Raja
Noor Jan Shah Raja Tuah yang mendakwa dirinya 'Sultan Melaka' ditahan
polis ketika dalam perjalanan ke Pulau Besar untuk menghadiri majlis
kesyukuran kewujudan kembali 'Kesultanan Melayu Melaka' di Melaka hari
ini. - Foto Bernama
Ahli perniagaan yang mengaku dirinya 'Sultan Melaka',
Noor Jan Tuah, 57, ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi
membantu siasatan berhubung kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Hasutan
1948.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, perintah tahanan reman itu dibenarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rendah, V Kanasan di Kompleks Mahkamah Melaka pada jam 9.45 pagi.
"Noor Jan ditahan reman sehingga 18 Januari ini bagi memboleh pihak polis menjalankan siasatan lanjut sekaligus melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwa raya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas permohonan tahanan reman tersebut di sini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan PR Gunarajan.
Tinjauan Sinar Harian, mendapati pasukan polis turut berada di hadapan pintu masuk kompleks sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Bagaimanapun, pengikut Noor Jan tidak kelihatan di kawasan kompleks sehingga dia meninggalkan pekarangan kompleks 20 minit diiringi pegawai dan anggota polis menaiki van.
Mengaku Memiliki 'Keris Tamingsari'
Sekitar jam 9 pagi pula, dalam keriuhan menunggu feri, Noor Jan dan isteri muncul. Dipercayai kira-kira 60 pengikut Noor Jan tiba di jeti sama.
Beberapa wartawan mendekati Noor Jan dan isteri. Belum lama dia berbual, Raja Shahrom datang mencelah perbualan.
Noor Jan meninggalkan kumpulan wartawan mengikut Raja Shahrom yang disangka orang awam.
Raja Shahrom kemudian memperkenalkan diri dan menyatakan Noor Jan akan ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Pada waktu itu sekumpulan empat lagi polis preman menyertai Raja Sharom menahan Noor Jan.
Dia kemudian dibawa ke sudut belakang jeti sebelum ke foyer jeti dan dimasukkan ke dalam kenderaan polis lalu dibawa ke IPD Melaka Tengah.
Raja Noor Jan Shah adalah salah satu nama digunakan selain Norjan Shah Tuah Shah, Raja Alang Norjan Alang Tuah dan Yang Maha Mulia Raja Norjan Shah Yang Maha Mulia Raja Tuah Shah.
Kali pertama dia diketahui menuntut takhta Sultan Melaka ialah pada November 2005. Sejak itu, dia terus mendakwa sebagai Sultan Melaka walaupun dakwaannya itu dinafikan banyak pihak.
Dia mempunyai kes lampau membabitkan Seksyen 420 Kanun Keseksaan pada 2006.
"Jika saya bukan sultan sebenar, saya tidak akan buat dakwaan ini. Kami sentiasa berbangga dengan sejarah kami, era kegemilangan Melaka, tetapi ia tidak diendahkan,” kata Noor Jan suatu ketika dahulu.
Dia mengaku dirinya keturunan Sultan Abdullah Muhammad Shah yang memerintah Perak dari 1851 hingga 1857.
Dia juga mendakwa memiliki keris Taming Sari, tongkat Lang Buana dan pelbagai lagi alat kebesaran warisan Sultan Melaka.
Lelaki ini juga pernah menyewa sebuah kereta Rolls Royce yang dijadikan gimik pada majlis pertabalannya.
Polis kemudian mengesahkan kereta itu yang dimiliki oleh sebuah syarikat kereta terpakai menggunakan nombor pendaftaran palsu dan tiada cukai jalan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan