Translate

Senarai Blog Saya

Ahad, 1 Disember 2013

Jika Ada Yang Berangan-Angan Tentang Pengabungan Umno/PAS, Tolong Baca Dulu...




Parti 'Nyamuk' BN Berkubur Kerana Umno.

Keputusan pemilihan Kongres India Semalaysia (MIC), rakan utama Barisan Nasional (BN), yang bermula semalam di Melaka terpaksa ditangguhkan sehingga ke petang ini kerana sudah lima kali terpaksa dibuat kiraan semula. Namun ia tidak menjadikannya berita utama media.

Sebulan lalu, satu lagi komponen BN Gerakan, membuat pemilihannya serentak dengan perbentangan Bajet 2014 oleh Perdana Menteri. Ia berjalan begitu sahaja selepas hanya menang satu sahaja daripada 222 kerusi Parlimen. Tidak ramai yang kisah dengan apa yang berlaku dalam parti ini.

Penganalisis politik berpendapat, pilihan raya umum 5 Mei lalu menjadikan parti-parti ini seperti parti nyamuk. Mereka sedang hadapi kepupusan selepas rakan kongsi utamanya, Umno berjaya menambah sembilan lagi kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Penganalis Khoo Kay Peng (gambar) berpendapat, bilangan kerusi yang sedikit ditandingi dan sedikit pula yang menang daripadanya menyebabkan parti ini semakin sukar berperanan dengan berkesan dalam BN.

Lagipun, parti seperti Gerakan yang hanya menang satu kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN menyebabkan ia semakin menyusahkan parti-parti lain untuk terus berkembang.

Bagaimanapun, Khoo tidak setuju BN memberikan nyawa untuk parti-parti nyamuk ini untuk hidup kerana ia sebenarnya bergantung kepada mereka sendiri.

Ia sebenarnya bergantung juga kepada Umno yang selama ini menjadi pengikat antara mereka.

Khoo berpendapat, Umno yang sepatutnya memulakan semula usaha untuk bekerjasama dan bukannya menguasai mereka.

Jika Umno memilih untuk terus menguasai, parti-parti kecil ini yang akan susah kerana mereka akan terus ditolak pengundi dan akhirnya bakal menuju ke 'tanah perkuburan'.

"Ketika parti-parti kecil ini melawan parti pembangkang dalam pilihan raya umum lalu, mereka dianggap sebagai 'anjing' Umno sahaja," katanya.

"Persepsi dan kemarahan terhadap Umno terutama di kalangan pengundi Cina masih kuat. Hasilnya, mereka juga menentang parti komponen BN yang lain," tambahnya.

Untuk membolehkan mereka relevan semula, mereka perlu bersatu menghadapi Umno, dengan memaksa agar kesemua mereka dilayan seperti rakan kongsi sebenar dan bukannya digunakan untuk melawan musuh Umno sahaja.

"Model BN yang hanya melihat hubungan antara kaum serta pecah dan perintah perlu dihentikan. Mereka perlu fokus kepada pentadbiran kerajaan yang baik, melayan rakyat dengan adil – inilah penyelesaiannya," kata Khoo.

Penganalisa politik dari Universiti Malaysia Sarawak Dr Arnold Puyok berkata, sindrom penafian menyebabkan mereka parti-parti kecil ini semakin hilang relevannya.

Beliau memberikan amaran, jika sesuatu yang berkesan tidak dibuat, mereka akan berkubur.

"Mereka perlu bangkit dan berani untuk bersuara terhadap Umno atau rakan kongsi mereka yang lebih besar. Mereka mesti bercakap soal yang menjadi kepentingan rakyat. Mereka hendaklah dilihat tidak menjadi hamba kepada Umno," katanya.

Ketua Pemuda Kebangsaan Gerakan, mengaku partinya sedang merudum ekoran kekalahan besar mereka dalam PRU12 dan PRU13.

Namun dia tidak setuju dengan pandangan Khoo bahawa Gerakan adalah parti nyamuk kerana mereka masih boleh berperanan dalam menyuarakan hasrat rakyat.

Peguam yang berpangkalan di Kedah ini berpendapat, pemimpin Gerakan perlu bercakap lebih berani lagi. Mereka tidak perlu menurut segala arahan kerana tidak ada lagi dalam Kabinet.

"Menyerang BN dan Umno secara terbuka dalam isu-ius tertentu juga perlu dilakukan," kata Tan.

"Kita tidak lagi mendapat apa-apa jawatan dan kita tidak boleh lagi bergantung kepada Umno untuk hidup. 

Jadi tidak perlulah kita bodek Umno sepanjang masa kerana kita tidak mendapat apa-apa daripadanya.

"Selagi kuat Gerakan membodek Umno, lagi dalam kubur yang kita gali untuk kita,"  katanya.

Satu lagi parti yang sedang cepat menuju kuburnya adalah parti tertua di Sarawak, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang kini sudah berusia 64 tahun.

Akibat pertembungan di kalangan pemimpin dan ditolak oleh pengundi muda bandar, parti yang ditubuhkan oleh golongan kiri dan pekerja Cina – terutama di kalangan gerakan komunis bawah tanah – sebelum ini adalah rakan kongsi penting kerajaan BN.

Parti yang menjaga kepentingan masyarakat Cina ini pernah mempunyai 19 daripada 71 kerusi dalam DUN Sarawak, kedua selepas Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Masa depannya kini kabur selepas kalah teruk dalam pilihan raya 2006 dan 2011 dan sekali lagi dalam PRU13.

SUPP bertanding 19 kerusi – semuanya di kawasan Cina dan beberapa kerusi Dayak di pendalaman – namun kalah tujuh dalam dalam pilihan raya 2006.


Kini, SUPP hanya ada enam Adun – meningkat hanya kerana mewakili Cina dalam kerajaan melalui Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Wong Soon Koh (Bawang Assan) dan Penolong Menteri Komunikasi, Datuk Lee Kim Shin (Senadin).

Mereka juga mendapat perhatian kerana empat wakil Dayak  – Ranum Mina (Opar); Penolong Menteri Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil (Bengoh); Penolong Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis (Simanggang); dan Rayong (Engkilili).

SUPP bertambah merudum dalam PRU13 apabila hanya menang satu daripada tujuh kerusi Parlimen yang mereka bertanding iaitu Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot yang berjaya mempertahankan kerusi majoriti Dayak iaitu Serian. Riot juga adalah timbalan presiden parti ini.

SUPP juga kalah kesemua kerusi Cina yang ditandinginya – Stampin, Sarikei dan Lanang kepada DAP dan Miri kepada PKR.

"SUPP sudah mati dan berkubur," adalah pandangan seorang setiausaha politik kepada ketua menteri terhadap parti ini.

"Mereka hilang sokongan pengundi Cina dan pemimpin yang ada tidak mampu menghidupkannya semula," katanya yang enggan dinamakan kerana isu ini terlalu sensitif.

Dia merujuk kepada krisis kepimpinan 2011 yang menyaksikan pemimpin yang menyokong Soon Koh memboikot proses pemilihan yang menyaksikan bekas Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui dipilih sebagai presiden.

Soon Koh memboikot semua usaha rundingan yang cuba dibuat dengan Chin dan hanya menunggu keputusan daripada Pendaftar Pertubuhan terhadap aduannya bahawa pemilihan telah berjalan tidak betul.

"SUPP tidak boleh dipulihkan. Parti ini perlu ditutup dan ahlinya perlu membentuk satu parti baru dengan mengenepikan semua pemimpin yang ditolak oleh rakyat.

"Ia umpama kapal yang rosak teruk di tengah lautan dan sedang tenggelam perlahan-lahan," kata setiausaha politik itu.

Ia bukan lagi mewakili orang Cina tetapi mewakili Dayak sahaja.

Namun Lim Kak Chiang, wartawan dan pemerhati politik veteran berkata, ia boleh mendapat sokongan semula jika berjaya menyelesaikan krisisnya.

"Jika parti ini boleh menjaga kepentingan orang Cina, sebagaimana mereka kata mereka buat, buktikan. Sehingga ini saya hanya melihat sedikit saja," katanya.

Seorang pemimpin muda dari parti komponen BN di Sarawak pula mahu SUPP membuktikan kemampuan untuk menjadi harapan kepada orang muda.

"Buat satu seminar untuk orang muda. Jika mereka berjaya mengumpulkan antara 8,000 hingga 9,000 peserta, maka mereka boleh berjaya melepasi ujian itu," katanya.

"Tetapi saya jangka ia tidak mampu untuk kumpulkan 1,000 orang pun." TMI
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular