Translate

Isnin, 4 Januari 2010

Burj Dubai Diuka


Burj Dubai mercu tanda Emiriah Arab Bersatu. - Foto Reuters

Menara catat rekod dilengkapi masjid tertinggi

DUBAI, Emiriah Arab Bersatu: Bangunan tertinggi dunia, Burj Dubai secara rasminya dibuka hari ini oleh Sheikh Mohammed bin Rashid al- Maktoum, emir Dubai dengan kawalan ketat.

Secara rasminya hampir 6,000 orang dijemput menyaksikan majlis berkenaan, tetapi pihak berkuasa menjangka beberapa ribu lagi akan turut menyaksikan upacara penuh glamor itu dari luar kawasan menara itu.

Kawasan di keliling Burj Dubai, bertentangan dengan Dubai Mall akan ditutup kepada lalu lintas dan dikawal 1,000 anggota polis, termasuk dari unit pemusnah bom dan komando.

Semua kerja pembinaan berhampiran kawasan menara akan dihentikan sementara waktu untuk mengurangkan sebarang ancaman keselamatan, kata polis Dubai.

Pengarah perkhidmatan perlindungan dan kecemasan polis Dubai, Mohammad Eid al-Mansouri berkata kebanyakan polis yang bertugas akan memakai baju orang awam agar jemputan “tidak akan merasa berada di kem tentera.”
Beliau tidak menjangka sebarang masalah keselamatan akan berlaku pada majlis itu.

Burj atau menara Dubai yang dibina dengan kos RM2.7 bilion secara rasmi masih merahsiakan ketinggiannya sebenar sehingga pembukaannya hari ini.

Bagaimanapun arkitek yang terbabit dalam pembinaan menara itu berkata ia akan mencapai lebih 2,700 kaki (824 meter) atau setengah batu.

Menara itu adalah 1,000 kaki atau 304 meter lebih tinggi dari saingannya iaitu Taipei 101 (1,671 kaki atau 509 meter) dan hampir dua kali ganda ketinggian menara kembar Petronas.
Ia adalah struktur buatan manusia tertinggi dunia mengatasi menara telekomunikasi KVLY-TV di Dakota Utara, Amerika Syarikat yang mempunyai ketinggian 628 meter.

Burj Dubai mempunyai 169 tingkat yang melalui beberapa zon iklim dengan suhu di tingkat paling atas adalah sehingga 10 celsius lebih rendah daripada tingkat bawah.

Ia mempunyai kolam renang tertinggi di dunia di tingkat 76 dan masjid di tingkat 158.

Penyempurnaan pembinaan Burj Dubai juga bermakna ia adalah kali pertama dunia Arab dapat mengembalikan status struktur tertinggi dunia ke rantau itu selepas Piramid Giza di Mesir diatasi oleh Lincoln Cathedral pada 1311.-

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular