Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee menegaskan Mahkamah Majistret tidak
sepatutnya membenarkan tayangan semula rakaman video seks, yang pelakunya
didakwa mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana trio Datuk T telah pun mengaku
bersalah.
Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Lim berkata tindakan
mahkamah membenarkan tayangan rakaman video seks itu dalam perbicaraan pagi
semalam adalah sesuatu “amat luar biasa.”
Ini kerana jelas beliau, sepatutnya sekiranya tertuduh mengaku bersalah
mana-mana bahan bukti tidak perlu didedahkan.
“Tidak perlu buat macam itu sebab mereka sudah mengaku bersalah, saya hairan
kenapa rakaman video seks itu disiarkan dalam mahkamah.
“Ini satu prosedur yang amat luar biasa, saya terkejut kenapa ia berlaku...
kalau sudah mengaku bersalah sepatutnya tidak perlu (dedahkan bahan bukti),”
kata beliau lagi.
Pagi semalam, ketiga-tiga Datuk T telah mengaku bersalah menayangkan rakaman
video seks dan dikenakan denda keseluruhan RM5,500.
Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Aizatul Akmal Maharani selepas mendengar
hujah-hujah yang dikemukakan pihak tertuduh.
Ketiga-tiga tertuduh — ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas
bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim dan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri
Abdul Rahim Thamby Chik mengaku bersalah atas tuduhan yang dikenakan ke atas
mereka.
Shazryl didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan sementara Shuib dan Abdul
Rahim masing-masing RM1,500 atau dua bulan dan RM1,000 atau satu bulan.
Shazryl dan Shuib didakwa secara bersama menayangkan bahan lucah secara
terbuka di hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu.
Sementara, Abdul Rahim pula didakwa secara berasingan atas tuduhan bersubahat
dengan mereka untuk melakukan kesalahan tersebut.
Mengulas lanjut, jelas Lim, tindakan mahkamah itu juga tidak selari dengan
prosedur biasa yang dilakukan dalam kes sedemikian.
“Dan, ini tidak selari dengan prosedur biasa, lagipun biasanya kalau mahu
dedahkan bahan bukti ia dibuat ketika perbicaraan ketika pesalah tidak mengaku
bersalah, sedangkan hari ini (semalam) mereka mengaku bersalah.
“Kalau kita ikut prosedur biasa, pesalah akan didakwa, kemudian hakim akan
tanya sama ada mereka mengaku bersalah atau tidak dan jika mengaku bersalah
hukuman akan terus dijatuhkan.
“Hukuman pula berdasarkan dengan kesalahan yang mereka lakukan, jadi tidak
perlu untuk mahkamah bawa bahan bukti,” katanya.
Ditanya mengenai hukuman yang dikenakan terhadap Datuk T, Lim berkata,
keputusan tersebut relevan dengan kesalahan yang dilakukan.
“Dalam kes ini, saya merasakan hukuman yang dikenakan kepada mereka bertiga
relevan, tiada masalah dengan itu.
“Cuma tindakan yang menayangkan video seks itu yang jadi persoalan,”
katanya.
Datuk T telah menggemparkan negara apabila bertindak mempertontonkan rakaman
video seks itu kepada media di hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 10 pagi dan 12 tengah
hari, 21 Mac lalu.
Mengikut laporan media, peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili
Abdul Rahim berkata, lelaki dalam video seks adalah “99.99 peratus” Anwar.
Shafee memberitahu pakar video Amerika yang dirujuk Polis Diraja Malaysia
telah membandingkan imej lelaki dalam video itu dengan sekeping gambar Anwar dan
mengesahkan yang kedua-dua adalah seiras.
“Ini bererti A and B adalah orang yang serupa,” katanya sambil mendakwa
mengikut laporan 4 Jun lalu, Profesor Hany Farid dan Lorenzo Torresani dari
Dartmouth College di Hanover, New Hampshire, terdapat keirasan 99.99 peratus
lelaki dalam klip video itu dengan bagi foto Anwar.
Shafie menunjukkan salinan laporan tersebut kepada wartawan tetapi enggan
membenarkan salinan dokumen itu dibuat.
Dalam fakta kes yang dibacakan di mahkamah, mahkamah juga mendengar bahawa
pakar tersebut mengesahkan bahawa video itu tulen tanpa pengubahsuaian dan ia
dirakam dengan perakam DVR milik Shazryl. Insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan