Translate

Isnin, 15 Mac 2010

"Hati Saya Luluh" : Azean Irdawaty Tak Sangka Anak Ditahan Kes Edar Dadah.

AZEAN bersama  Benjy yang dilaporkan  ditahan reman  kerana disyaki mengedar  dadah, Khamis lalu. Gambar fail dirakam tahun lalu.
AZEAN bersama Benjy yang dilaporkan ditahan reman kerana disyaki mengedar dadah, Khamis lalu. Gambar fail dirakam tahun lalu.

Pelakon Azean Irdawaty yang cuba menemui anaknya, Khaeryll Benjamin Ibrahim, 31, atau Benjy yang ditahan reman di Balai Polis Bukit Jalil, di sini, sejak Khamis lalu bagi membantu siasatan dalam kes pengedaran dadah, mengakui hatinya luluh selepas mendengar berita penangkapan anak kesayangannya itu.

“Kak Yan (Azean) nak jumpa dia, nak peluk dia, nak cakap walau apa pun terjadi, Ben (Benjy) masih anak mama... mama tetap sayangkan Ben. “Kak Yan bergegas ke balai, tetapi tidak dibenarkan jumpa Benjy. Hari ini pun (semalam) masih tak dapat jumpa dia. Dia orang (polis) tak bagi jumpa, cuma Kak Yan tahu Ben belum dituduh, masih dalam siasatan,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Kata Azean, walau apa pun terjadi, kasihnya terhadap Benjy tidak berkurangan langsung.

Semalam, Azean dilihat bersama peguamnya di balai polis berkenaan kira-kira jam 8 pagi dan beredar dari situ kira-kira 30 minit kemudian. Polis hanya membenarkan peguam dilantik keluarga beliau menemui Benjy. 

Sambil mengakui berita penangkapan Benjy menyebabkannya seolah-olah sudah kehilangan kudrat, dia berusaha mengelak daripada mengalami tekanan perasaan yang keterlaluan. 

“Kak Yan belum boleh tidur...hanya solat dan doa saja minta kekuatan daripada Tuhan menangani keadaan ini. Penyakit Kak Yan (kanser) tidak boleh stres, nanti berulang. 

"Kak Yan harap semua faham kenapa Kak Yan tak dapat nak jawab panggilan telefon. Kak Yan terlalu kacau. Sewaktu terima berita dilanda kanser pun Kak Yan tidak lemah, sebaliknya Kak Yan sentiasa dibekalkan ketenangan oleh Allah.

“Malam tadi (Jumaat) sewaktu terima berita Benjy ditahan kerana dadah, dunia Kak Yan berpusing macam taufan, kaki macam tidak pijak lantai dan jantung rasa macam meletup, tidak percaya, tak tahu apa nak fikir,” katanya.

Beliau juga bingung memikirkan bagaimana anaknya boleh terbabit dengan aktiviti itu.

“Seribu soalan menerpa di kepala...dadah? Kenapa? Macam mana? Sejak bila? Dari siapa? Di mana silap aku sebagai ibu yang sentiasa amat menyayanginya? Apa dan siapa yang mendorongnya dan sampai tahap mana?,” katanya.

Berita penahanan Benjy menyebabkan aktres itu dihujani panggilan wartawan, tetapi Azean memohon maaf kerana tidak mampu menjawab pertanyaan mereka kerana dia terlalu sibuk untuk mengetahui kedudukan anaknya.

“Izinkanlah Kak Yan menenangkan diri untuk mencari kekuatan. Ini kerana Kak Yan perlu kuat sekiranya Benjy lemah. Kak Yan belum tahu apa hikmah di sebalik ujian ini. 

“Tetapi Kak Yan reda dan tawakal, hidup mesti diteruskan. Semoga Allah mengadili Benjy seadanya,” katanya.

Semalam, akhbar melaporkan seorang artis lelaki ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah serta menjadikan kediamannya di sebuah kondominium mewah di Kepong sebagai tempat memproses kokain dan syabu.

Artis berusia 31 tahun itu ditahan bersama rakan wanitanya berusia 23 tahun di tempat letak kereta sebuah kondominium di Segambut, kira-kira jam 2.30 petang Khamis lalu sebelum dibawa ke kediamannya untuk pemeriksaan lanjut.

Mengikut laporan, polis menemui 800 gram kokain bernilai RM650,000 dan 1.4 gram syabu bernilai hampir RM2,000 tersembunyi dalam sebuah bilik di kediaman terbabit.

Polis turut menemui beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah berkenaan. Kedua-dua suspek kini ditahan reman tujuh hari sehingga Khamis depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPKKL), Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata polis sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian berkenaan.

Beliau tidak mahu kes itu diperbesarkan kerana suspek masih dalam tahanan reman sehingga Khamis depan dan dikhuatiri mengganggu siasatan yang dijalankan pihak polis.

“Polis masih menyiasat secara terperinci kerana dikhuatiri ada individu lain terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah ini," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular