Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan tidak
wujud dua kumpulan — ulama dan profesional, yang didakwa bersaing mahu menguasai
barisan kepimpinan parti Islam berusia enam dekad itu.
Sebaliknya kata beliau, istilah golongan ulama dan profesional itu yang
seringkali timbul ketika pemilihan parti, sebenarnya “dihidupkan” oleh
Umno-Barisan Nasional (BN).
Nik Aziz (gambar) berkata demikian menjelang pemilihan
kepimpinan PAS pusat awal bulan depan dengan tumpuan beralih kepada persaingan
jawatan timbalan presiden dan naib presiden.
Jawatan timbalan presiden bakal menyaksikan pertarungan tiga penjuru
membabitkan penyandangnya Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden PAS Datuk Tuan
Ibrahim Tuan Man dan ahli jawatankuasa kerja pusat Mohamad Sabu.
Sementara itu, jawatan naib presiden juga bakal menyaksikan pertarungan
sengit.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah berjaya mengekalkan jawatan presiden tanpa
cabaran.
Mereka yang mahu bertanding jawatan tertinggi PAS harus mengesahkan
pencalonan mereka sebelum pukul 5 petang ini.
“Kononnya kedua-dua (ulama dan profesional) ini adalah inti yang berlawanan
antara satu sama lain. Sedangkan hakikatnya tidak pernah wujud jurang antara
ulama atau professional dalam PAS kecuali jurang yang diada-adakan oleh
Umno-BN.
“Jikapun ada, kedua-duanya tidak lebih melainkan hanyalah caj positif dan caj
negatif yang apabila bergabung menjadi arus eletrik yang cukup kuat untuk
memberikan renjatan kepada Umno-BN,” kata Nik Aziz menerusi laman Facebook malam
tadi.
Oleh itu kata Menteri Besar Kelantan itu, barisan kepimpinan PAS terdiri
daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kemahiran.
Justeru, tegas Nik Aziz, walaupun berbeza latar belakang, namun dasar
perjuangan dan matlamat yang hendak dicapai tetap sama.
“Tidak ada apa yang pelik jika kepimpinan PAS dilatari oleh individu yang
datang dari pelbagai bidang pendidikan dan kemahiran.
“Di zaman Rasulullah SAW, sahabat-sahabat baginda mempunyai latar belakang
yang pelbagai.
“Oleh yang demikian, tidak ada yang pelik jika di dalam PAS ada kepimpinannya
dari pelbagai latar belakang. Profesional dalam PAS itulah golongan ulama, dan
ulama dalam PAS itulah professional.
“Semuanya menjadi batu bata membentuk benteng kukuh berdepan dengan ombak
sekular. Hari ini, gelombang sekular sedang ganas membadai. Jika dulu, ada
gelombang berwarwa biru, hari ini pula ia berwarna merah,” katanya merujuk
kepada kempen yang kini digunakan Umno untuk merampas Kelantan.
Tambah Nik Aziz, beliau berharap perwakilan akan membuat keputusan bijak
dalam memilih barisan kepimpinan parti untuk meneruskan agenda perjuangan
PAS.
“Harapan saya, muktamar yang akan diadakan pada minggu hadapan ini akan
membuahkan hasil yang terbaik untuk perjuangan Islam.
“Kepada para perwakilan, pilihlah pemimpin yang bertaqwa kepada Allah.
Ikhlaskanlah hati, dan letakkanlah pertimbangan semasa memilih di atas neraca
iman kepada Allah, insya-Allah, saya yakin pilihan para perwakilan nanti adalah
yang terbaik untuk meneruskan perjuangan PAS di persada politik tanah air,”
katanya. Insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan