"Jadi dalam soal ini negeri mempunyai bidang kuasa; Jakim tidak boleh masuk campur. Lagi pun di sisi perlembagaan, JAKIM sepatutnya berada di bawah Majlis Raja-Raja, bukan kerajaan persekutuan.
"Tapi malangnya ini tidak berlaku. Semua agensi Islam persekutuan dikuasai oleh Umno/kerajaan," katanya ketika diminta mengulas arahan supaya Jakim menyiasat status agama budak itu yang bapanya dikatakan Islam manakala ibunya pula Kristian.
Semalam, kerajaan mengarahkan bahagian penyelidikan JAKIM menyiasat status agama bapa budak itu - Baginda Minda atau Noor Azman Abdullah.
Bagaimanapun, timbul persoalan sama ada arahan itu bertentangan dengan perjanjian 18 Perkara Sarawak ketika negeri di pulau Borneo itu menyertai Malaysia pada tahun 1963.
Perkara pertama dalam perjanjian itu menyebut tiada bantahan Islam sebagai agama negara, bagaimanapun tiada agama negeri bagi Borneo (Sabah dan Sarawak) dan tiada pengamalan berkaitan dengan Perlembagaan Malaya patut digunapakai di Borneo.
Menjawab soalan Malaysiakini melalui e-mel, Abdul Aziz menjelaskan, apa pun perkara dalam perjanjian itu, meskipun ada hujah moral, tetapi peruntukan dalam perlembagaan persekutuan - perkara 3(3) yang mewajibkan perlembagaan negeri tidak beraja memasukkan Agong sebagai ketua agama - berkata sebaliknya.
Mengulas keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tentang status agama anak, Abdul Aziz yang juga pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarangsa (UIA) berkata, keputusan itu itu tidak mempunyai kuasa undang-undang.
"Ia sekadar pandangan yang boleh diterima atau ditolak oleh negeri-negeri," katanya.
Sementara itu, pihak ibu pejabat Jakim di Putrajaya dan cawangannya di Kuching ketika dihubungi enggan mengulas perkara tersebut buat masa ini. (MK)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan