Siapa sangka
seorang peserta yang digambarkan ganas dan didakwa membawa pisau dalam
perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu merupakan seorang tukang kasut
yang berperwatakan amat lemah lembut.
Berbeza dengan gambaran 'perusuh' yang dipotretkan - bertubuh sasa,
berseluar celoreng ala tentera dan mengharungi gas pemedih ketika orang
lain bertempiaran lari - Abdul Razak Endut hanyalah lelaki biasa yang
merendah diri.
Tidak hairan, peguamnya Ahmad Nizam sendiri mengakui tersentuh dengan perwatakan lelaki 32 tahun kelahiran Temerloh, Pahang itu.
"Beliau ini lain. Bukanlah asyik melepak macam anak muda lain. Ini
agak jarang ditemui sekarang ini," katanya yang kebetulan sudah lama
mengenali Abdul Razak.
Tukang kasut di sudut kecil depan kedai pakaian lama atau bundle
milik abangnya berdekatan stesen bas Temerloh itu antara beberapa 'watak
kecil' yang menjadi perhatian selepas aksi mereka dipotret lensa kamera
pada perhimpunan BERSIH 2.0.
Bagaimanapun, berbeza dengan individu lain yang cuba diangkat sebagai
wira, nasib sebaliknya menimpa Abdul Razak apabila beliau didakwa
digambarkan secara negatif oleh media arus perdana.
Saya sayang kawan-kawan
Berita Minggu (edisi Ahad Berita Harian ) sehari selepas perhimpunan
BERSIH menyiarkan gambar Abdul Razak di muka depan dengan tajuk:
"Seorang perusuh membawa pisau dalam perhimpunan haram".
Tajuk kecilnya pula berbunyi: "Perusuh guna senjata, batu, lawan
polis". Gambar yang sama juga dimuatkan di halaman utama New Sunday
Times (edisi Ahad New Straits Times ) dengan tajuk: "Peaceful (Aman)?".
Dianggap sosok 'misteri' sebelumnya, Abdul Razak bagaimanapun pada 17
Julai tampil pertama kali di pentas ceramah PAS di Kuala Lumpur
menafikan dakwaan itu, sebaliknya mendakwa beliau hanya memegang
sebatang bendera Malaysia kecil.
Sementara itu, mungkin ramai yang hairan bagaimana Abdul Razak mampu
bertahan mengharungi kepulan asap daripada gas pemedih mata yang tebal.
"Saya juga sesak nafas juga, abang. Tetapi dah saya ditugaskan clear tempat itu.
"Bila gas dilepaskan, saya tengok belakang saya semua orang tua-tua semua. Takkan saya hendak lari," kata aktivis muda PAS itu.
"Saya sayang kawan-kawan saya," katanya sambil mengakui sudah
beberapa kali memegang kanister dan melontarkan ke kawasan lapang dalam
beberapa perhimpunan sebelum ini.
Main gimnasium, silat
Bergiat dengan PAS sejak di bangku sekolah lagi, Abdul Razak sudah
menyertai Unit Amal - yang dianggap barisan depan pembangkang dalam
setiap perhimpunan - sejak tujuh hingga lapan tahun lalu.
Pada hari perhimpunan itu, tambahnya, beliau bersama kira-kira 100
anggota lain anggota Unit Amal bertolak daripada Temerloh - 135
kilometer daripada Kuala Lumpur - semata-mata untuk menuntut reformasi
dalam sistem pilihan raya.
Beliau pada hari itu ditugaskan sekitar kawasan Jalan Pudu dan Menara
Maybank - antara tempat yang menyaksikan paling ramai orang berkumpul.
Ditanya sama ada beliau pernah menyertai pasukan keselamatan ekoran
tubuhnya yang sasa, Abdul Razak dengan malu-malu berkata: "Saya main gym
(gimnasium) dan silat, abang."
Pada hari itu, tidak seperti lazimnya, kesemua anggota Unit Amal,
termasuk Abdul Razak, memakai baju putih dan bukan merah yang selalu
dikenakan.
Kini, sejak penampilan mengejutkan di Gombak Ahad lalu, lelaki yang
lebih mesra dengan panggilan "Ajak" itu mula dipanggil menceritakan
pengalamannya, sekali gus menyelar beberapa media arus perdana yang
didakwa memfitnahnya di pentas ceramah.
"Baru-baru ini saya dipanggil berceramah di Mentakap (pekan
berdekatan Temerloh)," katanya lagi, masih dengan nada merendah diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan