Ketua Puteri Umno Kuala Krai, Suzaini Adlina Mohd Shukri, cedera diserang seorang wanita dipercayai anggota Dewan Muslimat PAS ketika sedang merayu undi di Sekolah Kebangsaan Cina Gua Musang di Gua Musang dalam pilihan raya kecil Galas hari ini, lapor Bernama.
Laporan itu menyebut, kejadian tersebut berlaku jam 11.30 pagi itu apabila Suzaini Adlina, 37, diserang dari arah belakang oleh wanita itu yang menggunakan batang bendera PAS menyebabkan beliau cedera di dahi dan hidung.
"Ketika itu peraih undi PAS berada di sebelah kanan dan saya berada di sebelah kiri, dan apabila datang seorang pengundi, saya turut bersama dengan anggota muslimat PAS mengiringi pengundi tersebut ke pusat pengundian.
"Secara tiba-tiba saya diserang daripada belakang oleh seorang Muslimat lain dari arah belakang. Dia mengetuk saya dua kali dan apabila saya berpaling ke arah penyerang itu, sekali lagi saya diserang," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Gua Musang.
Suzaini Adlina berkata sebaik beliau melihat muka wanita itu, penyerangnya dilarikan oleh beberapa penyokong PAS.
Katanya beliau tidak membalas serangan kerana wanita itu sudah berusia.
"Saya kesal sebab perkara ini dilakukan oleh seorang penyokong parti yang mendakwa mereka mengamalkan dasar Islam," katanya.
Ketua Puteri Umno Kelantan Noor Wahida Patuan, 30, berkata sejak dari awal pusat pengundian dibuka, keadaan di situ agak tegang kerana penyokong PAS telah melakukan provokasi dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada penyokong BN.
"Namun kami tidak bertindak balas kerana Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin telah mengarahkan kami menggunakan pendekatan yang berhemah untuk menarik pengundi," katanya.
Pilihan raya itu melibatkan calon BN Abdul Aziz Yusoff dan calon PAS Dr Zulkefli Mohamed.
Sementara itu, Salhan K Ahmad melaporkan pengarah pilihan raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman menyifatkannya insiden sebagai 'hanyalah satu kes biasa'.
"Itu cuma satu salah faham antara seorang wanita dari Umno dan seorang lagi dari PAS.
"Saya sudah tengok, tak ada apa. Tak ada luka pun," katanya dalam satu sidang media petang ini.
"Saya ingat ini satu pilihan raya yang tenang," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan