Translate

Sabtu, 31 Disember 2011

Travelogue Kemazhaban Budak London


“Saya hilang keyakinan terhadap Abu Hurairah sebagai perawi hadith” kata Shah.
Saya terdiam.
Nash gelisah.
“Anta baca buku Tijani?” saya bertanya.
“Buku yang mana satu?” Shah menyoal kembali.
Pelajar Tahun 1 Imperial College itu sendiri berkerut dahinya. Gelisah dengan apa yang beliau sendiri percaya. Ragu barangkali.
“Buku Thummahtadaitu. Naskhah terjemahan UIAM dengan tajuk Akhirnya Kutemui Kebenaran tu” saya menjawab.
“Ya” jawab Shah. Perlahan.
“Apa buku yang anta pernah baca tentang Abu Hurairah?” saya menyambung pertanyaan lagi.
“Tak ada” jawabnya.
“Anta rasa adilkah anta meragui Abu Hurairah akibat kenyataan yang datang daripada musuhnya, sebelum anta mengenali Abu Hurairah itu siapa, berdasarkan keterangan insan-insan yang menggauli dan lebih dekat dengannya?” saya menyambung soalan.
Soal fakta satu bab.
Namun yang lebih perlu dijelaskan ialah kaedah mencari fakta. Usul ilmu itu sendiri.
“Letihlah ustaz. Banyak nak kena baca. Tapi buku Tsummahtadaitu tu sedap dibaca” Shah mengeluh.
“Anta pernah dengar tentang novel Émile, or On Education oleh Jean-Jacques Rousseau?” saya bertanya.
“Tidak” katanya.
“Novel itu mencetuskan fenomena dalam sejarah Eropah Moden. Ia adalah contoh bagaimana fakta disampaikan melalui sastera. Melalui bahasa Romanticism. Bukan sahaja faktanya diterima, malah ia menyuntik fikiran kepada orang Eropah ketika itu bahawa hidup bukan berasaskan kepada logik semata-mata. Unsur emosi juga boleh memandu manusia untuk membuat penilaian dan pertimbangan dalam kehidupan” saya sekadar berkongsi apa yang saya tahu.
“Maksud ustaz, Thummahtadaitu melakukan benda yang sama ke atas diri saya? Bermain dengan emosi saya?” soal Shah.
“Ya, mencapai akal melalui jendela emosi” saya membuat rumusan.
Buku Akhirnya Kutemui Kebenaran oleh Mohammed Al-Tijani Al-Samawi sangat popular di Malaysia. Ia hanyalah salah sebuah buku yang menyampaikan idea-idea Syiah yang terdapat di perpustakaan, namun amat popular di Malaysia, terutamanya selepas naskhah terhad terjemahan oleh UIAM tersebar dan berpindah daripada satu tangan mahasiswa ke tangan mahasiswa yang lain.
Kekuatan buku pengarang Tunisia bernama Muhammad al-Tijani al-Samawi  ini ialah penyampaian fakta melalui teknik penceritaan. Kisah pengembaraan beliau bersama Mun’im, seorang pelajar Iraq yang ditemuinya di Mesir, telah membawa beliau ke bandar-bandar utama Syiah, menemukan beliau dengan ramai tokoh besar Syiah seperti Ayatullah Abul-Qassim Khoei (al-Khu’i), Sayyid Muhammad Baqir al-Sadr dan Tabatabaei. Penyampaian fakta  melalui soal jawab sangat pantas menggerakkan diri pembaca untuk menyerap apa yang disampaikan.
Perjalanan hidup beliau membawa corak yang sama berlaku kepada ramai di kalangan anak muda kita yang mencari agama.
Seorang yang datang daripada masyarakat tradisional yang kuat pengaruh Sufi, teruja dengan perbahasan-perbahasan berasaskan dalil semasa mengerjakan Haji di Arab Saudi lalu menjadi ‘Salafi’. Menyanggah pelbagai amalan dan pendapat yang melata di dalam masyarakatnya. Tetapi kemudiannya ‘luka-luka’ yang dicetuskan membekas hingga penemuannya dengan rakan bernama Mun’im semasa berada di Mesir, telah membawa beliau meninggalkan satu tebing, pergi ke tebing yang paling jauh di sudut sana.
Idea-idea tentang Abu Hurairah pengampu Bani Umayyah, secara selektif meriwayatkan maklumat tentang kredibiliti Abu Bakr radhiyallahu ‘anhu, terjebak di dalam kronisme di era sahabat menggegarkan tiang berilmu dalam beragama setiap yang membaca Akhirnya Kutemui Kebenaran. Masakan tidak, sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadith daripada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam ini digambarkan sebagai seorang pendusta, tenggelam dalam hawa nafsu, yang kesemuanya disampaikan dalam pengolahan Travelogue al-Tijani ini.
Tanpa maklumat yang benar tentang siapakah Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, apakah rasionalnya sahabat yang lewat memeluk Islam dan meluangkan masa sedikit bersama Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam ini boleh meriwayatkan begitu banyak hadith, berdasarkan keterangan-keterangan Sunni yang bukan sahaja Sunni malah boleh diuji keabsahannya secara empirikal seperti yang terkandung di dalam Siyaar A’laam al-Nubalaa’ oleh al-Imam al-Dzahabi, pembaca Thummahtadaitu meletakkan dirinya dalam kondisi yang berbahaya. Mental yang penat, emosi yang terangsang, seorang anak muda boleh lemas bukan dalam keyakinannya terhadap kebenaran ajaran Syiah, tetapi cukup dengan lemas dalam lautan keraguannya yang timbul daripada pembacaan itu.
PROPAGANDA SYIAH DI LONDON
Entah bagaimana, di tahun 1998, pergerakan Syiah begitu memuncak di United Kingdom.
Pelajar Malaysia yang gila clubbing itu sudah satu bab. Kini mereka yang mahu kepada Islam pula berdepan dengan ancaman. Ada rakan yang melompat daripada ‘orang Tarbiah’ gerakan Islam, kepada anti Sahabat, Syiah, dan akhirnya Nikah Mut’ah!
Risalah Cahaya Kebenaran yang diterbitkan oleh sekumpulan orang Melayu yang Syiah di sekitar London disebarkan secara percuma ke rumah-rumah pelajar Malaysia.
London yang pening dengan Muslim College di Ealing bersama idea-idea ‘Islam Progresif’nya ketika itu, bertambah pening dengan Islamic College for Advanced Studies (ICAS) yang menjadi tempat mewacanakan Syiah di dalam kelompok akademik.
Tanpa asas agama yang kukuh, anak-anak muda yang bersemangat mendalami Islam, terkapai-kapai mencari model kepada sebuah idea tentang masyarakat Islam dan Negara Islam, kecewa dengan paradigma kelompok Sunni yang bergelumang dengan krisis, mendatangi Syiah untuk memenuhi inspirasi.
Dan buku Thummahtadaitu menjadi senjata yang cukup berkesan ketika itu.
PERJUANGAN DI LONDON
“Sebab itulah ana bermati-matian mendesak ustaz agar datang ke London. Jangan tinggalkan kami. Ancaman Syiah di kalangan kami bukan isu kecil” kata Nash yang diam semenjak tadi.
“Bukankah di UK ini ramai ustaz-ustaz yang buat Masters dan PhD?” saya bertanya.
“Apa yang boleh diharapkan daripada mereka kalau aduan kita dipandang remeh. Mereka menganggap ancaman Syiah di kalangan pelajar Malaysia dibesar-besarkan lebih daripada yang sebenarnya” keluh Nash.
“Dan saya salah seorang mangsanya!” sampuk Shah yang masih gelisah.
“Ana tidak sentiasa ada di sisi kalian. Ilmu pun tidak banyak mana. Cuma, antum sebagai pelajar Sains, antum sudah ada logik yang betul dalam mencari kebenaran. Setiap kenyataan memerlukan pembuktian. Bukti datang melalui penelitian terhadap rujukan. Di situlah kerja keras yang antum perlu lakukan” saya berkongsi pendapat.
“Bila masa nak membuatnya?” Shah bertanya. Lebih kepada diri sendiri.
“Habis, anta ingat ana mengaji Syariah dalam kursus intensif seminggu ke? Perjalanannya memang panjang. No pain, no gain!” saya bergurau.
Resah saya memikirkan pelbagai cabaran yang berada di hadapan mata mereka. Belajar Bible sebelum mahir al-Quran, Belajar Syiah sebelum mahir Sunni. Belajar Khilafiyyat sebelum mahir Fiqh, malah belajar mencabut skru-skru agama sebelum mahir beragama.
BERSEDERHANA
“Satu sahaja yang ana pesankan. Apa-apa pun, hatta pada menjadi Sunni sekali pun, hatta Salafi macam Nash ni pun, atau Sufi mahu pun Syiah, hendaklah bersederhana. Semasa jadi Salafi jangan asyik bid’ahkan semua orang. Nanti kita tersentak dengan pelbagai kemusnahan yang kita lakukan, pada masa itulah guilty conscious boleh mengheret kita mencari ‘alternatif’. Sangat ramai Salafi tegar, kemudiannya melompat ke daerah yang dahulu diperanginya. Al-Tijani adalah salah seorangnya! Bukankah salah satu rukun istiqamah ialah ‘jangan melampau’?” saya bercerita.
Memetik kembali tazkirah tafsir Surah Hud yang disampaikan tidak lama dulu. Bahawa beragama, perlu tenang dalam rasional. Jangan emosional mengatasi kewarasan berfikir. Itu yang membalut sikap melampau berkenaan.
“Ini buku apa, ustaz?” tanya Nash kepada sebuah buku di tangan saya.
“Oh, ini buku Khalid al-’Asqalani. Jawapan kepada buku Akhirnya Kutemui Kebenaran oleh al-Tijani itu!” saya menjawab.
“Apa tajuknya?” Shah ingin tahu.
Bal Dhalalta. Bahkan Engkau Sesat!” saya menjawab.
Secara spontan, kami ‘terketawa’. Ada kelucuan di sebalik tajuk buku itu.
London oh London.
Ia lebih daripada sekadar tempatku membasuh pinggan!
Kredit : SaifulIslam

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular