Translate

Senarai Blog Saya

Jumaat, 13 Februari 2015

Perginya Murabbi Yang Hidupnya Demi Islam... Al-Fatihah


"Dengan penuh dukacitanya dimaklumkan murabbi ummah, Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah kembali menemui Tuhannya sekitar jam 9:40 malam ini. 

"Semoga beliau ditempatkan bersama-sama para solehin. Insya Allah solat jenazah akan disempurnakan jam 10.00 pagi esok," ujar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerusi facebook. 

Beliau juga mengingatkan kepada semua yang ingin menziarahi sama ada jauh dan dekat agar sentiasa berhati-hati di jalan raya dan mematuhi segala peraturan. Bagi timbalan beliau, Mohamad Sabu pula berkata rakyat Malaysia kehilangan seorang pemimpin dan 'guidance' kepada seluruh rakyat negara ini tanpa mengira kaum dan agama. 

Katanya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah pemimpin yang mencipta fenomena baru dengan teladan beliau menjadi pimpinan kerajaan, bukan untuk mencari kekayaan peribadi, pangkat mahupun nama tetapi sebagai guidance untuk semua rakyat Malaysia.

Biodata Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Nama : Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: 1931
Tempat lahir : Kampung Pulau Melaka, Kelantan.

Pengajian:

1-Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut
2-Universiti Deoband India
3-Universiti Lahore Pakistan
4-Universiti Al Azhar
5-Sarjana Muda bahasa Arab
6-Sarjana Perundangan Islam

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931.

Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.

Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid.

Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.

Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.

Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih tua.

Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.

Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris.

Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.

Sekitar kediaman Murabbi Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz


"Dengan izin tuhannya, para malaikat datang menyempurnakan tugas mengiringi roh ayahanda menuju penciptanya tepat jam 9.40 pada malam Jumaat yang agung.

"Semoga ayahanda berbahagia di sisi Allah," katanya dalam rakaman di laman itu.

Katanya lagi, jenazah bapanya itu akan disembahyangkan pada jam 10 pagi esok di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka.

Gambar yang dirakam pada malam ini menujukkan ramai penyokong berhimpun di perkarangan rumah bapanya itu di Pulau Melaka.

Terdahulu, ADUN Chempaka itu dibawa pulang ke kediamannya dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian jam 8.40 malam ini.

Kanser prostat 

Nik Abduh dalam tulisan terdahulu di Facebook petang ini berkata, tahap kesihatan bapanya itu merosot selepas rawatan ulser semalam. Bekas menteri besar itu, yang turut mengidap kanser prostat dimasukkan ke HUSM pada 19 Januari lalu. Tahap kesihatannya merosot ketika bah besar melanda negeri itu.

Allahyarham, 84, meninggalkan seorang isteri, Tuan Sabariah Tuan Ishak dan sepuluh orang anak.

Seorang daripadanya, Nik Abduh, menjadi ahli politik PAS dan kini menjadi MP Pasir Mas. Allahyarham mendapat pendidikan dalam bahasa Arab dan perundangan di Universiti Al-Azhar di Mesir dan merupakan seorang ulama yang disegani di kalangan masyarakat Islam.

Rampas Kelantan 

Nik Abdul Aziz memenangi kerusi parlimen Kelantan Hilir (kini Pengkalan Chepa) dalam pilihan raya kecil 1967, selepas menyertai PAS pada tahun itu.

Beliau juga memainkan peranan utama dalam mengukuhkan semula PAS dan membolehkan parti itu menawan semula Kelantan pada 1990 dan menamatkan pentadbiran BN selama 12 tahun.

Beliau seterusnya dilantik menjadi menteri besar dan kekal di jawatan tersebut sebelum bersara pada 2013.
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular