Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu belajar dengan ulama
atau bertanya mufti sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai PAS kononnya ia
sudah menggadai prinsip Islam, kata timbalan presiden baru Mohamad Sabu.
Sehubungan itu tegas beluau, dakwaan Muhyiddin yang mengatakan PAS sudah
mengorbankan prinsip Islam kerana kepentingan politik adalah tidak berasas sama
sekali.
“Muhyiddin perlu belajar dengan ulama atau berbincang dengan mufti sebelum
mengeluarkan apa-apa kenyataan.
“Dia tak boleh kata kita begitu kerana kepimpinan kita adalah ulama yang
berwibawa yang merujuk kepada al-Quran dan Hadis,” katanya ketika diminta
mengulas kenyataan Muhyiddin (gambar) semalam bahawa PAS sudah
mengorbankan prinsip-prinsip Islam demi kepentingan politik sedangkan parti itu
sepatutnya menggunakan muktamar kali ini untuk mencari kebenaran di sebalik isu
video seks didakwa membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Muktamar Tahunan PAS Ke-57 yang berakhir semalam ada meluluskan usul, yang
dibawa Dewan Ulama, mengecam tindakan penayangan video seks itu dan dianggap
sebagai satu fitnah.
“Jadi saya nak tegaskan di sini bahawa berbincang dengan ulama terlebih
dahulu sebelum bagi pandangan.
“Perkara itu membabitkan zina dan kita tidak boleh beri pandangan sendiri,”
kata Mohamad ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, apa yang diucapkan
oleh Muhyiddin adalah mereka yang tidak tahu akan prinsip dan keadilan dalam
Islam.
“Dia (Muhyiddin) tak tahu prinsip keadilan Islam. Prinsip Islam ialah tidak
dibenar mengaibkan orang lain. Itu prinsip Islam kita.
“Tuduhan terhadap (Datuk Seri) Anwar merupakan tuduhan yang melibatkan
maruah,” kata beliau yang mempertahankan kerusinya buat penggal kedua.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menambah, seseorang Muslim juga tidak
dibenarkan menghukum mana-mana pihak sesuka hati kerana dalam Islam tidak
mengajar agar umatnya mengaibkan orang lain.
Seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang dihubungi The
Malaysia Insider hanya ketawa apabila diajukan soalan mengenai kenyataan
timbalan perdana menteri itu.
Katanya, Muhyiddin dan pemimpin Umno kini dilihat sudah mulai gelabah dan ia
menunjukkan petanda kejayaan muktamar kali ini.
“Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin Umno dilihat semakin menggelabah. Nampaknya
muktamar kali ini berjaya membuatkan mereka kucar-kacir.
“Nasihat saya kepada Muhyiddin ialah lebih baik dia banyak belajar dari ulama
jika nak bercakap mengenai soal zina dan qazaf,” katanya.
Ahli Parlimen Pokok Sena ini juga memberitahu, jangan disebabkan politik,
asas agama tergadai.
“Apa yang dicakap Muhyiddin tidak langsung bersandarkan prinsip pada agama.
Beliau patut rujuk pada ulama.
“Sama ada PAS mengetepikan Islam atau tidak, itu tidak muncul. Umno sedang
dalam kegelabahan kerana perkara yang mereka cetuskan, masyarakat menolaknya,”
katanya
1 ulasan:
nak khatan camno lai, gigi susu tak tumbuh lai, cakap pun mulut tak sugi , berkarat mulutnya..tu la pasai
Catat Ulasan