Translate

Selasa, 15 November 2011

Dakwat Kekal: PSC Minta Penjelasan AG Esok.


Jawatankuasa pilihan khas Parlimen (PSC) akan bertemu Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail esok berhubung cadangan penggunaan dakwat pada pilihan raya umum ke-13.


Penggunaan dakwat kekal dibatalkan saat-saat akhir pilihan raya umum 2008.
Pengerusinya Datuk Seri Dr Maxmus Ongkili (gambar) berkata Gani telah diminta menghadiri mesyuarat PSC kelima esok kerana anggota jawatankuasa tersebut mahu mendengar penjelasannya mengenai cadangan penggunaan dakwat kekal.


“PSC telah menjemput Peguam Negara untuk memberi pandangan mengenai soal undang-undang berhubung Perlembagaan yang dibangkitkan pada sesi pendengaran awam,” katanya dipetik Bernama Online.


Katanya majoriti anggota PSC percaya cadangan penggunaan dakwat kekal boleh dilaksanakan tetapi mahu penjelasan Peguam Negara berhubung Artikel 119 dalam Perlembagaan Persekutuan.


Sejak seminggu lalu, pelbagai pihak telah memberi pandangan kepada PSC termasuk bekas presiden Majlis Peguam Datuk S. Ambiga dan presiden semasa Lim Chee Wee yang berpendapat Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipinda untuk membolehkan dakwat kekal digunakan ketika pilihan raya di negara ini.


Dalam pada itu, seorang ahli jawatankuasa itu, Datuk Alex Nanta Linggi berkata mereka menyokong cadangan penggunaan dakwat kekal tetapi mahu isu-isu perundangan diselesaikan kerana jawatankuasa itu tidak mahu silap dalam membuat keputusan.


Seorang ahli jawatankuasa, P Kamalanathan berkata pelbagai maklum balas dan input yang dikumpul menunjukkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu dan parti politik menyokong cadangan penggunaan dakwat kekal.


“Mesyuarat esok dengan Peguam Negara adalah untuk mengkaji dari sudut perundangan. Kami tidak mahu terburu-buru untuk memutuskan dan kemudian menghadapi masalah. Kami mahu melihat baik buruknya.
“Kami tidak mahu sesiapa sahaja mengemukakan petisyen di mahkamah bagi membatalkan keputusan pilihan raya hanya semata-mata dakwat kekal,” katanya. Insider

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular