Translate

Senarai Blog Saya

Isnin, 18 Mei 2015

Kami Bukan Pemimpin Tetapi Kamilah Akar Umbi.

Kami tidak sehebat para pemimpin PAS yang naik begitu cepat kerana kami tidak sebijak atau berpelajaran tinggi. Kami hanya pendokong PAS yang bekerja bukan kerana wang ringgit mahu pun jawatan yang perlu diburu. Kami tidak meminta tetapi kamilah yang memberi walau pun senilai 10 sen kerana kami yakin dengan janji Allah s.w.t. dan Rasul Nya yang Islam pasti akan menang walau pun kami tidak tahu bila. Kami tidak tahu adakah kami sempat melihat dan merasainya tetapi janji Allah itu benar. Mungkin kami tidak sempat tetapi kami pasti legasi kami akan merasainya.
Perjanjian Pangkor

Kami mendokong perjuangan PAS kerana inilah sahaja parti yang dasarnya adalah al-Quran dan as-Sunnah sebagai perlembagan tertingginya. Setiap kali pilihan raya, kamilah yang bekerja memanjat untuk memasang banner dan poster tanpa mengharapkan imbuhan dari keringat kami. Kami bukan profesional yang belajar sampai di universiti baik dari dalam mahu pun luar negara sehingga peringkat Phd. Kami juga bukannya ustaz atau ulama yang pulang belajar dari Timur Tengah. 


Kami hanya petani, peladang, nelayan, kerani yang bersyukur dengan anugerah yang diberikan oleh Allah s.w.t. dan dengan hasil itulah kami menyara keluarga kami. Jika ada lebih kami menyumbang lebih mengikut kemampuan kami. Kami bukan pemimpin dan jika ada pun hanyalah di peringkat cawangan tetapi kamilah akar umbi PAS. Kamilah yang mengerakkan PAS mengikut arahan pemimpin yang kami sayangi baik bertaraf ulama mahu pun profesional. Kami wala dan taat mereka selagi mana mereka taat kepada al-Quran dan as-Sunnah.


Demi kuasa dan menjaga hati musuh Islam (yang mereka katakan rakan PR) mereka sanggup menghina dasar PAS.

Kami mengangkat mereka untuk menjadi pemimpin kami kerana kami yakin bahawa mereka akan merealisasikan cita-cita kami untuk melihat Islam di daulatkan di bumi yang kami pijak ini tanpa mengira mereka ulama atau profesional. Kami tidak akan sesekali memberi sokongan atau bersama dengan Umno kerana dasar sekular mereka yang kuat. Kami ingin melihat Islam memerintah, bukannya Islam diperintah sebagaimana dilakukan oleh Umno. 

Adakah kami terlalu bodoh untuk melantik pemimpin yang mempunyai cita-cita ingin bersama dengan Umno yang kulitnya Islam tetapi isinya sekular. Memang kami memusuhi parti Umno tetapi kami tidak memusuhi ahli-ahlinya yang dijahilkan oleh pemimpin mereka. Kami berharap agar MP-MP mereka yang mengaku Islam menyokong EKJS II yang akan di bentangkan oleh pemimpin kami.

Amat malang bagi kami yang mendokong perjuangan Islam telah di khianati oleh pemimpin yang kami sendiri mengangkat mereka. Tanpa pengetahuan kami mereka telah membuat 'Perjanjian Pangkor II' dengan parti yang dipanggil rakan demi nafsu serakah untuk jawatan MB Perak. Lebih mengejutkan kami ialah syarat-syarat yang tidak masuk akal di mana MB PAS tidak dibenarkan membuat perkara yang menyentuh soal Islam yang tidak boleh di laksanakan. Dalam perjanjian itu juga MB PAS tidak dibenarkan menyebut terma yang berkaitan PAS, Hudud, Qisas dan sebagainya yang mana ia adalah dasar PAS.

Inilah balasan mereka yang tidak pernah merasa keperitan perjuangan kami di mana tangga yang mereka daki adalah dari usaha keringat kami yang di panggil akar umbi. Sekarang mereka mula bercita-cita tinggi untuk jawatan Presiden PAS demi menjaga hati rakan yang paling lantang menghina Islam. Mereka tanpa merasa malu cuba membuang dasar perjuangan PAS dengan alasan tiada keperluan kerana hanya ada 6 ayat sahaja di dalam al-Quran yang menyentuh bab hukum Hudud.

Demi cita-cita besar untuk ke Putrajaya, mereka mula menyerang pimpinan tertinggi PAS dengan tuduhan ingin berUG dengan Umno. Dengan sokongan DAP, mereka mula menubuhkan Pasma sebagai Ngo untuk permulaan. Kami akar umbi tidak sebodoh yang mereka sangkakan kerana Pasma adalah plan B buat para pemimpin yang akan kalah pada Muktamar Pemilihan nanti. Rancangan jahat para pengkhianat mula kepenghujungan kerana seorang demi seorang mula di jatuhkan oleh akar umbi bermula dengan Phahrolrazi, pengasas Pasma yang cita-cita untuk jawatan MB Kedah tidak kesampaian. 

Bagaimana Kuala Kedah yang dikatakan kubu kuat Pasma boleh menolak beliau walau pun beliau tidak bertanding dengan alasan untuk memberi kepada pelapis. Hakikatnya beliau menerima pencalonan paling sedikit, dari malu dikalahkan lebih baik berundur. Beliau telah menjemput bekas MB Perak, Nizar untuk merasmikannya di mana Nizar dengan lantang meminta perwakilan melakukan perubahan pada peringkat tertinggi atau bahasa mudahnya menolak kepimpinan TGHH. Tetapi beliau dimalukan oleh perwakilan Kuala Kedah yang sebulat suara menyokong TGHH dan lebih memeranjatkan ialah jawatan timbalan pula dicalonkan TITM. 

Nizar yang masih tidak serik-serik telah melakukan pengkhianatan kali ke 2 dengan membuat perjanjian baru bersama dengan wakil DAP dan PKR. Beliau mengakui sebagai wakil PAS sedangkan PJ PAS Perak dan PAS Pusat sendiri tidak mengetahuinya. Akhirnya akar umbi PAS Kampar menghukum beliau walau pun namanya cukup gah dan menjadi YDP PAS Kampar selama 7 penggal. Adakah ini suara akar umbi yang dikatakan oleh Phahrolrazi sehingga beliau menubuhkan Pasma. 

Kami bukan pemimpin tetapi jika pemimpin itu sendiri mengkhianati perjuangan PAS yang kami dokong dengan peluh, tenaga, masa dan wang ringgit kami, pasti pemimpin itu akan disingkir. Adakah mereka tidak belajar atau membaca sejarah perjuangan PAS. Wala dan ketaatan kami kepada seseorang pemimpin ada tahapnya di mana selagi pemimpin itu tidak langgar dari dua perkara iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Sehebat Datuk Asri bersama kumpulan 12 yang keluar dari PAS, berapa ramai ahli yang beliau mampu bawa sehinggakan terpaksa membubarkan Hamim dan beliau akhirnya masuk Umno.

Jangan samakan kami dengan Umno atau mana-mana parti lain kerana wala kami wala bertempat. Memang kami mempertahankan pimpinan TGHH walau apa pun tuduhan dan penghinaan kamu kerana beliau masih berada di landasan yang betul. Jika TGHH melakukan perkara seperti mana yang dilakukan oleh Phahrolrazi atau Nizar atau Ahmad Awang, kami tetap menghukum beliau. 

Memang matlamat kami untuk menumbangkan Umno/BN tetapi perintah Allah s.w.t. adalah segala-galanya dan mesti didahulukan. Buat pemimpin yang naik begitu cepat mestilah beringat, kami sudah menunggu lebih dari 60 tahun mendokong perjuangan demi mendaulatkan Islam dan kami sanggup kehilangan kerusi daripada menjual agama dengan harga yang murah. Hanya pemimpin yang gila kuasa sahaja sanggup menjual agamanya kepada DAP yang sudah jelas menentang keras pelaksanaan hukum Hudud. 

Adakah cukup dengan alasan ke Putrajaya dulu baru nak laksanakan hukum Hudud sedangkan belum ke Putrajaya pun DAP dan PKR sudah menunjukkan penentangannya sehingga LKS sanggup meminta berUG dengan BN. Sudah terang dan jelas di hadapan mata bagaimana perangai DAP terhadap PAS, itu belum tawan Putrajaya lagi, belum ada kuasa lagi sudah menunjukkan betapa bencinya mereka terhadap Islam. Pemimpin yang semakin rapat dengan DAP perlu ingat, DAP bukan anti PAS tetapi DAP memang parti anti Islam. 

Jika orang tanya mana contohnya..... jawapannya cukup mudah, lihatlah bagaimana bila mereka memiliki kuasa di Perak. Jangan kata nak laksanakan Islam, perkataan Hudud atau Qisas pun diharamkan dari disebut. Itu pun yang dikatakan cukup hebat Islam masih lagi memuja DAP. Semoga perasit-perasit yang bersarang di dalam PAS dapat di hapuskan terus kerana mereka-mereka inilah yang menjenamakan golongan-golongan dalam PAS demi mengampu tuan-tuan mereka. Sebagai umat Islam kami redha kerana semua ada hikmahnya./Musafirlalu
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular