Translate

Rabu, 4 Julai 2012

Sejarah Politik Terengganu. (Bhg 2)


Ibrahim Fikri sendiri diiktiraf sebagai pemimpin yang memperjuangkan kemerdekaan sejak beliau berada didalam PKMM, bukan semasa beliau berada didalam Umno. Pemimpin-pemimpin Umno lama (pada ketika pimpinan Dato' Onn) tidak mempunyai pengaruh dikalangan rakyat kerana mereka terdiri daripada pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang dianggap pro British dan penjilat golongan feudal.

Ibrahim Fikri sendiri tidak terkenal dan tidak popular di kalangan rakyat sekiranya beliau tidak menyertai PKMM dan terlibat dalam gerakan kemerdekaan terlebih dahulu iaitu sebelum undang-undang darurat diisytiharkan. Dalam erti kata lain, Ibrahim Fikri memimpin Umno kerana menumpang tuah pada nama PKMM yang disertainya dulu untuk dikenali sebagai seorang pemimpin yang menentang penjajahan British.

Dalam beberapa pertemuan dengan Hussain Yaakub (Ibnu Muslim) sebelum dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu, beliau memang mengakui hakikat ini dan beliau berbangga dengan penglibatannya didalam PKMM pimpinan Dr Burhanuddin, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dan Ahmad Boestamam. Benarlah apa yang dikatakan bahawa bumi Terengganu juga tidak subur sama seperti Kelantan bagi Umno, Perikatan dan seterusnya BN.

Sebab itulah Umno dan Perikatan kalah dalam pilihan raya umum tahun 1959 walaupun PAS tidak begitu kuat pada zahirnya. Kekalahan Umno/BN dalam pilihan raya ke 10 amat jauh bezanya dengan kekalahan Umno/Perikatan pada pilihan raya tahun 1959. Kemenangan PAS di Terengganu pada PRU10 29 November 1999 memang mudah diramalkan dari awal lagi dan PAS sudah bersedia dari segala segi untuk mengambil alih pentadbiran negeri.

Tetapi, kemenangan PAS pada pilihan raya umum 1959 adalah dalam keadaan PAS masih lemah dan belum bersedia dari segi organisasi untuk menguasai negeri itu sedangkan Umno sudah mempunyai kekuatan jentera dan organisasi kerana mereka mewarisinya daripada penjajahan British. Ustaz Ahmad Azam sendiri, selaku Pesuruhjaya PAS Terengganu tidak begitu yakin PAS dapat mengalahkan Umno pada pilihan raya tahun 1959 itu.

Ini jelas menunjukkan bahawa Umno dari segi politik tidak mendapat sokongan rakyat walaupun pada zahirnya ia kelihatan kuat dan gagah perkasa. Dalam pilihan raya 1959, Umno bukan sahaja mendapat tentangan dari PAS, tetapi juga daripada Parti Negara yang diketuai oleh Wan Daud Wan Ahmad di Terengganu.

Keputusan pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri Terengganu pada tahun 1959 adalah PAS (13 kerusi). Umno (5 kerusi), MCA (2 kerusi) dan Parti Negara (4 kerusi). Dengan kemenangan ini, PAS membentuk kerajaan negeri di bawah pimpinan Daud Samad. Tetapi seorang Adun dari Parti Negara, Ismail Abas menyertai PAS dan dilantik sebagai seorang ahli majlis mesyuarat (Exco) kerajaan Terengganu. Dengan kemasukan Ismail Abas ke dalam PAS, majoriti PAS di DUN Terengganu menjadi 4 kerusi.

Para pemerhati politik dari luar Terengganu sedikitpun tidak terfikir Parti Negara yang hampir tidak wujud di negeri-negeri lain itu boleh memenangi 4 kerusi DUN Terengganu dan satu kerusi parlimen. Yang Dipetua Agung Parti Negara, Dato' Onn Jaafar, mengalahkan calon Perikatan, Engku Mahusein Abdul Kadir di kawasan parlimen Kuala Terengganu Selatan pada pilihan raya umum 1959 itu. Inilah kemenangan yang pertama dan terakhir bagi Parti Negara dan Dato' Onn Jaafar.

Sejarah Parti Negara berakhir apabila 3 Adunnya melompat ke dalam Umno, iaitu Wan Daud Ahmad, Haji Mutalib Salleh dan Mohamad Abdul Rahman. Mereka mengambil bahagian yang cergas dalam usaha hendak menjatuhkan kerajaan PAS Terengganu pimpinan Daud Samad walaupun sebelum itu Adun dari Parti Negara, Ismail Abas menyertai PAS.

BERSAMBUNG.....

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular