Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi bahawa Pakatan Rakyat terus komited untuk
mempertahankan prinsip keluhuran hidup yang diperuntukkan oleh Perlembagaan
sambil menegaskan, Umno dan medianya mencuba menggugat keamanan antara penganut
pelbagai agama.
“Mutakhir ini, ada pimpinan Umno dan media yang dimilikinya mencuba menggugat
keamanan antara penganut agama di Malaysia dengan retorika perkauman sempit yang
tajam, dangkal dan tidak berasaskan prinsip keadilan sebagaimana dianjurkan
Islam.
“Upaya mereka semata-mata mahu menakut-menakutkan umat Islam serta
menimbulkan prasangka antara kita,” kata Ketua Umum Pakatan Rakyat
ini.
Sehubungan itu tegas beliau, pihaknya juga kesal dengan retorika dan
propaganda pimpinan Umno dan media yang dimilikinya hanya membantutkan usaha
kenal-mengenali masyarkat yang berbeza kepercayaan dan budaya.
“Dengan nada yang sama, maka kami juga ingin menyanggah kecenderungan
sebahagian yang menyarankan faham melampau di kalangan penganut agama mereka
tanpa menghiraukan sensitiviti umat Islam di negara ini.
“Maka, kepada wakil-wakil badan Islam serta agama Buddha, Kristian, Hindu dan
lainnya, kami ingin mengulangi komitmen mempertahankan prinsip keluhuran hidup
beragama yang termaktub dalam Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau
dalam satu kenyataan dikeluarkan malam tadi.
Malam tadi, PKR dengan diketuai Anwar telah
mengadakan pertemuan dengan kepimpinan majlis agama yang diketuai Rev Dr Thomas
Phillips.
Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, pihaknya menyedari agama Islam
mempunyai kedudukan unik di negara ini dan rantau Asia Tenggara.
“Peranan mubaligh yang menerapkan pesan Islam secara aman dan berperingkat
telah berupaya membentuk ‘weltanschauung’ umat Islam yang terbuka dan toleran
terhadap kemajmukan budaya.
“Islam juga telah berperanan merungkai minda umat Melayu yang sebelumnya
berasaskan mitos serta tahyul kepada pemikiran rasional yang sejajar pula dengan
pesan-pesan al-Quran,” katanya lagi.
Ketua Pembangkang itu menambah, Islam merupakan agama yang menjunjung prinsip
keadilan, cintakan keamanan, menghormati hak penganutnya dan juga hak penganut
agama lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka.
“Prinsip utama syariah yang dikenali sebagai maqasid syariah merumuskan
bahawa adalah satu keutamaan untuk melindungi agama, nyawa, keturunan, aqal,
harta dan maruah,” katanya.
Oleh itu kata beliau, berteraskan kefahaman Islam yang tepat, penghayatan
agama yang tuntas oleh umat Islam perlu untuk memastikan cara hidup yang
berintegriti.
“Umat Islam yang mahu memenuhi maksud ihsan dan keadilan sebagaimana yang
sering dianjurkan pastinya menolak penindasan, rasuah serta segala bentuk
penyelewengan.
“Oleh itu tidak hairanlah ramai dari kalangan umat Islam kesal dengan sikap
pimpinan Umno serta media kongkongannya yang tidak konsisten dalam penghayatan
agamanya,” katanya sambil menambah, “apatah lagi rasuah dan penyelewengan kuasa
masih berleluasa.”
Insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan