Translate

Senarai Blog Saya

Rabu, 27 November 2013

Sahabatku Jefri Chua.....

Jefri Chua

Dr Azman Ibrahim

Saya catatkan di sini antara perkara yang paling menyentuh hati berlaku pada hari Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Stadium Malawati, Shah Alam baru-baru ini dan saya kreditkan tulisan ini kepada sahabat baik saya Saudara Jefri Chua, Timbalan Pengerusi DHPP Terengganu. 

Saya mengenali Jefri Chua sebagai seorang kawan dan sahabat. Selalu apabila ada kesempatan bertemu, kami selalu duduk berbincang, berkongsi pendapat dalam banyak hal, walau tak selalunya pendapat kami selari tetapi beliau mempunyai sikap menghormati pendapat orang lain dan bersedia untuk berbincang.

Di Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini, beliau dengan mesra datang ke tempat duduk perwakilan PAS Setiu, mengambil tempat di sebelah saya dan sambil mengikuti perbahasan dari perwakilan, sebagaimana biasa sikap ramahnya dengan tak pernah surut, beliau berceloteh memberikan pendapat tentang perkara itu ini juga bertanya tentang itu ini... 

Ditunjukkan kepada saya gambar beliau memegang sebuah buku tulisan Datuk Ismail Kamus bertajuk ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ (gambar) yang sedang dibacanya. Saya hanya memberikan komentar ringkas, “buku ini sebuah buku yang baik untuk dibaca, isinya mudah difahami...”

Tanpa diduga, saya terkedu serta mengalirkan air mata, bila beliau bertanya soalan yang tak dijangka, "Apa yang you rasa bila suatu hari nanti saya menjadi seorang Islam?"

Jawab saya, "Sayalah antara manusia yang paling gembira ketika itu dan paling awal mengucapkan tahniah!"

Beliau menyambung lagi, "Sebenarnya saya sedang berfikir ke arah itu, tetapi berikan saya sedikit masa kerana saya juga mempunyai isteri dan anak-anak. Kalau saya seorang diri sahaja, mudah..."

Kata beliau lagi, "kalau dihitung purata umur rakyat Malaysia, saya masih mempunyai masa sekitar 20 tahun lagi untuk membuat kebaikan..." ujarnya penuh bermakna.

Saya mengenali Jefri yang saya panggil Jeff sebagai seorang yang berprinsip, komitmen dalam melakukan kerja, sanggup menongkah arus dalam mengambil tindakan.

Mungkin beliau satu-satunya teman berbangsa Tionghua yang belum Islam tetapi sanggup mop lantai Masjid Pengadang Baru. Selalu mengikuti kuliah pagi Jumaat Tuan Guru Presiden di Masjid Rusila.

Kelibatnya tak sukar untuk ditemui walaupun dalam program-program parti yang berbentuk keislaman.

Peranannya dalam meraih sokongan pengundi Tionghua kepada Pakatan Rakyat dalam PRU13 baru-baru ini tak siapa yang mampu menafikannya. Caranya dan pemikirannya agak kreatif.

Beliau menunjukkan kepada saya gambar beberapa orang perwakilan muktamar yang sedang mendirikan solat di atas lantai di satu sudut Stadium Malawati ketika rehat sesi muktamar.

Saya tanya, “Apa yang Jeff nak buat dengan gambar ini?”

Jawabnya, “Saya nak post dalam fb, nak tunjuk kepada kawan-kawan fb saya yang berbangsa Cina bahawa Islam ini sangat mudah, solatnya boleh didirikan di mana-mana sahaja...”

Sekali lagi mata saya berkaca dengan air mata yang bergenang.

Jeff sahabatku... saya menunggu untuk memeluk tubuhmu sebagai seorang saudara Islam sambil mengucapkan tahniah nanti! Saya berkeyakinan bahawa ianya tersangat hampir!

Harakah
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular