Translate

Khamis, 4 November 2010

Dun Galas: Galas Kuat Bau 'Pitih'.

Deria bau bagi sesiapa yang menjejakkan kaki buat pertama kali ke Gua Musang pasti terangsang. Itulah salah satu ciri unik yang diperhatikan dalam kawasan pilihan raya kecil DUN Galas kali ini. Ciri ini mudah dikesan di segenap ceruk kawasan ini, termasuk di Bandar Gua Musang sendiri.

Bagi seseorang yang tidak pernah menghidu bau seperti getah skrap, bau yang tidak begitu menyenangkan itu mungkin menyebabkannya tersentak apabila disebarkan oleh lori dan trak pikap yang lalu lalang di sini.

Realitinya, bau seperti itulah yang dianggap sebagai bau 'pitih' (wang dalam loghat tempatan) bagi golongan pengusaha ladang dan penoreh getah di sini.

Golongan petani ini membentuk sebahagian besar daripada pengundiMelayu di sini dan taruhan bagi undi mereka ialah isu tanah.

Umno dilihat giat membangkitkan isu ini pada peringkat awal, namun di akhir tempoh 10 hari berkempen, PAS nampaknya turut mara dengan isu-isu tanah.

Isu tanah


Dalam satu majlis pada Isnin, menteri besarnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertindak menyerahkan Sijil Penempatan Berkelompok kepada seramai 75 orang penduduk di kawasan Orang Asli di Pos Sandrop, dalam jajahan kecil Lojing.
Bagaimanapun, bagi BN, sijil berkenaan bukanlah sesuatu yang baru namun hanya satu kesinambungan kepada usaha yang dijalankan parti itu sebelum ini.

"Rumah itu memang kita sudah buat, bukan kerajaan negeri yang buat," kata ADUN Nenggiri Mat Yusoff Abd Ghani ketika dihubungi Malaysiakini.

Katanya rumah contoh untuk masyarakat Orang Asli di situ telahpun dibina oleh BN di atas tapak yang sememangnya disediakan.

"(PAS) cuma bagi surat saja," katanya lagi yang berpendapat bahawa BN masih mendahului PAS dalam mengutarakan isu berkaitan tanah.

PAS juga mendakwa, masih terdapat "senjata sulit" dalam soal tanah untuk memenangi pilihan raya ini.

'Senjata sulit' PAS


Pengarah pilihan raya PAS Kelantan Abdul Fatah Haron berkata, senjata tersebut merupakan ketetapan untuk meletakkan semua kawasan Orang Asli di dalam satu kawasan rizab, seperti yang dituntut oleh masyarakat itu.
Bercakap dalam satu sidang media lewat petang semalam, katanya, perkara itu juga menjadi "satu perjanjian" antara masyarakat Orang Asli dengan PAS.

Golongan berkenaan membentuk 17 peratus daripada keseluruhan 11,553 orang pengundi yang disebut-sebut sebagai 'kingmaker' dalam pilihan raya kecil kali ini.

Pengundi Cina juga disebut sebagai penentu pilihan raya ini, berdasarkan kejayaannya memenangi semua peti undi di kawasan bandar dengan majoriti bukan Melayu, termasuk Bandar Baru, Bandar Lama dan Kampung Baru.
Namun, di peringkat kedua kempen, penasihat pilihan raya PAS Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullahberkata keadaan itu telahpun berubah.

Undi masyarakat Cina dijangka turun berbanding sokongan sebanyak 54 peratus pada pilihan raya umum lalu, katanya.

Melayu penentu sebenar?

PAS juga hanya meletakkan sasaran untuk mengekalkan 33 peratus undi daripada masyarakat Orang Asli dan secara keseluruhannya, hanya 48 peratus undi.
Dalam keadaan ini, parti itu perlu berusaha keras bagi memastikan peratusan keluar mengundi yang besar, malah melebihi jumlah 81 peratus yang dicatat dalam pilihan raya umum lalu.

"Pengundi Cina pun ada tapi masih 60 peratus (pengundi Melayu) yang akan tentukan kemenangan," katanya," katanya lagi.

Beliau mengambil contoh kawasan Kampung Baru yang mempunyai hampir seribu pengundi Melayu daripada lebih 2,000 pengundi di daerah mengundi itu.

PAS sebelum ini berjaya memenangi semua peti undi di kawasan bandar dengan majoriti bukan Melayu termasuk di Bandar Baru, Bandar Lama dan Kampung Baru.
Di kawasan pengundi Melayu, PAS bagaimanapun hanya mendapat sokongan majoriti di Batu Papan dan Sungai Terah.

"Kita hanya dapat sikit saja undi di Batu Papan (pada 2008). Tapi kali ini kita berharap sokongan akan meningkat khususnya di Tanah Putih." kata naib yang dipertua PAS Gua Musang Husin Embong.

PAS mengharapkan undi simpati daripada kalangan pengundi di situ yang banyak menerima bantuan kebajikan daripada PAS, termasuk menerima rumah PPRT.

"Satu lagi kawasan seperti Kampung Lembaga di Sungai Terah boleh dikatakan kubu kuat kita. Kita lihat Umno sendiri beri tumpuan di Sungai Terah untuk pecahkan kubu kita," katanya lagi.
Kawasan Sungai Terah merupakan antara kawasan utama ceramah perdana Pakatan Rakyat pada hari ketiga kempen, 28 Oktober lalu.

Bagaimanapun, isu yang dibawa oleh dua pemimpin utama Pakatan – Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng itu dilihat tidak banyak memberi kesan kepada pengundi di sini.

Menurut seorang pemerhati, sentimen pengundi di sini tidak lut dengan isu nasional seperti pembinaan Menara Warisan 100 tingkat, mahupun dengan isu lesen perjudian. Soal utama di hulu Kelantan ini tetap merupakan isu tanah.

Keesokan harinya, pagi-pagi lagi Tengku Razaleigh bersama calon BN Abdul Aziz Yusof turun ke tempat ceramah yang sama tapi dengan program yang berbeza – pertandingan futsal 1Malaysia.

Fokus setempat
Pada malam Isnin pula, PAS dilihat mula menukar rentak serangannya. Parti itu membariskan beberapa tokoh untuk mengupas isu-isu tanah setempat mengikut kawasan sasaran.

Di satu pentas PAS di Kampung Panggung Lalat itu, antara yang kerap diulang-ulang dalam ceramah di termasuk oleh exco kanan Datuk Husam Musa ialah "kerajaan negeri tidak rampas tanah."

Turut hadir di pentas tersebut ialah pengerusi biro tanah dan pembangunan wilayah PAS pusat Mazlan Aliman serta bekas ketua jajahan Gua Musang Abdullah Mat Yusof.
Isu tanah Felcra seluas 1,400 ekar itu bukanlah satu perkara baru memandangkan ianya berlarutan sejak 20 tahun lalu. Ia kembali menjadi isu dalam pilihan raya 2008 apabila dibangkitkan oleh Tengku Razaleigh sejak awal tahun lagi.

Sokongan masyarakat dalam daerah mengundi Batu Papan itu bagaimanapun tetap memihak kepada PAS pada Mac 2008 walaupun dengan majoriti tipis di ketiga-tiga saluran.

PAS sebelum ini memasuki gelanggang Galas dengan keyakinan bahawa pengaruh ahli parlimen kawasan ini Tengku Razaleigh Hamzah telahpun semakin pudar di kalangan golongan peniaga, pekerja dan juga Orang Asli.
Di peringkat akhir kempen ini pula, PAS mendakwa telahmenghidu bau sogokan dalam bentuk 'pitih' , yang dikatakan berpunca daripada putera Kelantan itu.

Dakwaan ini timbul dalam keadaan sentimen pengundi yang dilihat masih 'cair'. Kajian oleh Ilham Centre yang diterbitkan semalam menyebut, peratusan pengundi atas pagar di Galas masih tinggi dengan kadar 54.1 peratus.

Sekuat mana bau itu akan berlegar di peringkat terakhir kempen ini masih belum dapat dipastikan namun BN dijangka tidak akan berdiam diri sahaja dengan dakwaan seperti itu.
PAS dijangka akan menjadi sasaran kerana tanpa berselindung lagi parti itu mengumumkan untuk memberikan bayaran sehingga RM250 kepada pengundi yang berada di luar.

Bagi PAS, ini merupakan amalan biasa dan BN juga didakwa mengamalkan perkara yang sama.

Malaysiakini

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular