Translate

Senarai Blog Saya

Rabu, 8 April 2015

Palestin Dikecewakan, Yaman Di Serang.



Sudah lebih setengah abad bumi Palestin ditakluk Zionis Yahudi, hingga membolehkan mereka menubuhkan negara haram Israel ke arah menegakkan empayar Yahudi untuk menakluk dunia. Inilah sebenarnya hasrat mereka sebagai satu dongengan yang menjadi cita-cita pelampau Yahudi. 

Sejarah juga merakamkan peristiwa kerjasama atas semangat kebangsaan Arab untuk menjatuhkan Khilafah Uthmaniyyah sejak satu abad, tanpa dinafikan kesilapan dan kelemahannya. Di samping itu, kejatuhan khilafah juga adalah menjadi buah catur kerajaan Pahlavi yang mendukung mazhab Syiah Imamiyyah di Iran dan kerajaan Imam di Yaman yang mendukung mazhab Zaidiyyah. Walaupun semuanya berada dalam lipatan sejarah, namun fanatik mazhab dan semangat kebangsaan yang diapi-apikan menjadi senjata musuh untuk menjatuhkan kerajaan Islam secara mengadu domba. 


Balasannya ialah Palestin bersama Masjid Al-Aqsa dirampas dan tanah air umat Islam dijajah seluruh pelosok dunia secara langsung atau tidak, semuanya laksana dicucuk hidung. Malangnya lagi apabila hari kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah telah menjadi hari kebangsaan bagi kebanyakan negara-negara Arab.

Kini, Islam bangkit semula untuk menyelamatkan dunia daripada bencana tamadun barat yang maju aspek fizikal semata tanpa mempunyai nilai roh nya. Kemajuan persenjataannya telah menjadikan manusia lebih ganas untuk membunuh mengatasi keganasan binatang paling buas, kerana mereka menghasilkan senjata pemusnah yang boleh membunuh berjuta manusia, namun binatang paling buas dan paling ganas tidak semampu itu.  

Kemajuan perubatan melampaui batas kepada penyalahgunaan dadah dan candu berbagai jenama yang merosakkan akal. Sepatutnya kemajuan ini berusaha untuk berfikir untuk mencari ilmu bermanfaat, tiba-tiba dirosakkan dengan khayalan yang merosakkan fikiran dan jasad.

Kemajuan pembangunan telah merosakkan alam sekitar dan cuaca dunia sehingga berlakunya fenomena yang menakutkan. 

Islam yang mencapai sedikit kedudukan secara demokrasi dihalang mentadbir negara. Kumpulan yang menjuarai kemenangan di Palestin dihalang mentadbir bumi yang luasnya walau hanya sekangkang kera di Gaza. Israel melancarkan serangan ganas ke atas Gaza sehinggakan penduduknya dikepung supaya kebuluran dan menyerah kalah, ramai pula yang gugur dan cedera. 

Rasulullah S.A.W. bersabda: “Ada satu kumpulan di kalangan umatku yang menegakkan kebenaran (agamanya) mereka tidak boleh diperlakukan sewenang-wenang oleh musuh atau kalangan yang mengecewakan mereka, sehingga tibanya urusan Allah (yang menentukan kemenangannya)”. Lalu ditanya;” Siapakah kumpulan itu”. Sabdanya: ”Penduduk Bait Al Maqdis dan sekelilingnya”. 

Yang paling mengecewakan ialah negara-negara jiran Arab yang kaya raya. Palestin pada umumnya adalah penganut mazhab Sunni berbangsa Arab dan dibiarkan Selatan Lubnan dibelasah Israel kerana mereka menganut Syiah? Sudah berlalu beberapa tahun dikecewakan. 

Tiba-tiba tercetus serangan oleh negara-negara Arab ke atas Yaman, di mana perisytiharannya diumumkan di Washington dan New York dengan kenyataan bahawa tindakan itu dengan persetujuan Amerika dan Presiden Obama. Selepas itu diadakan persidangan kemuncak negara Arab di Syarmu Al Syaekh di Mesir. Mereka memberi alasan kerana Yaman sudah dikuasai pengaruh Iran bermazhab Syiah.

Permulaannya berlaku seminggu sebelum serangan negara Arab ke atas Yaman, Perdana Menteri Israel telah membuat lawatan tanpa jemputan Presiden Barack Obama dan berucap di Perhimpunan Yahudi dan di Kongres AS tanpa Obama. PM Israel menegaskan bahawa sangat bahaya apabila Iran berjaya menguasai Yaman kerana akan membahayakan keselamatan Israel. Maka fatwa berperang menghadapi Syiah di Yaman diapi-apikan. 

Marilah kita soroti kembali kepada ucapan Khalifah Umar bin Al Khattab R.A. ketika melawat penyerahan Kota Suci Bait Al-Maqdis kepada Islam di atas permintaan Paderi Besar Bait Al-Maqdis, Umar R.A. menegaskan: “Kita adalah umat yang dimuliakan Allah kerana berpegang dengan Islam. Sekiranya kita meninggalkan Islam nescaya kita menerima hukuman Allah menjadi bangsa yang hina”.

Selepasnya Khalifah Umar R.A. melawat gereja besar Bait Al-Laham. Apabila tiba waktu solat, Saidina Umar bertanya: “Di mana tempat boleh saya bersembahyang?” Paderi Besar menjawab: “Sembahyang dalam gereja ini”. Umar pula menjawab: ”Kalau saya bersembahyang di sini nanti gereja ini  akan dirobohkan oleh generasi kemudian kerana mereka mahu membina masjid di sini”. Akhirnya Umar memilih sembahyang di luar, dan di tempat beliau solat kemudiannya telah dibina sebuah masjid bersebelahan gereja dan menjadi lambang perpaduan Islam dan Kristian untuk menentang kezaliman Zionis di bumi Palestin. 

Hujah menyerang Yaman kerana bahaya Syiah sangat memalukan, kerana fatwanya dikeluarkan selepas fatwa Obama dan tauliah daripada Amerika dan sekutunya.

Golongan Syiah dan Khawarij sudah bercampur dalam masyarakat Sunni lebih seribu tahun. Mereka dibenarkan mengerjakan haji dan sebahagiannya berada di tanah suci Makkah tanpa halangan, pengajian mereka dimasukkan ke dalam kitab-kitab Sunni. 

Zaman keemasan Islam dahulu telah berlakunya perkembangan Islam dengan adanya semua mazhab termasuk mazhab yang terkeluar daripada Islam. Imam Malik menegaskan: “Sekiranya ada seratus hujah, tiba-tiba ada satu sahaja yang menetapkannya bersama Islam, maka hukumkannya bersama Islam”.

Sepatutnya apabila berlaku masalah serantau dikumpulkan negara serantau Arab dan bukan Arab, Sunni, Syiah dan Khawarij duduk dalam satu meja. Persoalannya, di manakah peranan OIC kalau tidak mengatasi masalah seperti ini? 

Sangat memalukan negara serantau menjemput bekas penjajahnya datang menjadi imam dan mufti untuk menyelesaikan masalah umat. Lebih memalukan lagi apabila bermesyuarat untuk berperang sesama sendiri. 

Sangat memalukan jika peperangan itu kerana menjaga keselamatan Israel dan kepentingan kuasa besar dan berperang kerana menjadi wakil atau proksi mereka. Berperang dengan duit umat Islam untuk membunuh dan mencederakan diri kita sendiri dengan senjata orang lain yang mengambil kesempatan menjual senjata dengan bayaran yang mereka pula menentukan harganya. Inilah akibat daripada kebodohan kita.

Jadilah laksana pepatah bahasa Melayu yang patut diterjemahkan ke dalam bahasa Arab: “Lesung dan alu yang bertumbuk ayam pula yang kenyang”.

Ingatlah sabda Rasulullah S.A.W.: “Seseorang yang beriman itu tidak seharusnya disengat sebanyak dua kali daripada satu lubang yang sama”.

Cukuplah peristiwa kuasa Barat dan Syaitan Lawrence yang bersejarah hitam menjadi pengajaran kepada dunia Arab dan Islam.

Akhirnya saya mengucapkan kata-kata Nabi Lut yang lemah menghadapi kaumnya yang ganas:

أَلَيْسَ مِنْكُمْ رَجُلٌ رَشِيدٌ (78) هود.
Tidakkah ada di kalangan kamu seorang yang berakal (boleh berfikir dengan baik).



ABDUL HADI AWANG

PRESIDEN PAS
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular