Translate

Sabtu, 25 Jun 2011

Kes Datuk T: Tayang video seks bermotif cemar Anwar, dakwa PKR


Naib Presiden PKR N. Surendran mendakwa langkah Mahkamah Majistret menayangkan semula ramakan video seks dalam prosiding kes trio Datuk T, yang didakwa mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilihat semata-mata mahu menjatuhkan imej Ketua Pembangkang itu.

Beliau juga tidak menolak hukuman ringan yang dikenakan terhadap trio Datuk T dipengaruhi keputusan Jabatan Peguam Negara dan polis.

Tegas Surendran (gambar), tindakan Mahkamah Majistret membenarkan tayangan semula rakaman video seks itu walaupun ketiga-tiga Datuk T sudah mengaku bersalah bertentangan dengan sistem perundangan
.

“Kejadian yang berlaku itu membuktikan penglibatan pihak berkuasa tertinggi termasuk polis dan kamar Peguam Negara dalam satu konspirasi untuk memfitnah Anwar Ibrahim sama ada dalam politik atau secara peribadi.

“Tindakan mereka ini amat tidak munasabah dan ia juga sangat mengganggu sistem perundangan. Percubaan mereka untuk berpura-pura bersikap adil dan telus tidak munasabah dan kami yakin rakyat tidak akan percaya dengan apa yang dilakukan,” katanya yang juga seorang peguam dalam satu kenyataan.

Pagi semalam, ketiga-tiga Datuk T telah mengaku bersalah menayangkan rakaman video seks dan dikenakan denda keseluruhan RM5,500.

Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Aizatul Akmal Maharani selepas mendengar hujah-hujah yang dikemukakan pihak tertuduh.

Ketiga-tiga tertuduh — ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim dan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik — mengaku bersalah atas tuduhan yang dikenakan ke atas mereka.

Shazryl didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan sementara Shuib dan Abdul Rahim masing-masing RM1,500 atau dua bulan dan RM1,000 atau satu bulan.

Shazryl dan Shuib didakwa secara bersama menayangkan bahan lucah secara terbuka di hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu.

Dalam prosiding itu, mahkamah turut menayangkan rakaman video seks berdurasi 21 minit.

Bagaimanapun Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee berkata mahkamah tidak sepatutnya berbuat demikian memandangkan Datuk T sudah mengaku bersalah.

Datuk T telah menggemparkan negara apabila bertindak mempertontonkan rakaman video seks itu kepada media 21 Mac lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 10 pagi dan 12 tengah hari.

Selain itu, tegas Surendran, tindakan mahkamah menayangkan semula rakaman video seks adalah tidak wajar selain tidak mempunyai kaitan dengan dakwaan yang dikenakan terhadap Datuk T.

“Bagaimanapun apa yang mengejutkan apabila pihak pendakwa yang menyerahkan kenyataan fakta kes yang mengatakan rakaman video seks itu adalah tulen dan ia disahkan oleh pakar dari Amerika Syarikat yang mengesahkan pelaku dalam video itu adalah Anwar Ibrahim.

“Jelas ketulenan dan identiti pelaku dalam video itu langsung tidak berkaitan dengan kesalahan Datuk T yang menayangkan video itu di khalayak ramai.

“Ini sungguh luar biasa dan bertentangan dengan prosedur yang termaktub dalam pendakwaan kes jenayah dan ia tidak relevan memasukkannya dalam fakta kes. Ringkasnya wakil kepada Peguam Negara mahu mencemarkan reputasi Anwar Ibrahim,” katanya.

Mengikut laporan media, peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Abdul Rahim berkata, lelaki dalam video seks adalah “99.99 peratus” Anwar.

Shafee memberitahu pakar video Amerika yang dirujuk Polis Diraja Malaysia telah membandingkan imej lelaki dalam video itu dengan sekeping gambar Anwar dan mengesahkan yang kedua-dua adalah seiras.

“Ini bererti A and B adalah orang yang serupa,” katanya sambil mendakwa mengikut laporan 4 Jun lalu, Profesor Hany Farid dan Lorenzo Torresani dari Dartmouth College di Hanover, New Hampshire, terdapat keirasan 99.99 peratus lelaki dalam klip video itu dengan bagi foto Anwar.

Dalam fakta kes yang dibacakan di mahkamah, mahkamah juga mendengar bahawa pakar tersebut mengesahkan bahawa video itu tulen tanpa pengubahsuaian dan ia dirakam dengan perakam DVR milik Shazryl.

“Ia tidak menjadi sebahagian dalam prosiding, Anwar tidak mempunyai peluang mempertahankan diri. Apa yang telah berlaku di mahkamah pada 24 Jun amat memalukan dan memualkan.

“Sudah menjadi peraturan asas dalam sistem perundangan yang dijalankan semasa prosiding mahkamah yang mana ia tidak boleh digunakan dan memfitnah pihak ketiga,” kata Surendran. INSIDER

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular