Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) membantah
langkah kemungkinan Putrajaya memperkenalkan semula dasar Pengajaran
dan Pembelajaran Sains dan Mateamtik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)
dalam dua bahasa pengantara ekoran desakan pelbagai pihak.
Kerajaan mengumumkan dasar baru menggantikan PPSMI pertengahan tahun lalu.
Setiausaha Satu Gapena Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata
pengumuman membolehkan PPSMI dalam dua bahasa pengantar sedikit
sebanyak merupakan kemenangan politik kepad Persatuan Ibu Bapa Untuk
Pendidikan Malaysia (Page).
Sehubungan itu soal beliau, apakah kepentingan rakyat terbanyak
tidak merupakan kepentingan politik manakala kepentingan rakyat
terbanyak tidak didahulukan.
“PPSMI kini mencetuskan polemik yang tidak kunjung selesai,
malah menimbulkan reaksi yang pelbagai apabila Perdana Menteri menyebut
di kalangan sahabat Facebook di Pulau Pinang bahawa kemungkinan
kerajaan akan mengkaji cadangan PPSMI diajar di dalam dua bahasa
pengantar,” kata beliau di ruangannya diterbit Utusan Malaysia
hari ini.
Kata beliau, Page dan beberapa akhbar berbahasa Inggeris mula
mencanangkan isu bilingualism untuk PPSMI sebagai jalan keluar terbaik,
suatu situasi menang-menang, yang tidak semestinya terbaik.
Zainal berkata Persatuan Linguistik Malaysia bersama-sama 48
pertubuhan Melayu juga Gapena membantah sekeras-kerasnya akan cadangan
berkenaan.
“Lulus jarum lulus kelindan, bermula dari PPSMI, maka akan ada
pula cadangan untuk multilingualism di sekolah-sekolah,” katanya.
Zainal berkata, identiti nasional yang berteraskan kepada seluruh
wadah dan wahana kebangsaan akan hancur luluh, diluluh-lantakkan oleh
kepentingan kelompok minoriti.
“Bahasa sebagai simbol perjuangan kebangsaan, perpaduan
kebangsaan yang berteraskan semangat kebangsaan tidak lagi mempunyai
apa-apa makna. Ia akan terakam sebagai satu sejarah yang dikalahkan
oleh kepentingan praktis dan material kehidupan manusia.
“Para pejuang bahasa sekeras-kerasnya menolak PPSMI tetapi
tidak menolak peri pentingnya bahasa Inggeris. Mereka memikirkan
kepentingan bangsa dan negara bukannya kepentingan sekelompok kecil
elit dan kelas atasan,” katanya.
Zainal menambah, ditimbulkan persoalan ini bukannya para pejuang
bahasa antikelas tetapi khuatir ada pihak yang akan mengguna isu ini
dalam kerangka kepentingan politik.
Secara khususnya kata beliau, pembesaran kelas menengah Melayu
disebabkan oleh pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar
Pendidikan Kebangsaan.
“Semakin ramai kelas teknokrat, korporat dan birokrat Melayu
adalah disebabkan kedua-dua dasar tersebut, walau pun dari segi jumlah
kelas ini masih kecil berbanding kelas yang sepertinya di kalangan
bukan Melayu,” katanya lagi.
Amat dikhuatirkan bahasa Inggeris menjadi bahasa pengucapan kelas
birokrat, teknokrat dan korporat Melayu di bandar seperti Bukit
Damansara dan kawasan-kawasan sepertinya berbanding majoriti rakyat di
luar bandar yang terus berbahasa Melayu.
“Maka bahasa Inggeris untuk kelas atasan Melayu manakala bahasa Melayu untuk kelas bawahan Melayu,” katanya lagi.
Zainal juga berkata, seandainya isu PPSMI kembali dipolitikkan dan
parti politik Melayu yang dominan seperti Umno sepi pula untuk
memberikan reaksi, kemungkinan parti politik pembangkang Melayu lain
akan mengutipnya mewadahi perjuangan politik mereka.
“Faktor jurang kebudayaan ini boleh dimanipulasi untuk
kepentingan politik. Sekiranya agenda Memartabatkan Bahasa Melayu dan
Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) tidak direalisasi secara
konkrit, maka masalah juga akan muncul.
Beliau menambah, daripada pengalaman di beberapa bahagian dunia
bahasa boleh mencetuskan konflik dalaman sesuatu negara, tetapi adalah
amat diharapkan isu PPSMI ini tidak terjerumus ke lembah konflik.
“Pihak pemerintah telah mengemukakan MBMMBI, maka
pelaksanaannya perlu disegerakan dan tidak wajar PPSMI dikaji semula
atau dilaksanakan dalam apa jua bentuk,” katanya.
Kata beliau, pendekatan dan kaedah yang ditetapkan oleh MBMMBI amat
memadai untuk mempertingkatkan keterampilan berbahasa Inggeris di
kalangan para pelajar sekolah.
“Kita tidak mahu ada kelompok yang terus mengasingkan diri
dari kelompok majoriti. Pengasingan budaya melalui bahasa amat
berbahaya.
“Janganlah isu PPSMI diulang kembali untuk memusnahkan segala
harapan untuk mencapai kemajuan, kesejahteraan, keamanan, masa depan
rakyat terbanyak dan negara, maka berjiwa besarlah untuk mengutamakan
kepentingan rakyat terbanyak,” katanya. Insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan