Translate

Selasa, 30 Oktober 2012

MCA Bantu Dedahkan Siapa Sebenarnya Umno.


Kenyataan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden MCA yang secara terbuka  menentang Syariat Islam,  khususnya undang-undang jenayah hudud,  adalah menyerlahkan sikap Barisan Nasional yang sebenar, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

Kenyataan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden MCA yang secara terbuka  menentang Syariat Islam,  khususnya undang-undang jenayah hudud,  adalah menyerlahkan sikap Barisan Nasional yang sebenar.

Perlu diingat bahawa UMNO adalah parti teras dalam BN, yang wujud bersama MCA, MIC, GERAKAN dan lain-lainnya sebagaimana yang kita ulangi sudah pun diberi amanah menerajui pemerintahan negara Malaysia ini selama lebih dari lima puluh tahun.

Hakikatnya ialah, bahawa UMNO memimpin kerajaan pusat dan kebanyakan kerajaan negeri, dengan adanya Biro Agama dalam UMNO itu sendiri, dalam kerajaannya ada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam - yang diletakkan  dibawah Jabatan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO,dan ada menteri penjaganya.

Di samping diwujudkan Institut Kefahaman Islam (IKIM), Fakulti Pengajian Islam dibeberapa Universiti, diperingkat negeri pula ada Jabatan Agama Islam masing-masing danada Exco Agama daripada UMNO juga.

TETAPIsegala-galanya ini tidak mampu meletakkan Islam itu tinggi ditempat yang sebenarnya dalam urusan negara Malaysia ini dan dinegeri yang dipimpin oleh UMNO. Adapun Majlis Fatwa Kebangsaan pula hanya bebas dalam lingkungan sangkarnya, berkokok mengikut waktu yang disesuaikan dengan keselesaan UMNO yang menjadi penunggunya.

Soalannya mengapa MCA boleh membuat kenyataan terbuka begitu rupa ?.

Dalam hal ini, MCA bukanlah parti yang patut disoal atau diminta penjelasan, kerana parti ini hanya mewakili kelompok masyarakat Cina bukan Islam.Manakala hukum hududpula tidak ada dalam ajaran semua agama bukan Islam yang dianut oleh ahli MCA.

Parti UMNOlah yang secara khususnya patut dipersoalkan oleh bangsa melayu yang beragama Islam bukannya MCA, kerana  banyaknya urusan Islam didalam tubuh parti UMNOserta kedudukannya yang memimpin kerajaan pusat dan negeri.

PAS tidak merasa hairan apa yang berlaku,kerana UMNO adalah Parti Kebangsaan Melayu, di mana “Islam” hanya menjadi agama yang dianut secara peribadi kalangan ahli UMNO sahaja. Perlembagaan UMNO juga tidak meletakkan Islam menjadi dasar, matlamat dan hukum tertinggi.Sifat individualistik yang menjadi konsep kepada ahli UMNO menyebabkannya tidak boleh bertindak terhadap ahlinya yang melakukan maksiat yang besar, apatah lagi yang terlalu kecil, kerana agama adalah urusan individu.

Ahli UMNO pula boleh menjadi orang yang soleh, paling kuat beribadat, banyak sembahyang, banyak mendirikan masjid, kerap umrah dan lebih banyak peluang haji, berkebajikan dalam masyarakat dengan sebanyak-banyaknya dan sebagainya.

Tetapi ahli UMNOi tidak mampu bercakap atas nama partinya untuk menegur atau menyanggah kenyataan Presiden MCA, kerana ini akan bercanggah dengan semangat dan konsep kebersamaan dalam BN yang didukung sama oleh undang-undang tubuh UMNO yang diselaraskan dengan semua rakan-rakannya dalam Barisan Nasional.

UMNO lebih mengutamakan konsep pragmatik sekular yang didukung bersama MCA, MIC, GERAKAN  dan lain-lain, dalamgabungan parti-parti komponen Barisan Nasional. Maka Islam tidak berkuasa dan berdaulat, hanyalah sekadar  menjadicabang yang berteduh dibawah semangat Barisan Nasional.  Maka UMNO tidak ada kelayakan untuk menegur Presiden MCA sehingga dia boleh bercakap apasahaja  termasuk dalam perkara Islam yang dia terlalu jahil kerana bukan agamanya.


HUDUD

Undang-undang Hudud adalah salah satu daripada hukum jenayahdalam syariat Islam, bersama dengan hukuman Qisas dan Takzir. Perkataan “Hudud” bererti batas-batas sempadan Allah yang tidak boleh dipertikaikan oleh seseorang yang beriman, di mana hukumannya telah dinaskan oleh Allah secara nyata dalam Al Quran dan Hadith Rasulullah SAW seperti juga nas wajib sembahyang lima waktu, puasa, zakat , haji dan pengharaman arak, judi, riba dan lain-lain. Hudud tidak boleh dinamakan “Hudud PAS” seperti juga tidak boleh dinamakan “sembahyang PAS”.Hanya yang jahil murakkab sahaja boleh bercakap begitu. Allah berfirman yang bermaksud:

Maksudnya :“Dan tidaklah harus bagi seseorang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – mereka tidaklah mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (al-Ahzab – 36)


Perkara yang dinyatakan secara nas saperti Hudud dan Qisas tidak mungkin dicapai oleh akal manusia, maka Allah menyatakan petunjuknya secara jelas.Rasulullah SAW sendiri, para pemimpin dan ulama selepasnya wajib menerima dan pihak yang berkuasa pula wajib melaksanakannya di mana mereka tidak boleh bertelingkah atau khilaf dari segi wajibnya. Perbincangan dan berbeza pendapat hanya dalam perkara cabang dari segi mencari bukti dan proses kehakiman yang adil, bukan meninggalkannya.

Keseluruhan undang-undang jenayah Islam lebih bersifat dan berkonsepkan mendidik masyarakat, maka dikenakan syarat yang ketat sehingga sukar menjatuhkan hukuman, tetapi undang-undang dan hukumannya menakutkan sehingga Presiden MCA juga takut.Penjenayah lebih digalakkan bertaubat sebelum dibawa kemahkamah.Hukum Hudud tidak boleh diampun setelah diputuskan oleh mahkamah, kerana Hudud menjadi hak Allah bagi memelihara rukun kehidupan bermasyarakat.

Lucunya, terdapat pula kalangan yang jahil pula cuba berhujah, bahawa penjenayah akan berkeliaran atau bertambah kerana hukuman sangat sukar untuk dijatuhkan. Hakikatnya ini tidak akan berlaku kerana sebelum sesuatu kes itu dibawa ke mahkamah, pihak yang mendakwa atau pendakwa akan menentukan samada cukup kesaksian atau tidak untuk kes hudud. Sekiranya bukti tidak cukup untuk kes hudud bukan bermakna terus dilepaskan.

Bukti-bukti jenayah ini mungkin cukup untuk di bawa kes ke perbicaraan takzir – di mana hukuman takzir adalah lebih ringan dari hukuman hudud.Dalam bahasa mudah difahami waktu ini, hukuman takzir boleh wujud dalam bentuk kanun keseksaan (penal code) yang hukuman dan beban pembuktiannya jauh lebih ringan dari hukuman hudud.

Setiap penganut Islam sebelum wujudnya PAS dan UMNO wajib beriman dengan hukum hudud. Maka penganut Islam dalam UMNO wajib bertegas dan istiqamah dengan Islamnya,seterusnya bertindak sama ada memecat MCA daripada Barisan Nasional atau UMNO di pecat atau keluar daripada Barisan Nasional atau ahli-ahli UMNO yang beragama Islam keluar UMNO beramai-ramai.

PAS DAN DAP

PAS berlainan dengan UMNO dan sangat berbeza,  kerana PAS tegas mengikut undang-undang tubuhnya, menjadikan Islam (Quran, Hadith, Ijmak dan Qiyas) hukum tertinggi, dasar dan matlamat perjuangannya Islam yang sempurna, maka termasuk urusan politik negara. Sekiranya dikaji Surah Al Maidah yang diturunkan diMadinah, terdapat didalamnya undang-undang jenayah, diantaranya Hudud.

Kebanyakan sebab nuzulnya (turun ayat) adalah berkait dengan sikap penganut bukan Islam yang dijawab secara wahyu.Perkara ini dapat dirujuk dalam kitab tafsir dan sejarah Islam.

PAS berijtihad memilih Demokrasi bagi mencapai kuasa pemerintahan dan melaksanakan Islam termasuk hukum hudud,  kerana pendekatan demokrasi secara damai adalah bersesuaian bagi menyelamat manusia bersama Islam tanpa paksaan, walaupun memakan masa yang panjang sehingga beberapa generasi serta pemimpin pergi dan datang.

Maka proses pelaksanaan undang –undang termasuk Hudud dibawa kedalam Dewan Undangan Negeri Kelantan dan Terengganu setelah mendapat mandat kemenangan besar dalam pilihanraya lalu. Undang – undang  jenayah Islam termasuk Hudud dipamerkan lebih dahulu kepada masyarakat umum berbagai agama, di bentang dan dibuka kepada proses soal-jawab terlebih dahulu sebagai satu proses pendidikannya.

Ingin saya pertegaskan sekali lagi bahawa pelaksanaan enakmen Islam adalah hanya untuk orang Islam sahaja, sama sekali tidak untuk bukan Islam. PAS tidak membawa perkara ini diKedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang kerana tidak mencukupi syarat secara demokrasi.

DAP pula bukan parti kerajaan pusat yang berkuasa sepenuhnya seperti MCA. Ahli DAP banyak terdiri daripada masyarakat bukan Islam yang tertindas oleh kekayaan MCA,MIC dan semangat kebangsaan UMNO yang terlalu tinggi. Maka PAS lebih mudah berkira dengan DAP. Perkara hudud boleh dibincang secara ilmu dengan adil dan bebas.

Hubungan PAS dengan DAP dan PKR bukan Islam dalam Pakatan Rakyat adalah secara muafakat. Maka isu pelaksanaan Islam oleh PAS dalam negeri Pakatan Rakyat adalah berpandukankepada hukum Tahaluf Siyasi dalam Feqah Siyasah.Ini perkara yang perlu difahami oleh penyokong PAS dan rakyat seluruhnya.

PAS tetap tegas dengan perjuangan Islamnya  dan DAP pula tegas dengan perjuangannya. Dalam hal ini kerjasama berlaku dalam titik persamaan dan hak berbeza pendapat tetap dihormati dan hak penganut bukan Islam wajib diberi dengan adil.

Titik persamaan secara umum sudah disepakati, apabila DAP menerima konsep yang sudah ada dalam perlembagaan negara, termasuk kedudukan agama Islam.Bagi PAS sudah cukup menarik untuk memberi ruang perbincangan sekiranya memerintah negara.Cara ini tidak boleh dilakukan oleh UMNO dengan rakan-rakan karibnya dalam Barisan Nasional.

Malangnya perbincangan yang masih awal diganggu oleh media arus perdana khususnya berbahasamelayu mengaku Islam, yang sengaja berniat jahat untuk menghalang cita-cita Islam yang diperjuangkan oleh PAS.


Sekiranya rakyat memberi kuasa dalam Pilihanraya Umum ke-13 kepada Pakatan Rakyat, maka PAS yakin dapat membawa mesejnya dengan sempurna tanpa gangguan syaitan yang dikenali dan tidak dikenali. Sumber

Sabtu, 27 Oktober 2012

Ulangtahun Ke 25 Operasi Lalang.




ULASAN Berikut adalah kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga ahli Parlimen Bagan sempena ulangtahun ke-25 Operasi Lalang hari ini:


DAP menyeru agar kerajaan Persekutuan meminta maaf kepada semua tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), segera melepaskan semua tahanan yang masih ditahan dan menjadikan Kem Tahanan Kamunting sebagai muzium sebagai peringatan kepada peripenting kebebasan dan hak asasi serta memulihkan negara daripada trauma penahanan tanpa bicara yang dilakukan secara rambang hanya atas sebab menentang BN.

25 tahun yang lalu pada 27 Oktober 1987, saya menjadi antara mangsa pertama Operasi Lalang yang ditahan di bawah ISA oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Saya ingat lagi bagaimana sebagai ahli Parlimen Kota Melaka yang baru dipilih, betapa terkejutnya saya apabila diberitahu bahawa saya merupakan ancaman kepada keselamatan negara yang bakal mencetus huru-hara dan rusuhan sekiranya saya tidak ditahan. 

Ekoran daripada itu, saya terpaksa bertahan dan mengatasi hari-hari gelap apabila dikurung sendiri, disoal siasat tanpa henti dan diintimidasi untuk memaksa saya untuk "bertaubat".Seramai 106 pemimpin Malaysia telah ditahan pada tahun gelap 1987, termasuk pemimpin-pemimpin pembangkang - 16 daripada DAP termasuk ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri - ahli-ahli kesatuan sekerja, aktivis sosial, aktivis alam sekitar, pendidik bahasa Cina dan pekerja agama. 

Antara pemimpin-pemimpin yang terkemuka adalah Lim Kit Sang dan Karpal Singh daripada DAP, Mohamad Sabu dan Datuk Mahfuz Omar daripada PAS dan pendidik bahasa Cina Lim Fong Seng dan Sim Mow Yu. 

Serangan juga berlaku ke atas kebebasan akhbar dengan penutupan tiga suratkhabar, serangan bertubi-tubi ke atas badan kehakiman dan keluhuran undang-undang sehingga Ketua Hakim Negara dan dua hakim Mahkamah Agung telah dilucutkan jawatan. 

Semua serangan ini bertujuan untuk membentukkan negara diktator yang memusatkan kuasa di tangan perdana menteri. Namun demikian, ada juga hikmah di sebalik tahanan beramai-ramai yang berlaku, iaitu pemimpin-pemimpin PAS dan DAP telah mendapat peluang untuk saling kenal-mengenali lantas memecahkan fitnah yang ditaburkan Umno untuk memomokkan masyarakat bukan Melayu tentang PAS dan masyarakat Melayu tentang DAP. 

Hubungan yang dijalin dalam tahanan 25 tahun lalu telah menjadi batu asas kepada hubungan kerjasama antara dua parti itu pada hari ini. Ini membenarkan Pakatan Rakyat untuk bergabung dan memperkuatkan diri untuk mencabar kuasa BN menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

Walaupun rakyat Malaysia telah berjaya memaksa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memansuhan ISA, kita masih perlu menutup jilid gelap dalam sejarah negara kita. 

Pertama sekali, semua tahanan ISA yang masih lagi ditahan harus dilepaskan dengan segera dan kerajaan Persekutuan haruslah meminta maaf kepada semua tahanan ISA.

Kedua, Kem Tahanan Kamunting (KDC) harus dijadikan sebuah muzium, seperti kem tahanan Robbens Island di Afrika Selatan yang pernah menjadi rumah kediaman pejuang kemerdekaan Nelson Mandela selama 27 tahun. 

Dengan menjadikan KDC yang dibenci itu sebagai muzium, kita akan menukarkannya kepada simbol peringatan kepada peripenting kebebasan dan hak asasi serta memulihkan negara daripada trauma penahanan tanpa bicara yang dilakukan secara rambang hanya kerana menentang BN.

Akhirnya, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), iaitu pengganti kepada ISA, harus dikaji semula untuk memansuhkan beberapa seksyen supaya ISA tidak akan kembali daripada kubur dan menghantui generasi-generasi rakyat Malaysia yang akan datang, sepertimana kita telah dihantui selama 54 tahun yang lalu. Sumber

Jumaat, 26 Oktober 2012

Sejuk Hati Bila Pemimpin DAP Pertahan PAS.

Ahmad Lutfi Othman

Panik. Gelabah. Meracau-racau. Mungkin itu istilah sesuai dapat dirumuskan tentang situasi Umno-BN berdepan tsunami politik Mac 2008, lebih empat tahun lalu, yang menyaksikan BN kalah mengejut lima negeri dan hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

Nampak jelas, sekali Umno dirundung malang, hilang segera kewarasan berpolitik, juga kebijaksanaan mengatur strategi. Segala yang tercapai dek tangan digapai bagi menyelamatkan diri daripada terus tenggelam.

Sentimen dan api perkauman dinyalakan. Media dan alat propaganda yang dikuasai Umno, misalnya Utusan Malaysia dan TV3, bebas memercikkan bahang panas  menggugat sensitiviti. Jika saingan politiknya, seperti PAS ataupun DAP, berbuat demikian, pemimpin dan aktivisnya pasti diserkup pelbagai akta. Apa pun, rakyat semakin matang dan cermat memerhati aksi golongan terdesak itu.

Memikirkan pengundi masih bermentaliti lapuk, mudah dikelirukan isu-isu sensasi dan cepat melupakan persoalan kritikal  -- seperti korupsi, salahguna kuasa, peningkatan kadar jenayah, kenaikan kos hidup -- Umno dan kembarnya, MCA, mencari jalan pintas demi mempertahankan Putrajaya.

Kepada audien Melayu-Islam, Umno ghairah menggambarkan PAS begitu kemaruk kuasa, sanggup menggadai prinsip perjuangan dan rela memeluk rakan barunya, DAP, yang dipersepsikan sebagai musuh agama dan bangsa. DAP pula diunjurkan  menjadi parti paling dominan dan mempunyai kuasa penentu dalam Pakatan Rakyat. Segalanya bertujuan untuk menakutkan pengundi Melayu terhadap usaha Pakatan membentuk kerajaan alternatif.

MCA, yang kalah  pada kebanyakan kerusi majoriti pengundi Cina, menggunakan lenggok bahasa dan penekanan isu berbeda. PAS yang disifatkan Umno sebagai kuda tunggangan DAP, telah diangkat Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek -- ketika berdepan masyarakat Tionghua -- menjadi parti paling berpengaruh dan bakal menerajui kerajaan Pakatan di peringkat persekutuan.

Untuk mengusik emosi penyokong tradisinya, konsep Negara Berkebajikan dikritik hebat media Umno, dan PAS ditohmah sanggup melupakan cita-cita menubuhkan Negara Islam, sekali gus meremehkan Hudud. Bekas pemimpin PAS, seperti Dr Hasan Ali dan dua tiga kerat ulamak tertentu diperalatkan bagi memalitkan imej buruk ke wajah Parti Islam itu.

Dalam masa sama, lidah pemimpin MCA terutama Soi Lek, semakin fasih mencerca Hudud dan membayangkan satu undi kepada Pakatan bermakna satu undi kepada pelaksanaan undang-undang Islam, yang sengaja digambarkan sebagai peraturan kolot, menindas dan zalim.

Bukanlah isu besar jika MCA menolak Hudud, memandangkan Umno turut mengambil pendirian hampir sama. Malah sekutu rasminya dalam Perikatan sejak 1953 -- Umno -- melalui pemimpin utamanya kerap melemparkan ungkapan mempersenda dan menghina Islam.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu merumuskan dengan baik situasi ini: "Dulu ketika Umno tidak pandai lagi menggunakan hujah dalam ilmu-ilmu Islam seperti maqasid syariah untuk menolak perlaksanaan hukum Islam, para pemimpin dan pengikutnya mencaci dan mencerca hukum Islam habis-habisan dan menuduh hukum Islam primitif, menimbulkan huru hara dan sebagainya.

"Kerja jahat itulah yang kini disambung oleh Chua sekarang dengan restu Umno yang sengaja berdiam diri dengan perbuatan Presiden MCA itu menghina Islam."

Ketika Soi Lek memberikan gambaran salah terhadap apa yang didakwanya perlaksanaan Hudud di negara-negara yang dianggap "paling korup, tidak stabil dan tidak selamat", dalam perhimpunan agung MCA baru-baru ini, banyak pihak mengecam sikap membisu Perdana Menteri, Najib Razak yang merasmikan majlis berkenaan. Soi Lek juga tidak menyokong tohmahannya itu dengan fakta dan data sahih.

Dalam perhimpunan itu,  Naib Pengerusi Wanita MCA, Senator Heng Seai Kie, yang juga seorang timbalan menteri, memutarbelitkan ucapan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis kempen menutup aurat di Kelantan, dengan mendakwa Mursyidul Am PAS itu menggalakkan orang Islam merogol wanita bukan Islam kerana mendedahkan aurat. Satu kenyataan paling biadab, kurang ajar dan cukup celupar!

Najib sebelum itu turut enggan mengulas dakwaan Soi Lek (yang hanya bersumberkan satu SMS diterimanya daripada individu yang tidak dikenali)  bahawa 1.2 juta rakyat akan hilang pekerjaan jika Hudud dilaksanakan. Presiden MCA menyenaraikan pelbagai industri yang terjejas dengan kehilangan pekerjaan yang didakwanya itu, antaranya, pekerjaan di resort perjudian Genting Highlands, pusat pertaruhan dan juga rumah urut.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dalam satu majlis ceramah membidas Najib: "Presiden MCA boleh berucap menyerang Islam begitu biadap sekali dan dia  boleh duduk senyum. Kemudian bila berucap tak tegur pun. Mana dia maruah  sebagai umat?"

Namun apa yang ditunjukkan Soi Lek bukan lagi sekadar penolakan Hudud (sesuatu yang boleh dianggap lazim bagi seorang bukan Islam), tetapi ia usaha terancang dan bermotif untuk menghina dan merendahkan Islam bagi meraih sokongan. Menyedari MCA mungkin menjadi sejarah selepas PRU13, Soi Lek cuba menampilkan imejnya sebagai "pembela dan penyelamat" bagi masyarakat Cina daripada "kezaliman Hudud".

(Dalam satu paditonya, Mat Sabu menyindir: "Sekarang orang ramai bukan lagi bertanya berapa banyak kerusi MCA yang dimenanginya dalam PRU13 nanti, tapi mereka bercakap berapa ramai ahli MCA yang tinggal.")

Soi Lek secara terbuka pernah melafazkan: "Kita orang Cina berani menentang dan melawan Umno terutama dalam bab Hudud, adakah DAP berani dalam hal ini." Saya perhatikan banyak posting dalam internet menggandingkan kenyataan Soi Lek itu dengan ucapan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng: "Kita orang DAP tidak boleh menghalang kepercayaan orang Islam dalam hal agama mereka, begitu juga orang PAS tidak pernah menghalang dalam bab agama kita."  Masyarakat dapat menilai siapa sebenarnya yang memperlekehkan Hudud.

Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke Siew Fook selepas dilaporkan menepuk meja dalam sidang Parlimen menyokong Tok Guru Nik Aziz yang difitnah Senator MCA, memberi respons penuh hikmah: "Dalam politik kita berbeza pendapat, itu perkara biasa. Umpamanya, kita dalam DAP juga punyai pendapat berbeza dengan PAS dalam soal hukum Hudud. Tetapi kita tidak pergi sampai ke tahap memburuk-burukkan dan menghina Islam."

Gaya politik Soi Lek  -- yang kerap diingati dengan pengakuan rakaman rahsia hubungan seksnya pada 2007 di sebuah hotel di Johor -- dan pemimpin MCA mutakhir ini cukup berbahaya. Ia semakin menjadi-jadi apabila kenyataan menghina Islam oleh Soi Lek  sejak awal dulu tidak pernah ditegur pemimpin Umno. Seharusnya diperbetulkan, apatah lagi jika ia berpunca dari kejahilan, memandangkan Umno juga mempunyai ilmuan Islam dan ulamak!


Saya tertarik dengan ingatan Anthony Loke, Ketua Pembangkang dalam Dun Negeri Sembilan dan ahli Parlimen Rasah, tanda kewarasan dan kebijaksanaan pemimpin Pakatan tidak pernah pudar. Masyarakat Islam tentunya mendapat pengajaran bermakna dalam episod ini, sekurang-kurangnya dapat membantu membuat penilaian menyeluruh dan adil terhadap gelagat aktor-aktor politik yang gelisah berdepan hukuman rakyat.     


Sejuk dada saya membaca kenyataan dan reaksi pemimpin DAP terhadap fitnah MCA itu. Kalau dulu kita terpaksa mengharapkan sanggahan daripada pemimpin PAS tetapi kini cukuplah dengan sokongan sekutunya dalam DAP.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit turut melahirkan rasa terkejut dengan tindakan Soi Lek mempertahankan tuduhan liar Timbalan Menteri Wanita MCA yang mendakwa Tok Guru Nik Aziz membenarkan wanita bukan Islam yang tidak menuruti kod pemakaian Islam dirogol.

"Perasan terkejut kepada ucapan Chua bertukar menjadi kasihan dan sedih melihatkan Presiden MCA sanggup menjadi sebegitu hina untuk menghamburkan pembohongan-pembohongan dan penipuan kerana terdesak memikirkan prospek PRU13," tegas Kit Siang.

"Adalah jelas MCA dan Umno telah mengadakan 'perjanjian syaitan' supaya masing-masing menyebarkan pembohongan dan penipuan untuk menakut-nakutkan pengundi Cina dan Melayu, kerana mereka menyimpulkan bahawa politik kebencian sedemikian adalah satu-satunya cara untuk melindungi dan memelihara kuasa Umno-BN  pada PRU13," tambahnya.

Setiausaha Agung DAP, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kenyataannya  menyifatkan fitnah terhadap Tok Guru Nik Aziz sebagai "satu pembohongan besar".

"Ini satu pembohongan besar sama dengan pembohongan Utusan Malaysia apabila mendakwa saya anti-Melayu dan anti-Islam kerana Nik Aziz tidak pernah berkata begitu," kata  Guan Eng dalam kenyataannya.

"MCA adalah versi Cina untuk akhbar Utusan Malaysia yang bertenggek di atas kepalsuan, ketakutan dan kebencian untuk hidup. MCA umpama lelaki curang yang mendakwa dirinya bermoral dan bermaruah," ujarnya.

Saya segera teringat bisikan Guan Eng semasa bertemunya di Lapangan Terbang LCTT, Sepang ketika saya masih keuzuran selepas menjalani pembedahan pintasan jantung. Beliau yakin hubungan PAS dengan DAP tidak mudah diputuskan disebabkan persefahaman pemimpin kedua-dua parti, terutama Tok Guru Nik Aziz dan Kit Siang, yang pernah melalui pelbagai penderitaan dan tekanan yang sama dalam memperjuangkan kebenaran dan hak rakyat.

Selamat hari raya Aidil Adha dan melaksanakan ibadah korban serta menghayati pengertian pengorbanan setulusnya seperti ditunjukkan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.

Sumber

Selasa, 23 Oktober 2012

Kenapa Najib Tidak Terkejut Sumbangan RM40 Juta Untuk Umno Sabah.


Jika pemimpin tertinggi seorang yang amanah, pasti beliau akan terkejut dengan jumlah yang cukup besar untuk sumbangan politik Umno Sabah. Bagi pemimpin yang beramanah, perkara ini bukan perkara kecil kerana bila seseorang menyumbang sebanyak RM40 juta pasti mereka mahu pulangan yang lebih besar dan projeknya pula mestilah melibat bilion. Walau apa pun penafian yang dilakukan oleh Najib, sumbangan tersebut pasti melibatkan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman.

Pada April lalu, laman web Sarawak Report telah mendedahkan dokumen daripada ICAC yang didakwa menunjukkan seorang peguam di Sabah memasukkan sejumlah USM 30 juta (RM92 juta) ke dalam akaun di bank Switzerland yang dimiliki Musa Aman. Michael Chia yang dituduh sebagai mempunyai kaitan dengan kes Musa Aman merupakan pelabur balak yang banyak menjalankan urusan dengan syarikat British Virgin Islands yang secara langsung melibatkan peguam tersebut.

Najib menjelaskan pemberian dana RM 40 juta kepada Umno Sabah adalah bertujuan derma politik dan ia bukannya satu kesalahan kerana ia melibatkan Umno atau BN dan yang menjadi kesalahan ialah apabila parti-parti dalam Pakatan Rakyat yang menerimanya. Atas sebab itulah tiada merit untuk SPRM  menyiasatnya kerana SPRM adalah parti komponen BN sebagaimana PDRM, SPR, JPN, HAKIM dan Jabatan Imigresen.

Bagi Najib, sumbangan ini bukannya banyak sangat pun sampai nak diperbesarkan jika hendak dibandingkan sebentuk cincin yang Rosmah pakai. Jika seorang bertaraf Ketua Menteri mendapat komisen sebanyak RM 92 dan RM 40 juta, berapa pula yang dipulun oleh Najib dan Rosmah. 

Jika mengikut apa yang dibelanjakan oleh bini Najib yang suka berbelanja mewah seperti cincin RM 72 juta, beg tangan yang paling murah RM 92,000, rantai leher RM 3 juta, menginap dihotel RM 100,000 satu malam dan bermacam-macam kemewahan, kita boleh andaikan yang mereka telah mengumpul lebih dari RM 2 bilion sejak menjawat jawatan FLOM. Anda kira sendirilah jika dicampur dengan penabungan beliau sejak berumur satu hari.

Siapa Michael Chia

Michael Chia ditahan pada 14 Ogos 2008 di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong apabila wang berjumlah RM 40 juta (SGD 16 juta) ditemui dalam bagasinya ketika mahu menaiki pesawat yang menghala ke Kuala Lumpur.

Michael Chia ditahan dan didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram dan beliau memberi tahu penyiasat agensi anti rasuah Hong Kong (ICAC) bahawa wang tersebut adalah untuk Ketua Menteri Sabah, Mr Musa Aman.

Yang menjadi tanda tanya kita ialah siapakah Mr X yang menyerahkan wang sebanyak SGD 16 juta kepada Michael Chia di Kota Kinabalu sebelum beliau ditahan di Lapangan Terbang Hong Kong. Yang nyata beliau (Chia) hanyalah keldai kepada Musa Aman. Andainya tangkapan ini tidak berlaku, pasti ia sudah masuk ke kantung Musa Aman dan bukannya dana untuk Umno Sabah.

Rabu, 17 Oktober 2012

Apabila Pembunuh Bangga Dengan Apa Yang beliau lakukan.



Bekas Pemimpin perang Serbia Bosnia, Radovan Karadzic memberitahu mahkamah perang Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa dia harus diberi ganjaran untuk "mengurangkan penderitaan", bukannya dituduh menjalankan jenayah perang.

(Wajah orang yang didakwa pembunuh beramai-ramai rakyat Bosnia, Karadzic)

Muncul pada hari pertama untuk mempertahankan diri beliau di The Hague Selasa lalu, Karadzic memberitahu para hakim bahawa dia tidak bersalah dan adalah seorang "manusia bertoleransi" yang cuba mendapatkan keamanan di Bosnia semasa perang 1992-1995.

Karadzic, 67, menghadapi 10 tuduhan pembunuhan beramai-ramai dan jenayah terhadap kemanusiaan semasa peperangan pada tahun 1990-an, termasuk pembunuhan beramai-ramai Srebrenica dan pengepungan Sarajevo.

Beliau telah ditangkap di Belgrade pada 2008, selepas menghabiskan 13 tahun dalam pelarian.

Karadzic memulakan kenyataan peribadinya selama empat jam dengan menyatakan beliau telah melakukan "segala-galanya dalam bidang kuasa manusia untuk mengelakkan peperangan dan mengurangkan penderitaan manusia".

"Saya seorang lelaki yang sederhana dan bertolak ansur," Karadzic memberitahu hakim-hakim di International Criminal Tribunal for the former Yugoslavia (ICTY), sambil menambah bahawa beliau "mempunyai kapasiti yang besar untuk memahami pihak lain.

"Saya, ataupun sesiapa sahaja yang saya tahu, tidak pernah terfikir akan ada satu pembunuhan beramai-ramai terhadap mereka yang bukan berwarganegara Serbia," katanya kepada mahkamah sambil diperhatikan isteri dan saudara-mara mangsa pembunuhan beramai-ramai dari galeri.HD

Jumaat, 12 Oktober 2012

Amat Bodohlah Kalau Ditipu 'Syaitan Yang Dikenali'.



Tuan Guru Abdul Hadi

ULASAN: Para ulama meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya aku pernah menyaksikan satu persefahaman di rumah Abdullah bin Jud'aan, sekiranya aku diajak bersamanya dalam Islam nescaya aku menerimanya." (Al-Sirah Al-Nabawiyyah, Ibn Kathir)

Peristiwa bersejarah ini berlaku di masa jahiliah, ketika Rasulullah SAW belum dilantik menjadi rasul dalam usia dua puluhan. Apabila bapa-bapa saudara baginda membawanya menyertai pertemuan khusus di kalangan pemimpin utama Mekah.

Rasulullah SAW diizinkan menyertai perjumpaan khas itu dalam usia yang dianggap terlalu muda dan mentah, tetapi diakui kebijaksanaanya yang luar biasa dan akhlaknya yang sangat mulia.

Peristiwa ini berlaku apabila seorang pengunjung Mekah daripada Qabilah Zubaid Yaman yang berniaga, dizalimi seorang bangsawan Mekah bernama Al ‘Aas bin Waael. Pendatang yang dizalimi gagal mendapat pertolongan daripada rakan-rakan dan kenalannya, kerana kedudukan bangsawan si zalim itu.

Lalu mangsa kezaliman mendaki bukit Qubais berhampiran Kaabah melaungkan rayuan pertolongan dan mencabar bahawa kesucian Mekah dan keamanannya sudah tidak ada lagi.

Apabila seruannya didengari para pemimpin Mekah yang sedang berkumpul, mereka merasa malu dan tercabar. Maka diadakan perjumpaan tergempar di rumah Abdullah bin Jud'aan dengan membuat keputusan satu muafakat yang dinamakan Half al-Fudul bagi menentang kezaliman dan membela sesiapa yang dizalimi.

Rasulullah SAW bersabda tersebut di atas dengan huraiannya: "Kalaulah persefahaman ini diajak sekarang, ketika berada dalam Islam pun nescaya aku menerima dan menyertainya."

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Kebijaksanaan adalah barang tercicir kepunyaan seseorang yang beriman, maka di mana sahaja dia mendapatinya, dialah yang berhak memungutnya." (Riwayat Ibn Majah)
Di atas konsep inilah maka Rasulullah SAW menerima persefahaman tersebut, walaupun mereka itu daripada kalangan pemimpin jahiliah. 
Kerjasama politik berpandukan nas


Banyak perkara baik daripada amalan zaman jahiliah dan kalangan yang berperikemanusiaan daripada berbagai bangsa bukan Islam, seperti melayan utusan daripada negara luar termasuk negara musuh, perlindungan keselamatan terhadap para diplomat, menghormati perjanjian antarabangsa dalam perkara yang adil dan sebagainya diterima oleh Islam. 

Rasulullah SAW juga menyatakan sempadan dengan sabdanya yang bermaksud:
"Orang Islam itu hendaklah bertanggungjawab atas segala syarat yang mereka tetapkan, melainkan syarat yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram." (Riwayat Al-Bukhari dan selainnya)




PAS adalah parti Islam yang berpaksi dan berpandukan hukum tertinggi mengikut undang-undang tubuhnya (perlembagaan). Pelaksanaannya dikawal oleh Majlis Syura Ulama, sehingga boleh membatalkan segala keputusan dan langkah yang bertentangan dengan ajaran Islam. Maka PAS tidak boleh disamakan dengan Umno.

Begitu juga hubungan PAS dengan DAP dan kalangan bukan Islam, sangat berbeza dengan hubungan di antara komponen BN yang tidak berdasar dan berkonsepkan Islam daripada al-Quran dan Sunah, Ijmak Ulama dan Qias.

Hubungan PAS dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat adalah hubungan tahaluf (kerjasama) yang berpandukan nas tersebut di atas. Pakatan adalah muafakat politik dalam konsep tahaluf siyasi (kerjasama politik) yang diluluskan oleh Majlis Syura Ulama dalam skop hukum fikah politik Islam.
Bekerjasama dalam titik persamaan menentang kezaliman politik dan pentadbiran negara yang dialami oleh seluruh rakyat, seperti amalan demokrasi yang tempang, pentadbiran negara yang tempang, pengurusan ekonomi yang penuh dengan penyelewengan, masyarakat yang jahil dengan kelemahan pendidikan dan undang-undang yang tidak ada kehebatan, menyebabkan krisis moral yang parah dengan kebanjiran maksiat dan jenayah.
Umno yang mewakili Melayu-Islam dalam BN mencalarkan Islam dan merosakkan imejnya. Sangat malang bagi sesiapa yang tidak membezakan antara Islam dan Melayu, seperti Arab yang tidak membezakannya dengan Islam.

Islam pernah memperkasakan Arab. Dan Arab tumbang setelah menjadikan Islam hanya kebanggaan sejarah tanpa amalan yang sempurna, walaupun memiliki kekayaan melimpah ruah.

Begitulah maknanya, tegakkan Islam bersama PAS, Melayu selamat dan semua kaum selamat. Tegakkan Melayu bersama Umno, Islam hanya menjadi jenama yang ditampal pada kotaknya sahaja, tanpa isinya yang sebenar. Samalah seperti meletakkan ubat batuk pada kotak yang berjenamakan ubat gatal.

Tak halang ahli DAP minum arak, tapi...

Cukuplah menegakkan Islam ala-Umno yang bergantung dengan politik wang, pangkat dan tawaran mewah bersamanya tanpa jati diri yang sebenar. Hanya menjadi penyakit yang memakan diri laksana pemelihara hantu yang menjadikan tuannya, makan tidak kenyang walau pun makan sebanyak-sebanyaknya.

Melayu yang perkasa bersama Umno, hanya sekadar bertempik menghunus keris taming sari sesama sendiri sehingga negeri dijajah. Merekalah baka yang menyerah diri kepada penjajah dahulu dan mewarisi kemerdekaan yang diletak di atas dulang emas dan menerimanya dengan melalui hamparan permaidani dan taburan bunga.

Sejarah tetap tidak boleh dibohongi bagaimana golongan Islam bermandi darah dan air mata menentang penjajah walaupun disembunyikan di bawah tikar yang hina.

PAS ditubuhkan menjadi mata rantai kumpulan Islam terdahulu yang pernah diharamkan silih berganti. PAS tetap istiqamah dengan Islamnya menyatakan Islam adil terhadap semua manusia.

Bukan hanya Arab dan Melayu sahaja atau hanya penganut Islam sahaja. Islam adalah rahmat Allah kepada seluruh alam. PAS boleh bekerjasama dengan semua pihak dan tegas berpegang kepada dasarnya dan boleh bertasamuh (bertoleransi) mengikut batas-batas Allah.

PAS pernah bersama Umno di tahun 70-an dan menubuhkan BN bersama Umno dan rakan-rakannya. Penyertaannya dengan keputusan muktamar khas supaya teguh membawa mesej Islam secara tahaluf siyasi. Ketika bersama Umno, PAS memecat sesiapa kalangan ahlinya, termasuk ahli parlimennya yang berjoget dan minum arak bersama Umno.

Kemudian PAS dihalau keluar daripada BN pada 1978 dan selepas itu kerajaan PAS Kelantan dijatuhkan dengan perisytiharan darurat yang diluluskan oleh Umno dan rakan-rakannya melalui sidang khas parlimen dan pilihan raya khas selepas itu. Lalu PAS bersendirian mara ke hadapan dengan cita-cita Islamnya. PAS adalah tersendiri, tidak sama dengan Umno.

Maka PAS tidak perlu berkiblat ke arah Umno dan berimam mengikut arah kiblatnya, kerana kiblat politiknya salah. Tegasnya PAS tidak menghalang ahli DAP minum arak, makan babi, berjudi dan sebagainya. Tetapi PAS memecat kalau ahlinya melakukan perkara yang sama.

PAS pernah mengadakan tahaluf siyasi dengan Parti Melayu Semangat-46 yang berpecah daripada Umno. Parti Semangat-46 pula mengadakan kerjasama dengan DAP.

Parti ini tidak ada lagi dan gagasan yang dinamakan Angkatan Perpaduan Ummah yang menggabungkan PAS, Parti Melayu Semangat-46, Berjasa dan Hamim sudah tamat. Akhirnya PAS mengadakan tahaluf siyasi bersama Parti Keadilan Nasional (PKN) yang juga berpecah daripada Umno. Kemudian diiikuti pula tahaluf siyasi dengan DAP.

Hudud: Umno ibarat ayam jantan

PAS mengucapkan terima kasih kepada Umno dan media yang menjadi khadamnya, kerana sangat bersimpati terhadap PAS, kerana kononnya bimbang PAS akan menjadi parti melukut ditepi gantang.

Percayalah orang Melayu-Islam tidak akan hilang jati dirinya bersama-sama dengan PAS selagi PAS tidak meminda kedudukan Islam sebagai dasar dalam perlembagaannnya, seperti Melayu bersama Umno sehingga tidak bermaya di Singapura, Pulau Pinang dan lain-lain.

Kaum lain di kalangan bukan Islam pula jangan takut bersama PAS, kerana kumpulan dan gerombolan yang mengapi-apikan semangat perkauman dan fanatik buta agama berada dalam Umno atau bersekongkol bersamanya.

Di sepanjang kerjasama PAS dalam tahaluf siyasi tidak pernah rugi. Walaupun ditendang dan dipandang lekeh. Kerjasama PAS dalam BN di awal tahun 70-an dan sehingga akhirnya tidak rugi dengan kehilangan Kelantan setelah PAS ditendang keluar.

Pengaruh PAS dalam kerajaan berjaya masuk ke dalam jasad jentera kerajaan dan institusi pengajian dalam negara dan luar negara dan bertunjang sehingga hari ini dan mereka adalah bakal menjadi jentera pentadbiran PAS dalam Pakatan sekiranya berjaya.

Kerjasama PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah pada 1990-an berjaya menawan Kelantan sehingga hari ini. Kerjasama PAS dengan Barisan Alternatif dan kemudiannya Pakatan Rakyat berjaya menawan Terengganu pada tahun 1999 walaupun hanya satu penggal kerana ditumbangkan dengan zalim.

Tahun 2008 pula berjaya menawan lima negeri dan PAS memimpin tiga negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Perak. Manakala Selangor dipimpin PKR dan DAP memimpin Pulau Pinang. Walaupun dijatuhkan begitu rupa di Perak. Inilah senario tahaluf siyasi yang dilaksanakan selama ini.

Kerjasama tahaluf siyasi mutakhir ini berjaya memecahkan tembok yang melindungi pandangan bukan Islam terhadap Islam. Usaha media berbagai bahasa termasuk bahasa Melayu beragama Islam bagi mengelirukan menemui kegagalan.

Sehingga akhirnya mendedahkan kepura-puraan Umno berjuang menegakkan hukum hudud laksana ayam jantan kokok berderai ada hal ekornya bergelumang tahi sejak lebih lima puluh tahun. Sebenarnya Umnolah penghalang besar kepada perlaksanaan Islam kerana telah berkuasa di peringkat negeri dan pusat.

Ketahuilah bahawa pengajian politik bukan sahaja tersurat dalam tulisan buku dan pengajian akademik di bilik kuliah. Terpenting juga ialah ijtihad dengan istiqamah di tengah medan perjuangan. PAS mempunyai semua aspek ini dengan beristiqamah kepada ajaran Islam yang menjadi akidah dan teras kepada semua amalannya.
Berguru dengan media yang berniaga dengan politik

Kelantan adalah satu-satunya negeri paling lama diperintah oleh PAS sejak tahun 1959 sehingga 1977 dan kali kedua 1990. Sehingga kini PAS menjadi penyumbang besar kepada kejayaan Melayu Muslim dalam bidang pendidikan, perkhidamatan awam, keselamatan dan ekonomi.

Diikuti pula Terengganu Tahun 1959 sehingga 1961 dan kali kedua 1999 sehingga 2004 dan Kedah 2008 sehingga kini. Apabila giliran PAS dikurniakan kemenangan di negeri-negeri ini maka secara automatik menjadi sasaran Umno bagi melemah dan menjatuhkannya atas nama Melayu dan Islam. Paling malang menggunakan kedudukannya menguasai kerajaan pusat dan melanggar konsep demokrasi dan federalisme.

Mengepung media dan menyusahkan pentadbiran dan kewangan negeri-negeri ini, sehinggalah merampas royalti petroleum di Terengganu dan menafikan hak Kelantan. Namun perkara ini tidak pernah dilakukan kepada Singapura ketika dalam Malaysia, Pulau Pinang bawah parti Gerakan sebelum BN dan Sabah bawah PBS. Inilah hakikat Umno dengan Melayu dan Islam anutannya.

Kepada semua pihak yang bersimpati dengan PAS, saya tegaskan, percayalah kepada kami dengan semua pengalaman yang tersebut dan hilangkan khurafat beriman kepada Umno.

Kepada ahli dan penyokong PAS, saya nasihatkan supaya merujuk kepada sumber ilmu Islam yang ada dalam PAS, bukannya belajar melalui media yang berniaga dengan politik.

PAS tetap berpegang bahawa politik adalah amanah terbesar daripada Allah. Bahagialah mereka yang menunaikannya dengan istiqamah dan celakalah mereka yang mengkhinatinya. Pikul amanah ini secara berjemaah jangan berseorang diri dan memencilkan diri.

Pesanan Rasulullah SAW: "Sesiapa yang memencilkan diri daripada jemaah akan ditawan syaitan, laksana serigala yang menawan kambing yang terpencil daripada kawanannya."

Maka amat bodoh kalau ditipu oleh syaitan yang dikenali. MK

Jumaat, 5 Oktober 2012

Lebuhraya Rakyat: Melayu Umno Disindir Sami Buddha.


Tanpa menghiraukan sindiran pihak tertentu terhadap projek lebuh raya rakyat, sebaliknya 32 wat Siam di Kelantan mengumpul dana bagi turut sama menjaya pembinaan prasarana tersebut.

Hari ini mencatat satu sejarah apabila wat-wat Buddha terbabit menyerahkan pokok duit yang dikumpul daripada masyarakat Siam kepada Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Wang yang diterima digubah secara kreatif dengan melekatkan duit-duit tersebut pada ranting yang disediakan. Ada not-not yang bernilai RM100, RM50, RM10, RM5 dan RM1.

Wat Machimaran Kampung Bunuhan Tumpat mengumpulkan pokok duit sebanyak RM5,510 manakala Keng Choo Temple, Tanah Merah menderma pokok duit bernilai RM2,000.

Pada Jun lalu NGO tajaan Umno, Gerakan Tukar Kerajaan Pas Kelantan Demi Rakyat (Tukar) menyerah penyodok, kereta sorong dan cangkul buruk kepada kerajaan negeri sebagai sindiran projek lebuh raya rakyat.

Sebaliknya wat-wat Siam dari seluruh Kelantan mengambil inisiatif sendiri mengumpul dana bagi membantu dana pembinaan lebuh raya tersebut, selepas disisih kerajaan pusat sejak 1986.

Ketua Sami Buddha Tumpat II, Phrak Khru Vithat Thammarat dari Wat Machimaran berkata, kalau tidak ada duit macam mana hendak buat jalan.

“Jadi kita pakat buat baik sebelum mati. Buat baik boleh balasan baik dan buat jahat boleh balasan jahat. Oleh itu kita kena pakat buat baik, tanya mahaguru kita (Tok Guru Nik Aziz).

“Jangan cakap banyak kalau tidak ada isi tak guna juga. Macam mahaguru kita tidak cakap banyak sebab dia ada isi,” katanya pada ucapan mewakili wat-wat Siam di majlis penyerahan sumbangan bagi dana pembinaan lebuh raya rakyat di Wat Machimaran di sini.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz melahirkan rasa terharu di atas kesungguhan masyarakat Siam mengumpulkan wang sesama mereka bagi membantu membina lebuh raya rakyat.

“Sebelum ini ada pihak yang membawa kereta sorong dan cangkul buruk ke pejabat saya sebagai mempersendakan projek lebuh raya rakyat.

“Namun hari ini hati saya gembira sangat kerana masyarakat Siam faham kesungguhan kerajaan negeri membina lebuh raya tersebut selepas diketepikan kerajaan pusat,” katanya.

Hadir sama anggota-anggota Exco, Datuk Husam Musa, Datuk Annuar Tan Abdullah, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim, anggota parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Penyelia Dun Pengkalan Kubur, Wan Rosdi Wan Ibrahim.

Ketibaan Menteri Besar disambut dengan paluan gendang Siam oleh anak-anak muda. Sami yang berada di bawah khemah kemudian bersalam dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Pada majlis itu juga Menteri Besar menyerahkan surat kelulusan milik tanah tapak 12 wat Buddha di Tumpat yang dimohon kepada kerajaan negeri sebelum ini. HarakahDaily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular