Translate

Selasa, 8 Jun 2010

Siapa Paling Suka Melawak?

Kolum mingguan baru “MINDA NAIB PRESIDEN PAS” akan memaparkan komen-komen esklusif daripada tiga Naib Presiden PAS  Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar

Setiap minggu, dua hingga tiga soalan akan ditanya kepada 3 ahli berhormat PAS yang merangkumi semua aspek termasuk isu semasa, isu politik, isu dalaman PAS, prediksi, isu keluarga, agama dan juga soalan-soalan terpilih daripada pembaca supaya kita dapat mengenali ketiga-tiga Naib Presiden PAS secara lebih dekat.

Jika saudara mempunyai sebarang soalan yang ingin ditanya kepada ketiga-tiga Naib Presiden PAS, sila hantarkan soalan saudara ke sembangnaibpresidenPAS@gmail.com. Pemilihan soalan pembaca adalah bergantung keistimewaan soalan dan juga budi bicara pengelola kolum ini.
Selamat membaca!

Soalan 1: Pada pendapat Naib Presiden, siapakah antara 3 Naib Presiden PAS…

a. Yang paling suka membuat lawak dalam PAS?
TITM: Yang paling lucu ana rasa Salahuddin terutama apabila dia bawa cerita Salehuddin al Ayubi, pejuang Islam yang hebat; macam betul-betul dialah orangnya - macamlah Salehuddin alAyubi tu orang Johor. Mahfuz pun tak kurang juga apabila pekenakan UMNO.
SA: Saya rasa yang paling pandai berlawak ialah Datuk Tuan Ibrahim, yang kedua mungkin YB Mahfuz. Kalau saya tengok di ceramah, orang suka ketawa pada ucapan mereka.
MO: Ketiga-tiga kami sebenarnya suka melawak dan berlawak - cuma lebih dan kurang saja. Setiap orang ada kebolehan berlawak tersendiri,tapi tak lah sampai hebat macam Nabil dan Apek Saiful. Kalau pandai berlawak macam Nabil dan saiful tak ceramah lah kami.
b. Yang paling pandai memukau hadirin ceramah?

TITM: Yang paling memukau hadirin ialah YB Mahfuz lah, mana boleh lawan dengan idea yang bernas dan pandangan politik yang tajam, beliau sangat berjaya mengemukakan idea  nak kata muda rambut uban, nak kata tua gaya muda.

SA: Sudah tentu Yang Berhormat Pokok Sena… sebab dia macam hero filem Hindustan… dia pandai….
MO: Tak dapat di nafikan Dato' Tuan Ibrahim memang mampu memukau penonton yg mengikuti ceramah dia. Sifat tawaduk dan kebolehan membawa perumpamaan-perumpamaan dari kisah-kisah dalam al-Quran memang menarik perhatian pendengar.
c. Yang paling khusyuk dalam mendengar ucapan perbahasan semasa muktamar?

MO:
 Yang paling khusyuk mendengar perbahasan ialah YB Salahuddin. Ini pengalaman saya bersama dia dalam pemuda sekian lama. Dia bukan saja tekun mendengar tapi mencatit setiap penghujahan yg diucap oleh pembahas.

TITM: 
Yang paling khusyuk memang tak lawan YB Salahuddin, dia memang teliti setiap perbahasan, siap buat catatan; dan menjawab dengan penuh confident. Bahkan dalam perbahasan sejak dari Ketua Pemuda lagi, beliau mempunyai bakat yang besar - bakal MB Johor.

SA:
 Saya rasa ini biasanya ulamak sebab ulamak mesti khusyuk. Jadi Tuan Ibrahim ini ulamak, jadi saya rasa dialah yang paling fokus (masa perbahasan). (Saya perhatikan) Tuan Ibrahim selalu senyum dan selalu pejam mata ketika mendengar perbahasan…

d. Yang nampak paling muda?


TITM: Yang nampak paling muda… kalau YB Mahfuz boleh tukar warna rambut, memang dialah orangnya. Tapi buat masa ni YB Salahuddin memang nampak lebih muda, sebab mak dia lahir lewat sikit berbanding yang lain. Kebetulan Mak Ana dan YB Mahfuz beranak kami awal sikit..

SA: Sudah tentu saya-lah yang paling muda. Saya orang kata macam Jacky Chan… hero filem Hong Kong…
MO: Bukan setakat nampak muda tapi Salahuddin dilihat ada baby face. Saya pula, orang nampak mungkin lebih tua dari Presiden PAS. Rambut saya dah putih kan!

e. Yang paling cerewet dalam memilih makanan?


TITM: Bab makanan ini ana rasa sama saja. Saya jarang jumpa pimpinan PAS yang cerewet bab makanan; jumpa sapu. YB Mahfuz lebih hebat…  apabila dia jumpa durian; durian Belanda pun habis…

SA: Sudah pasti YB Pokok Sena, Mahfuz… memang betul dia semua sapu, tapi dia mesti yang paling sedap. Macam contoh makan nasi beriyani, dia kena cari yang paling sedap sekali… termasuklah nasi lemak, nasi goreng masak chempedak , dia mesti cari yang special. Dialah paling cerewet dengan makan…
MO: Pasal makan ini… ketiga-tiga kami ni pantang jumpa saja, tolak batu semua sapu.
f. Yang paling digeruni BN?

TITM:
 YB yang paling digeruni… ana rasa ialah YB Mahfuz dan Salehuddin (kerana mereka) memang hebat (ber)hujah dalam parlimen dan cadangan yang dibuat (serta) idea yang dikemukakan memang sangat mengerunkan BN. Musuh takut kalau kita mempunyai kesatuan  dalam tindakan dan fikrah ( Wehdatul fiar dan wehdatul amal) - kita punya kekuatan untuk menumbangkan UMNO/BN.

SA: Pokok Sena juga sebab dia terkenal dengan nyanyian UMNO-APCO, APCO-UMNO, UMNO-APCO, APCO-UMNO... Dia telah mencipta satu irama yang cukup mengerunkan UMNO dan BN di Parlimen.
MO: Kedua dua rakan saya memang digeruni BN. Salahuddin dilihat oleh BN (sebagai seorang yang) sanggup (bertanggungjawab) apa saja untuk perjuangan. Terbukti apabila beliau memilih penjara daripada membayar denda. Datuk Tuan Ibrahim pula umpama kecil kecil cili api. Dia dilihat sebagai penggerak gelombang baru di Pahang yang menggugat Najib dan Umno.
Soalan 2: Jika pilihanraya umum diadakan dalam bulan ini, apa pendapat Naib Presiden sekalian, siapa yang akan menang, Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional? Mengapa?
TITM: Kalau pilihanraya diadakan bulan ini, ana rasa PR boleh buat kejutan. Kita mampu mengekalkan kemenangan di negeri yang telah kita berjaya, dan membuat kejutan di beberapa buah negeri lain.

Sokongan kaum Tionghua memang membanggakan, (tapi) kita perlu tumpu kepada kawasan pengundi Melayu dan India. Dengan pencapaian baik yang ditunjukkan oleh kerajaan kita di negeri yang kita menangi; serta pengiktirafan oleh Ketua Audit negara dan ketelusan yang ditunjukkan; saya yakin PR mampu membuat lonjakan besar.

PAS khususnya seluruh pimpinan mesti menjaga hubungan dengan Allah, tingkatkan keikhlasan dalam perjuangan; dan lakukan yang berbeza dari kebiasaan; kerana kalau kita buat kerja yang sama; kita akan dapat hasil yang sama. Jangan lupa munajat dengan Allah berterusan.

SA: Mesti Pakatan. Saya yakin ialah Pakatan kerana kita mendapati BN sudah menjadi parti yang serba tak kena. Dan BN banyak membuat program-program yang rakyat begitu marah sekarang.

Saya rasa kita akan bekerja lebih kuat dan kita akan menggunakan muktamar yang akan datang ini sebagai pentas melonjakkan sokongan kita untuk kita terus bergerak maju dan mengambil inisiatif “to win the heart and the mind of the people” untuk membawa sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Untuk Sarawak, kita akan bekerja kuat dan menubuhkan pasukan kita secepat mungkin kerana kita yakin pilihanraya Sarawak akan diadakan tidak lama lagi. Begitu juga dengan Sabah, kita akan fokus beberapa tempat untuk kita bertanding.
MO: Tahap kemarahan dan kebencian rakyat pada Umno/BN begitu tinggi (sekarang) sehinggakan kapal selam tak boleh menyelam pun rakyat kata Umno/BN punya pasal.

Saya ingat satu hari kalau kata hilang sifat melompat pun orang akan kata ini umno/bn punya kerja… Begitulah tahap kebencian rakyat pada Umno/BN.

Persoalannya sekarang ialah macam mana PAS dan PR boleh memberikan keyakinan kepada rakyat untuk memindahkan kemarahan dan kebencian mereka kedalam peti undi dengan mengundi PAS dan rakan-rakan lain dalam PR.
Dengan isu yang banyak menekan rakyat jadi kita perlu ambil peluang untuk strategize (mengatur) langkah-langkah dan tindakan yang berkesan untuk meyakinkan rakyat bahawa PAS dan PR ada pilihan terbaik untuk masa depan Malaysia baru.
(HarakahDaily)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular