Translate

Senarai Blog Saya

Isnin, 11 Julai 2011

BERSIH 2.0.: Kekasaran Polis Punca Utama Kematian Baharuddin.


Bersih 2.0 hari mendakwa mereka menerima laporan bahawa punca utama kematian Allahyarham Baharuddin Ahmad adalah disebabkan kekasaran polis dan kegagalan mereka untuk memberikan bantuan perubatan yang sepatutnya dan pada masanya.


Dalam kenyataannya hari ini, Bersih 2.0 mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad sambil menuntut pihak berkuasa supaya tidak berdalih lagi dengan hakikat bahawa polis telah menggunakan kekerasan yang berat terhadap para peserta Bersih 2.0 dan melepaskan semua tahanan dengan kadar segera.


(Anak kedua Baharudin, Nazrul, memeluk Tuan Guru Nik Aziz ketika beliau mengunjungi rumah Baharudin semalam)

Cerita mengenai punca kematian Baharudin mula merebak sebaik sahaja jenazah Allahyarham dikeluarkan dari rumah mayat Hospital Kuala Lumpur jam 3 pagi semalam selepas menjalani postmortem.


"Empat tulang dadanya didapati patah manakala tiga batang giginya juga patah," kata Azhar Kassim, anak saudara Allahyarham Baharudin ketika ditemui Harakahdaily di rumah Allahyarham.Sehingga kini, laporan postmortem tidak dikeluarkan oleh hospital kepada keluarga mangsa. 


Ia menjadi tandatanya keluarga kerana kenapa laporan itu tidak dikeluarkan sedangkan mayat dibenarkan untuk dikebumikan.


Usaha anak Allahyarham yang merupakan seorang doktor di HKL untuk mendapatkan laporan juga dikatakan tidak berjaya.Menurut Azhar , pakciknya itu bekas askar dan kini menjadi polis simpanan."Dia tiada ada asma, jantung atau kencing manis...yang ada darah tinggi sahaja sedikit...pendek kata dia sihatlah," kata Azhar.


“Ini (kematian Baharuddin) hanyalah salah satu daripada pelbagai tindakan polis pada 9 Julai yang lalu yang mengakibatkan kecederaan teruk."Terdapat bukti video yang jelas menunjukkan polis menembak gas pemedih mata masuk ke perkarangan Hospital Tung Shin serta contoh-contoh lain yang menunjukkan polis membelasah orang-orang awam yang tidak bersenjata.


"Beberapa individu termasuk Ahli Parlimen YB Khalid Samad juga cedera parah apabila terkena kanister gas pemedih mata yang dilepaskan ke arah orang ramai. 


Terdapat banyak contoh yang lain. Kita menyeru para peserta untuk memberikan bukti gambar dan video insiden-insiden sedemikian kepada kita,” kata jawatankuasa Bersih 2.0.Bersih 2.0 turut menyifatkan serangan bertubi-tubi terhadap para peserta demo aman Sabtu yang lalu sebagai mengejutkan.“Kekejaman yang dilakukan dapat dilihat sendiri oleh warganegara Malaysia dan juga pemerhati antarabangsa. 


Ia telah menunjukkan tanpa raguan lagi bahawa pihak berkuasa telah gagal menjunjung dan memelihara perkara yang paling asas dalam hak asasi manusia seperti mana yang tercatat dalam Perlembagaan Negara,” tambahnya.Jawatankuasa tersebut turut mengutuk penafian Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar tentang kekejaman dan kekerasan polis terhadap para peserta Bersih 2.0.


“Kenyataan daripada PM bahawa tiada ‘pertembungan fizikal’ antara polis dan para peserta yang berdemo secara aman sungguh bercanggah dengan bukti video yang berlambak, sama juga dengan kenyataan KPN yang menafikan tiada gas pemedih mata ditembak ke kawasan Hospital Tung Shin.


Kita mengharapkan integriti yang lebih tinggi daripada orang-orang yang diamanah untuk menerajui negara dan menjaga keselamatan kita,” selar jawatankuasa itu lagi.Bersih 2.0 turut menuntut pihak berkuasa untuk melepas 6 tahanan dari Parti Sosialis Malaysia yang masih ditahan tanpa bicara, yang amat bercanggah dengan hak asasi manusia.


“Ahli Parlimen Dr Michael Jeyakumar baru-baru ini telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara dan kami amat bimbang tentang kesihatan dan keadaan mereka. 


Mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan, dan kami menuntut mereka dibebaskan serta-merta tanpa syarat,” seru Bersih 2.0.


Selain itu, Bersih 2.0 turut mengutuk tindakan paranoid dalam menahan individu-individu semata-mata mereka memakai baju Bersih seperti yang dilaporkan di Sabah semalam.


“Ia sememangnya tidak perlu untuk tindakan paranoid sedemikian, dan pihak berkuasa mesti menghentikan semua ini,” tegasnya lagi, sambil menambah bahawa kekerasan sama sekali tidak akan melunturkan hasrat mereka untuk menuntut pilihanraya yang adil dan bersih.


“Ia jelas dengan kehadiran melimpah pada 9 Julai yang lalu bahawa sejumlah besar rakyat Malaysia bersetuju bahawa ada benda yang tidak kena dalam sistem pilihanraya kita,” kata jawatankuasa Bersih 2.0.


“Komitmen kita untuk mereformasikan sistem pilihan raya akan dan mesti mencerminkan keberanian dan perpaduan yang ditunjukkan pada 9 Julai dan semangat yang kita lihat akan terus menjadi inspirasi kita,” katanya lagi.


Bersih 2.0 dianggotai Ambiga Sreevenasan (presiden), Andrew Khoo, Arul Prakkash, Arumugam K., Dr Farouk Musa, Haris Ibrahim, Liau Kok Fah, Maria Chin Abdullah, Richard Y W Yeoh, Dr Subramaniam Pillay, Dato’ Dr Toh Kin Woon, Dr Wong Chin Huat, Dato’ Yeo Yang Poh dan Zaid Kamaruddin. HarakahDaily
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular