Translate

Rabu, 28 Oktober 2009

Kad Kredit : Isu RM50, Bank Yang Patut Caj.

Syarikat pengeluar kad kredit disaran menanggung caj perkhidmatan sebanyak RM50 yang dikenakan ke atas setiap kad kredit utama bagi tahun pertama untuk meringankan beban hutang yang dihadapi oleh pemilik kad kredit.
Seorang Ahli Parlimen, Alexander Nanta Linggi (BN-Kapit) berkata, cadangan itu dibuat memandangkan kebanyakan pemilik kad kredit terdiri daripada mereka yang kurang berkemampuan dari segi kewangan tetapi mendapat kemudahan itu dengan mudah.
"Biarlah institusi pengeluar kad kredit dikenakan dulu membayar caj RM50 sebab kebanyakan mereka (pemegang kad kredit) berpendapatan rendah dan tidak mampu tetapi mereka guna kad kredit itu untuk pelbagai kegunaan seperti membeli barang-barang keperluan yang lain," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 di Dewan Rakyat di sini semalam.
Dalam pembentangan Bajet 2010 Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan bayaran cukai perkhidmatan sebanyak RM50 setahun ke atas setiap kad kredit utama dan RM25 setahun ke atas setiap kad kredit tambahan yang akan berkuat kuasa mulai awal tahun depan.
Dalam pada itu, kerajaan juga disarankan agar mengenakan syarat pemilikan kad kredit yang lebih ketat bagi mengelak penyalahgunaan kemudahan berkenaan di samping membendung amalan berhutang berlebihan di kalangan rakyat Malaysia.
Loke Siew Fook (DAP-Rasah) berkata, kad kredit pada masa kini mudah dimiliki dan syarikat pengeluar pula menjalankan promosi secara agresif dan besar-besaran di kawasan-kawasan khususnya yang menjadi tumpuan umum.(Blog Pakaiakai)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular