kariah bahawa dunia ini diibaratkan sebagai kedai runcit. Sekiranya di kedai runcit itu sendiri pun sudah merasai betapa hebatnya nikmat yang ada, maka sudah pasti akan terasa lebih hebat nikmatnya di akhirat yang mana ia ibarat Shopping Mall yang sangat-sangat besar dan berbagai isi di dalamnya. Sumber
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular