Translate

Sabtu, 7 Januari 2012

Fenomena Adam Adli, Safwan Anang






















Ahmad Lutfi Othman 

Petang 31 Disember 2011, sewaktu menerima SMS daripada Kassim Muhamad, aktivis Paksi (Seniman Paksi Rakyat), yang memaklumkan beliau bersama dua penyair muda, Benz Ali dan Ali Bukhari Amir berhajat ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada malam tahun baru, saya melintasi Sabak Bernam, dalam perjalanan balik dari Lumut ke Ampang.

Mesej Pak Kassim, ada program bacaan puisi di depan UPSI. Tanpa mengetahui lebih lanjut acara itu, nama UPSI sudah cukup untuk segera saya teringat si pemberani, Adam Adli Abd Halim yang mencipta kejutan baru-baru ini. Pastinya ada kaitan dengan kes anak muda itu, yang bakal menghadapi perbicaraan jawatankuasa tatatertib universiti, 9 Januari nanti, ekoran tindakannya menurunkan bendera Najib Razak di Ibu Pejabat Umno, PWTC, 17 Disember lalu.

Sebelum ini, UPSI -- dahulunya Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), satu nama besar dalam proses kebangkitan bangsa Melayu menentang kolonial -- agak tercicir dalam senarai perjuangan gerakan mahasiswa, berbanding kampus di Lembah Klang. Tiba-tiba Adam Adli mengocakkan ketenangan UPSI dan memaling perhatian umum ke Tanjong Malim.

"Rupanya tidak semua calon guru dapat dijinakkan semasa latihan," kata seorang teman wartawan sejurus membaca interbiu Sinar Harian dengan Adam Adli. "Apabila guru bangkit menuntut hak kebebasan akademik dan mendesak autonomi kampus dikembalikan, BN pasti tidak senang duduk. Adam Adli bukan keseorangan," tambahnya.

Semasa melepasi Sungai Besar, saya agak terlelap, dan terlupa seketika isu Adam Adli dan SMS Pak Kassim. Sehinggalah apabila terpandang kediaman bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo, di kiri jalan, Simpang Lima, saya terasa lebih segar. Hampir sepuluh tahun lalu, saya bergelut dengan siri pendedahan amalan salahguna kuasa dan korupsi Khir,  doktor gigi yang sekonyong-konyong dilantik mengetuai kerajaan di sebuah negeri paling maju.

Terhimpun segala memori pahit manis, bukan sahaja keletihan naik turun pejabat Biro Pencegah Rasuah (kini SPRIM) di Putrajaya dan Shah Alam, tetapi juga keceriaan turun padang menjejak bukti di Tanjung Karang, sehingga ke pusat penternakan ayam, jauh terperosok ke dalam, yang didakwa membekalkan bekalan daging untuk diagihkan Khir menjelang Aidilfitri, di depan rumahnya, di Simpang Lima itu.

Episod itu sudah lama berlalu. Saya pun sudah banyak berubah, terutama dari segi kecergasan fizikal. Khir akhirnya -- selepas terlucut dari takhta kuasa -- menjadi kerdil dan terpencil, seterusnya dihukum setahun penjara dan kediaman mewahnya dirampas, akibat pertuduhan rasuah, satu penghakiman yang mungkin dilihatnya bermotif politik.

Dalam blognya, 27 Disember lalu, Khir merakamkan: "Saya percaya sekiranya saya tidak mendapat keadilan di dunia ini pun, akan ada keadilan di hadapan yang Maha Berkuasa nanti."

Empat bulan sebelum itu, pada akhir Ramadan lalu, dalam ucapan selamat hari raya, Khir menulis: "Dalam bulan mulia ini  saya ingin mengingatkan tiga  sahabat yang menjadi menteri dalam kabinet agar jangan keterlaluan untuk mengenakan saya. ....  Seorang menteri dilaporkan berkata kepada dua orang menteri lain bahawa jika mahu mendapat kembali Selangor maka Khir Toyo perlu didakwa. Sekarang menteri yang sama berkata jika mahu menang Selangor Khir Toyo perlu dipenjarakan."

Apa pun, kita fokuskan dahulu fenomena Adam Adli dan kebangkitan anak muda yang bingkas bangun menuntut hak. Suara kebenaran dan idealisme luhur perjuangan mahasiswa kembali lantang bergema, melantun dan saya percaya bingit di telinga elit penguasa. Mereka mungkin dilihat "kurang beradab" kerana berani tegas mengungguli keyakinan yang terpahat di dada.

Saya langsung tidak menyedari peristiwa bersejarah malam tahun baru yang panjang itu. Dan rakyat Malaysia yang menyambut kedatangan tahun 2012 pastinya tidak menjangka pada waktu sama berlaku insiden berdarah yang menyayat hati.

Pada pagi Ahad, saya menerima SMS tentang keganasan polis menyuraikan himpunan pelajar di UPSI, yang disifatkan melampau, tidak bertamadun dan pelbagai mesej lagi bersalut kemarahan. Namun saya masih belum mengetahui butiran terperincinya. Agakan saya, kalaupun demonstrasi digempur FRU, ia tidaklah sedramatik yang berlaku.

Saya cuba menghubungi Ali, tapi tidak berjawab. SMS Pak Kassim sedikit mencerahkan. Rupanya acara baca puisi tidak menjadi. Mahasiswa bertindak lebih nekad, membaringkan diri di atas jalan berdepan pintu masuk UPSI dan aksi mereka itu tentunya mengejutkan polis Tanjong Malim, terutama anggota Cawangan Khas (SB), yang rasanya agak asing dengan situasi seumpama itu.

Jarak kampus UPSI hanya lebih kurang 90km ke utara Kuala Lumpur, namun saya tidak pasti apakah wilayah sekitarnya pernah digegarkan dengan teriakan reformasi dan dibadai tsunami politik.

Memang Perak diterajui Pakatan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum 2008, namun kerusi Parlimen Tanjong Malim dan dua Dun di bawahnya, Sungkai dan Slim, masih dikuasai BN. Hanya Dun Behrang dimenangi calon KeADILan, Jamaluddin Mohd Radzi, yang kemudiannya keluar parti dan menyebabkan rampasan kuasa.

Jam 1.30 tengahari Ahad, seorang sahabat Zulaimi Kazin mengajak saya  ke Tanjong Malim, melihat lebih dekat realiti yang mengukir sejarah itu. Mulanya kami berhajat makan ikan singgang di Setapak terlebih dahulu, tetapi terpaksa dibatalkan, bimbang semua 17 pelajar yang ditahan telah diikat jamin dan terlepas detik-detik penting itu.

Ruang di depan pintu pagar Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Tanjong Malim di Slim River sesak. Cuaca panas terik. Sebahagian besarnya anak-anak muda, lelaki dan wanita hampir sama ramai. Wajah mereka menzahirkan ketulusan dan iltizam tinggi berdepan sekatan dan hambatan. Kain pemidang mempamerkan tuntutan mahasiswa merentang jalan. Mereka menunggu rakan-rakan dibebaskan.

Slogan 'student power' saling bersahutan. Juga jeritan "Bebas bebas, kami semua Adam Adli". Keras dan senada, petanda tekad mereka tidak mudah goyah. Mereka langsung tidak hiraukan puluhan  anggota polis di dalam kawasan IPD yang liar memandang.

"Hebat pelajar sekarang. Baru malam tadi kena belasah, kena pukul, tapi semangat tetap berkobar," bisik seorang teman yang baru saya kenali di situ.

"Saya tidak pernah saksikan keberanian anak-anak muda seperti ini. Bayangkan, di depan balai polis mereka kembali berhimpun, meluahkan apa yang terbuku tanpa sedikit pun rasa takut. Tabik saya kepada mereka," katanya sambil menunjukkan saya seorang pelajar yang menutup kepalanya. Baju pelajar berkenaan dilumuri darah kering. Rupanya malam tadi dia turut cedera dan mendapat beberapa jahitan di kepalanya.

Gelagat beberapa pimpinan pelajar yang saling berbicara lantang, termasuk Adam Adli dan seorang mahasiswi, menarik perhatian saya. Ungkapan kata mereka teratur kemas, menyuntik obor semangat. Ya, mahasiswa telah membuka lembaran baru tahun 2012 dengan hari pertama yang cukup meyakinkan.

"Apa pun yang terjadi kepada saya selepas ini, kita mahasiswa tidak lagi boleh berundur. Saya telah melakukannya dan saya pasti anda semua juga mampu melakukannya," tegas Adam, merujuk kes perbicaraannya yang mungkin mengundang risiko buruk.

Teriakan menuntut kebebasan akademik, pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) disulami pidato ringkas politik yang tegas. Saya kira kepercayaan mahasiswa terhadap jaminan Najib Razak untuk melonggar sekatan di kampus berada pada tahap paling tipis, apatah lagi selepas menyaksikan sendiri insiden keganasan polis.

Ketara sekali, luahan kemarahan sukar untuk diredakan biarpun semua rakan-rakan mereka telah dibebaskan.

Saya sempat mengunjungi Muhammad Safwan Anang Talib, pelajar Universiti Malaya, yang terlantar di Hospital Slim River, tidak jauh dari IPD. Beliau merupakan isteri kepada Masturah Abu Bakar, juga seorang aktivis mahasiswa UM, anak Mariam Abd Rashid, Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Selangor.

Raut wajah Safwan tenang meskipun masih menahan kesakitan terutama pada bahagian tulang rusuknya. Saya kira giginya turut patah. Bibirnya pecah. Sahabat-sahabat mengerumuni katilnya, saling bersalaman, erat tautannya. Ada yang memeluknya.

Saya cuba membayangkan perasaan masing-masing; terharu, sedih tapi bersyukur dan berbangga dengan cabaran perit itu. Mereka sebenarnya mengucapkan tahniah sesama sendiri.

"Kejam ... Safwan yang bertubuh kecil dipukul, dipijak, diterajang semahunya," cerita seorang pelajar kepada saya dan Kak Yam.

Malamnya di TV, Ketua Polis Perak mendakwa Safwan cedera angkara tindakan sendiri. Ia sekadar satu lagi bukti bahawa pihak polis tidak layak menjalankan siasatan ke atas kes ini. Sewajarnya ditubuhkan satu badan bebas untuk menyiasat.

(Ketua Penerangan KeADILan Johor, Syed Hamid Ali menegaskan: "Kami menuntut kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) khasnya, segera mengadakan pendengaran awam dan siasatan terbuka (open inquest) berhubung kejadian di mana Safwan Anang telah cedera dan 17 yang lain ditangkap. Jawatankuasa siasatan awam itu hendaklah terdiri daripada pakar-pakar perundangan dan NGO yang bebas; selepas siasatan dilakukan. Laporannya hendaklah diumumkan.")


Semasa menuju masjid berdekatan untuk solat Asar, saya mengirim SMS kepada Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Ternyata beliau cukup prihatin dengan perkembangan Safwan.

Bagaimanapun saya lebih risau kedudukannya dalam kerajaan sekarang. Komitmen beliau  untuk menjadikan kampus lebih kondusif untuk aktiviti intelektual seperti bakal menjerat dan menjerut dirinya.

Persatuan Alumni Aspirasi (kumpulan mahasiswa pro-Umno, yang diberikan segenap kemudahan oleh Hal Ehwal Pelajar untuk menang mudah dalam setiap kali pilihan raya kamopus) sudah memberi kata dua kepada Saifuddin, agar beliau beliau meletakkan jawatan berdasarkan memorandum 21 Disember lalu ekoran tindakan Adam Adli menurunkan bendera Najib. Saifuddin dilihat terlalu "memberi muka" kepada mahasiswa.
"Kami tidak lupa notis yang diberikan kepada Dato' Saifuddin," tegas Presiden Aspirasi, Mohd Shahar Abdullah pada 30 Disember lalu. Khabarnya, ramai Naib Canselor dan TNC Hal Ehwal Pelajar mencari peluang untuk "menyukarkan" Saifuddin dalam kerjaya politiknya. Shahar hanya jurucakap kepada sebilangan "kawan-kawan" Saifuddin dalam BN yang mahu melihat Ahli Majlis Tertinggi Umno itu "terkulai di pertengahan jalan". Harakah Daily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular