Translate

Isnin, 16 Januari 2012

Permaisuri Menangis Kerana Projek Udang.


(Penduduk Permaisuri menangis akibat banjir yang jarang mereka alami sebelum ini)
Projek udang di Kerpan, Kedah telah menyebabkan rakyatnya menangis. Kini projek yang sama telah menyebabkan beribu-ribu penduduk sekitar Permaisuri menangis kerana pelbagai masalah yang disebabkan projek ini.

Terbaru, beribu-ribu penduduk Permaisuri mengalami masalah yang tidak mereka alami selama ini apabila kampong mereka ditenggelami air banjir sejak beberapa hari lalu.

Bukan itu sahaja, jalan raya juga tiba-tiba mendap yang menyebabkan seorang imam yang menunggang motosikal jatuh ke dalam lubang yang tiba-tiba mendap.
(Gambar: Laporan akhbar harian yang menunjukkan mangsa jalan jerlus di Setiu)

Umur beliau masih panjang dan terselamat dari kecelakaan itu namun mengalami luka-luka termasuk pada mukanya.

Banjir ini adalah gemombang ketiga yang melanda Permaisuri.

Bagi Dr Azman Ibrahim, bekas calon PAS Dun Jabi, projek Taman Akuakultur Udang Bersepadu yang diusahakan oleh Syarikat Blue Archipelago Berhad adalah puncanya.

Walaupun pihak Kerajaan negeri kelihatan cuba memejamkan mata akan hakikat yang berlaku, tetapi bangkai gajah tidak lagi mampu ditutup dengan daun lalang.

Ibarat sudah terang lagi bersuluh kejadian banjir luar biasa ini memang berpunca dari kerja-kerja projek i-SHARP ini!

"Kita telah membangkitkan ketika peringkat awal perlaksanaan projek dahulu bahawa kawasan yang dibangunkan itu adalah kawasan paya bertanah rendah yang terdedah kepada kesan pasang surut Sungai Setiu dan dilimpahi air ketika musim banjir.
(Gambar: Penduduk terlibat memberikan penjelasan kepada Dr Azman [kanan sekali] dan Datuk Abu Bakar Chik [baju puteh] ketika mereka meninjau kawasan terbabit.)

"Dari segi ekosistem, kawasan paya bertanah rendah dikategorikan sebagai kawasan takungan air," kata Dr Azman kepada Harakahdaily.

Kawasan Hutan Gelam Air Tawar di Kampung Nyatoh dan Banggol, Permaisuri Setiu Terengganu seluas 1200 hektar telah dikorbankan bagi memberi laluan kepada projek akaukultur berimpak besar ini yang menelan belanja sebanyak RM300 juta ini dan dijangka siap pada tahun 2012 ini.

Projek ini diusahakan oleh Syarikat Blue Archipelago Berhad yang juga menyelia projek akuakultur udang di Kerpan, Kedah.

Blue Archipelago Berhad merupakan anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad, syarikat milik kerajaan persekutuan.

Hutan Gelam Air Tawar merupakan salah satu ekosistem yang terdiri dari pokok gelam di kawasan pinggir pantai yang sangat terancam dan ekosistem sebegini sangat kurang ditemui di semenanjung Malaysia kini.

Kawasan yang ditumbuhi pokok gelam ini memainkan peranan penting dalam ekologi kawasan sekitarnya termasuk menjadi habitat kepada hidupan liar terancam dan menjadi penampan di sepanjang Sungai Chalok.
Aktiviti akuakultur yang dicadangkan di kawasan ini akan berpotensi  memusnahkan kawasan kepelbagaian hidupan yang penting dan bakal menganggu kepentingan sosioekonomi terutamanya nelayan di kawasan tersebut.

Menurut Dr Azman, Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS ini, untuk mengelakkan kawasan projek bernilai ratusan juta ringgit ini ditenggelami air banjir, kerja-kerja tebus guna tanah telah dan sedang dilakukan supaya kolam udang berada di aras yang lebih tinggi dari air banjir.

Keadaan ini akan menyebabkan aliran air itu beralih ke kawasan yang lebih rendah di sekitar tapak projek dan ini akan menyebabkan air membanjiri kawasan penempatan penduduk sekitar.
(Gambar: Papan tanda projek)
Tambakan tanah juga akan menghalang pengaliran air banjir ke Sungai Setiu.

Menurut Azman, tinjauan segera beliau bersama skuad Lujnah Alam sekitar PAS Terengganu ke lokasi mendapati, pembinaan jalan masuk ke dalam tapak projek sepanjang lebih kurang 2 km menjadi penghalang utama aliran air banjir ke Sungai Setiu.

Ia telah menyebabkan berlaku fenomena ‘air sebak’ mengikut istilah penduduk tempatan, walaupun paras air Sungai Setiu sebenarnya tidaklah terlalu tinggi.

"Dalam hal berkaitan, Lujnah Alam Sekitar PAS Terengganu menghargai  Laporan TV Al Hijrah dan akhbar tempatan serta berterima kasih atas sikap professional dan bertanggungjawab mereka yang turun sendiri ke lapangan bagi mengesahkan situasi sebenar yang berlakum.

"Laporan mereka mengesahkan kebenaran fakta yang kami utarakan sejak lebih 2 tahun lalu," katanya.

Penduduk tempatan juga mengakui bahawa ketiga-tiga kejadian banjir sepanjang musim tengkujuh tahun ini adalah luar biasa dan tidak berpadanan dengan jumlah hujan yang turun.

Terutama sekali di sekitar Kampung Nyatoh, Kampong Bukit Kemudu dan Kampung Banggol di mana di Kampung Banggol, penduduknya menjadi mangsa berganda apabila tanah RTB pertanian yang menjadi sumber pencarian mereka turut dimangsakan demi projek udang ini.

Sebelum ini, kata Dr Azman, walaupun perlaksanaan projek telah berjalan dalam tempoh melebihi dua tahun dengan pelbagai impak sampingan mulai dirasai dan terdedah, kerajaan seolah-olah ingin menyembunyikan hakikat sebenar projek ini dari makluman umum.

Apabila didedahkan dengan fakta-fakta yang sukar disangkal barulah kerajaan berjanji akan memantau perlaksanaan projek yang dikatakan akan menjadi penanda aras bagi kerajaan negeri untuk menerima pelabur lain yang ingin melabur di dalam bidang yang sama di negeri ini.
(Gambar: Kawasan yang terlibat berdasarkan peta dari google)

"Betul atau tidak pemantauan dilakukan, masih menimbulkan kesangsian. Kalaulah betul kerajaan melakukan pemantauan terhadap projek ini, maka saya dengan segala hormatnya menyimpulkan bahawa jawatankuasa pemantauan ini memang tidak melaksanakan kerja yang diamanahkan.

"Kalau tidak, mana mungkin kerajaan boleh berlagak bodoh dengan satu demi satu impak negatif yang berlaku di depan mata," dakwa beliau.

Tuntutan Azman dan rakan-rakannya, bukannya supaya pihak kerajaan memberikan jawapan politik yang tak berkesudahan, tetapi tindakan tegas dan berkesan sebelum nasi menjadi bubur.

Ditambah lagi dengan cuaca yang belum lagi menentu dengan kemungkinan banjir gelombang seterusnya akan melanda sekali lagi. Kalau pun bukan ditahun ini, selagi ada bulan dan matahari, tengkujuh akan melanda lagi.
Ironinya, kata beliau, impak ini telah menjadi igauan penduduk sekitar disaat ketika perlaksanaan projek belum lagi siap sepenuhnya.

Lantas apa lagi mimpi ngeri akan mereka alami apabila projek ini telah siap dan beroperasi sepenuhnya, hujjah beliau.

Bagi Dr Azman dan rakan-rakannya, suatu perjudian yang besar apabila sebuah syarikat yang belum berjaya membuktikan hasil dan prestasi dalam industri berkaitan dianugerahkan 1,000 hektar tanah dengan taraf pajakan selama 30 tahun.

Projek ini juga turut mengorbankan hak dan mata pencarian rakyat kemudian menghasilkan pula impak negatif alam sekitar dan sosio ekonomi setempat sedangkan hasilnya masih terlalu samar, katanya.
Kredit : HarakahDaily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular