Dr Maza
Al-Qa'nabi
(130-221H) ataupun nama penuhnya 'Abd Allah bin Maslamah bin Qa'nab
al-Harithi merupakan anak murid al-Imam Malik bin Anas. Al-Qa'nabi
dianggap antara murid Malik yang terbilang.
Dia mendampingi al-Imam Malik di Madinah dalam tempoh yang lama. Dikatakan selama lebih 20 tahun. Dia salah seorang perawi al-Muwatta daripada al-Imam Malik. Bahkan dia dianggap perawi al-Muwatta paling thiqah (dipercayai). Terkenal dengan zuhud dan warak dan doanya mustajab.
Beliau
digelar al-Rahib ataupun pendeta kerana kuat beribadah. Amat disanjungi
oleh ahli-ahli hadis. Beliau juga salah seorang al-Bukhari, Muslim dan
Abu Daud. Namanya amat besar dalam dunia periwayatan hadis.
Al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597) dalam Kasyf al-Musykil menyebut
riwayat daripada salah seorang anak al-Qa'nabi bahawa bapanya dahulu -
semasa di Basrah peringkat awal - meminum nabiz (air
perahan/tuak) dan terlibat dengan perkara yang tidak baik. Ketika dia
berada di pintu rumahnya, ilmuwan hadis besar Basrah iaitu Syu'bah bin
al-Hajjaj lalu bersama dengan orang ramai yang mengikutnya.
Al-Qa'nabi bertanya: "Siapakah dia ini?"
Mereka memberitahunya: "Itu Syu'bah."
Dia berkata: "Siapa dia Syu'bah?"
Mereka menjawab: "Muhaddith (ahli hadis)."
Al-Qa'nabi yang ketika memakai kain merah keluar di hadapan Syu'bah lalu berkata: "Bacakan kepadaku hadis".
Syu'bah menjawab: "Engkau bukan kalangan ahli hadis untuk aku meriwayatkan hadis untukmu".
Lalu al-Qa'nabi mengugutnya dengan pisau sambil berkata: "Sama ada kau riwayatkan hadis untukku ataupun aku cederakan kau."
Maka
Syu'bah pun berkata: "Telah menghadiskan kepadaku Mansur daripada Rib'i
(bin Harash) daripada Abu Mas'ud (Al-Ansari), beliau berkata: Telah
bersabda Rasulullah SAW: Jika kamu tidak malu maka buatlah apa yang kamu
mahu."
Mendengar hadis tersebut al-Qa'nabi telah mencampakkan pisaunya dan pulang ke rumahnya. Dia mencurahkan semua nabiz yang
ada di rumahnya. Dia meminta ibunya jika kawan-kawannya datang izinkan
mereka masuk, beri mereka makan dan beritahu apa yang telah dia lakukan
iaitu menuang semua nabiz-nya agar mereka tahu dan pulang.
Lalu
Al-Qa'nabi pergi ke Madinah (tempat kelahirannya) dan berguru hadis
dengan al-Imam Malik bin Anas. Apabila dia pulang ke Basrah semula, pada
masa itu Syu'bah telah meninggal.
Dia tidak sempat mengambil
hadis dari Syu'bah melainkan sepotong hadis tadi iaitu: "Jika kamu tidak
malu maka buatlah apa yang kamu mahu". (Ibn Jauzi, Kasyf al-Musykil min Hadith al-Sahihain 1/437. Riyadh: Dar al-Watan).
Berubah
Saya petik kisah di atas bagi menggambarkan betapa insan itu boleh
berubah dengan perubahan yang sangat besar dalam hidup, dari seorang
insan yang kurang baik kepada yang terbaik dan amat baik. Sehingga Allah
mengangkat namanya di persada kesalihan dan kemuliaan.
Tiada yang menghalang seseorang untuk berubah menjadi watak yang
sepenuhnya berbeza dari zaman kegelapannya apabila dia mendapat cahaya
petunjuk dan benar-benar memenuhi dirinya dengan cahaya itu. Keikhlasan
akan menjemput pertolongan Allah hadir untuk seseorang yang benar-benar
ingin berubah dan terus istikamah atas perubahan dirinya itu.
Untuk berubah kepada kebaikan kadang-kala tidak memerlukan peristiwa
besar. Dalam kes al-Qa'nabi tadi, tadi satu ungkapan hadis sahaja telah
merubah keseluruhan hidupnya.
Kebaikan itu jika memang tersimpan
dalam diri seseorang dengan mudahnya akan menjelma dan membuak-buak
keluar apabila suis ataupun pintunya dibuka. Kadang-kala pintu itu
tertutup rapat sedangkan kebaikan ada di dalamnya.
Untuk
menjelmakan segala kebaikan yang ada di sebalik pintu yang tebal dan
kukuh hendaklah dibukakan terlebih dahulu kelopak pintu tersebut. Tidak
semestinya dirobohkan ataupun dikopak hingga terkoyak pintu.
Sebenarnya,
untuk membuka pintu yang teguh memerlukan kunci yang betul. Tidak
semestinya kunci kena besar. Kecil pun jika betul boleh membukanya.
Unsur kebaikan
Saya tertarik dengan kata-kata Sayyid Qutb - sebelum dihukum gantung
mati - dalam suratnya kepada adik perempuannya Aminah Qutb.
Surat itu kemudian dijadikan risalah kecil yang dinamakan Afrah al-Ruh.
Semasa usia saya dua puluhan saya pernah bermimpi berbicara dengan
Sayyid Qutb dalam keadaan saya sedang membaca surat tersebut.
Antara
yang beliau sebut dalam suratnya: "Apabila kita mencari sudut baik
dalam jiwa manusia kita akan dapati di sana kebaikan yang banyak yang
barangkali mata tidak dapat melihatnya pada awal pandangan"
Beliau menyebut lagi: "Sesungguhnya kejahatan itu bukanlah sesuatu yang
mendalam di jiwa insani sehingga ke peringkat yang kita bayangkan
kadang-kala. Ia hanyalah kulit keras luaran yang manusia gunakannya
untuk menghadapi kehidupan demi untuk bertahan.
"Apabila mereka
beriman maka tersingkaplah kulit keras luaran itu, zahirlah buah manis
yang menyelerakan. Buah manis ini hanya tersingkap kepada sesiapa yang
mampu menjadikan manusia merasa aman di sisinya, dengan keyakinan
terhadap kasihnya, dengan simpati yang hakiki atas masalah, kesakitan,
kesilapan dan kebodohan mereka, dengan sedikit berlapang dada pada
peringkat awal menjamin untuk merealisasikan itu semua.
Ia lebih pantas dari sangkaan kebanyakan orang."
Insan tidak boleh berputus asa dengan hidupnya. Tidak boleh berputus
harap terhadap masa depan yang berada di tangan Tuhan. Rahmat Allah itu
sangat luas, Dia tidak pernah mensia-siakan sesiapa benar-benar ikhlas
ingin kembali kepada-Nya.
Allah itu bukan sahaja menerima taubat
bahkan memberikan pelbagai anugerah kepada orang-orang yang kembali
kepada-Nya dengan pelbagai anugerah yang istimewa.
Di samping
Dia kadang-kala menguji keikhlasan dan kesungguhan hamba-hamba-Nya yang
kembali kepada-Nya itu, Dia juga membuka pelbagai pintu yang tidak
disangka dan diduga.
Firman Allah (maksudnya):
"Kecuali orang yang bertaubat, beriman serta mengerjakan amalan salih,
maka mereka itu, Allah akan menggantikan kejahatan mereka dengan
kebaikan; dan Allah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah
al-Furqan, ayat 70).
Dalam ayat ini Allah menyatakan bahawa Allah menukarkan kejahatan ataupun dosa mereka yang bertaubat menjadi kebaikan.
Antara
yang ditafsir oleh para ulama bahawa dengan taubat yang nasuha
dosa-dosa kejahatan ditukar menjadi pahala di akhirat kelak.
Betapa
besarnya rahmat Allah kepada sesiapa sahaja yang benar-benar ingin
kembali kepada-Nya. Dosa-dosa menjelma menjadi pahala, bayangkan
rahmat-Nya.
Tiada yang menghalangkan insan kembali kepada Tuhan melainkan kesombongan dirinya sendirinya.
Unsur kebaikan telah Tuhan letakkan dalam diri insan, kitalah yang wajar berusaha menyingkapkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan