Pengumuman kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen bagi RON95 dan
diesel sewajarnya ditolak oleh rakyat seperti yang banyak disuarakan di
laman-laman sosial dan media. Kenaikan ini membebankan rakyat terbanyak
dan dijadikan alasan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menutup
kegagalannya mentadbir ekonomi negara dengan baik.
Perkembangan-perkembangan
terbaru ekonomi serantau dan kedudukan kewangan negara yang semakin
lemah telah menimbulkan pelbagai keraguan yang negatif terhadap
kemampuan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan Menteri
Kewangan. Ini termasuklah:
1. Laporan Fitch yang menuruntarafkan prospek ekonomi negara menjadi
negatif, iaitu kali pertama ia berlaku dalam sejarah negara melihatkan
kadar keberhutangan negara yang semakin tinggi tanpa ada jalan
penyelesaian dari Datuk Seri Najib Razak.
2. Matawang ringgit telah hilang nilainya dan susut secara mendadak dalam tempoh sebulan yang lepas
3. Pertumbuhan ekonomi yang tidak mencapai sasaran sejak 15 tahun berturut-turut
Apa yang dituntut oleh rakyat, pasaran, pelabur dan juru analisa
adalah satu pelan ekonomi yang menyeluruh yang menangani tiga masalah
utama ekonomi negara iaitu:
1. Keberhutangan kerajaan yang melampau sehingga menjejaskan masa depan kewangan negara
2. Keborosan kerajaan yang tidak kenal penghujung sehingga berbelanja
melebihi pendapatan (belanjawan defisit) selama 15 tahun berturut-turut.
3. Daya saing ekonomi negara yang semakin malap kerana dasar-dasar
kerajaan yang menggalakkan rasuah, penyelewengan, kurang daya kreativiti
dan tiada tambah nilai.
Sebaliknya, Dato’ Seri Najib Tun Razak hanya mengambil jalan pintas
dengan memotong subsidi rakyat yang kesannya kepada ekonomi negara tidak
seberapa berbanding dengan perbelanjaan yang lain termasuklah subsidi
korporat yang lebih besar nilainya.
Fakta-fakta ekonomi membuktikan bahawa tindakan menaikkan harga
minyak tidak akan menyelesaikan masalah ekonomi negara yang kian parah
di bawah pentadbiran beliau dan tidak adil kepada rakyat:
1. Belanja subsidi lain lebih besar dan subsidi korporat wajar dipotong dahulu sebelum subsidi rakyat.
Seperti yang diumumkan Dato’ Seri Najib Tun Razak, kenaikan harga
minyak akan menjimatkan subsidi minyak tahunan sebanyak RM3.3 bilion
dalam tahun 2014 ke atas. Beliau juga mengumumkan bahawa anggaran jumlah
subsidi yang ditanggung tahun depan (berikutan kenaikan harga minyak
ini) adalah RM24.8 bilion.
Setiap tahun, anggaran jumlah penggunaan petrol dan diesel adalah
sebanyak 10 bilion liter (petrol) dan 6.5 bilion liter (diesel) . Pada
kadar subsidi sebanyak 83 sen bagi seliter petrol dan RM1 bagi seliter
diesel, jumlah subsidi petrol dan diesel adalah sebanyak RM14.8 bilion
setiap tahun, iaitu hanya 59% dari jumlah subsidi bahan api yang
dibelanjakan kerajaan.
Sejumlah RM10 bilion subsidi (atau 41% peratus) setiap tahun
adalah subsidi gas dan LPG yang ditanggung oleh kerajaan. Ini tidak
termasuk anggaran subsidi gas kepada penjana bebas (IPP) sebanyak
sekitar RM8 bilion setiap tahun.
Ini bermakna, subsidi korporat yang diberikan melalui subsidi gas
kepada industri dan penjana bebas (dianggarkan sekitar RM13 bilion
setiap tahun) adalah hamper sama dengan subsidi petrol dan diesel yang
diberikan kepada rakyat.
Sebab itu, KEADILAN bertegas bahawa kita menentang sebarang kenaikan
harga minyak selagi subsidi korporat (dalam bentuk subsidi gas kepada
industri dan penjana bebas) tidak distrukturkan semula kerana adalah
tidak adil menghukum rakyat kebiasaan yang sudah pun bergelut dengan
kesempitan kewangan sedangkan kroni dan sektor korporat tidak disentuh
langsung.
Tindakan Dato’ Seri Najib Tun Razak menaikkan harga minyak sebanyak
20 sen adalah bersamaan memotong subsidi minyak rakyat sebanyak 22%
setahun, sedangkan penjana bebas yang kaya terus menikmati subsidi
korporat.
2. Rakyat golongan sederhana dan miskin paling terkesan dengan kenaikan harga minyak
Pendapatan dan perbelanjaan setiap isirumah adalah berbeza-beza
mengikut taraf sosioekonomi keluarga. Mengikut kajian yang dibuat oleh
MIER dan berdasarkan Kajiselidik Belanja Isirumah 2009/10, anggaran
perbelanjaan untuk petrol dan diesel mengikut kategori pendapatan
keluarga adalah seperti berikut:
Pendapatan bulanan isirumah (RM)
|
% belanja isirumah membiayai petrol dan diesel
|
<500
|
35
|
500 – 1,000
|
27
|
1,000 – 2,000
|
25
|
2,000 – 3,000
|
22
|
3,000 – 4,000
|
20
|
> 4,000
|
10
|
Ini bermakna, keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana secara
puratanya membelanjakan lebih banyak pendapatan mereka setiap bulan
untuk membiayai petrol dan diesel (oleh kerana pendapatan mereka lebih
rendah dan bahan api adalah keperluan). Oleh itu, kenaikan harga minyak
sudah tentu menekan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana kerana
jumlah tanggungan tambahan setiap bulan adalah besar berbanding
pendapatan bulanan mereka.
KEADILAN menganggarkan secara purata sebuah isirumah yang mempunyai sebuah kereta menggunakan sebanyak 313 liter petrol atau diesel setiap bulan . Kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen sudah tentu akan menambah secara purata perbelanjaan tambahan sebanyak RM63 sebulan atau RM752 setahun.
Jumlah ini adalah besar dan benar-benar akan membebankan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.
3. Bantuan BR1M tidak memadai dengan kenaikan belanja dan tidak menyelesaikan kepincangan ekonomi negara.
Janji Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa penjimatan dari kenaikan
harga minyak ini akan digunakan untuk menyalurkan BR1M yang lebih tinggi
adalah tidak bertanggungjawab.
Pertamanya, jumlah BR1M (kalau pun dinaikkan nilainya) tidak
berpadanan dengan tanggungan belanja setiap isirumah. Selain dari
belanja petrol dan diesel yang meningkat sebanyak RM752 setahun (yang
nilainya lebih tinggi dari BR1M), setiap isirumah juga terpaksa
berhadapan dengan masalah kenaikan harga barang secara keseluruhannya
akibat inflasi. Jumlah tanggungan adalah jauh lebih tinggi dari nilai
RM500 BR1M yang ditawarkan.
Keduanya, hanya sebahagian rakyat Malaysia yang menerima BR1M iaitu
sekitar 40% isirumah, sedangkan 40% lagi golongan sederhana yang turut
terkesan tidak mendapat sebarang bantuan.
Lebih membimbangkan, pendekatan mengagihkan bantuan melalui BR1M
bersifat politik yang boleh mewujudkan budaya pergantungan di kalangan
rakyat termiskin sedangkan yang mereka perlukan adalah subsidi yang
menurunkan kos sara hidup, pendidikan dan peluang pekerjaan yang baik
yang membebaskan mereka dari perangkap kemiskinan.
4. Harga minyak mentah secara puratanya menunjukkan pola penurunan sejak kenaikan minyak kali terakhir (Disember 2010).
Kenaikan harga petrol dan diesel pada kali ini adalah pertama kalinya
dibuat pada masa harga minyak mentah secara puratanya menunjukkan pola
penurunan.
Harga minyak mentah Brent (dalam USD setiap tong)
Sebelum ini, Barisan Nasional sering memberi alasan bahawa harga
petrol dan diesel terpaksa dinaikkan oleh kerana harga minyak mentah
yang meningkat membebankan negara. Namun, sejak April 2011, sebenarnya
harga minyak mentah telah mencatatkan pola penurunan dalam tempoh dua
tahun.
Tidak pernah sekali pun harga petrol dan diesel diturunkan apabila
harga minyak mentah ini menurun di pasaran dunia. Sepatutnya pola
penurunan itu memungkin kerajaan berjimat kerana belanja subsidi petrol
dan diesel stabil. Peluang itu disia-siakan dan sebaliknya akibat
keborosan, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan kenaikan harga petrol
dan diesel pada ketika harga minyak mentah dunia menunjukkan penurunan
dalam tempoh 2 tahun yang lepas.
Berdasarkan 4 fakta-fakta ekonomi di atas, KEADILAN percaya bahawa
Dato’ Seri Najib Tun Razak telah membelakangkan kepentingan rakyat.
Oleh kerana beliau bertanggungjawab di atas keputusan ini, maka
wajarlah beliau jua meredakan kemarahan rakyat dengan mengambil
tindakan-tindakan berikut:
1. Mengumumkan kepada rakyat bahawa tidak ada lagi sebarang kenaikan
harga atau tariff yang lain dalam tempoh satu tahun bermula dari hari
ini.
2. Mengarahkan bahawa semua Menteri dan Timbalan Menteri membayar
sendiri petrol dan diesel yang selama ini ditanggung oleh kerajaan
dengan memansuhkan kemudahan petrol dan diesel berbayar.
3. Membenarkan YB Khairy Jamaluddin berdebat dengan wakil KEADILAN
mengenai isu ini kerana sudah pasti YB Khairy Jamaluddin sedia berdepan
sekiranya tidak disekat oleh Umno, sepertimana kesudian beliau dalam isu
PTPTN dulu.
Setiausaha Agung KEADILAN
RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi KEADILAN
KD
1 ulasan:
Kami rakyat 1malaysia mahu umno bn serahkan kuasa mereka ,kepada pakatan rakyat yg bolih mentadbir negara malaysia dgn lebih baik dan adil utk rakyat.
Catat Ulasan