Translate

Senarai Blog Saya

Rabu, 18 Mac 2015

Bila MP PAS Lebih Pentingkan Rakan Pakatan Dari Hukum Allah SWT.





Apa kata-kata yang sesuai buat MP-MP PAS yang sanggup mengeluarkan kenyataan agar pindaan EKJS II yang di bentangkan oleh kerajaan Kelantan perlu di tangguhkan dengan alasan kerja-kerja pemulihan banjir lebih penting dan Hudud belum sesuai di bentangkan. Layakkah orang-orang seperti ini berada didalam PAS yang sanggup menjual maruah demi menjaga hati rakan Pakatan. 

Mereka seperti mempersenda-sendakan Allah dengan alasan bodoh yang tidak mencerminkan sebagai seorang yang beriman sedangkan mereka mengaku yang mereka adalah golongan profesional beriman yang hebat-hebat dengan berkelulusan perundangan atau kedoktoran atau kejuruteraan.

Adakah mereka juga boleh menangguhkan ajal mereka kerana kehebatan mereka bercakap tentang penyelewengan 1MDB dengan memperlekehkan golongan ulama yang bagi mereka hanya tahu bab agama sahaja dan apabila ditegur, mereka dengan angkuh menyebarkan fitnah terhadap golongan yang tidak bersetuju dengan mereka. Apabila diberi amanah menjaga rahsia parti,  mereka sanggup membocorkannya atas nama rakan pakatan.

Belum sampai masa yang kondusif untuk hudud di laksanakan kerana proses untuk merealisasikan undang-undang itu memerlukan perbincangan secara terbuka serta membabitkan banyak proses perundangan kata Dr Dzulkifly Ahmad, pakar kajian PAS Pusat yang cukup hebat sejak menjadi ahli parlimen. Agak-agak Dr, bila pula masa yang paling sesuai atau afdal untuk di laksanakan.

Saya tidak suka menggunakan perkataan 'andainya TGNA atau si polan-si polan' masih ada (sebagai contoh) kerana kita sekarang ini berpijak di bumi yang nyata. Kenapa beliau begitu celupar mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang memperbodohkan dirinya sendiri menggunakan alasan-alasan yang dangkal sedangkan inilah peluang yang di nanti-nantikan setelah 22 tahun EKJS II (1993) tergantung disebabkan surat ugutan dari Mahathir.

Setelah PAS mendapat lampu hijau dari menteri, beliau telah menjadi penentang pula kepada perundangan Islam atau hudud. Beliau bagaikan menjadi jurucakap DAP dalam menangani isu ini dan sebagaimana kata TGHH bila banjir melanda Kelantan. TGHH mengatakan bahawa hujan yang turun itu adalah Rahmat dan banjir itu adalah rezeki dari Allah untuk hamba-hambanya yang beriman. Maka riuh rendahlah mereka-mereka ini memperlekehkan apa yang yang dikatakan oleh TGHH, ini bukan Rahmat tetapi adalah bala untuk rakyat Kelantan. 

Bagaimana seorang ulama boleh mengatakan banjir itu rezeki sedangkan semua harta benda, rumah, prasarana musnah. Kita akur dengan cemuhan dari orang-orang yang mengaku Islam tetapi imannya senipis kulit bawang. Sebagai seorang yang beriman, tidakkah kejadian itu untuk menguji keimanan hamba-hambanya agar bersabar akan dugaan yang dahsyat itu dengan ganjaran pahala dan dosa-dosa diampunkan. Mungkin 5 atau 10 tahun lagi mereka akan mengimbas kembali bagaimana sebelum banjir rumah atau kemudahan yang mereka miliki setanding dengan apa yang mereka perolehi selepas banjir.


Alasan yang diberi oleh pakar undang-undang dan doktor pakar yang terhebat yang pernah PAS miliki pula memberi alasan bahawa pemulihan banjir di Kelantan lebih penting dari hukum hudud yang di bentangkan di mana laporan MP Dr. Hatta ini dibuat sebelum pelaksanaan dilakukan pada hari ini. Sebelum itu beliau yang berjawatan tinggi di dalam PAS cuba membuat fitnah bahawa PAS di lihat gagal mendapat sokongan ahlinya sendiri. Adakah beliau berani meminta maaf di atas fitnahnya terhadap ahli-ahli PAS berkaitan sokongan padu ahli dan pemimpin PAS yang menyokong penuh perbentangan di DUN Kelantan.

Sokongan itu bukan sahaja dari PAS, malah adun Umno dan penduduk bukan Islam di Kelantan sendiri menyokongnya. Beliau dengan alasan pemulihan banjir besar yang berlaku di Kelantan tetapi banyak maklumat mengatakan bahawa sendiri tidak pernah bersama-sama rakyat marhaen di Kuala Krai yang mana Kuala Krai adalah kawasan parlimen yang diwakilinya. Layakkah orang seperti ini dicalonkan semula pada PRU akan datang dan diberi kedudukan AJK PAS Pusat pada Muktamar pemilihan nanti.

Siapa yang tidak mengenali Hanipa Maidin, pengamal undang-undang sekular terhebat yang sudah bergelar ahli parlimen setelah menang di Sepang. Kemenangnya sikit sebanyak berjasakan TSKI yang amat disenangi oleh rakyat Selangor sehingga PR menang besar di Selangor sebelum beliau disingkirkan oleh PKR selepas 'Langkah Kajang' untuk merealisasikan cita-cita besar seorang individu.

Beliau lebih mendahulukan pemimpin parti lain dari pemimpinnya sendiri dengan mengatakan yang PAS bermasalah berpresidenkan TGHH kerana tidak mengikut cita rasanya yang bercita-cita besar sehingga MSU diperlekehkan dengan menggunakan Juham sebagai platfomnya. Sedangkan Juham ditubuhkan untuk membantu PAS berkaitan undang-undang sekular tetapi kerana sudah merasakan dirinya hebat sejak berjawatan MP maka MSU yang menjadi rujukan PAS yang bersumberkan al-Quran dan Hadis telah dijadikan musuhnya.

Mungkin kerana didalam MSU terdiri daripada pakar-pakar tafsir al-Quran, Hadis di mana tiada orang-orang sepertinya yang layak untuk bersama para ulama. Kerana itulah tiada berlaku soalan bocor sebagaimana perkara berlaku didalam mesyuarat AJK Pusat maka diuar-uarkan berlakunya pertembungan di antara ulama dengan profesional di dalam PAS. Benarkah perkara itu berlaku seperti yang mereka hebohkan atau hanya segelintir sahaja yang gila kuasa tidak berpuas hati maka dikatakan semua profesional satu pendapat dengan sebagaimana.

Isu UG, kekalahan Terengganu, Kedah pasti akan dijadikan modal oleh parasit-parasit ini tanpa menyebut apa yang berlaku pada Perak. Saya yakin mereka tidak akan berani membabitkan kejatuhan Perak ke tangan BN kerana ia akan menguris hati rakan pakatan mereka iaitu DAP dan PKR. Pasti akan menyusahkan mereka untuk ke Putrajaya. Dulu TGHH pernah berkata yang beliau tidak pasti sempat atau tidak untuk melihat Islam tertegak di bumi Malaysia kerana ranjaunya terlalu hebat di mana kata-kata TGHH itu saya dengan penuh yakin selagi beliau hidup, PAS tidak akan sesekali bersama Umno.

Perletakkan jawatan 17 ajk PAS Batu yang kononnya tidak setuju dengan TGHH sebenarnya adalah satu rahmat buat PAS kerana kebanyakan mereka adalah parasit yang bersarang di dalam PAS. Dengan sombong mereka memberi kata dua yang mereka akan kembali jika PAS tidak lagi berpresidenkan TGHH. Kenapa mereka tidak terus meletak jawatan sebagai ahli PAS jika mereka benar-benar hebat kerana orang-orang seperti inilah yang diperlukan DAP dan PKR. Mereka mengharapkan yang PAS batu akan memujuk mereka kerana tanpa mereka PAS akan hancur.

Sebagai seorang Islam saya doakan agar PAS tetap dan bertambah kukuh dari anasir-anasir yang gila kuasa. Saya sanggup menunggu 50 tahun lagi jika dipanjangkan umur dari menjual agama kepada yang gila kuasa. Sesungguhnya kemenangan Islam bukan perkara yang mudah kerana keikhlasan bukan mudah dicari. Untuk DAP, kenapa urusan umat Islam pun kamu hendak masuk campur dan sedarlah pemimpin yang mengaku Islam tetapi apabila melibatkan hukum, undang-undang kafir laknat juga yang menjadi sanjungan dan kerana itulah 'kamu dengan ugamamu dan aku dengan agamaku'./Musafirlalu

Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular