Translate

Khamis, 6 September 2012

Rogol Bawah Umur Atau Suka Sama Suka: Undang-Undang Rimba Yang Membela Golongan Elit.

Jabatan Peguam Negara telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada 28 Ogos lalu yang membebaskan seorang juruelektrik dengan ikat jamin RM25,000 dan bon jaminan berkelakuan baik atas tuduhan merogol gadis bawah umur. 
    
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam satu kenyataan semalam berkata rayuan tersebut telah difailkan pada 29 Ogos lalu.

Jabatan itu juga akan memohon agar pendengaran rayuan di Mahkamah Tinggi  dipercepatkan kerana berpendapat ia wajar dihujahkan semula isu tafsiran undang-undang berkaitan hukuman bagi kesalahan rogol terhadap kanak-kanak serta
pemakaian sewajarnya peruntukan Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah terhadap kesalahan serius sedemikian, katanya.
    
Dalam kes tersebut, Hakim Mahkamah Sesyen Sitarun Nisa Abdul Aziz membebaskan Chuah Guan Jiu, 22, yang dihakimi mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol teman wanitanya berusia 12 tahun, tahun lepas, setelah mengambil kira faktor usia tertuduh yang masih muda dan ini merupakan kesalahan pertamanya.
    
Abdul Gani berkata jabatan itu juga meneliti keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Melaka terhadap satu lagi kes rogol, yang mana pemain boling kebangsaan Noor Afizal Azizan yang disabit di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah telah dibebaskan dengan perintah berkelakuan baik kerana merogol seorang gadis bawah umur di sebuah hotel di Ayer Keroh Melaka pada 2009. 

Katanya pihaknya mengambil kira bahawa kes itu telah dibicara dan didengar sehingga ke tahap mahkamah yang terakhir mengikut undang-undang, yang mana pembuatan rayuan lanjut ke Mahkamah Persekutuan tidak lagi mungkin.

Dalam hal ini, katanya, Jabatan Peguam Negara sedang menimbangkan penggunaan kuasa inheren mahkamah dengan mengambil kira bahawa kuasa untuk membuat semakan tersebut sepatutnya terbatas kepada salah aturan tatacara yang tidak melibatkan kesalahan atau perkara substantif.
    
"Jabatan ini juga perlu mengambil kira keperluan bagi kemuktamadan sesuatu keputusan mahkamah khususnya apabila keputusan kes telah berakhir di Mahkamah Rayuan berdasarkan bidang kuasa rayuannya.

"Jabatan berpendapat bahawa penyimpangan keadilan ini bagi mereka yang paling memerlukan perlindungan undang-undang perlu diperbetulkan," katanya. 

Beliau berkata Jabatan Peguam Negara memandang serius kedua-dua keputusan mahkamah tersebut dan berpendirian bahawa kes rogol menghendaki hukuman deteren dikenakan untuk menunjukkan kebencian dan ketidaksenangan masyarakat terhadap perbuatan jenayah hina sedemikian. 

"Jabatan ini berpendapat bahawa kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, terutamanya kesalahan yang melibatkan mangsa kanak-kanak, yang pada hakikatnya meningkatkan keseriusan kesalahan tersebut, bukan suatu kesalahan di bawah hal keadaan yang meringankan dan bukan kes yang mewajarkan budi bicara mahkamah di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah digunakan, tidak kira sama ada pesalah merupakan pesalah kali pertama mahupun pesalah muda," katanya. 

Abdul Gani berkata secara prinsip dan moralnya, seseorang yang melebihi umur 18 tahun, terutamanya yang dikenali dan dipercayai oleh mangsa kanak-kanak tidak wajar mengambil kesempatan terhadap seseorang kanak-kanak kerana kanak-kanak pada usia bawah 18 tahun masih belum mencapai kematangan yang sewajarnya. 

Katanya, walaupun dikatakan terdapat keizinan daripada seorang mangsa kanak-kanak bagi sesuatu perlakuan seksual, namum kesahihan keizinan tersebut perlu dipersoal memandangkan usia dan ketidakmatangan fikiran kanak-kanak tersebut. 
    
"Pada hakikatnya, adalah mustahil seorang kanak-kanak yang belum matang fikirannya dapat memahami kesan dan akibat keizinan yang diberikan untuk membolehkan suatu keizinan yang berkesan di sisi undang-undang," katanya.

Abdul Gani berkata kes jenayah rogol terhadap mangsa di bawah masing-masing umur 16 dan 12 tahun kian menurun. 

Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, pada tahun 2009, kes rogol melibatkan mangsa bawah 13 tahun ialah 281 kes, sementara yang melibatkan mangsa antara 13 dan 15 tahun ialah 1,767 kes. 

Statistik ini menurun kepada 1,777 kes pada tahun 2010 (214 kes bagi bawah 12 tahun, 1,563 kes bagi 13 hingga 15 tahun), dan seterusnya kepada 1,652 kes pada tahun 2011, iaitu 202 kes melibatkan mangsa berumur bawah 12 tahun dan 1,450 melibatkan mangsa berumur antara 13 dan 15 tahun. 

Setakat Julai tahun ini, jumlah kes rogol statutori yang dilaporkan ialah 859 kes, iaitu 109 melibatkan mangsa bawah 12 tahun dan 750 kes melibatkan mangsa berumur 13 hingga 15 tahun. 
    
"Salah satu faktor penurunan tersebut ialah hukuman berat yang telah diperkenalkan pada tahun 2007 dan dilaksanakan dengan sewajarnya oleh mahkamah setakat ini," katanya. 

Abdul Gani berkata merujuk kepada statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung pendaftaran kelahiran anak tanpa maklumat bapa di mana ibu berumur di bawah 18 tahun, ia jelas menunjukkan bahawa ramai kanak-kanak bawah 18 tahun telah melahirkan anak luar nikah akibat daripada tindakan seseorang dewasa yang telah mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak tersebut. 
    
Beliau berkata mengikut statistik JPN dari tahun 1997 hingga Julai 2012 mengenai perkara tersebut mengikut keturunan, sebanyak 14,370 kes telah dilaporkan iaitu kaum Melayu mencatatkan sebanyak 8,269 kes, diikuti dengan kaum lain-lain iaitu sebanyak 4,940 kes. 
    
Kaum Cina dan India masing-masing mencatatkan 739 dan 423 kes.

- Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular