Translate

Senarai Blog Saya

Khamis, 25 September 2014

Pengundian PRK Pengkalan Kubor.


Sebanyak 11 pusat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor dibuka mulai 8 pagi ini bagi membolehkan sebanyak 23,929 orang pengundi biasa menunaikan tanggungjawab mereka. 

Kesemua pusat mengundi itu akan ditutup pada pukul 5 petang ini. 

Penjumlahan undi dijangka bermula sebaik pusat mengundi ditutup dan akan dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Biji Wangsa di sini. 

Pengundian awal pada 21 September lepas, menyaksikan sebanyak 96.3 peratus atau 105 orang daripada 109 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka di Dewan Delima, Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat. 

Terdapat 45 saluran mengundi bagi PRK itu membabitkan 11 buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 1, Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 2, Sekolah Menengah Ugama (Arab) Meheliah Geting, Sekolah Kebangsaan Geting (1). 

Sekolah Kebangsaan Simpangan, Maktab Rendah Sains MARA Tumpat, Sekolah Kebangsaan Bunohan, Sekolah Kebangsaan Sri Neting, Sekolah Kebangsaan Bendang Pa' Yong, Sekolah Kebangsaan Teluk Jering dan Sekolah Menengah Kebangsaan Geting. 

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi mencecah 70 peratus, iaitu kurang daripada lebih 80 peratus pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu. 

Abdul Aziz juga menjangkakan keputusan PRK DUN Pengkalan Kubor itu dapat diumumkan kira-kira, 9 malam ini. 

Sementara itu, pengundi dinasihat supaya keluar awal mengundi berikutan cuaca diramal elok pada sebelah pagi ini. 

PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary. 

PRK itu diadakan ekoran kematian wakil rakyat daripada BN Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas. 

Pada PRU Umum ke-13, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi. - Bernama
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular