Translate

Jumaat, 29 November 2013

Pecah Tembelang, Bapa Akui Anaknya Berkahwin Muda Kerana Diperkosa.


Bapa kepada pasangan kahwin muda, Saad Mustafa mendedahkan bahawa anak perempuannya, Nor Fazira Saad, 13, diperkosa oleh bekas suaminya, Mohd Fahmi Mohamed Alias, 20, bersama dua kawan lelaki empat bulan sebelum perkahwinan itu dilangsungkan.

Saad, 44, berkata, dia membuat laporan polis pada 15 Julai 2012, namun ibu bapa Mohd Fahmi datang menemuinya selama beberapa hari merayu laporan itu ditarik balik kerana tidak mahu anaknya menerima hukuman penjara.

“Saya kahwinkan dia kerana diperkosa,” katanya seperti dilapor akhbar berbahasa Inggeris, The Star hari ini.

Berikutan rayuan itu, dia sebagai bapa memahami permohonan keluarga Mohd Fahmi dan bersetuju untuk menarik balik laporan polis yang dibuat serta menikahkan anaknya pada November 2012.


Pada bulan lalu, Nor Fazira memberitahu bahawa dia tidak tahan dengan layanan keluarga mentuanya dan memutuskan untuk meminta cerai.

Saad turut mengakui bahawa keluarga Mohd Fahmi tidak menyukai anaknya dari awal perkahwinan dan Nor Fazira selalu didera secara fizikal serta tidak diberi makan oleh keluarga mentuanya. Akhbar itu melaporkan Mohd Fahmi menafikan dakwaan Saad dan berkata dia hanya meniduri Nor Fazira selepas mereka sah diijabkabulkan.

“Saya menceraikan Nor Fazira kerana bekas isteri saya itu mempunyai hubungan sulit dengan seorang lelaki lain dari Kuala Ketil. “Nor Fazira juga biadab terhadap keluarga dan tidak pernah memasak serta selalu keluar rumah sekiranya tidak berpuas hati,” katanya. 

Mohd Fahmi menafikan dakwaan bahawa Nor Fazira didera dan tidak diberi makan. Katanya, keluarga mereka melayan Nor Fazira dengan baik walaupun perlakuan remaja wanita itu teruk. TMI

Rabu, 27 November 2013

Sahabatku Jefri Chua.....

Jefri Chua

Dr Azman Ibrahim

Saya catatkan di sini antara perkara yang paling menyentuh hati berlaku pada hari Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Stadium Malawati, Shah Alam baru-baru ini dan saya kreditkan tulisan ini kepada sahabat baik saya Saudara Jefri Chua, Timbalan Pengerusi DHPP Terengganu. 

Saya mengenali Jefri Chua sebagai seorang kawan dan sahabat. Selalu apabila ada kesempatan bertemu, kami selalu duduk berbincang, berkongsi pendapat dalam banyak hal, walau tak selalunya pendapat kami selari tetapi beliau mempunyai sikap menghormati pendapat orang lain dan bersedia untuk berbincang.

Di Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini, beliau dengan mesra datang ke tempat duduk perwakilan PAS Setiu, mengambil tempat di sebelah saya dan sambil mengikuti perbahasan dari perwakilan, sebagaimana biasa sikap ramahnya dengan tak pernah surut, beliau berceloteh memberikan pendapat tentang perkara itu ini juga bertanya tentang itu ini... 

Ditunjukkan kepada saya gambar beliau memegang sebuah buku tulisan Datuk Ismail Kamus bertajuk ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ (gambar) yang sedang dibacanya. Saya hanya memberikan komentar ringkas, “buku ini sebuah buku yang baik untuk dibaca, isinya mudah difahami...”

Tanpa diduga, saya terkedu serta mengalirkan air mata, bila beliau bertanya soalan yang tak dijangka, "Apa yang you rasa bila suatu hari nanti saya menjadi seorang Islam?"

Jawab saya, "Sayalah antara manusia yang paling gembira ketika itu dan paling awal mengucapkan tahniah!"

Beliau menyambung lagi, "Sebenarnya saya sedang berfikir ke arah itu, tetapi berikan saya sedikit masa kerana saya juga mempunyai isteri dan anak-anak. Kalau saya seorang diri sahaja, mudah..."

Kata beliau lagi, "kalau dihitung purata umur rakyat Malaysia, saya masih mempunyai masa sekitar 20 tahun lagi untuk membuat kebaikan..." ujarnya penuh bermakna.

Saya mengenali Jefri yang saya panggil Jeff sebagai seorang yang berprinsip, komitmen dalam melakukan kerja, sanggup menongkah arus dalam mengambil tindakan.

Mungkin beliau satu-satunya teman berbangsa Tionghua yang belum Islam tetapi sanggup mop lantai Masjid Pengadang Baru. Selalu mengikuti kuliah pagi Jumaat Tuan Guru Presiden di Masjid Rusila.

Kelibatnya tak sukar untuk ditemui walaupun dalam program-program parti yang berbentuk keislaman.

Peranannya dalam meraih sokongan pengundi Tionghua kepada Pakatan Rakyat dalam PRU13 baru-baru ini tak siapa yang mampu menafikannya. Caranya dan pemikirannya agak kreatif.

Beliau menunjukkan kepada saya gambar beberapa orang perwakilan muktamar yang sedang mendirikan solat di atas lantai di satu sudut Stadium Malawati ketika rehat sesi muktamar.

Saya tanya, “Apa yang Jeff nak buat dengan gambar ini?”

Jawabnya, “Saya nak post dalam fb, nak tunjuk kepada kawan-kawan fb saya yang berbangsa Cina bahawa Islam ini sangat mudah, solatnya boleh didirikan di mana-mana sahaja...”

Sekali lagi mata saya berkaca dengan air mata yang bergenang.

Jeff sahabatku... saya menunggu untuk memeluk tubuhmu sebagai seorang saudara Islam sambil mengucapkan tahniah nanti! Saya berkeyakinan bahawa ianya tersangat hampir!

Harakah

Isnin, 25 November 2013

Presiden : Siapa Terjun Dari Bahtera, Dia Tidak Selamat.

Siapa terjun dari bahtera, dia tak selamat - Presiden


Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan seluruh ahli PAS berhati-hati dengan serangan pihak musuh yang cuba memecah belahkan parti itu.

Menganalogikan serangan tersebut sebagai 'gelombang dari luar, yang menghentam bahtera PAS', beliau mahu pemimpin dan ahli PAS semua peringkat tidak terjun dari bahtera ini sekalipun mabuk dilanda gelombang tersebut.

"Gelombang dari luar itu cukup kuat, kayuh sama-sama hingga penghujung. Kadang-kadang saya bimbang orang kita mabuk dengan gelombang. Lebih malang yang mabuk itu sampai terjun bahtera.

"Jangan terjun bahtera ini. Sesiapapun yang terjun dia tidak akan selamat, termasuk juga ulama," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membuat ucapan penangguhan di Muktamar Tahunan PAS kali ke-59 semalam.

Terdahulu, beliau turut menafikan kewujudan pelbagai aliran pemikiran yang ada dalam PAS yang didakwa sesetengah pihak sebagai membawa kepada perbezaan akidah.

Sebaliknya, kata Ustaz Abdul Hadi tuduhan seperti itu hanya ditimbulkan oleh Umno, sedangkan di kalangan ahli PAS hanya berbeza dari segi latar belakang dan bukannya dari segi akidah.

"Tiada dalam PAS, Islam liberal, Islam ortodoks atau Islam protestan. Jangan dengar pandangan orang luar," katanya membuat penegasan.

Tambahnya, PAS melihat kepelbagaian latar belakang ini sebagai satu kekuatan kepada parti itu dengan berperanan secara kolektif. Sumber

Ahad, 24 November 2013

Jangan Bangga Bersahabat Dengan Golongan Fasik



Wahai anakku,

Janganlah engkau rasa hebat bersahabat dengan mereka yang mendurhakai Allah dan menjauhkan manusia dari jalan-Nya. Kerana engkau akan menempah jalan yang dimurkai Allah. Janganlah engkau kagum dengan seseorang yang memperolehi harta melalui jalan yang diharamkan Allah, kerana setiap perbelanjaannya tidak diterima oleh Allah. Tindakan kamu mendekati mereka dan bergaul mesra dengan mereka akan menjauhkan kamu dari golongan yang dikasihi oleh Allah, dan mendekatkan kamu kepada kemurkaan Tuhanmu.

Wahai anakku,
Janganlah engkau pisahkan dirimu dari jemaah yang memperjuangkan Islam, walaupun mereka kelihatan lemah, tiada permaidani merah yang menghampar mereka, namun mereka dekat dengan Allah. Perhatikanlah pergaulanmu dengan semua sahabatmu, berjalanlah bersama mereka, makanlah bersama mereka dan sembahyanglah bersama mereka; nescaya engkau akan kenal siapa mereka.

Wahai anakku,
Janganlah engkau bangga bersahabat dengan golongan yang fasik, lalu kamu menjauhi golongan bertaqwa. Engkau mengharapkan habuan dunia yang ada pada mereka, lalu mereka menyesatkan kamu dan menjauhkan kamu dari Tuhanmu. Engkau akan mulai terpisah dengan golongan yang menjaga iman mereka, kemudian kamu akan semakin jauh dari rumah Allah dan kamu akan terus bergelumang dengan golongan yang lalai dengan Allah.

Wahai anakku,
Sahabat yang baik itu ialah sahabat yang bilamana kamu melupai kewajipanmu, ia akan mengingatkan kamu. Bilamana kamu mendengar kata-katanya akan bertambah ilmumu, dan bilamana kamu melihat amalan sehariannya, mengingatkan kamu pada hari akhirat.

Wahai anakku,
Aku sedar betapa payahnya kamu untuk mendapatkan sahabat yang baik, namun kebaikan yang ada padamu akan mengundang kebaikan sahabat yang mendekatimu. Tidakkah bau harum pada berbunga yang mekar menarik kedatangan lebah bagi menghisap madunya. Dan tidakkah kamu perhati bau busuk dari seekor bangkai akan mengundang langau. Kamu jangan mengharap kebaikan yang ada pada golongan yang lalai pada perintah Allah, atau kamu kagum dengan satu dua kebaikan yang dilakukan di hadapanmu, lalu kamu sanggup memejam mata terhadap rasuah, salah guna kuasa, kezaliman dan kemungkaran yang dilakukannya. Lalu kamu war-war kebaikannya, dan kamu diam terhadap kemungkarannya.

Wahai anakku,
Janganlah kamu menjadi jurucakap kepada musuh bagi membenarkan keburukan perbuatanmu, kerana ia tidak lebih menambahkan kebencian orang terhadapmu. Sebaliknya perbaikilah kelemahan dirimu bersama jemaah, dengan mendekatkan dirimu kepada Allah melalui amalan jamaahmu. Hiruplah keredhaan Allah dalam setiap patah zikirmu, dan titislah air mata keinsafan di atas keterlanjuranmu kerana mengabaikan perintah Allah.

Wahai anakku,
Aku sedang berbicara denganmu, bukan orang lain kerana aku mengasihimu di dunia dan akhirat. Demi Allah aku sanggup hilang seribu sahabat yang fasik, namun aku tidak sanggup kehilangan seorang sahabat yang soleh.

Senyumlah semoga Allah mengasihimu.
Senyum 

Tuan Ibrahim Tuan Man

Sabtu, 23 November 2013

Shaklee : Setelah Sekian Lama Sakit.....


Sudah cukup lama saya menahan kesakitan di sendi-sendi terutamanya pada bahagian betis saya dan bermacam-macam ubat yang di syor oleh keluarga dan rakan-rakan. Kebanyakan pendapatan dihabiskan untuk membeli ubat-ubatan baik melalui MLM atau farmasi tetapi ianya tetap tidak mendatangkan kesan langsung. Nasib baiklah isteri bekerja walau pun pendapatan cukup untuk sekeluarga walau pun tidak bermewah kerana kita tahu dan sedar akan harga barangan berunsurkan kesihatan yang cukup mahal.

Berbalik kepada kesakitan yang saya alami sungguh-sungguh menyakitkan terutama di bahagian betis sehingga rasa hendak di toreh-toreh ajer. Saya selalu melakukan bekam tetapi ia hanya bertahan sehari dua sahaja. Memandangkan kos untuk satu bahagian untuk di bekam RM15, jadi untuk menjimatkan duit saya belikan alat untuk berbekam yang bernilai RM20. Jarumnya pula saya beli di farmasi kerana ia dapat menjimatkan kos yang banyak kerana saya sendiri boleh melakukannya sendiri.

Walau bagaimana pun ia hanya bertahan sehari dua sahaja dan apabila betis saya sakit, saya akan berbekam dan ia menjadi rutin pula buat saya. Apa pun yang berlaku, kita mesti redha akan ketentuan Yang Maha Esa dengan terus berusaha kerana tiada penyakit yang tiada ubat melainkan mati. Saya bukan nak kondem mana-mana ubat-ubatan yang dibeli melalui farmasi atau dari MLM kerana mungkin ubat-ubatan itu tidak serasi dengan diri saya. Isteri saya yang selalu membeli ubat-ubatan untuk saya cuba walau pun saya kurang menyenangkan kerana bagi saya ia membazir disebabkan harganya yang mahal. 

Apabila saya tanya doktor pakar tentang kesakitan saya, dia pun tidak boleh berbuat apa-apa dan memberi saya vitamin-vitamin. Untuk menjadi cerita, isteri saya telah membeli sejenis product yang bernama SHAKLEE dan saya rasa ianya buat membazir sahaja. Selepas 2 minggu saya mengamalkannya, betis saya sudah berkurangan sakitnya. Bagi saya inilah pertama kali ubat yang saya amalkan memberi kesan yang teramat sangat. Saya tidak lagi menyuruh anak saya yang berumur 6 tahun memijak-mijak betis saya lagi kerana sebelum itu beliaulah tukang urut tak bertauliah saya.

Apa pun sebagai seorang muslim kita mestilah berpegang segala-galanya adalah kehendak Allah s.w.t. kerana Ia yang memyembuhkan segala penyakit dan kita hanya berusaha. Untuk mengetahui lebih lanjut, layarilah TinaTinot. Sekarang ini isteri saya telah menjadi pengedar product SHAKLEE bagi area Ipoh. Dalam perkiraan saya, saya hanya berbelanja lebih kurang RM220 sebulan dan ia lebih menjimatkan jika dinilai dengan harga ubat-ubatan yang pernah saya gunakan sebelum ini. 

Anda boleh cuba dengan product ini kerana ia mempunyai berbagai jenis mengikut penyakit yang anda alami. Saya andaikan ini adalah statement saya untuk product SHAKLEE kerana bukan sahaja betis saya semakin sembuh, malah kesihatan saya pun semakin baik selepas 16 tahun menderita berbagai penyakit. Apa yang saya dimaklumkan oleh isteri saya, kumpulan yang beliau sertai banyak membantu dari segi kewangan untuk pendidikan atau program yang berunsurkan Islam.

Syabas Dan Tahniah Kepada Negara Brunei Darussalam.


Setinggi-tinggi tahniah dan ucapan syabas kepada Negara Brunei Darussalam  dan khususnya kepada Sultan Haji Hassanal Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien, dengan diiringi doa sepenuh harapan kepada Allah SWT agar terus dipelihara dan diberkati Negara, Raja dan rakyatnya, kerana perisytiharan pelaksanaan Syariat menerusi Kod Panel Syariah. Semua di antara kita menyedari bahawa pelaksanaan undang-undang jenayah Islam adalah paling mencabar dan menjadi sasaran fitnah musuh Islam yang datang daripada seluruh penjuru dunia. 

Ucapan yang wajib diberi oleh setiap orang yang beriman dan budiman, yang  ikhlas kepada Allah dan mahu menyelamatkan manusia serta menanti hari Akhirat yang diimani. Hukum itu adalah daripada Allah, Pencipta Alam Yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana dan Maha Adil.  Bukannya ciptaan manusia iaitu makhluk yang tetap ada kelemahannya, termasuk ketua negara dan para penggubal undang-undang.
Tegasnya bahawa menggubal undang-undang yang lain daripada ketetapan Allah adalah syirik dosa besar di sisi Allah, kerana mencabar sifat ketuhanan Yang Maha Suci daripada segala kelemahan dan persamaan dengan makhluknya. Mengadakan undang-undang ciptaan manusia dalam perkara yang telah menjadi ketetapan Allah bermakna  mencabar ketuhanan dan sifatnya Yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana, Maha Adil  dan Maha Rahmat. Melanggari ketetapan Allah juga merosakkan peraturan alam yang telah ditetapkan oleh Allah Penciptanya secara saksama.

Wahai kalangan mereka yang mengaku pejuang hak asasi manusia dari seluruh pelusuk dunia! Sebenarnya setengah tindakan kamulah yang merosakkan manusia, namun  berlagak bijaksana. Mereka sepatutnya merasa malu sekiranya mereka menyuluh diri mereka sendiri. Bandingkan undang-undang jenayah syariat Islam dengan hukuman yang kamu reka cipta itu : gantung mencekek leher, menggunakan tali, hukuman sebatan menyeksa yang masih diamal di negara kamu, sebatan yang menyeksakan sehingga mencabut kulit dan daging orang yang dihukum, belum lagi penyeksaan sehingga ada yang mati dalam tahanan ketika soal siasat terhadap orang yang dituduh, yang belum lagi ditentukan kesalahannya.

Kepada mereka, berpoligami dengan syarat wajib berlaku keluarga adil adalah kolot, ketinggalan zaman, tidak maju dan salah. Manakala berzina seperti binatang atau menyimpan wanita seberapa ramai tanpa tanggungjawab berkeluarga adalah bertamadun. Menutup aurat khususnya kaum wanita dikira mengongkong hak asasi manusia, tidak kontemporari, mundur, manakala mendedahkan jasad dengan pakaian yang lucah itulah sifat manusia yang sebenar, bahkan ada negara yang bertelanjang adalah hak asasi manusia.  Menggunakan wanita menjadi bahan iklan barangan dengan pakaian yang mendedahkan jasad dikira bersopan. Bagi mereka menghalalkan riba menindas golongan terdesak adalah rukun ekonomi, manakala mengharamkannya adalah penghalang kemajuan.

Cukuplah bagi umat Islam setelah mendengar atau membaca segala tuntutan dan  bantahan mereka yang menyalak itu, menolak dengan akal yang mulia dan cahaya Islam yang terang lagi bersuluh dengan membezakan di antara benar dan salah, hak dan batil. Hendaknya jangan ada kalangan umat Islam, orang yang masih tidur dalam cahaya Islam yang dianutinya, sehingga mengigau bersama  mereka yang berada dalam kegelapan yang menyesatkan.

Ramai kalangan mereka beranggapan, apabila undang-undang Islam hanya Qisas dan Hudud dikuatkuasakan, maka ramailah orang yang menjadi mangsanya, sehingga banyak tangan yang dipotong, ramailah orang cacat anggota, dan akan dibunuh sewenang-wenang. Mereka mengira secara spontan dan jahil bahawa undang-undang Islam menjatuhkan hukuman dengan mudah, tanpa membaca syarat dan rukunnya yang sangat ketat dan payah sehingga menjadikan hakim Islam terlalu payah menjatuhkan hukuman. Namun undang-undang Islam adalah sangat menggerunkan, termasuk kepada orang tidak melakukan jenayah, apatah lagi kepada penjenayah dan bakal melakukannya.

Jangan pula menganggap orang yang bersalah dibebaskan sewenang-wenangnya kerana ada pula hukuman takzir mengikut kebijaksanaan pihak yang berkenaan dalam perkara yang tidak ada nas. Islam juga mendahulukan cegahan adalah lebih penting daripada mencari penjenayah, dan bertaubat sebelum ke mahkamah adalah lebih afdal.

Di negara barat yang mencipta undang-undang manusia, berlaku peningkatan salah laku jenayah dan salah laku sesama manusia bahkan dalam satu keluarga. Medianya sendiri melaporkan kadar jenayah yang parah makin meningkat, bahkan mangsanya yang tidak terfikir oleh manusia yang berakal. Peristiwa mengamuk di sekolah kanak-kanak sudah berulang beberapa kali berlakunya di negara yang disebut paling maju dan paling kaya itu.

Keberanian negara umat Islam paling kecil seperti Negara Brunei Darussalam sepatutnya memalukan negara umat Islam juga, yang mengaku paling besar dan paling maju, serta paling kuat Islamnya, tetapi cakapnya tidak serupa bikin. Laksana ayam yang bertelur hanya sebiji tetapi berkukuk riuh sekampung dan badannya pula bergelomang kekotoran.

Percayalah bahawa melaksanakan Islam akan tetap membawa berkat kerana ianya adalah janji daripada Allah SWT.

PRESIDEN PAS

* Surat ucapan tahniah dari Presiden PAS kepada Negara Brunei Darussalam telah diutuskan pada 26 Oktober 2013 bersamaan dengan 21 Dzul hijjah 1434 Hijriah.

Khamis, 21 November 2013

Perjalanan Hidup Ahmad Ammar Yang Digelar 'Syahid Yang Tertanggu'h.



Ahmad Ammar - Digelar sahabat-sahabatnya sebagai “Syahid Yang Tertangguh”.

Ahmad Ammar Ahmad Azam telah pergi menemui Tuhannya pada usia 20 tahun di dalam kemalangan jalan raya lima hari yang lalu di Istanbul, Turki. Beliau memilih bidang sejarah di Universiti Marmara dengan mendapat biasiswa Kerajaan Turki. Semangatnya untuk mendalami sejarah Uthmaniyyah dan melihat Kerajaan Islam kembali tertegak selari dengan cita-cita ayahanda dan bondanya. 

Sememangnya beliau dilahirkan di dalam keluarga yang mementingkan ilmu, ibadah, dakwah dan pengorbanan. Ayahandanya Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman, mantan Presiden Abim sudah tidak asing lagi bagi para pendakwah dan gerakan Islam di Malaysia. Ahmad Ammar satu-satunya anak lelaki kepada pasangan Tn. Hj Ahmad Azam Abdul Rahman dan Puan Nur Azlina Aziz. 

Sungguh bagi remaja semuda Ammar, untuk mendengar alunan Quran sebagai halwa telinga mungkin menjadi pilihan yang terakhir sekali. Namun tidak untuk Ammar. Beliau dikhabarkan keluar rumah setelah membaca al-Quran dalam tempoh yang panjang.



Malah pada usia semuda itu beliau telah menyertai pelbagai misi kemanusiaan di beberapa negara di dunia. Misi ke Syria begitu menyayat hati, seolah-olah Ammar tertinggal hatinya di Syria. Meskipun letupan demi letupan meletus di kiri dan kanan malah terlalu hampir dengan hospital tempat penginapan mereka, namun Ammar teguh tidak gentar ingin terus membantu Syria. 

Allahu Akbar! Sejak pulang dari Syria itulah sahabat-sahabat menggelarnya “Syahid yang Tertangguh”. Alangkah bertuahnya ayahanda dan bonda beliau kerana dapat menyaksikan sendiri perjalanan terakhir seorang anak dengan pengakhiran yang baik.

Ribuan manusia memenuhi Masjid Abu Ayyub al-Ansari, malah dimakamkan berhampiran sahabat agung Rasulullah saw iaitu Abu Ayyub al-Ansari yang berjihad untuk membebaskan Konstantinopel dahulu. Seorang sahabat menulis, Ammar adalah “Muhajir” dan menjadi tetamu kepada Abu Ayyub al-Ansari. 

Subhanallah indahnya “tawafuk” yang disusun Allah dan bukan kebetulan. Sekiranya kita masih mengingati sejarah hijrah Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Madinah, bukankah Baginda Rasulullah s.a.w menjadi tetamu di rumah Sayyidina Abu Ayyub al-Ansari?

Bukankah unta baginda s.a.w dengan hidayah Allah telah memilih rumah Abu Ayyub al-Ansari tidak yang lain? Secara simboliknya Ahmad Ammar Ahmad Azzam berhijrah menuntut ilmu dari Malaysia ke Turki seperti hijrahnya Baginda s.a.w dari Makkah ke Madinah. 

Takdir Allah menentukan Sayyidina Abu Ayyub al-Ansari terpilih untuk memuliakan Rasulullah s.a.w di rumahnya, begitu jugalah Ahmad Ammar menjadi tetamu kepada Sayyidina Abu Ayyub al-Ansari di permakaman Eyup, Turki. Inilah rezeki beliau yang pastinya amat menggembirakan ayahanda dan bondanya yang kesedihan.

Janji Allah amat jelas di dalam ayat 100 surah al-Nisa’ :

“…Dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudia ia mati, maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Subhanallah, pada pagi kejadian, Ammar keluar menuju rumah pelajar-pelajar baru dari Asia Tenggara dengan semangat untuk berkongsi ilmu dan bermuzakarah Rasail Nur karangan Imam Bediuzzaman Said Nursi. 

Malah catatan terakhirnya dan dimasukkan ke dalam beg sandang beliau berbunyi : “Perlu ada keredhaan Allah dalam amalan kalian. Sekiranya Allah redha sedangkan seluruh dunia berpaling daripadamu, maka itu tidak penting. Jika Dia telah menerima amalanmu sedangkan seluruh makhluk menolak maka ia tidak memberi apa-apa kesan pun… Kerana itu lah sepatutnya hanya redha Allah semata-mata yang menjadi tujuan utama di dalam khidmat dakwah ini.” Namun seperti yang dicatatkan ayahandanya Tn. Hj. Azam beliau sempat melintasi jalan, namun kehilangan imbangan badan dan terjatuh lalu dirempuh sebuah ambulans. 

Beliau pergi pada usia 20 tahun, penuntut tahun dua Universiti Marmara. Beliau amat rindukan syahid. Rupa-rupanya Ahmad Ammar ini telah pun menyaksikan bidadarinya sehingga beliau tidak lagi menoleh ke kiri atau ke kanan dalam mengejar cita-citanya. Beliau terus berkhidmat untuk berdakwah dan tekun beramal sehingga pada tarikh itu berakhirlah tugasan beliau di bumi yang fana ini. Alhamdulillah kerana Allah dengan kasih sayang-Nya masih memelihara agama ini dengan adanya remaja-remaja seumpama Ammar. Masyaallah Tabarakallah! Al-Fatihah. - aiyangdisayang


Video kisah kehidupan Ahmad Ammar (Syahid Yang Tertangguh) dalam kenangan. 

Isnin, 11 November 2013

Hari Anugerah Cemerlang PASTI Kawasan Tambun Yang Cukup Meriah.

Upacara diadakan di pusat beli belah Mydin Ipoh.
Dr Raja Ahmad Iskandar memberi ucapan sebelum merasmikan Hari Anugerah PASTI kawasan Tambun

Selepas 30 tahun tertubuhnya PASTI oleh PAS dibawah seliaan Dewan Pemuda PAS Pusat, kejayaan demi demi kejayaan berjaya diraih. Walau pun PASTI yang serba kekurangan dan di anak tirikan berbanding dengan Tadika Kemas yang mendapat segala keistimewaan dari kerajaan pusat, PASTI tetap berjaya meninggal jauh Tadika Kemas. Pendidikan berasaskan Islam yang diterapkan oleh PAS dilihat satu kejayaan yang cukup besar bagi pendidikan negara demi melihat anak-anak kita memiliki ilmu yang seimbang antara dunia dan akhirat.

Mengikut maklumat yang disampaikan, dua buah negara telah menjemput PASTI untuk ditubuhkan di negara tersebut dan ini menunjukkan bagaimana pendidikan Islam telah menarik minat negara luar. Kita mendoakan agar cita-cita Dewan Pemuda PAS Pusat untuk membuka Sekolah Rendah PASTI akan menjadi kenyataan dengan menyalurkan sumbangan kepada PASTI Pusat.

Nyanyian Nasyid
Zikir barat dari PASTI Bandar Baru Putra.
Zikir barat yang bakal dipersembahkan.
Anak yang turut serta
Anak dan isteri
Anak bergambar bersama DS Nizar
Tetamu Kehormat
Jika laporan dari Utusan pasti ulasannya tiada sambutan
Kehadiran luar jangka dari ibubapa pelajar
Tenaga pengajar dari PASTI Bandar Baru Putra
Terima kasih Cikgu di atas segala keringat anda untuk mendidik anak-anak dengan Islam yang Syumul.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular