Translate

Sabtu, 30 Jun 2012

Sejarah Politik Terengganu. (Bhg 1)


Walau pun Umno sudah berkuasa di Terengganu sejak pilihan raya 1955, PAS masih mampu menawan negeri itu pada pilihan raya 1959. Ibrahim Fikri (Tan Sri), Engku Hahusein Abdul Kadir, Wan Yahya Mohamed, Cikgu Taha dan beberapa pemimpin Umno Terengganu lain telah pun mendapat kedudukan yang baik didalam kerajaan negeri sebelum pilihan raya 1959. 

Ibrahim Fikri sebagai Timbalan Menteri Besar merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu tidak terfikir langsung yang PAS boleh memenangi pilihan raya 1959 itu. Para pemimpin PAS terengganu juga tidak begitu yakin bahawa PAS boleh mengalahkan Periktan dalam keadan parti itu belum bersedia dengan jentera untuk menghadapi pilihan raya umum itu.

Pendek kata, kemenangan PAS di Terengganu merupakan suatu perkara yang agak luar biasa dan tidak diduga oleh semua pihak. Tetapi, tidak ada perkara yang mustahil dalam politik dan semuanya boleh berlaku diluar dugaan. PAS terengganu mulai disusun semula selepas Ustaz Ahmad Azam Hanifah dilantik sebagai pesuruhjaya PAS dinegeri itu pada tahun 1958.

Ustaz Ahmad Azam berasal dari Teluk Medan, masjid Tinggi, Bagan Serai. Beliau seorang pejuang kemerdekaan yang terkenal di Perak Utara sebelum undang-undang darurat diisytiharkan pada tahun 1948. Isterinya, Ustazah Zabidah Ali pernah memegang jawatan Ketua Dewan muslimat PAS Pusat. Ustaz Ahmad Azam berjaya menambahkan kekuatan PAS di Terengganu dengan kerjasama para pemimpin PAS tempatan seperti Tuan Guru Haji Abbas, Cik Su Dato' Amar, Ahmad Endut, Ustaz Omar Shukri dan Yusuf Muhammad.

Jika tidak silap, pada tahun yang sama Dr Burhanuddin al-Helmy dipilih sebagai Yang Dipertua Agung (Presiden) PAS yang baru. Secara kebetulan Ustaz Ahmad Azam sendiri dianggap sebagai orang pilihan Dr Burhanuddin. Ekoran daripada Dr Burhanuddin dilantik sebagai yang Dipertua Agung PAS itu, bekas pemimpin PKMM dan Parti Rakyat menyertai PAS secara beramai-ramai.


Di antara tokoh Parti Rakyat Terengganu yang menyertai PAS selepas Dr Burhanuddin mengambil alih kepimpinan PAS ialah Haji Daud Samad dan Da Jalil. Beberapa orang bekas pemimpin PKMM di Besut juga turut menyertai PAS Terengganu. Tidak lama selepas itu Ustaz Taib Sabri dan Bakar Tok Ki menyertai PAS pula.


Pada keseluruhannya kedudukan PAS di bawah pimpinan Ahmad Azam bertambah baik dengan penyertaan dua orang bekas pemimpin PKMM dan Parti Rakyat, iaitu Daud Samad dan Da Jalil. Sebenarnya, parti yang paling berpengaruh di Terengganu sebelum undang-undang darurat diisytiharkan ialahPKMM  yang dipimpin Dr Burhanuddin. Umno pimpinan Dato' Onn tidak mempunyai pengaruh dan pengikut di Terengganu pada zaman penjajah dulu.


Ibrahim Fikri, Wan Yahya, Pak Su kar (Abu bakar M.Amin), Mokhtar Haji Abdul Rahim, Daud Samad, Yusof Losong (Yusof Kancil), Habib Lah, Latif haji faqih, Bung malik, Wan hassan dan Ibrahim janggut adalah antara pemimpin PKMM di Terengganu


Mokhtar Haji Abdul Rahim, Da Jalil, Dato' Wan Daud, Yusof Kancil, Latif Haji Faqih, Habib Lah, Bung malek dan Wan Hassan ialah tokoh-tokoh politik Terengganu yang dipenjarakan sebagai tahanan politik ketika itu. Mokhtar Haji Abdul Rahim, Pak Su kar, Yusof Kancil, Wan hassan, Ibrahim janggut, Latif haji Faqih, Habib Lah dan bung Malik menyertai Parti Rakyat manakala Da Jalil dan Daud Samad menyertai PAS sehingga ke akhir hayat.


Para pemimpin PKMM diatas merupakan pelopor gerakan kemerdekaan di Terengganu. Kumpulan inilah kemudiannya yang menguasai empat buah parti politik di Terengganu iaitu PAS, Umno, Parti Rakyat dan Parti Negara. Apabila Tunku Abdul rahman mengambil alih pimpinan Umno daripada Dato' onn, Ibrahim Fikri dan Wan yahya menyertai Umno tetapi Wan daud (Ayah Wan) menyertai Parti Negara dan bertanding sebagai calon pada pilihan raya umum 1959. 
Bersambung......

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular