Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) menyokong gesaan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya berundur kerana terpalit dengan kes rasuah yang dikaitkan dengan beliau dan keluarganya.
“Bagi DPP Malaysia, elok benar jika Datuk Seri Shahrizat Jalil berundur waktu ini sebelum beliau ‘dihalau’ keluar oleh partinya,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.
Beliau di dalam satu kenyataan berkata, DPP Malaysia berpendapat hayat politik Shahrizat sudah tamat dengan siri pendedahan yang dilakukan yang sukar untuk dinafikan.
Bahkan, ujarnya isu menteri itu kini sudah menjadi bebanan pula kepada Umno BN dan sukar untuk mereka menjawab setiap persoalan yang ditanyakan oleh rakyat.
Justeru, ujarnya DPP Malaysia melihat pertarungan politik baru bagi menghadapi PRU ke-13 perlu dijalankan dalam dimensi baru.
“Rakyat sekarang sudah mula menilai pemimpin atau calon yang bertanding dari mana-mana parti politik dan kriteria utama yang mereka letakkan untuk mengangkat pemimpin yang akan dinobatkan dalam PRU ke 13 nanti adalah bersih, berakhlak mulia, berjiwa rakyat, mempunyai wibawa, membela isu rakyat, serta mempunyai iltizam yang tinggi untuk membangunkan negara,” ujarnya.
Beliau menambah, rakyat sudah jemu dan menolak pemimpin yang dipalitkan dengan rasuah, skandal, korup serta tidak berwibawa.
Selain itu, katanya parti-parti politik perlu menjaga imej negara di pentas antarabangsa.
Menurutnya lagi, rakyat negara ini tidak rela reputasi negara ini jatuh di mata masyarakat dunia angkara pemimpin yang dikaitkan dengan rasuah.
“Untuk membina imej yang baik ini, pemimpin di mana-mana peringkat perlu bersih malah dilihat bersih oleh rakyat.
“Pemimpin tidak boleh terkait dengan apa juga skandal yang menjadi masalah kepada beliau di kemudian hari,” katanya lagi.
Beliau menambah, pemimpin mesti menjadi contoh yang baik kepada masyarakat untuk diikuti agar mudah arahan mereka dipatuhi oleh rakyat.
Justeru itu, ujarnya DPP Malaysia melihat saranan Mahathir perlu ditujukan juga kepada semua pemimpin parti politik tidak kira mereka dari Umno BN mahupun pembangkang.
“DPP Malaysia menasihatkan mana-mana pemimpin yang pernah dikaitkan dengan apa juga kes sama ada rasuah, korupsi, penyelewengan kuasa, mengamalkan kronisme, terlibat dengan skandal seks, jenayah, dan lain-lain lagi perlu berundur dengan terhormat dengan memberikan laluan kepada pemimpin lain untuk mengemudi bahtera perjuangan parti politik masing-masing,” katanya.
Katanya, lanskap politik baru Malaysia mesti dicoretkan di atas kanvas yang putih bersih diwarnai oleh pemimpin yang murni dan bersih dari sebarang skandal. HarakahDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan