Translate

Rabu, 30 Mei 2012

Musa Nafi Beliau Terlibat Dengan Kongsi Gelap, Satu Suruhanjaya Diraja Patut Ditubuhkan.


Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berpandangan mereka yang mengaitkannya dengan kumpulan kongsi gelap sewaktu beliau masih berkhidmat cuba merosakkan nama baiknya.

Musa percaya ia dibuat kerana beliau adalah pegawai penyiasat dalam kes Liwat 1 melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

musa hassan mahmood adam ismail omar 080910 igp"Mereka ingin merosakkan reputasi saya. Ini juga ada kaitan dengan 
Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apabila reputasi saya rosak Anwar boleh kata saya menganiaya dia," katanya.

Musa bagaimanapun tidak mengesahkan yang pegawai-pegawai kanan polis yang dimaksudkannya itu mempunyai kaitan secara langsung dengan Ketua Pembangkang itu.
 
Dua pegawai tertinggi polis, Datuk Ramli Yusuff dan Mat Zain Ibrahim sebelum ini dilaporkan bersedia memberi keterangan jika tribunal ditubuhkan untuk menyiasat Musa dan Tan Sri Abdul Gani Patail.

Tribunal itu bertujuan menyiasat kebenaran dakwaan bahawa Musa bertanggungjawab membebaskan seorang ketua kongsi gelap Johor, dikenali sebagai Goh Cheng Poh atau Tengku Goh. 

Dalam temubual dengan Malaysiakini, Musa mengaku mengetahui tuduhan terhadap Tengku Goh namun beliau tidak mengenalinya secara individu.

"Saya tak kenal Tengku Goh pun. Masa di Johor saya tahu dia terlibat dengan ekor haram.

"Masa itu saya dimaklumkan Tengku Goh ditangkap Commercial Crime (jenayah perdagangan) kerana terlibat dengan judi. 

"Saya putuskan semasa mesyuarat Commercial Crime (jenayah perdagangan) hanya ambil tindakan terhadap along (sindiket wang haram), bukan judi. Judi (di bawah kendalian) D7. Kenapa dia (Ramli)
pula yang pergi menyiasat?" katanya.

Ramli yang merupakan mantan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil sebelum ini mendakwa ditugaskan Timbalan Menteri Dalam Negeri pada masa itu, Datuk Johari Baharom untuk membanteras sindiket pinjaman wang haram di Johor.

Dalam siasatannya, Ramli mendakwa menemui perkaitan di antara Tengku Goh dan Musa. 

Ramli mendakwa, bagi melindungi dirinya, Musa kemudian berpakat dengan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk menganiaya pasukannya yang menyiasat Tengku Goh.

Jabatan Peguam Negara dilaporkan mendakwa enam orang pegawai penyiasat pasukan Ramli atas tuduhan memalsukan bukti, namun semua tuduhan itu kemudiannya digugurkan.

Sewaktu ditanya tentang tuduhan yang beliau menghapuskan rangkaian kongsi gelap lain di Johor bagi membolehkan ia ditadbir Tengku Goh sahaja, Musa menjawab tindakan itu, jika benar, adalah 'tindakan yang bodoh'.

"Kenapa saya hendak buang network (rangkaian)  ini dan ambil orang baru jadi ketua dan buat network lain.

"Bukan senang nak ada network (rangkaian). Kalau saya nakkan duit, baik saya ikut network (rangkaian) lama. Jadi saya rasa tak logik," katanya.

NONEDalam wawancara sama, Musa turut mendedahkan yang tindakan 
terhadap Ramli (kiri) adalah kerana satu laporan yang dibuat Jeffrey Pairin Kitingan yang mendakwa Ramli memiliki tanah seluas 200 ekar di Sabah.

"Saya dikatakan menganiayai seseorang. Padahal yang buat report (adalah) Jeffrey Pairin Kitingan yang mendakwa dia (Ramli) ada tanah 200 ekar di Sabah. Sebab itu SPRM siasat. Ia kemudian membawa kepada siasatan akaun beliau," katanya.

Ramli sebelum ini dituduh tidak mengisytiharkan hartanya sebanyak RM27 juta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga dakwaan menggunakan pesawat Cessna milik polis untuk meninjau tanah miliknya di Sabah, sewaktu bertugas sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah.

Ramli kemudian dibebaskan Mahkamah Sesyen sehingga ke Mahkamah Rayuan yang memutuskan beliau tidak perlu dipanggil membela diri.

Tidak kenal BK Tan

Dalam wawancara yang sama, Musa turut ditanya tentang dakwaan bahawa beliau meminta nasihat seorang lagi individu dalam kongsi gelap, dikenali sebagai BK Tan dalam memutuskan kenaikan pangkat pegawai-pegawai kanan polis.

ex-igp musa hassan interview with malaysiakini 4Menjawab soalan itu, Musa berkata beliau mengenali ramai BK Tan dan kenaikan pangkat pegawai kanan polis turut disaring Perdana Menteri serta jawatankuasa tatatertib polis.

"Semua nama untuk kenaikan pangkat saya serahkan kepada Perdana Menteri. Bukan saya seorang naikkan pangkat orang," katanya.

Menjawab dakwaan bekas pembantunya (aide de camp), Noor Azizul Rahim yang membuat pengakuan bersumpah dan mengaku melihat sendiri perkara itu berlaku, Musa mengatakan yang beliau bebas meminta nasihat sesiapa sahaja dalam perkara itu.

"Saya naikkan pangkat orang yang perform dan tidak terlibat dengan rasuah," katanya.

Di sebalik semua dakwaan itu, Musa berkata beliau tidak pernah menyesal memimpin pasukan polis selama empat tahun kerana beliau tetap mendapat sokongan sebahagian daripada mereka yang berada dalam pasukan itu.

Namun, beliau simpati dengan mereka yang menyokongnya dahulu tetapi kini 'dipinggirkan' dalam pasukan polis.

"Tidak mengapa. Saya terima kerana saya tahu saya buat yang terbaik untuk pasukan. 

"Memang ada yang bersama (saya) tetapi apabila (saya) pencen, nama mereka susah nak 'naik' (dipertimbang untuk kenaikan pangkat)," katanya.Sumber

Selasa, 29 Mei 2012

Pilihanraya Presiden Melakar Masa Depan Mesir.




Setelah tumbangnya kerajaan pimpinan Presiden Hosni Mubarak pada revolusi Januari 2011, kini rakyat Mesir berpeluang untuk membuat pilihan secara bebas dalam pilihanraya presiden. Ia merupakan ujian yang besar untuk melihat sama ada kebangkitan di Tahrir Square  itu benar-benar membuahkan hasil dengan tamatnya riwayat rejim lama yang autokratik dan membina sebuah negara baru yang lebih demokratik.

Keputusan rasmi pilihanraya yang baru diumumkan menunjukkan calon Freedom and Justice Party (FJP), Dr Mohammed Mursi mendahului dengan meraih 24.4% bersamaan 5 764 952 undi manakala calon Pro-Mubarak, Ahmed Shafiq mendapat 23.3% undi. Ia diikuti dengan tokoh sosialis, Hamdin Sabahi daripada Parti al Karamah yang mendapat 23.3% undi manakala calon bebas yang juga merupakan bekas ahli Ikhwanul Muslimin, Abdul Moneim Aboul Futuh pula memperoleh 17.2%  undi.

Berikutan daripada tidak ada calon yang memperoleh sokongan melebihi 50% maka pusingan ‘run-off’ perlu diadakan. Pertembungan sengit dijangka akan berlaku antara Dr. Mursi  dan Shafiq. Keputusan ini agak mengecewakan bagi aktivis pro-demokrasi kerana calon pilihan mereka iaitu Sabahi dan Abdul Moneim gagal ke pusingan seterusnya. Ia juga mengejutkan sesetengah pihak bagaimana Shafiq yang pernah menjawat jawatan Perdana Menteri ketika di hujung pemerintahan Mubarak itu boleh mendapat undi yang besar sekaligus layak ke pusingan penentu pada pertengahan Jun nanti.

Pilihanraya presiden yang turut dipantau oleh mantan Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter ini begitu signifikan buat rakyat Mesir kerana ia merupakan titik-tolak untuk mereka memilih Presiden baru yang akan mengetuai negara setelah 30 tahun diperintah oleh diktator daripada kalangan tentera. Hasil daripada revolusi yang berlaku menunaskan harapan yang menggunung tinggi dalam jiwa sanubari rakyat untuk melihat negara Mesir yang baru.

Namun, jalan itu penuh berliku dan ia tidaklah seindah yang diimpikan bak kata pepatah “ku sangkakan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari”.  Sehingga ke hari ini, Mesir masih ditadbir oleh Supreme Council of the Armed Forces (SCAF), yang diketuai oleh Jeneral Muhammad Hussein Tantawi. Sebagaimana yang diketahui ramai, institusi tentera Mesir merupakan antara saki-baki pewaris Mubarak yang senantiasa berusaha melemahkan kebangkitan rakyat.

Keamanan dan kestabilan masih belum dapat diwujudkan dengan sempurna. Kadar jenayah terus meningkat, ekonomi negara masih di tahap merudum dan sistem perkhidmatan awam tidak berfungsi dengan baik. Demonstrasi diadakan bersilih-ganti dan adakalanya berlaku pertempuran antara rakyat dan juga polis atau tentera. Rakyat terus mendesak Jeneral Tantawi agar segera menyerahkan kuasa kepada kerajaan yang dipilih rakyat. SCAF terus berdalih dan berjanji kuasa hanya akan diserahkan kepada Presiden yang baru pada 1 Julai nanti.

Ironinya, Presiden yang bakal menang kelak masih belum mengetahui kuasa yang akan diberikan mengikut perlembagaan.  Hal ini kerana perlembagaan yang baru masih belum disiapkan. Jawatankuasa penggubal perlembagaan yang majoritinya dikuasai oleh blok Islamis itu telah diboikot oleh blok liberalis dan ia telah digantung oleh Mahkamah Agung kerana dikatakan tidak mewakili pelbagai lapisan rakyat. Timbul kerisauan di kalangan umum sekiranya perlembagaan yang baru kelak akan memberi kuasa yang besar kepada golongan tentera. Kebimbangan ini ada asasnya apabila baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri kerajaan sementara telah mengusulkan agar tentera mendapat bajet yang khusus yang tidak boleh disemak oleh parlimen.

Antara dua isu penting yang menjadi bahan kempen pilihanraya presiden ini ialah isu ekonomi dan keamanan. Taraf ekonomi Mesir yang sememangnya telah merudum sebelum berlaku revolusi kini masih belum pulih. Hampir separuh rakyat hidup di bawah paras kemiskinan, kadar pengangguran mencecah 25% dan kejatuhan kadar tukaran matawang asing.

Timbul juga persepsi bahawa Mesir telah menjadi semakin tidak aman dan huru-hara semenjak revolusi. Demonstrasi mingguan itu kadangkala bertukar ganas seperti yang berlaku pada awal bulan ini di hadapan Kementerian Pertahanan. Kerajaan Sementara juga tidak mendedahkan statistik kadar jenayah yang dikatakan terus meningkat termasuklah kes bunuh, rogol dan rompakan.

Walaupun undian umum media Mesir menjangkakan mantan Presiden Liga Arab, Amir Moussa yang akan mendahului dalam pemilihan pusingan pertama ini tetapi keputusan sebenar menunjukkan beliau hanya mampu berada di tempat kelima. Ada yang menganggap Dr. Mursi calon ‘spare part’ dan hanya pengganti kepada calon asal, Khairat Shater namun hasil kerja keras kempen partinya yang bertemakan “Islam is the Solution” telah membuahkan hasil. Sepanjang tempoh kempen Dr. Mursi menjadikan Renaissance Project sebagai agenda utama buat rakyat seandainya dipilih sebagai presiden kelak.

Lain pula kisah Shafiq yang digelar ‘feloul’ kerana pernah terlibat sama dalam rejim Mubarak. Shafiq tampil dalam kempen sebagai calon underdog yang lemah dan cuba meraih simpati ramai. Fokus kempennya pula berkisar pada pentingnya untuk mencegah kuasa golongan Islamis daripada terus melebar dan jaminan untuk mengembalikan kestabilan negara. Sokongan besar yang beliau perolehi ialah undi daripada golongan Kristian koptik yang risau akan kebangkitan Islam, golongan kroni Mubarak yang ingin terus mendapat manfaat, golongan polis dan tentera serta masyarat umum yang sudah keletihan dalam mencari keamanan pasca revolusi.

Antara isu lain yang menjadi tumpuan ialah polisi antarabangsa khususnya melibatkan Israel dan Amerika Syarikat. Israel pasti mengalami mimpi ngeri seandai negara jirannya ini diperintah oleh gerakan Islam yang berpengaruh, Ikhwanul Muslimin. Dr. Mursi berjanji untuk mengkaji semula Perjanjian Kem David 1979 manakala Shafiq awal-awal lagi akan terus mengekalkan perjanjian sedia ada. Kemenangan gerakan Islam juga akan turut memancarkan sinar harapan baru buat rakyat Palestin khususnya di Gaza. Manakan tidak, adalah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk membantu saudara seakidahnya dan membebaskan kembali tanah suci Masjidil Aqsa daripada Zionis Yahudi yang kejam itu.

Masa depan politik Mesir masih belum dapat dijangkakan dengan tepat kerana situasi semasa menunjukkan jalan berliku ini tetap perlu dilalui samada calon Islamis yang menang mahupun pewaris Mubarak yang menang. Berlakunya polarisasi di kalangan pengundi antara dua kepentingan samada menerima calon Ikhwanul Muslimin yang lebih cenderung untuk melaksanakan syariah atau memilih calon yang pernah bersekongkol dengan Mubarak. Kemenangan Shafiq pasti akan meleburkan kembali semua impian mereka yang menginginkan Mesir yang baru.

Revolusi 2011 yang telah mengorbankan 1000 nyawa itu tidak sewajarnya berakhir dengan sebegitu rupa. Pengorbanan mereka yang tak ternilai harganya itu tidak sewajarnya dibayar dengan memilih untuk kembali kepada pemerintahan silam. Sesungguhnya cabaran besar sedang menanti Presiden dan kerajaan yang baru untuk menyatukan kesemua rakyat sama ada Muslim, Kristian, liberalis dan golongan kiri di bawah satu lembayung pemerintahan baru Mesir.

Kini, amanah besar sedang digalas oleh setiap rakyat Mesir untuk melakar masa depan mereka sendiri. Janganlah pula tersilap langkah kerana buruk padah pasti menanti bak kata pepatah “terlepas mulut harimau, masuk mulut buaya”.

Sungguhpun golongan liberalis berpendapat pusingan run-off ini adalah the worst-case scenario yang membuatkan mereka terpaksa memilih antara dua persimpangan namun bagi kita semua yakinlah bahawa hanyalah Islam ad-Din yang akan menjadi penyelamat bukan sahaja di dunia mahupun akhirat sepertimana firman Allah S.W.T dalam Surah Ali Imran ayat 85 yang bermaksud: “Barangsiapa yang mencari agama (ad-Din) selain daripada Islam maka ianya tidak sesekali akan diterima dan di akhirat kelak tergolong dalam golongan yang rugi.”

Syed Ahmad Fadhli Syed Mahmad Hadzari ialah mahasiswa tahun 3 jurusan Sains Politik, UIAM.

Jumaat, 11 Mei 2012

Barang Naik Harga, Rakyat Tanggung Bahana....


Kalau Menteri BN kata kekal, maknanya akan naik!

Isu berkaitan kenaikan harga barang-barang keperluan adalah isu sejagat   yang berkaitan langsung dengan kepentingan rakyat kebanyakkan dan menyentuh tentang survival kehidupan seharian  mereka. Sebagai pengguna yang  berhadapan dengan arus kenaikan harga barangan yang tak dapat dibendung, rakyat umum tanpa mengira siapa mereka umpama mentimun dengan durian, digilis luka, menggilis pun luka. Lebih tragis apabila bebannya bukan setakat kerana harga barangan keperluan melambung tinggi, malah lebih memburukkan keadaan apabila bekalannya juga sukar didapati di pasaran.

Tanpa bermaksud untuk mengagungkan negara jiran itu tetapi sekadar menjawab hujah pemimpin Umno/BN yang gemar menjadikan perbandingan kos hidup negara di seberang Tambak Johor itu sebagai antara jawapan untuk menutup mulut rakyat setiap kali kenaikan harga barang berlaku di samping alasan lapuk, rasionalisasi subsidi.

Memanglah secara bandingannya, harga barangan di Malaysia masih murah dibandingkan dengan Singapura, tetapi perlu dibandingkan juga jurang perbezaan pendapatan bulanan rakyat negara kita berbanding dengan rakyat negara jiran di selatan kita dengan contoh, gaji seorang guru secara puratanya mencecah 6,000 SGD (RM24,000) sebulan! Gaji pokok seorang kerani biasa di Singapura mencecah 1,000 SGD (RM2,400) sebulan belum lagi dicampur elaunnya, berbanding gaji pokok seorang kerani biasa di Malaysia sekitar RM900 sebulan. Dicampur pelbagai elaun, dapatlah sekitar RM1,400 sebulan.

Apatah lagi kalau dikemukakan hujah bahawa negara kita adalah negara pengeluar yang kaya dengan pelbagai hasil bumi dan sumber asli. Ironinya, keperluan yang sering tiada di pasaran atau harganya sentiasa dalam trend meningkat adalah produk keluaran bumi ibu pertiwi. Bagaikan ibarat… Datuk, nenek kita pohon durian dan rambutan keliling rumah, tetapi anak cucu nak makan pun susah, kalau nak, terpaksalah kena bayar dengan harga mahal. Pelik bukan?

Keterlaluankah perumpamaan ini? Tentu sekali tidak! Perhatikan pohon-pohon kelapa sawit yang menghijau subur bukan hanya setakat di ladang-ladang besar, malah sekarang ini telah memenuhi segenap ceruk kampung tetapi minyak masak sawit sukar didapati dipasaran, yang ada hanyalah minyak jagung dan minyak bunga matahari dengan harga yang berlipat ganda. Aneh sekali.

Impak kenaikan harga barangan dan kos hidup
Purata kenaikan gaji rakyat Malaysia 2.5% setahun tetapi kenaikan harga barang-barang keperluan adalah sebanyak 8.5% setahun. Kenaikan harga barangan keperluan yang sangat tidak seimbang dengan peningkatan pendapatan rakyat tentunya membawa kesan negatif yang berpanjangan kepada sosio-ekonomi rakyat. Natijahnya, bila barang naik harga, jatuhlah air mata rakyat…

Perhatikan senario seorang ketua keluarga yang berpendapatan rendah atau sederhana, mereka perlu mengambil kira paling minima setiap bulan keperluan wajib antaranya, bayaran sewa atau ansuran bulanan rumah kediaman, peruntukan ansuran kenderaan, duit minyak dan servis kenderaan, belanja keperluan dapur serta makan minum, duit perbelanjaan sekolah anak-anak, bil lektrik dan air juga gas memasak, pakaian, kos perubatan dan kesihatan, bayaran tol untuk mereka yang berkenaan, saman trafik dan pelbagai lagi yang tentunya memberikan tekanan emosi yang mampu menggugat keharmonian kehidupan.  Apatah lagi kalau hidup di bandar dengan setiap keperluan perlu dibeli.

Situasi yang sangat biasa berlaku sekarang lantaran disebabkan desakan hidup, bagaimana seorang bapa terpaksa keluar meninggalkan rumah diawal pagi untuk mencari rezeki ketika anak-anak belum lagi terjaga dari tidur dan pulangnya pula menjelang lewat malam apabila anak-anak telah lena dibuai mimpi.
Ketiadaan masa berkualiti bersama keluarga akan melahirkan anak-anak yang terabai, ketandusan kasih sayang, rapuhnya institusi keluarga sehingga akhirnya mewujudkan generasi anak-anak yang sarat dengan gejala sosial. Apatah lagi untuk meluangkan masa dengan masyarakat dan persekitaran.

Tekanan hidup yang dibantu oleh faktor nipisnya iman di dada  juga boleh mengundang pecah amanah, penyelewengan, rasuah dan pelbagai lagi perlakuan yang menyalahi syariat dan undang-undang.

Bermakna, peningkatan kos sara hidup disebabkan kenaikan harga barangan, jangan sesekali hanya dipandang dari sudut berapa sen kenaikan harga gula, petrol, gas memasak, minyak masak, tarif lektrik dan sebagainya, tetapi impaknya perlu diteliti secara menyeluruh dan saksama kepada kehidupan seorang insan sebagai individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Di negara maju yang lain, bila ekonomi negara bermasalah, kerajaan akan potong perbelanjaan yang tak diperlukan, bukannya menjadikan rakyat sebagai mangsa. Kita yang belum maju tetapi bercita-cita untuk maju pula sebaliknya, bila negara tak ada duit, rakyat yang ditekan dengan pelbagai alasan lapuk sedangkan pemimpin bermewahan. Rakyat pula dikelirukan dengan tiada lagi istilah kenaikan harga barangan itu dan ini, yang ada hanyalah pelarasan subsidi!

Bagaimana kenaikan harga barangan boleh berlaku?
Pengeluaran yang banyak tetapi tidak dapat menampung permintaan pengguna. Negara kita kaya dengan kesuburan tanah dan sumber asli, tetapi kerajaan gagal memanfaatkannya secara optimun, baik dalam sektor pertanian mahu pun pengeluaran sehingga keperluan rakyat gagal dipenuhi.

Antaranya, krisis ketiadaan bekalan minyak masak telah menjadi fenomena rutin yang telahberulang entah untuk kali yang ke berapa walaupun Malaysia memegang status sebagai negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia, tentunya ketiadaan bekalan minyak masak ini menimbulkan pelbagai persoalan. Apakah pihak pengeluar, pengilang, pemborong atau pengedar yang menjadi puncanya atau siapakah yang menjadi dalang dengan bertindak sewenangnya demi keuntungan mereka tanpa sebarang tindakan berkesan dari agensi penguatkuasaan berkenaan sehingga rakyat terpaksa menanggung kesukaran?

Bekalan gula juga pernah mengalami nasib sama sehingga Idris Jusoh pernah menjual gula dihadapan Wisma Darul Iman ketika menduduki kerusi MB Terengganu dulu. Dalam tempoh kurang setahun, kerajaan telah menikkan harga gula sebanyak 3 kali.  Tanggal 16 Julai 2010, Kerajaan UMNO-BN mengumumkan kenaikan harga gula sebanyak 25 sen/kilo. Pada 4 Disember 2010, Kerajaan mengumumkan lagi kenaikan harga gula sebanyak 20 sen/kilo. Kira- kira 6 bulan kemudian pada 9 Mei 2011, diumumkan  sekali lagi kenaikan harga gula sebanyak 20 sen/kilo. Semuanya atas alasan rasionalisasi subsidi.

Umum mengetahui bahawa Malaysia antara pengeluar gula utama dunia. Pengeluaran gula di Malaysia dikuasai 4 kilang iaitu; Malayan Sugar Manufacturing Co. Bhd atau dikenali sebagai Gula Prai, Central Sugar Refinery Sdn. Bhd, Gula Padang Terap Berhad dan Kilang Gula Felda Perlis Sdn. Bhd.
Kalau bukan pengeluar utama gula, manakan mungkin Raja Gula Malaysia, Robert Kuok Hock Nien boleh menyandang gelaran manusia terkaya di atas muka bumi Malaysia dan di Asia Tenggara untuk beberapa tahun berturut-turut. Pemimpin negara jangan berlagak seperti Pak Pandir dengan mengeluarkan kenyataan, bila gula naik harga, ianya bagus untuk gaya hidup sihat rakyat Malaysia dan menurunkan kadar diabetes.

Kenaikan harga minyak dan kesannya terhadap kenaikan harga barangan
Kenaikan harga minyak memberi impak kepada keseluruhan rantaian pengeluaran bermula dari ladang atau kilang hinggalah sampai ke tangan pengguna. Tindakan peniaga untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sehingga membebankan pengguna akan berlaku, sekalipun berulang kali kerajaan memberikan jaminan bahawa, walaupun harga minyak dinaikkan, tidak akan berlaku kenaikan harga barangan keperluan.

Minyak dan gas asli adalah sandaran pergantungan kos semasa dunia. Apa sahaja yang berlaku kepada pasaran dan pengeluaran sumber asli ini akan memberi kesan kepada seluruh negara dan masyarakat dunia. Inilah yang disebut 'magnet tarikan ekonomi berasaskan petroleum'.  Kenaikannya akan menyumbang kepada kenaikan kos pengeluaran, pengangkutan serta pemasaran baik di pihak pengilang, pertanian, pemborong, peniaga-peniaga dan begitulah seterusnya apabila barangan sampai ke tangan pengguna.

Lantaran itulah, penafian pihak kerajaan terhadap kenaikan harga barangan pada setiap kali berlakunya kenaikan harga minyak adalah suatu penafian yang tidak bersandarkan kepada teori dan kaedah ekonomi.

Pergantungan kepada sumber import
Pergantungan keterlaluan negara kita kepada sumber bahan-bahan makanan yang diimport. Lantas, sebarang bencana alam yang berlaku kepada negara lain akan turut memberi kesan kepada negara kita. Banjir di Thailand tetapi orang kita juga tumpang susah. Bukan setakat menyebabkan harga beras meningkat, malah berlaku juga kenaikan harga sayur-sayuran, ayam dan ikan.  Semua ini disebabkan kita masih bergantung kepada sumber makanan dari  luar khususya negara jiran.

Bayangkan jika negara-negara yang menjadi tempat kita bergantung import makanan selama ini menghadapi bencana serentak- banjir, ribut, kemarau panjang, gempa bumi atau terlibat dalam kancah peperangan.  Krisis makanan tentulah akan memuncak dan mampukah bekalan yang dihasilkan di dalam negara untuk menyuap mulut rakyat kita seramai 28.6 juta dan pendatang asing seramai 2.3 juta?

Ahli hikmat ada berkata, ketika saat ketiadaan bekalan makanan, mereka yang mempunyai stok makanan adalah orang yang paling kaya. Lebih kaya dari mereka yang mempunyai emas berbongkah-bongkah. Lihatlah dalam sejarah, bagaimana pengeluaran sumber makanan Negara Mesir yang dirancang dan dilaksanakan dengan begitu bijak oleh Nabi Yusof a.s sehingga kemarau panjang selama 7 tahun tidak menyebabkan rakyatnya kebuluran malah mampu untuk membantu menyuap mulut rakyat negara-negara berdekatan. Beginilah Islam mengambil berat dengan keperluan asasi rakyat.

Di manakah silapnya sistem pertanian kita. Dengan keluasan dan kesuburan muka bumi anugerah Allah, berbilion ringgit peruntukan tahunan, sungai-sungai yang membelah daratan membentuk dataran yang subur, rakyat yang sedia membanting tulang, tetapi pertanian kita belum lagi mencapai tahap sara diri apatah lagi untuk diimport. Dengan kata lain, kerajaan telah gagal! Hujahnya, Malaysia telah membelanjakan sejumlah RM13 bilion setiap tahun untuk mengimport keperluan makanan seperti sayur, ikan, daging, kentang, bawang serta buah-buahan. Jumlah import beras dari Thailand sahaja mencecah 307,000 tan metrik setahun.

Ada isu besar yang perlu diteliti. Di Terengganu contohnya, masih banyak tanah sawah terbiar tanpa dapat diusahakan lantaran masalah infrastruktur seperti pengairan. Ada projek-projek yang dikira boleh menghasilkan sumber makanan negeri seperti projek ternakan kambing kaprima Telaga Papan Setiu, projek ternakan ikan dalam sangkar Zon Industri Akuakultur Tasik Kenyir, Projek tanaman kelapa pandan di Rhu Tapai semuanya gagal walaupun ratusan juta telah dibelanjakan. Wang peruntukan lesap tapi di mana kambing, ikan dan kelapa pandan? Gahnya bunyi genderang projek dengan sasaran hasilnya akan dieksport, akhirnya melopong! Belum disebut lagi projek tanaman strawberry yang namanya pun dah dilupakan orang. Terkini projek udang Setiu. Sasarannya juga untuk dieksport sebagaimana Mat Said pernah bercita-cita untuk mengeksport kelapa pandan dari Rhu Tapai ke Jepun!

Kelemahan penguatkuasaan dan urus tadbir
Kelemahan penguatkuasaan masih belum berjaya diperbaiki sepenuhnya sehingga berlakunya monopoli dan memberi ruang kepada peniaga menaikkan harga sewenangnya. Tindakan menyorokkan barangan keperluan bagi tujuan menaikkan harga oleh para peniaga memburukkan lagi keadaan.

Persoalan kuota bekalan juga sering dibangkitkan. Sering terdengar rungutan yang menyatakan punca kekurangan bekalan barangan di pasaran seperti minyak masak adalah disebabkan  pembekal menggunakan alasan pengurangan bekalan, disebabkan kuota baru yang ditetapkan kerajaan. Kuota yang digunakan dalam kes minyak masak pula telah berusia hampir empat tahun. Sekiranya itulah antara sebabnya, maka tentu sekali, sudah terang lagi bersuluh bahawa kuota tersebut adalah tidak relevan lagi, ia perlu ditambah. Mana mungkin kuota yang diberikan sejak empat tahun lepas boleh sama seperti sekarang dengan pertambahan bilangan pasar raya besar dan kedai runcit serta bilangan pengguna.

Kerajaan juga perlu mengetatkan penguatkuasaan terhadap pembelian bahan kawalan itu bagi mengelakkan penyelewengan selain memastikan hanya rakyat tempatan membeli dan menikmati subsidi yang diberi kerajaan.

Kita juga sukar untuk mempercayai bahawa alasan penggunaan dan pembelian oleh rakyat negara jiran menjadi punca kekurangan malah ketiadaan bekalan untuk rakyat tempatan. Kalau sungguh bagai dikata, di mana keberkesanan agensi penguatkuasaan kita?

Antaranya, alasan pembelian minyak masak keluaran Malaysia oleh rakyat Selatan Thai didakwa menjadi punca kekurangan bekalan di negara ini. Sebenarnya masyarakat muslim Selatan Thai kebanyakkan mereka telah menggunakan minyak masak keluaran Malaysia sejak zaman berzaman lagi lantaran mereka sebenarnya meragui status kesucian minyak masak keluaran negara mereka sendiri. Apatah lagi bila kekurangan bekalan dilaporkan turut berlaku di seluruh negara dan bukan hanya melibatkan negeri-negeri yang bersempadan dengan negara jiran.

Apa peranan kita?
Menghadapi arus kenaikan harga barangan, sebolehnya elakkan pembelian tidak terancang. Belilah hanya barang-barang yang benar-benar diperlukan, mengurangkan pembelian menggunakan kad kredit dan yang paling utama, Tolak BN (Barang Naik).

Rabu, 9 Mei 2012

Selepas Isa Najib Pula: Malang Sungguh Para Peneroka, Tipah Tertipu Lagi.


Durian runtuh': Peneroka tak tersandar dalam kejutan
Mazlan Aliman


ULASAN 'Durian runtuh' yang diumumkan perdana menteri di Felda Jengka 8 semalam sangat di alu-alukan.

Namun tidak memeranjatkan saya. Ia telah dimaklumkan 4 hari lalu kepada saya dan telah pun saya sebut dengan tepat dalam kenyataan media saya dan diulang dalam ceramah-ceramah saya.

Meskipun jumlah 1.689 bilion yang diagihkan kepada 112,635 orang peneroka Felda agak besar, tetapi tidaklah sampai 'peneroka tersandar dalam kejutan' seperti perdana menteri katakan sebelum ini di Felda Triang 3, Bera.

Ia diberi dalam tiga fasa untuk peneroka, penerokawati dan generasi kedua. Bonus khas dua bulan setengah gaji untuk 23,000 kakitangan Felda sesuatu yang tidak berbaloi dengan pengorbanan mereka lebih 25 tahun berkhidmat.

Prsatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) tidak pernah menolak sebarang pemberian atau insentif yang mahu diberikan kepada para peneroka. Tetapi biarlah kita berhujah secara matang. Kenapa baru sekarang setelah lebih 55 tahun Felda ditubuhkan?

Adakah ini sandiwara politik kerana bimbang akan senario perubahan sikap warga Felda kepada BN?
Siri-siri saman di Kemahang 3, Gugusan Serting, Bera, Jengka, Maokil dan yang terkini di Gugusan Chini, kawasan parlimen Pekan - tempat perdana menteri sendiri?

Gelombang kebangkitan anak-anak muda Felda dapat disaksikan melalui sokongan mereka bersama program-program ANAK dan ceramah Pakatan Rakyat. Saya yakin ini dalam makluman perdana menteri dan membimbangkan beliau. Jumlah 54 Parlimen yang ada Felda kubu terakhir BN.

Bagaimanapun, memandang ke hadapan; adakah berbaloi gula-gulaone off seperti ini?
Berapa lama lagi BN nak bermain politik dengan taktik lama untuk mendodoikan rakyat agar terus menyokong mereka?

Atau, ini dilakukan untuk 'menutup mulut' peneroka agar jangan mempersoalkan keghairahan kerajaan menyenaraikan Felda Global Venture di Bursa Malaysia?

Penipuan mereka melalui tujuh buah bank yang diperalat membiayai pinjaman tawaran saham FeIda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGV) sangat ketara. Borang pinjaman yang dikosongkan jumlah pinjaman, faedah 5 peratus, borang dalam bahasa Inggeris, tidak ditaklimatkan isi kandungannya dan tidak dinyatakan risiko kerugian seperti 'Surat Tanggung Kerugian' antara penipuan dan pengkhianatan kepada para peneroka!

Seramai 125 peneroka Felda sebahagian daripada ribuan lagi peneroka yang telah tertipu kerana menandatangani borang perjanjian pinjaman yang mereka tidak tahu apa-apa. Mereka tidak dapat membezakan antara 'durian runtuh' dengan pinjaman saham FGVH. Mereka memfailkan injunksi di Mahkamah Tinggi Seremban kelmarin kerana teramat bimbang daripada risiko pinjaman yang boleh sahaja tergadai aset mereka.

Perdana Menteri beri jaminan tanah peneroka tidak akan tergadai. Adakah PM tidak membaca hampir 70 muka surat dalam borang pinjaman FGVH yang secara jelas dinyatakan dengan terperinci nasib peneroka jika harga saham merudum dan segala risiko di tanggung peneroka?

Adakah perdana menteri tidak mengambil iktibar dariapda nasib Felda Cahaya Baru, Felda Sg Buaya, Felda Labu Johnson dan Sendayan yang hilang tanah mereka dan hidup menderita seperti pepatah 'menang sorak kampung tergadai'?

Mana pergi pemimpin BN tatkala amanah saham negeri-negeri gulung tikar hingga menyebabkan rakyat hilang harta dan diisytiharkan muflis kerana meminjam bank untuk melabur?

Adakah perdana menteri, Ahmad Maslan dan Isa Samad boleh beri jaminan bertulis yang saham FGVH tidak rugi sepertimana nasib pelabur amanah saham negeri-negeri dan juga saham-saham lain seperti KUB dan BERNAS.

Perdana menteri tidak perlu sebut "haram jadah" yang diulang dua kali dalam ucapannya kalau dia rasional. Datuk Ahmad Maslan tidak perlu hentam dan cabar saya seperti diungkapkannya. Kenapa terlalu marah hingga tega memaki hamun di hadapan khalayak ribuan warga Felda.

Sebagai pemimpin biarlah ada wawasan. Peneroka Felda sudah ada tanah dan rumah. Untuk kelangsungan hidup, telah memadai. Daripada 1.6 juta warga Felda, 65 peratus generasi kedua. Ini tempoh peralihan yang sangat kritikal untuk mereka.

Mana dia hala tuju anak muda Felda? Perumahan mereka, pendapatan yang lebih stabil atau mereka cuma penonton yang melihat para kroni pemimpin BN memunggah kekayaan setiap hari?
Fikir dulu mana rumah kenerasi kedua daripada beri peruntukan RM5 ribu untuk orang lain.

Tidakkah kewujudan Techno Plant Sdn adalah untuk tembolok pemimpin Umno? Sama juga wujudnya FGVH bagi tujuan memindahkan harta peneroka berbilion ringgit untuk digunakan Umno/BN bagi pilihan raya umum ke-13?

Saya cabar perdana menteri umum peruntukan RM1,689 bilion datang dari mana? Berapa yang kroni bayar kepada penasihat?

Mereka ini ibarat Sadeq Sigara dalam Filem Tiga Abdul yang membuat untung dengan menipu peneroka. Akhirnya peneroka dilelong dengan harga yang murah!

ANAK konsisten dengan perjuangan bagi kehidupan generasi kedua Felda. Para cendekiawan, intelektual dan umumnya anak-anak peneroka bersedia untuk menerajui perubahan di Felda. Seharusnya mereka diberi peluang merencana transformsi di Felda.

Kenapa Isa Samad dilantik perdana menteri sebagai pengerusi Felda? Mana perginya karisma puluhan ribu cerdik pandai anak-anak peneroka? Tidak layakkah mereka jadi Pengerusi Felda dan memegang jawatan penting dalam anak-anak Syarikat Felda? Kenapa semuanya dibolot Isa Samad dan kroni-kroninya?

Seharusnya hala tuju Felda diterajui oleh anak Felda. penambahbaikan Koperasi Felda, pengendalian kebun peneroka, aktiviti tanam semula, pembangunan infrastruktur dan pengembangan anak-anak syarikat.

Berilah kepercayaan dan amanah ini kepada mereka. Bukan diterajui oleh ' para lanun' yang tidak ada seinci tanah pun di Felda!

Pengumuman perdana menteri bukan transformasi. Sebenarnya beliau dan pemimpin BN 'jaguh kampung' yang tidak punya kreativiti strategik. ANAK dan Pakatan menawarkan gagasan seperti Buku Jingga yang bersifat menyeluruh untuk tempoh yang panjang. Pengagihan Tanah Felda Plantation, penubuhan Universiti Felda, Kuota penguasaan anak peneroka dalam anak-anak syarikat Felda; hakikatnya inilah pemikiran global yang menjanjikan kehidupan lebih meyakinkan untuk Anak-anak peneroka Felda.

Bagi saya, pengumuman perdana menteri tidak lebih untuk mengekalkan kuasa politik BN di Felda semata-mata. Ia mungkin menyukakan peneroka tetapi amat mengecewakan anak muda Felda.

Generasi kedua dan ketiga akan terus termenung panjang memikirkan nasib mereka pada hari-hari mendatang yang kian samar. Sumber

Jumaat, 4 Mei 2012

Akhirnya Penipuan Terbongkar, Memang Berlaku Perlanggaran Antara Mat Sabu Dengan Kereta Polis.


Panel Siasatan Suhakam merumuskan kecederaan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pada himpunan Bersih 2.0 Julai tahun lalu adalah disebabkan pelanggaran dengan kenderaan polis.

Ianya berdasarkan keterangan beberapa saksi termasuk tiga orang doktor yang merawat Mohamad yang dipanggil memberi keterangan kepada panel itu.

"Panel berpendapat, kecederaan W6 (Mohamad Sabu) berpunca daripada pelanggaran dengan kenderaan PDRM," laporan siasatan itu dipetik.

Laporan siasatan itu turut dibaca kepada media pada sidang akhbar di pejabat Suhakam di sini tengahari tadi.

Sidang media itu dikendalikan Pengerusi Panel Prof Datuk Dr. Khaw Lake Tee yang juga Timbalan Pengerusi Suhakam dan dua ahli panel lain iaitu Prof Datuk Dr Mahnood Zuhdi Abd Majid dan Detta Anak Samen.

Dalam penemuan mereka, Suhakam bersetuju dengan pandangan doktor-doktor tersebut bahawa tiada kesan kotoran seperti pasir atau tanah pada bahagian cedera.

Kesemua mereka juga berpendapat ianya mungkin akibat pelanggaran dengan permukaan keras.

Walau bagaimanapun menurut panel tersebut, tiada sebarang bukti konklusif bagaimana cara pelanggaran berlaku sama ada kenderaan polis melanggar Mohamad atau Mohamad sendiri melanggar kereta polis.

Dalam laporan itu panel turut mengesyorkan pihak polis agar mengutamakan hak asasi dan keselamatan anggota mahupun individu yang hendak ditahan.

"Satu garis panduan haruslah diwujudkan oleh PDRM mengenai cara-cara yang boleh digunakan oleh anggota dalam melakukan tangkapan," kata panel itu.

Dalam pelanggaran tersebut pada 9 Julai tahun lalu, Mat Sabu yang membonceng motosikal cedera di lutut kanannya cedera dan terpaksa dibedah ekoran ligamennya koyak. Sumber

Khamis, 3 Mei 2012

Suhakam: Tindakan Polis Tidak Boleh Diterima Sama Sekali.


Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menegaskan bahawa penggunaan kekasaran yang tidak seimbang dan tidak sepatutnya terhadap peserta perhimpunan dan juga petugas media adalah satu tindakan pihak polis yang tidak boleh diterima sama sekali.

"... di mana mereka (polis) mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman serta keselamatan awam secara professional lebih-lebih lagi sekiranya diperlukan untuk mengendali dan memudahkan perhimpunan awam," kata Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam.

NONESuruhanjaya itu juga, tegasnya, terkejut dengan dakwaan layanan
polis terhadap petugas media yang mempunyai tanggungjawab untuk merekod, mendokumen dan melaporkan peristiwa yang menarik minat orang ramai secara professional dan beretika.

"Sesetengah daripada mereka dikasari sementara dua wartawan dilaporkan ditahan, di samping peralatan mereka dimusnah dan dirampas oleh pihak penguatkuasa," tambahnya.  

Berikut adalah kenyataan penuh pengerusi Suhakam yang bertajuk 'Kebebasan bersuara dan hak untuk berhimpun secara aman mesti dilindungi dan dihormati'.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suruhanjaya) amat kecewa dan bimbang dengan pelbagai insiden yang dilaporkan berlaku semasa perhimpunan awam pada 28 April 2012, termasuk laporan pasukan pemantaunya, khususnya dakwaan pengendalian yang terlalu kasar dan secara sembarangan oleh pihak polis dalam menyuraikan orang ramai.
NONESuruhanjaya juga terkejut dengan dakwaan layanan polis terhadap petugas media yang mempunyai tanggungjawab untuk merekod,
mendokumen dan melaporkan peristiwa yang menarik minat orang ramai secara professional dan beretika; sesetengah daripada mereka dikasari sementara dua wartawan dilaporkan ditahan, di samping peralatan mereka dimusnah dan dirampas oleh pihak penguatkuasa.  

Suruhanjaya juga mengambil maklum dengan penuh kebimbangan keadaan di mana kelakuan dan tingkah laku peserta perhimpunan yang tidak dapat dikawal dan menjadi huru-hara.
Namun begitu, penggunaan kekasaran yang tak seimbang dan tidak sepatutnya terhadap peserta perhimpunan dan juga petugas media adalah satu tindakan pihak polis yang tidak boleh diterima sama sekali  di mana mereka mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman serta keselamatan awam secara professional lebih-lebih lagi sekiranya diperlukan untuk mengendali dan memudahkan perhimpunan awam.

NONESuruhanjaya, dalam Laporan Tahunan serta laporan Siasatan Awam berkenaan penggunaan kekerasan yang melampau oleh pihak polis semasa perhimpunan awam, telah berulang kali menyeru pihak berkuasa, agar menggunakan cara yang bersesuaian dan tanpa keganasan sekiranya mereka mendapati ianya perlu untuk mengawal atau menyuraikan orang ramai semasa perhimpunan.

Tambahan pula, Prinsip Asas Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Penggunaan Kekerasan dan Senjata Api oleh Pegawai Penguatkuasaan Undang-undang juga menyediakan bahawa pegawai penguatkuasa undang-undang haruslah, seboleh mungkin, menggunakan cara yang tanpa kekerasan sebelum mengambil keputusan untuk menggunakan kekasaran.

Walaupun Suruhanjaya telah beberapa kesempatan menawarkan diri sebagai mediator antara polis dan penganjur perhimpunan agar satu persetujuan secara konsensus antara dua pihak sebelum perhimpunan dapat dicapai, namun, tawaran tersebut telah ditolak. Suruhanjaya juga telah beberapa kali menyeru pihak berkuasa untuk membenar dan memudahkan orang ramai untuk berhimpun secara aman.

NONEIa juga telah menggesa agar polis memudahkan orang ramai untuk melaksanakan hak mereka untuk berhimpun secara aman dan mengeluarkan pandangan tanpa membahayakan hak orang lain untuk menjalankan kehidupan dan hal ehwal harian dengan gangguan minima.

Peserta di perhimpunan yang seumpama di beberapa tempat lain seperti Georgetown, Kuantan, Johor Bahru, Ipoh, Kuching dan Kota Kinabalu telah dibenarkan untuk berhimpun dan bersurai secara aman, teratur dan bertanggungjawab tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku merupakan satu testimoni kepada kebolehlaksanaan langkah-langkah tersebut.

Suruhanjaya ingin mengulangi pendiriannya bahawa ia mengakui keamanan dan kestabilan adalah yang paling utama dan bahawa ketenteraman awam perlu dikekalkan pada setiap masa, namun ianya juga berpendapat bahawa perhimpunan awam menyediakan ruang untuk orang ramai melahirkan perasaan mereka mengenai isu yang menjadi kebimbangan.  

Hak-hak tersebut adalah terkandung dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 20(1) Perisytiharan hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) serta Akta Perhimpunan Aman 2011 dan juga Perkara 19 UDHR mengenai kebebasan mengeluarkan pendapat.

NONEWalau bagaimanapun, dalam usaha ke arah demokrasi yang berfungsi sepenuhnya, Suruhanjaya telah berulangkali menggesa semua pihak untuk melaksanakan hak mereka secara bertanggungjawab dalam memastikan keamanan dan keselamatan semua yang terlibat dilindungi dan yang lebih penting hak orang lain yang terlibat secara tidak langsung juga mesti dihormati dan dilindungi.

Buat ketika ini, Suruhanjaya menyeru orang ramai, pihak media serta pihak berkuasa yang berkaitan yang telah menyaksikan sebarang pelakuan atau insiden mengenai dakwaan pelanggaran hak asasi manusia semasa perhimpunan 28 April 2012 untuk mengemukakan maklumat, dokumen lain dan bukti yang berkaitan kepada Suruhanjaya untuk siasatan.  

Sementara itu, Suruhanjaya akan membincangkan perkara ini, menganalisa bukti yang terkumpul dan mengkaji laporan pemantuan perhimpunan tersebut secara terperinci dalam mesyuaratnya yang akan datang bagi mempertimbangkan tindakan selanjutnya. Sumber
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular