Translate

Jumaat, 9 Disember 2011

Kontraktor ditembak mati: Suhakam digesa buat inkuiri

Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini mendesak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengadakan siasatan awam berhubung insiden seorang kontraktor ditembak mati, dipercayai oleh seorang anggota polis pada 15 September lalu.

PSM membuat desakan itu demi mendapatkan pembelaan dan keadilan terhadap keluarga Kathir Oli a/l Pakeer Mohamed, yang tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini.

NONEDalam memorandum yang dihantar kepada Suhakam pagi ini, PSM berkata, laporan bedah siasat menyebut kematian Kathir Oli adalah disebabkan "luka tembakan di dada" sebelah kiri.

Memorandum itu yang dibaca oleh wakil PSM Perak, Mahonarani Rasiah, mendakwa bahagian ringkasan laporan bedah siasat itu menyatakan bahawa luka tembakan di dada 'telah menembusi dan mencederakan struktur-struktur vital, iaitu jantung, aorta dan paru-paru sekaligus menyebabkan kematiannya.

Berikutan itu, PSM mendakwa dalam memorandum tersebut, ia jelas menunjukkan bahawa tembakan itu berniat untuk menyebabkan kematian dan bukannya untuk tujuan menghalang atau melemahkan mangsa.

Laporan bedah siasat - yang turut dilampirkan dalam memorandum tersebut - menyatakan "tembakan yang dilepaskan adalah jarak lekap iaitu muncung senjata melekap pada badan sebelum tembakan dilepaskan".

NONEWakil PSM Perak itu mendakwa alasan bahawa anggota polis itu terpaksa menembak "untuk mempertahankan diri" dicabar oleh saksi-saksi yang menyatakan bahawa mereka bersama mangsa sudah mula beredar dari kawasan pub, tetapi dihentikan oleh anggota polis berkenaan.

Memorandum itu dipetik mendakwa, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan cuba menutupnya dengan mempertahankan insiden tersebut "dengan membuat cerita bahawa Kathir Oli dan kawan-kawannya membawa parang dan memasuki pub dengan niat mencuri".

"Polis memberi gambaran seolah-olah anggota polis yang membunuh Kathir Oli telah memperkenalkan dirinya dan bahawa nyawanya terancam yang memaksanya menembak untuk mempertahankan dirinya. Kesemua ini dinafikan oleh saksi-saksi," memorandum itu dipetik.

Kenyataan Mohd Shukri yang dilaporkan itu turut disertakan dalam memorandum tersebut.

Mengikut memorandum tersebut, Kathir dan lima rakannya pergi ke sebuah pub untuk makan dan minum, pada lewat malam 14 September lalu.

"Menurut aduan polis yang dibuat oleh kawan-kawan yang ada bersama mendiang P Kathir Oli, mereka tidak dibenarkan masuk di pub itu dan ini telah menyebabkan pertelingkahan mulut, membaling botol dan tolak menolak.

"Kemudian Kathir Oli dan kawan-kawannya telah memasuki kereta masing-masing dan mula beredar daripada situ,"  menurut memorandum itu lagi.

Memorandum itu mendakwa, sewaktu kereta yang dinaiki Kathir Oli sedang berundur, tiba-tiba datang seorang lelaki mengacukan pistol ke arah belakang kereta dan menghentikan mereka.

NONEMenurut memorandum itu lagi, Kathir dan rakan-rakannya tidak sedar bahawa lelaki tersebut adalah seorang anggota polis kerana "dia berpakaian biasa" dan mengikut aduan polis, lelaki itu dikesan keluar dari pub dengan "gerak-gerinya tidak stabil".

"Kathir Oli dan rakan-rakannya turun dari kereta dan berlaku pergaduahan antara mangsa dan anggota polis itu, cabar mencabar, tolak menolak dan tumbuk menumbuk.

"Menurut aduan polis rakannya juga, tiba-tiba tanpa sebarang amaran, kedengaran bunyi tembakan kuat, dan Kathir Oli pun rebah ke atas kawannya,"  memorandum itu dipetik.
Menurutnya lagi, selepas mangsa ditembak, anggota polis tersebut menggari dua kawan mangsa yang ada bersama dengannya.

Malah, seorang lagi rakan mangsa dari kereta yang lain, yang datang ke tempat kejadian, juga turut digari.

Memorandum itu lagi, PSM risau berhubung siasatan kejadian itu yang telah dihantar ke Pejabat Ketua Unit Pendakwaan Perak untuk tindakan seterusnya.

"Kami risau kertas siasatan ini berpihak kepada pembunuh kerana tidak ada sesiapa di pihak keluarga mangsa yang dipanggil untuk temuduga atau siasatan.
"Ini sangat penting kerana menurut suratnya bertarikh 10 November, ketua polis Perak masih memegang kepada versi ceritanya kepada media pada 15 September, iaitu hari Kathir Oli ditembak mati," demikian menurut memorandum itu lagi.
NONESebelum aduan dibuat, mereka menyerahkan memorandum kepada Pesuruhjaya Suhakam Muhammad Sha'ani Abdullah di pejabatnya kira-kira jam 11.45 pagi.

Memorandum tersebut diserahkan oleh isteri mangsa, S Janaky (kiri).

Turut hadir ialah anggota keluarga mangsa serta beberapa pemimpin PSM termasuk setiausaha agung PSM, S Arutchelvan.

Dalam aduan lisannya kepada Suhakam, Janaky berkata dakwaan yang menyatakan suami mahu mencuri di pub tersebut adalah salah, sebaliknya mendakwa suami dan rakan-rakan pergi untuk makan dan minum.

Katanya, suami pergi ke pub berpakaian dengan memakai seluar pendek dan selipar.

Janaky menyifatkan suaminya itu adalah seorang suami, ayah dan majikan yang penyayang dan bertanggungjawab.

Sehubungan itu, beliau mendesak Suhakam mengadakan siasatan awam bagi "membersihkan nama baik suami" daripada dakwaan melakukan jenayah.

"Saya tidak mahu anak saya dikatakan ayah mereka melakukan jenayah. Saya mahu membersihkan namanya," katanya.

Sementara itu,  dalam jawapannya, Muhammad Sha'ani berkata Suhakam akan meneliti permintaan PSM dan keluarga Kathir Oli supaya diadakan siasatan awam terhadap kes kematian kontraktor tersebut. MK

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular