Translate

Jumaat, 12 November 2010

Sejarah Wajib Lulus : Letak Ancak.... Mufti Perak Kata Zambry Tak Syirik.

Tindakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir meletakkan ancak iaitu menaikkan tiang seri rumah di Kampung Guar, Manong, Kuala Kangsar, bulan lalu tidak melakukan syirik dan khurafat, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Harussani seperti dilapor Berita Harian berkata, Zambry tidak mempunyai niat melakukan perkara itu, malah tidak mengetahui majlis berkenaan yang diatur penduduk boleh membawa kepada unsur syirik.
"Menteri Besar memaklumkan beliau hanya memegang tiang dan menolaknya bersama-sama orang ramai. Tiada jampi mentera, sebaliknya hanya membaca doa selamat.

"Beliau cuma melakukan itu (menaikkan tiang seri) atas permintaan orang ramai, malah dia pun tak tahu ancak dan mengatakan tak ada niat pun. Jika begitu, itu bukan melakukan syirik dan khurafat," kata Harussani, semalam.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PAS Perak, Khalil Idham Lim berkata Harussani sebenarnya belum menjawab apa yang dipersoalkan oleh pemuda PAS Perak, mengenai upucara itu sama ada bercanggah dengan Islam atau tidak.
"Jawapannya juga saya lihat untuk menyelamatkan Zambry. Namun bagaimana mereka yang hadir pada hari itu," katanya kepadaHarakahDaily.

Dewan Pemuda PAS baru-baru ini menghantar memorandum kepada Harussani mendakwa Zambry melanggar ajaran Islam dengan menghadiri upacara meletakkan ancak pada tiang seri rumah.

"Sesudah ini adakah bermakna siapapun boleh hadir dalam apa sahaja yang bercanggah dengan hukum Islam, asalkan tidak mempunyai niat melakukan perkara itu?," soalnya.

Khalil yang juga ADUN Titi Serong berkata, apa yang aneh apabila Zambry beria-ia mempertahankan tindakannya dengan mengungkit perbuatan beliau dan Datuk Seri Muhammad Nizar yang memegang lilin pada sidang akhbar berkaitan kematian Teoh Beng Hock.
"Saya menafikan dengan keras bahawa kami melakukan upucara sembahyang. Seingat saya ia sebagai tanda protes kepada kezaliman sehingga menyebabkan kematian seorang warganegara Malaysia yang sepatutnya tidak berlaku.

"Namun dalam soal ini Harussani ternyata tidak adil dengan berpandukan kepada gambar semata-mata dan soalan yang dikemukan oleh wartawan dia terus mengatakan tindakan kami itu haram," katanya lagi.

Harussani sebelum ini berkata tindakan memegang lilin oleh masyarakat Islam sebagai tanda memprotes dan mengingati orang mati adalah satu perbuatan haram di sisi agama.
Perbuatan itu juga ujarnya menyalahi hukum Islam kerana seolah-olah menggambarkan ajaran kristian.

"Kalau begitulah kenapakah tindakan Zambry tidak dikatakan oleh Harusssani adalah menggambarkan ajaran agama Hindu dan juga hukumnya haram.

"Sebenarnya memegang lilin dalam masyarakat Cina tidak sekadar merujuk kepada pemujaan, atau berkabung.

"Sebaliknya, dalam masyarakat Cina, memegang lilin tidak sekadar dilakukan di kala berlaku kematian, bahkan ia digunakan sebagai satu simbol dalam melakukan sesuatu protes," katanya.

Sehubungan itu, disebabkan perbuatan Zambry yang dakwanya serius dan menyangkut akidah umat Islam, beliau turut mencadangkan agar Jawatankuasa Fatwa mengeluarkan fatwa.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular