Translate

Sabtu, 31 Oktober 2009

Saya rela disiasat...... Hassan Ali

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali menegaskan beliau sedia dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin parti itu untuk disiasat serta menerima apa sahaja hukuman yang diputuskan oleh parti sekiranya didapati bersalah.

Bagaimanapun, menurut beliau, Jawatankuasa Disiplin tersebut mesti melakukan siasatan dengan adil serta telus dan bukannya bersandarkan emosi atau dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Beliau mengharapkan siasatan itu dilakukan segera secara menyeluruh demi keadilan.

''Percepatkan siasatan kalau saya yang menjadi punca 'kecacatan' parti. Siasat dan kajilah saya. Saya sangat mengalu-alukan siasatan itu dibuat.

''Tetapi, dengan syarat sila kemukakan bukti yang kukuh. Cara siasatan itu dibuat mesti dengan cara yang meyakinkan kita. Bukan dilakukan dengan emosi atau dipengaruhi mana-mana pihak. Mesti dibuat dengan telus. Saya akan terima,'' katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas meninjau Loji Rawatan Air, Batu 11 Cheras, di sini hari ini.

Hassan mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyenaraikan namanya sebagai salah seorang yang perlu 'dibersihkan' daripada parti kerana dikatakan prokerajaan perpaduan.

Ini adalah kenyataan pertama Hassan kepada media selepas mesyuarat khas parti pada 28 Oktober lalu yang membincangkan cadangan Nik Abdul Aziz mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) untuk membersihkan parti itu daripada pemimpin prokerajaan perpaduan.

Selain Hassan, Nik Abdul Aziz juga melalui blognya menamakan Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali.

Mengulas lanjut, katanya, beliau langsung tidak terkejut atau jauh sekali mahu 'bersikap murung' dengan dakwaan Mursyidul Am Pas itu.

''Sebagai pejuang, 'hati mesti besar'. Bukan bermakna sombong. Perlu kuat ketahanan diri dan inilah waktunya untuk melihat kekuatan diri.

''Jika saya terbukti bersalah dan siasatan itu telus, saya sedia menerima hukuman. Apa saja bentuk hukuman itu saya terimalah. Saya terima kenyataan. Saya anggap teguran Tuan Guru sebagai abang kepada adik. Saya menghormati beliau. Mana-mana jika Tuan Guru ada (berada), saya akan menegurnya dulu. Saya tidak murung atau muram dengan tuduhan itu,'' jelas beliau.

Dalam pada itu, Hassan berkata, Pas Pusat perlu memperluaskan siasatan kepada Pas Selangor dan bukannya tertumpu pada beliau seorang sahaja.

''Saya serahkan pada mereka. Jangan hanya siasatan tertumpu pada 'Hassan Ali' sahaja. Mungkin 'Hassan Ali' dianggap player (pemain). Tapi mungkin ada beberapa lagi individu di Selangor akan disiasat atas pertuduhan 'mencacatkan' parti,'' katanya.

Ditanya mengenai tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah mengisytiharkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuat kuasa serta-merta, Hassan menyifatkan tindakan itu tidak menjejaskan kerajaan pakatan pembangkang di Selangor.

''Kalau boleh kita tidak mahu kehilangan satu kerusi pun. Tetapi tindakan ADUN Pelabuhan Klang itu tidak menjejaskan PKR Selangor. Majoriti (kerusi ADUN) masih milik kita,'' katanya. (Utusan Malaysia)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular