Translate

Jumaat, 11 Jun 2010

Penyerahan Blok L Dan M Dipertikai.


Kita dukacita dengan jawapan kerajaan berkenaan isu Blok L dan M. Jawapan Menteri Luar kepada soalan yang dibangkitkan saya beserta ahli parlimen lainnya, baik pembangkang mahupun dari pihak kerajaan gagal menjawab beberapa persoalan. Kita sedar rundingan antara kedua-dua negara sedang berjalan. 

Namun yang pasti Blok L dan M bukan lagi milik kita. Tambah mengejutkan Menteri Luar Kedua Brunei ketika itu Datuk Seri Lim Jock Seng menyatakan bahawa Brunei tidak penah menggugurkan tuntutan terhadap Limbang. Kenyataan ini dilaporkan oleh akhbar The Star bertarikh 19 Mac 2009.

Kita mempersoalkan tindakan Kerajaan Malaysia kerana menyerahkan wilayah perairan negara yang melibatkan medan minyak Blok L dan Blok M kepada kerajaan Brunei. Penyerahan itu dilakukan melalui Surat Pertukaran (Letter of Exchanges) bertarikh 16 Mac 2009 ketika lawatan rasmi Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku PM ketika itu ke Brunei Darussalam. Kita juga kesal kerana sebarang keputusan yang dibuat tidak mengambil kira pandangan serta kepentingan rakyat, terutamanya rakyat Sabah dan Sarawak.

Maklumat penyerahan wilayah negara itu mula diketahui umum hanyalah selepas Murphy Oil Corporation, sebuah syarikat yang berpengkalan di El Dorado, Arkansas, Amerika Syarikat mengeluarkan kenyataan media pada 21 April 2010 bagi mengumumkan pembatalan kontrak perkongsian pengeluaran Blok L dan M di Malaysia.

Murphy Oil Corporation mengumumkan bahawa ia telah dimaklumkan oleh Petronas bahawa berikutan perlaksanaan Surat Pertukaran antara Malaysia dan Kesultanan Brunei pada 16 Mac 2009, kawasan carigali luarpantai yang dikenali sebagai Blok L dan Blok M adalah tidak lagi sebahagian dari Malaysia.

Akibatnya, kontrak perkongsian pengeluaran melibatkan Blok L dan M yang dianugerahkan pada 2003 kepada Petronas Carigali Sdn Bhd dan Murphy ditamatkan melalui surat bertarikh 7 April 2010. Potensi penyertaaan Murphy dalam kontrak perkongsian pengeluaran gantian yang membabitkan kawasan tersebut masih dalam perbincangan.

Surat Pertukaran 2009 sekadar menyebut bahawa perjanjian yang dimeterai membuka ruang penyelesaian kepada pertikaian tuntutan bertindih wilayah maritim antara Malaysia dan Brunei, persempadanan maritim kedua-dua negara dan usaha pembangunan bersama. Penyerahan hakmilik Blok L dan M tidak dihebahkan. Butiran dan implikasi perjanjian juga tidak diketahui umum.

Walaupun terdapat persetujuan usaha pembangunan bersama dalam kawasan tersebut, mengapa perlu dilepaskan hakmilik negara kepada Brunei?

Penyerahan medan minyak Blok L dan M kepada Brunei mengakibatkan perubahan kepada sempadan negara yang mempunyai implikasi perundangan menurut Perlembagaan Persekutuan. Pengubahan sempadan tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya tanpa memenuhi kehendak Perlembagaan Persekutuan. 

Menurut Perkara 2(b) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen boleh dengan undang-undang mengubah sempadan mana-mana Negeri; tetapi undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu Negeri tidak boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Negeri itu (yang dinyatakan dengan undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu) dan Majlis Raja-Raja.

Pengubahan sempadan berikutan penyerahan Blok L dan M ini tidak pernah dirujuk kepada Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang berkaitan khasnya Negeri Sabah. Adakah ianya mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja?

Justeru, keabsahan penyerahan Blok L dan Blok M kepada Brunei Darussalam oleh Kerajaan Persekutuan melalui Pertukaran Surat 16 Mac 2009 amat dipertikaikan.

ANWAR IBRAHIM,
KETUA PEMBANGKANG,
DEWAN RAKYAT MALAYSIA.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular