Translate

Isnin, 15 November 2010

Zaman Kegelapan Islam Dan Ketibaan Era Kebangkitan Islam. (Bhg.13)


Pada bulan Oktober 1993, satu siri serangan besar-besaran telah dilakukan ke atas Masjid Hazratbal di Srinagar yang merupakan ibu kota Kashmir. Pihak berkuasa India telah mengepung masjid tersebut selama lebih kurang sebulan kerana mendakwa ia menjadi sarang latihan militari umat Islam. Lebih dari 100 orang telah dibunuh ketika itu. 300 orang yang tidak bersalah pula telah ditahan. Bekalan elektrik dan air ke bandar tersebut telah dipotong.
 
Sebagai tambahan kepada penganiayaan yang dilakukan oleh kerajaan India di Kashmir, masalah pelarian yang serius turut berlaku. Di bawah ini, anda dapat membaca luahan Sefer Turan, seorang wartawan televisyen Turki, Kanal 7, berkenaan nasib para pelarian yang terdapat di dalam kem yang sedang dibincangkan ini. Ia sudah cukup untuk memberikan kesedaran kepada kita tentang apa yang berlaku:

Kem pelarian Ambor telah ditubuhkan pada 1990 untuk penduduk Kashmir yang melarikan diri dari Jammu Kashmir. Taraf hidup adalah sangat rendah dari kebiasaan. Para pelarian ditempatkan di dalam rumah-rumah sempit yang berlumpur. Di dalam sebuah rumah satu bilik yang kami masuk, terdapat sebuah katil. Apabila saya bertanya berapa ramai orang yang tinggal di situ, saya diberitahu, "Sembilan." Kem tersebut mengandungi 214 buah keluarga ataupun 1,110 orang individu. Sudah cukup dengan hanya memasuki sebuah pondok berlumpur untuk melihat betapa rendahnya taraf hidup mereka. Pondok tersebut secara umumnya mengandungi dua buah bilik. Terdapat beberapa periuk dan kuali yang tidak boleh digunakan. Juga terdapat satu atau dua katil yang sebenarnya tidak kelihatan seperti katil. Seorang ibu duduk di satu penjuru sambil memangku bayinya. Sumber api bumi digunakan untuk memasak, yang mana beberapa dahan yang dicari oleh mereka dibakar. Tiada apa-apa yanag boleh dimakan sama sekali di situ! Saya berasa segan untuk membuka tudung kuali untuk melihat apa yang ada di dalamnya. Di dalam setiap khemah, tiada apa-apa yang dapat dimakan dan tiada ruang untuk tidur. Sehelai kain kecil yang agak lusuh terdapat di tengah lantai salah satu dari khemah-khemah yang ada di situ. Mungkin ia digunakan sebagai bantal. Apabila saya bertanya berapa ramaikah penghuni khemah tersebut, saya diberitahu 11 orang. Di luar, sebuah periuk sedang mendidih...19

Selepas 1980, penguasa-penguasa Hindu yang anti-Islam di India menjadi lebih kuat dan telah melakukan serangan-serangan yang besar ke atas umat Islam. Kumpulan-kumpulan ini mahu memadamkan segala kesan-kesan Islam di India dan telah menjalankan polisi-polisi asimilasi paksaan, termasuklah pembunuhan. Di samping itu, pendidikan Islam, membaca al-Quran, dan bersolat di dalam penjara diharamkan sama sekali. Nama-nama perkampungan Islam juga telah ditukar kepada nama Hindu. Sentimen keagamaan umat Islam meningkat dari sehari ke sehari. Acara membakar Al-Quran yang ditunjukkan dalam gambar di atas adalah satu contoh permusuhan askar-askar India terhadap Islam.

Contoh yang diberikan di atas hanyalah satu daripada drama-drama pelarian yang berlaku di seluruh dunia. Kehidupan jutaan pelarian di Palestin, penderitaan hampir sejuta pelarian umat Islam sewaktu Perang Kosovo, dan beratus-ribu lagi pelarian Chechen adalah lebih memilukan.
Kira-kira 90 peratus daripada populasi Kashmir adalah umat Islam. Sejumlah 700,000 askar-askar India ditugaskan menentang mereka yang seramai 4 juta orang. Pada tahun 1990-99 sahaja, jumlah wanita, kanak-kanak dan askar yang dibunuh dalam serangan oleh India melebihi 65,000. Secara purata, 20 orang umat Islam dibunuh setiap hari, wanita dirogol secara berkumpulan, masjid-masjid dan hospital-hospital dibom. Sekolah pula dibakar.

Di dalam semua situasi tersebut, ada hikmah yang mesti difahami bagi mereka yang memiliki berkesedaran. Terdapat hikmah bagi setiap peristiwa yang berlaku di dunia ini, yang mana ia merupakan satu ujian kepada umat manusia. Pengajaran yang mesti difahami oleh mereka yang beriman tentang pengalaman tersebut ialah kepentingan untuk memberikan penjelasan tentang kewujudan Allah dan menyebarkan ajaran al-Quran ke seluruh dunia. Apa yang perlu dilakukan oleh mereka ialah memenuhi tanggungjawab untuk memerangi segala fahaman yang cenderung untuk menafikan kewujudan Allah Yang Maha Esa, dan mencegah kemungkaran serta mengajak manusia untuk melakukan kebaikan. Dengan cara ini, manusia yang berkesedaran dan benar-benar takutkan Allah akan muncul, dan segala kezaliman akan dihapuskan. Mereka yang menindas orang lain akan bertanggungjawab ke atas perkara yang dilakukannya itu, baik di dunia mahupun di akhirat. Allah telah menjelaskan kebenaran ini di dalam ayat-ayat yang berikut: 
Sesungguhnya orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya pasti akan mendapat kehinaan sebagaimana orang-orang sebelum mereka telah mendapat kehinaan. Sesungguhnya Kami telah menurunkan bukti-bukti yang jelas. Dan bagi orang-orang kafir ada seksa yang hina. Pada hari Allah membangkitkan mereka semua, lalu Dia memberitahu mereka segala apa yang telah dikerjakan. Allah mengumpulkan (mencatatkan) amal perbuatan itu, padahal mereka telah melupakannya. Dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu. (Al-Mujaadilah, 58: 5-6)
Bersambung.......

Harun Yahya

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular