Translate

Senarai Blog Saya

Rabu, 6 Mei 2015

Perbendaharaan Tidak Cukup Duit?.

Perbendaharaan Tidak Cukup Duit?

Saya harap Saudara Rizal Mansor atau mana-mana ejen PMO membaca catatan ini dan mengesahkan sama ada fakta berikut betul atau palsu. Saya mendapat tahu ada ahli rombongan pengantin ke Kazakhstan turut serta atas alasan “Lawatan Kerja Rasmi” yang diarahkan oleh kerajaan. Betul atau paslu? 

APABILA peruntukan kepada sebuah kementerian sosial yang sangat penting seperti Kementerian Kesihatan dipotong, kita tidak dapat mengelak daripada berfikir bahawa sesuatu yang sangat buruk sedang berlaku kepada negara kita. 

Menteri Kesihatan, (Datuk Seri) Dr S. Subramaniam dilaporkan berkata peruntukan kementerian beliau tahun ini dipotong RM300 juta “akibat kejatuhan harga minyak di pasaran dunia”. 

Beliau berikrar pemotongan itu tidak akan menjejaskan rawatan kesihatan kerana kementerian “akan mengurangkan majlis mewah (lavish functions) dan penyertaan dalam persidangan. 

Majlis mewah? Saya tidak tahu pula kementerian, jabatan dan agensi awam diberi peruntukan untuk “majlis mewah”. 

Tetapi saya tahu ada majlis pecah tanah dan letak batu asas yang dihadiri Perdana Menteri (Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak dan pembesar atasan menelan belanja hingga RM1 juta atau lebih. 

Ini tidak memeranjatkan kerana satu dunia sudah tahu betapa boros dan mewahnya gaya hidup Perdana Menteri kita dan keluarganya walaupun Allahyarham bapanya, (Tun) Abdul Razak Hussein, terkenal sebagai seorang yang jimat (frugal) dan enggan menggunakan duit negara untuk keselesaan keluarganya. 

Tetapi sekarang, Perdana Menteri kita bukan saja boros membelanjakan wang negara – seperti membeli-sewa jet eksekutif Airbus A319 dan pergi bermain golf di Hawaii dengan jet negara – tetapi tidak keberatan menerima tajaan daripada pihak lain. 

Kenduri Kahwin Anak PM Ditaja? 

Dr S.Subramaniam

Tidak cukup dengan duit negara dan duit yang kononnya berpunca daripada harta pusaka keturunannya (family legacy), beliau juga nampaknya tidak segan silu menerima tajaan daripada besan (maaf bukan biras) Kazakhstannya untuk mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran anak perempuannya di Putrajaya, Kuala Lumpur, Pekan dan Astana, ibu negara Kazakhstan. 

Dalam hal kekayaan dan gaya hidup Mohd Najib, jurucakap Pejabat Perdana Menteri (PMO) memberitahu akhbar New York Times bahawa beliau menerima pusaka daripada keturunannya. 

Tetapi ini dinafikan oleh adik-beradiknya yang berkata bapa mereka bukan orang kaya dan kenyataan PMO itu mencaci memori ayahanda mereka. 

Kemudian baru-baru ini, Pembantu Khas Perdana Menteri yang dikenali sebagai Rizal Mansor memberitahu media massa bahawa kos mengadakan majlis di KLCC dan Astana ditanggung oleh biras Mohd Najib-Rosmah manakala ahli rombongan ke Astana bayar sendiri kos perjalanan atau ditanggung oleh keluarga pengantin lelaki. Rizal adalah antara anggota rombongan ke Astana. 

Kita perlu bertanya, adakah elok bagi seorang Perdana Menteri menerima tajaan daripada pihak luar untuk mengadakan majlis mewah yang undangannya dikeluarkan oleh beliau sendiri? 

Tidakkah ini membuatkan Perdana Menteri kita terhutang budi dan boleh menjadi mangsa peras ugut oleh pihak-pihak yang menaja perbelanjaan beliau, misalnya membeli berpuluh-puluh buah jam tangan mewah untuk dijadikan hadiah? 

Tanda Tanya Pengurusan Wang Negara 

Berbalik kepada pemotongan peruntukan kepada Kementerian Kesihatan, ia adalah selaras dengan maklumat yang mengatakan semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dikenakan potongan. 

Wallahuaklam betul atau tidak, tapi seorang pegawai atasan kepada seorang menteri kanan memberitahu saya semua kementerian, jabatan dan agensi dikenakan potongan bagi tahun 2015 yang berjumlah RM2 bilion “bagi membiayai pemulihan banjir” yang berlaku akhir tahun lalu. 

Apabila hal sebegini berlaku, kita tidak dapat lari daripada bertanya apakah Perbendaharaan kekurangan wang atau lebih teruk, kehabisan wang? 

Apa yang terjadi dengan peruntukan kecemasan (contigency) atau apakah di bawah Mohd Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan peruntukan seperti itu tidak disediakan? 

Atau adakah peruntukan itu sudah habis dibelanjakan untuk tujuan-tujuan lain seperti memberi pinjaman kecemasan RM950 juta kepada 1MDB Mac lalu? 

Kalau Perbendaharaan kekurangan wang dan terpaksa terus berhutang dengan menjual bon dan sukuk, mengapakah pemborosan dan pengagihan yang meragukan terus berlaku? 

Lagi Solidariti Dengan PM Dirancang 

Saya difahamkan oleh sumber-sumber Umno bahawa satu lagi majlis solidariti (daripada perkataan Inggeris “solidarity” yang bererti perpaduan) dengan Perdana Menteri akan diadakan pada 11 Mei ini. 

Sumber-sumber itu mendakwa di majlis itu, Mohd Najib akan memberi peruntukan khas RM500,000 seorang kepada kira-kira 60 orang Ketua Bahagian Umno yang bukan wakil rakyat. 

Kalau betul, kita perlu pastikan sama ada peruntukan itu daripada sumber kerajaan, parti atau tajaan pihak-pihak tertentu. Kalau ia daripada Perbendaharaan, kita perlu pastikan sama ada peraturan kewangan kerajaan membenarkan duit negara diberikan kepada atau disalurkan melalui Ketua Umno Bahagian. 

Sumber-sumber yang sama terbukti berwibawa apabila memberitahu saya kurang dua minggu lalu mengenai 1MDB. Mereka mendakwa telah melihat dan meneliti “akaun” 1MBD dan sedang mengambil tindakan menghalang isu berkaitan syarikat milik Kementerian Kewangan itu daripada mengancam ekonomi negara dan kredibiliti Umno.

Syed Ali Alhabshee

Sumber-sumber itu mendakwa pertanyaan Ketua Umno Cheras, (Datuk Seri) Syed Ali Alhabshee dalam blongnya mengapa pihak berkuasa lambat menyoal siasat ahli perniagaan misteri, Jho Low, adalah sebahagian daripada gerakan menyelamatkan Umno dan kerajaan. 

Jho Low didakwa sangat akrab dengan Mohd Najib dan Rosmah, dan terbabit dengan 1MDB sejak syarikat pelaburan strategik itu masih dikenali sebagai Terengganu Investment Authority (TIA). 

Ini terbukti apabila dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat 16 Mac lalu, Mohd Najib mempertahankan Jho Low dengan mengatakan usahawan kelahiran Pulau Pinang itu tidak terbabit dengan 1MDB. 

Saya fahami mesej sumber-sumber Umno itu sebagai menegaskan bahawa kesinambungan Umno adalah lebih penting daripada kelangsungan (survival) mana-mana individu.... Wallahua'lam./Musafirlalu

Sumber : A. Kadir Jasin
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular