Translate

Senarai Blog Saya

Sabtu, 6 September 2014

TGHH Tidak Kesah Langsung Kewujudan PASMA..!!


Ketika ditanya tentang spekulasi penubuhan sebuah parti baharu ‘pecahan’ PAS yang dinamakan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang bakal memberikan saingan kepada parti itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjawab beliau tidak tahu menahu mengenainya. 

Namun, beliau menyifatkan itu perkara biasa dan pernah berlaku dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia. 

“Negara kita demokrasi dan pernah dulu ada parti Islah, parti Imam, parti Suara Islam. Ia pernah ditubuhkan dulu, itu biasalah dalam negara demokrasi,” katanya. 

Abdul Hadi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas kuliah mingguan pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang, semalam. 

Parti Al-Islah merujuk kepada parti serpihan PAS di Kelantan yang menentang gabungan PAS dengan Parti Melayu Semangat 46 (S46) membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada tahun 1990. 

Satu lagi serpihan PAS adalah Parti Imam (Ikatan Muslimin Insaf Malaysia) yang ditubuhkan di Kelantan pada tahun 1977. 

Menurut blog cikguzain, parti IMAM dipimpin oleh Hassan Mat Leh, gagal didaftarkan, namun ahli-ahlinya bertanding sebagai calon-calon bebas pada Pilihanraya Umum 1978, di mana kesemua calon-calonnya kalah dengan perolehan undi yang rendah. 

 Cikgu Zain juga berkata selain Parti IMAM terdapat satu lagi parti serpihan PAS yang dinamakan IKATAN (Ikatan Masyarakat Islam Malaysia), ditubuhkan dalam tahun 1991, di bawah pimpinan Abdul Wahab Yunus, bekas Ahli Parlimen PAS Dungun. 

IKATAN kemudian diambil alih oleh sekumpulan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menukarkannya kepada Parti Keadilan Nasional (Keadilan) pada tahun 1999. 

Parti Suara Al Islam pula merujuk kepada satu kumpulan yang dipimpin Khalid Samad ketika belajar di Universiti Leeds, United Kingdom pada tahun 1970-an. 

Sekembalinya beliau ke Malaysia, Suara Al Islam cuba mendaftar sebagai Parti Negara Islam, namun ditolak oleh pendaftar pertubuhan pada tahun 1981 dan pada tahun 1983, Khalid membubarkan parti itu dan menyertai PAS. 

Semalam, Abdul Hadi turut menjawab isu PAS menghantar tiga nama calon Menteri Besar kepada Sultan Selangor. 

Abdul Hadi berkata kesediaan PAS menghantar tiga nama menggambarkan ketegasan pendirian parti itu tanpa dipengaruhi PKR dan DAP. 

“Kita tidak mengalah, kita berpegang kepada konvensyen pakatan rakyat yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan Raja Berperlembagaan dalam pakatan,” katanya 

Harakahdaily turut melaporkan Abdul Hadi telah diasak oleh pihak media agar PAS mendedahkan senarai nama calon itu dan ditanya benarkah nama Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail tiada dalam senarai tersebut. 

“Itu (nama calon) saya tak boleh sebut… takboleh sebut. Ini setelah saya serah kepada Sultan (Sharafuddin Idris Shah) saya tak boleh lagi sebut apa-apa,” jelasnya. 

Sekadar gambar

Berikut adalah transkrip penuh temubual ringkas Presiden PAS yang disediakan Harakahdaily : 

Soalan (S): Sekarang ini, PAS telah hantar tiga nama yang ditandatangani oleh Datuk Seri (Abdul Hadi) sendiri. Jadi, Datuk Seri nak sahkan? 

Jawapan (J): Saya mengikut budi bicara Presiden PAS sejak tahun 1959, saya ikut Presiden PAS dulu yang pernah memerintah Terengganu, Kelantan. Pernah memerintah Kedah dan pernah memerintah Terengganu lagi. Pernah kita (PAS) sendiri. Pernah dalam BarisanNasional (BN). Pernah Pakatan Rakyat, Dr Burhanuddin, Dr Asri dan zaman Almarhum Ustaz Mohd Fadzil Noor. Saya ikut budi bicara Presiden PAS ini. Saya berpegang kepada prinsip dan konsep Perlembagaan iaitu “Raja Berperlembagaan”. 

S: Tiga orang yang dicalonkan oleh PAS (jawatan MB) itu boleh… 

J: Saya tak boleh beritahu, tak boleh mendahului Istana. 

S: Yang (dikatakan) seorang dari PAS dan dua PKR itu? 

J: Itu, kita (PAS) serah kepada Istana… itusahaja. 

S: Tapi Datuk Seri, sumber yang sebelum ini memang telah dinafikan tapi yang pastinya antara tiga daripada nama itu memang tidak ada Datin Seri Wan Azizah? 

J: Itu saya tidak mahu serkap jarang. Saya tidak mahu bagi media serkap jarang, setelah saya serah kepada Istana dan Istana ‘berpijak’ diatas konsep Raja Berperlembagaan. 

S: Datuk Seri, adakah keputusan ini pendirian PAS sendiri atau menggambarkan PAS telah mengalah kepada parti lain? 

J: Tidak mengalah, kita (PAS) berpegang kepada konvensyen Pakatan Rakyat yang meletakkan Islam agama Persekutuan, Raja Perperlembagaan. Itu dalam Pakatan Rakyat. 

S: Datuk Seri, satu lagi ini ada penubuhan parti baru iaitu Parti Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) dan ‘top leader’ ialah Fakhrolrazi… macam mana tu? 

J: Saya tak tahu… saya tak tahu tu. 

 S: Adakah ini boleh memberi saingan kepada PAS? 

J: Negara kita demokrasi dan pernah dulu parti Islah, parti suara Islam dan sebagainya pernah ditubuhkan itu biasalah dalam negara demokrasi. 

S: Jadi Datuk Seri, memang benarlah tidak ada nama Datin Seri Wan Azizah yang dihantar ke Istana? 

J: Itu saya tak boleh sebut… tak boleh sebut. Ini setelah saya serah kepada Sultan (SharafuddinIdris Shah) saya tak boleh lagi sebut apa-apa. 

S: Terima kasih, Datuk Seri (Abdul Hadi).
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular