Mohd Rashidi Hassan
rashidi@harakah.net.my
Parlimen minggu ini kembali rancak dengan kemasukan semula empat pemimpin
Pakatan Rakyat termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas enam
bulan digantung berhubung isu APCO.
Selain Anwar, Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh dan Timbalan Presiden
KeADILan, Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden KeADILan,R Sivarasa kembali ke
Parlimen 16 Jun lepas
Pada 16 Disember lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul untuk menggantung Anwar
dan tiga wakil rakyat terbabit daripada menghadiri persidangan selama enam bulan
berhubung isu berkaitan firma perunding antarabangsa APCO Worldwide dengan
kerajaan Malaysia.
Karpal yang merupakan wakil rakyat DAP bagi kerusi Bukit Gelugor, Azmin
(KeADILan-Gombak) dan Sivarasa (KeADILan-Subang) digantung kerana menghina dewan
akibat membantah penggantungan Anwar.
Isunya di sini bukan soal penggantungan empat MP Pakatan Rakyat semata-mata.
Tugas menggantung adalah hak Speaker, namun usul dan motif penggantungan itu
yang dipertikaikan.
Umno-Barisan Nasional mengemukakan usul tersebut mereka mereka sudah tidak
tahan dengan Anwar. Anwar dan MP Pakatan Rakyat, berjaya membongkar rahsia besar
Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menggunakan khidmat perunding
Yahudi untuk kepentingan BN. Itu sahaja isunya.
Ketiadaan Anwar dan tiga lagi MP selama enam bulan tidak dinafikan memberikan
sedikit kesan. Pertembungan dengan BN tidak setajam ketika semua MP Pakatan
Rakyat hadir semuanya.
Tiada siapa dapat menafikan masalah besar kepada Umno-BN adalah Anwar.
Sasaran mereka adalah Anwar. Fitnah yang dilemparkan juga teruknya ke atas
Anwar. Mengapa Anwar?
Ketika saya bersembang sembang dengan rakan dari Umno di lobi Parlimen,
beliau dengan serius mengatakan, "Umno tidak ada pilihan, kalau Anwar masuk
dalam (penjara) baru Umno selamat.
"Belum tentu Umno selamat, itu andaian saudara, bagaimana jika sebaliknya?"
soal saya.
Beliau tidak menjawab soalan yang bersifat futuristik tersebut. Pada beliau,
by hook or by crook, Anwar harus direhatkan jika Umno mahu selamat.
Namun beliau tidak pula menafikan Umno agak gelojoh dalam usaha mereka untuk
memusnahkan karektor peribadi Anwar.
Belum pun kes liwat selesai, Umno-BN mendalangi isu video seks, macam-macam
lagi yang dijangka akan dikeluarkan, semata-mata untuk menghapuskan hayat
politik Anwar.
Tetapi Umno juga sedar, bukan senang mereka hendak berhadapan dengan Anwar.
Umno-BN agak termanggu apabila PAS dan DAP cukup setia bersama Pakatan Rakyat
dalam menangani isu Anwar.
Usaha mereka untuk memecah belahkan Anwar dengan PAS dan DAP gara-gara isu
video, menjadi buntu.
"Saya berterima kasih kepada PAS dan DAP, khususnya kepada Dewan Ulama PAS
Pusat yang meluluskan usul menolak isu video seks," kata Anwar kepada saya
semasa kami bersembang-sembang di lobi MP bersama Senator Saiful Izham Ramli
dari Kedah.
Saya turut bertanya kepada Anwar, jadualnya disusun begitu padat, kudrat
sesiapa pun ada batasnya.
"Tidak letih ke Dato' Seri menghadapi tekanan setiap hari?" soal saya.
Sambil tersenyum beliau menjawab, "Letih juga, tetapi mengenangkan kejahatan
Umno-BN yang melampaui batas, ia menzahirkan kekuatan.
"Kita tidak akan beri mereka laluan mudah, kita harus bertekad tumbangkan
mereka (PRU nanti)," katanya penuh keyakinan.
"Apa pilihan yang kita ada?" tambahnya.
Pada saya, semangat seperti inilah yang diperlukan dalam Pakatan Rakyat.
Semangat ini harus diterjemah dan diwarisi oleh seluruh kepimpinan Pakatan
Rakyat jika kita mahu menumbangkan BN pada PRU akan datang.
Kami terus berbual-bual mengenai isu politik semasa. Anwar kelihatan mahu
memesan makanan, tetapi beliau tidak tahu apa yang hendak dimakan.
"Saya belum makan apa lagi, tapi tengahari ini saya tak mahu makan yang
berat-berat. Kawan-kawan selalu ingatkan saya, jangan makan banyak sangat nanti
perut buncit macam dalam video," seloroh beliau.
Akhirnya beliau memesan semangkuk sup cendawan yang dimakan dengan roti. Saya
cukup dengan kopi o secawan.
Sambil-sambil bersembang datang beberapa orang MP BN yang menyapa Anwar.
Tetapi mereka kelihatan agak takut untuk duduk lama-lama dengan Anwar. Mereka
sekadar hanya bersalaman dan mengucapkan selamat kembali ke Parlimen, kemudian
berlalu pergi.
Beberapa orang menteri dan MP Umno hanya menjenguk dari jauh. Agaknya mereka
takut dekat dengan Anwar. Takut dituduh simpatisan Anwar, walaupun hakikatnya
memang begitu.
Kelibat Anwar dan rakan-rakan MP Pakatan Rakyat ditakuti kerana mereka mampu
menggegarkan Dewan Rakyat. BN nampaknya tidak mampu berhadapan dengan Pakatan
Rakyat. MP Umno-BN ibarat keris tumpul.
Sebab itu mereka menggunakan MP pencacai untuk menggendong najis-najis BN.
MP-MP yang khianat daripada KeADILan ini, bersama 'sang katak' digunakan setiap
hari oleh media talibarut Umno sama ada TV mahu pun akhbar untuk menyerang Anwar
dan Pakatan Rakyat.
Tetapi mereka hanya kelihatan menang di tv dan akhbar. Hakikat sebenar dalam
dewan, mereka tidak mampu berhadapan dengan Pakatan Rakyat.
Yang penting, sepanjang sebulan ini Parlimen akan kembali rancak. Kembali
hiruk pikuk kerana panglima-panglima sudah berkumpul semuanya. Pertembungan
dengan BN dijangka kembali sengit.
Sayangnya hiruk pikuk ini terpaksa saya tinggalkan seketika kerana mempunyai
tugasan yang besar di luar negara bersama misi kemanusiaan Yayasan Amal. Ketika
rencana ini disiarkan saya sudah berlepas ke Mesir, dari sana saya akan memasuki
Rafah dan terus ke Gaza jika tidak dihalang di sempadan.
Insya Allah jika tiada aral, kami akan merentasi laluan yang jauh ke sempadan
Libya untuk meninjau pelarian yang terperangkap akibat kezaliman Muammar
Gaddafi.
Bagi sesiapa yang berhasrat untuk membantu rakyat Palestin dan Libya, mereka
boleh menyalurkan sumbangan tersebut menerusi Tabung Kemanusiaan Harakah, nombor
akaun 14069010021298 (BIMB).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan