Translate

Selasa, 15 Mac 2011

Rejim Gaddafi kuasai Semula Brega.



Dua orang pemberontak menggunakan mesingan antipesawat di Brega sebelum tentera yang setia kepada Gaddafi menawan bandar itu, kelmarin. - AFP

Tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berjaya menguasai semula Brega, bandar minyak strategik, selepas bertempur dengan pemberontak semalam, ketika Perancis berjanji akan mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menguatkuasa zon larangan terbang di negara ini.

Tentera kerajaan yang menuju ke bahagian timur negara ini melalui jalan pantai, merampas semula Brega awal pagi semalam ketika keyakinan mereka dilihat semakin bertambah untuk mara ke kubu kuat pemberontak di Benghazi.

Bagaimanapun pemberontak yang meneruskan protes untuk menamatkan pemerintahan Gaddafi berkata, mereka berjaya merampas semula Brega malam tadi. Kenyataan itu bagaimanapun tidak dapat disahkan.

Tentera kerajaan yang berjaya menawan semula sebuah lagi bandar minyak, Ras Lanuf kira-kira 100 kilometer ke barat Brega berkata, pihaknya yakin dapat menumpaskan pemberontak yang dituduh mempunyai hubungan dengan al-Qaeda dan perkhidmatan keselamatan asing.

Gaddafi sendiri dilapor telah bertemu Duta Rusia, China dan India bagi menggesa negara-negara itu melabur dalam sektor minyak di Libya, yang terjejas teruk akibat pergolakan dan mengakibatkan beribu-ribu pekerja asing dalam industri itu pulang ke negara mereka.

Eksport minyak Libya turut terjejas teruk ekoran pertempuran itu, kekurangan kakitangan, sekatan antarabangsa dan keengganan bank antarabangsa membiayai urus janji tertentu.

Sebahagian pakar meramalkan, Libya mungkin mengambil masa setahun sebelum pengeluaran minyaknya kembali stabil kepada 1.6 juta tong sehari.

Perancis dalam pada itu berjanji akan menggandakan usaha meyakinkan kuasa dunia untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya.

Menurutnya, Liga Arab semalam turut menyeru PBB memperkenalkan zon tersebut sebagai tanda mengambil berat terhadap rakyat Libya.

Pada masa sama, kerajaan Libya berkata, pihaknya menyambut baik kedatangan satu panel Kesatuan Afrika (AU) untuk membantu menyelesaikan krisis di Libya, tetapi mengecam gesaan Liga Arab itu. - Reuters

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular