Parti 'Nyamuk' BN Berkubur Kerana Umno.
Keputusan pemilihan Kongres India Semalaysia (MIC), rakan utama
Barisan Nasional (BN), yang bermula semalam di Melaka terpaksa
ditangguhkan sehingga ke petang ini kerana sudah lima kali terpaksa
dibuat kiraan semula. Namun ia tidak menjadikannya berita utama media.
Sebulan lalu, satu lagi komponen BN Gerakan, membuat pemilihannya
serentak dengan perbentangan Bajet 2014 oleh Perdana Menteri. Ia
berjalan begitu sahaja selepas hanya menang satu sahaja daripada 222
kerusi Parlimen. Tidak ramai yang kisah dengan apa yang berlaku dalam
parti ini.
Penganalisis politik berpendapat, pilihan raya umum 5 Mei lalu
menjadikan parti-parti ini seperti parti nyamuk. Mereka sedang hadapi
kepupusan selepas rakan kongsi utamanya, Umno berjaya menambah sembilan
lagi kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Penganalis
Khoo Kay Peng (gambar) berpendapat, bilangan kerusi yang sedikit
ditandingi dan sedikit pula yang menang daripadanya menyebabkan parti
ini semakin sukar berperanan dengan berkesan dalam BN.
Lagipun, parti seperti Gerakan yang hanya menang satu kerusi Parlimen
dan dua kerusi DUN menyebabkan ia semakin menyusahkan parti-parti lain
untuk terus berkembang.
Bagaimanapun, Khoo tidak setuju BN memberikan nyawa untuk parti-parti
nyamuk ini untuk hidup kerana ia sebenarnya bergantung kepada mereka
sendiri.
Ia sebenarnya bergantung juga kepada Umno yang selama ini menjadi pengikat antara mereka.
Khoo berpendapat, Umno yang sepatutnya memulakan semula usaha untuk bekerjasama dan bukannya menguasai mereka.
Jika Umno memilih untuk terus menguasai, parti-parti kecil ini yang
akan susah kerana mereka akan terus ditolak pengundi dan akhirnya bakal
menuju ke 'tanah perkuburan'.
"Ketika parti-parti kecil ini melawan parti pembangkang dalam pilihan
raya umum lalu, mereka dianggap sebagai 'anjing' Umno sahaja," katanya.
"Persepsi dan kemarahan terhadap Umno terutama di kalangan pengundi
Cina masih kuat. Hasilnya, mereka juga menentang parti komponen BN yang
lain," tambahnya.
Untuk membolehkan mereka relevan semula, mereka perlu bersatu
menghadapi Umno, dengan memaksa agar kesemua mereka dilayan seperti
rakan kongsi sebenar dan bukannya digunakan untuk melawan musuh Umno
sahaja.
"Model BN yang hanya melihat hubungan antara kaum serta pecah dan
perintah perlu dihentikan. Mereka perlu fokus kepada pentadbiran
kerajaan yang baik, melayan rakyat dengan adil – inilah
penyelesaiannya," kata Khoo.
Penganalisa politik dari Universiti Malaysia Sarawak Dr Arnold Puyok
berkata, sindrom penafian menyebabkan mereka parti-parti kecil ini
semakin hilang relevannya.
Beliau memberikan amaran, jika sesuatu yang berkesan tidak dibuat, mereka akan berkubur.
"Mereka perlu bangkit dan berani untuk bersuara terhadap Umno atau
rakan kongsi mereka yang lebih besar. Mereka mesti bercakap soal yang
menjadi kepentingan rakyat. Mereka hendaklah dilihat tidak menjadi hamba
kepada Umno," katanya.
Ketua Pemuda Kebangsaan Gerakan, mengaku partinya sedang merudum ekoran kekalahan besar mereka dalam PRU12 dan PRU13.
Namun dia tidak setuju dengan pandangan Khoo bahawa Gerakan adalah
parti nyamuk kerana mereka masih boleh berperanan dalam menyuarakan
hasrat rakyat.
Peguam yang berpangkalan di Kedah ini berpendapat, pemimpin Gerakan
perlu bercakap lebih berani lagi. Mereka tidak perlu menurut segala
arahan kerana tidak ada lagi dalam Kabinet.
"Menyerang BN dan Umno secara terbuka dalam isu-ius tertentu juga perlu dilakukan," kata Tan.
"Kita tidak lagi mendapat apa-apa jawatan dan kita tidak boleh lagi
bergantung kepada Umno untuk hidup.
Jadi tidak perlulah kita bodek Umno
sepanjang masa kerana kita tidak mendapat apa-apa daripadanya.
"Selagi kuat Gerakan membodek Umno, lagi dalam kubur yang kita gali untuk kita," katanya.
Satu lagi parti yang sedang cepat menuju kuburnya adalah parti tertua
di Sarawak, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang kini sudah berusia
64 tahun.
Akibat pertembungan di kalangan pemimpin dan ditolak oleh pengundi muda
bandar, parti yang ditubuhkan oleh golongan kiri dan pekerja Cina –
terutama di kalangan gerakan komunis bawah tanah – sebelum ini adalah
rakan kongsi penting kerajaan BN.
Parti yang menjaga kepentingan masyarakat Cina ini pernah mempunyai 19
daripada 71 kerusi dalam DUN Sarawak, kedua selepas Pesaka Bumiputera
Bersatu (PBB).
Masa depannya kini kabur selepas kalah teruk dalam pilihan raya 2006 dan 2011 dan sekali lagi dalam PRU13.
SUPP bertanding 19 kerusi – semuanya di kawasan Cina dan beberapa
kerusi Dayak di pendalaman – namun kalah tujuh dalam dalam pilihan raya
2006.
Kini, SUPP hanya ada enam Adun – meningkat hanya kerana mewakili Cina
dalam kerajaan melalui Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Wong Soon Koh
(Bawang Assan) dan Penolong Menteri Komunikasi, Datuk Lee Kim Shin
(Senadin).
Mereka juga mendapat perhatian kerana empat wakil Dayak – Ranum Mina
(Opar); Penolong Menteri Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil (Bengoh);
Penolong Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis
(Simanggang); dan Rayong (Engkilili).
SUPP bertambah merudum dalam PRU13 apabila hanya menang satu daripada
tujuh kerusi Parlimen yang mereka bertanding iaitu Menteri Sumber
Manusia, Datuk Richard Riot yang berjaya mempertahankan kerusi majoriti
Dayak iaitu Serian. Riot juga adalah timbalan presiden parti ini.
SUPP juga kalah kesemua kerusi Cina yang ditandinginya – Stampin, Sarikei dan Lanang kepada DAP dan Miri kepada PKR.
"SUPP sudah mati dan berkubur," adalah pandangan seorang setiausaha politik kepada ketua menteri terhadap parti ini.
"Mereka hilang sokongan pengundi Cina dan pemimpin yang ada tidak mampu
menghidupkannya semula," katanya yang enggan dinamakan kerana isu ini
terlalu sensitif.
Dia merujuk kepada krisis kepimpinan 2011 yang menyaksikan pemimpin
yang menyokong Soon Koh memboikot proses pemilihan yang menyaksikan
bekas Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui
dipilih sebagai presiden.
Soon Koh memboikot semua usaha rundingan yang cuba dibuat dengan Chin
dan hanya menunggu keputusan daripada Pendaftar Pertubuhan terhadap
aduannya bahawa pemilihan telah berjalan tidak betul.
"SUPP tidak boleh dipulihkan. Parti ini perlu ditutup dan ahlinya perlu
membentuk satu parti baru dengan mengenepikan semua pemimpin yang
ditolak oleh rakyat.
"Ia umpama kapal yang rosak teruk di tengah lautan dan sedang tenggelam perlahan-lahan," kata setiausaha politik itu.
Ia bukan lagi mewakili orang Cina tetapi mewakili Dayak sahaja.
Namun Lim Kak Chiang, wartawan dan pemerhati politik veteran berkata,
ia boleh mendapat sokongan semula jika berjaya menyelesaikan krisisnya.
"Jika parti ini boleh menjaga kepentingan orang Cina, sebagaimana
mereka kata mereka buat, buktikan. Sehingga ini saya hanya melihat
sedikit saja," katanya.
Seorang pemimpin muda dari parti komponen BN di Sarawak pula mahu SUPP
membuktikan kemampuan untuk menjadi harapan kepada orang muda.
"Buat satu seminar untuk orang muda. Jika mereka berjaya mengumpulkan
antara 8,000 hingga 9,000 peserta, maka mereka boleh berjaya melepasi
ujian itu," katanya.
"Tetapi saya jangka ia tidak mampu untuk kumpulkan 1,000 orang pun." TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan